Bebaskan pergaulan si kecil

“JANGAN berkawan dengan dia, nanti kamu dijangkiti kutu” atau “usah bergaul dengan budak itu, dia tak sesuai berkawan dengan kamu”.

Begitulah antara kata-kata yang seringkali diungkap segelintir ibu bapa sehingga membuatkan anak-anak mereka berasa keliru tentang makna di sebalik jalinan sebuah persahabatan.

Justeru, pengucapan positif yang boleh merangsang perkembangan kognitif kanak-kanak seharusnya diamalkan dalam rutin kehidupan seharian.

Contohnya, ‘sahabat adalah satu kumpulan yang unik. Tanpa seorang sahabat, kita tidak mungkin mengenal siapa diri kita yang sebenar. Kelebihan kita, mahupun kekurangan kita’.

“Ini adalah masa yang sesuai untuk ibu bapa memberi galakan bersifat kemanusiaan kepada anak-anak termasuk memberi pendidikan yang efektif kepada mereka.

“Jadi, dedahkan pergaulan anak-anak dengan masyarakat sekeliling khususnya rakan seusia dengannya sejak anak-anak kecil lagi.

“Jangan sesekali ibu bapa memilih atau melarang mereka berkawan serta menyekat kebebasan mereka, sebaliknya ajar mereka bagaimana menjadi seorang sahabat yang sejati.

“Budaya mengawal pergaulan anak-anak lebih sesuai untuk peringkat remaja tetapi bukannya pada usia kanak-kanak,” tegas Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia, Norsheila Abdullah.

Menurutnya, zaman kanak-kanak adalah fasa pertama di mana mereka mula belajar mengenal dunia luar di samping baru berjinak-jinak mendekatkan diri dengan persekitaran termasuk memahami nilai-nilai budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, cara ini amat berkesan dalam meningkatkan daya pemikiran positif kanak-kanak kecil di samping mengajar mereka membuat keputusan yang terbaik, selain dapat menyekat pergaulan mereka dengan rakan-rakan yang nakal.

Menurutnya, menghormati rakan sebaya, guru, ahli keluarga dan masyarakat dapat meningkatkan keyakinan diri dan ia adalah kesan positif yang diperoleh dalam pergaulan yang dijalinkan.

“Justeru, dengan pendedahan yang diberikan ini, mereka dapat membuat perbandingan di antara nilai moral yang perlu diamalkan dan dijauhi.

“Secara tidak langsung, mereka berpeluang mempelajari perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri setelah mencecah alam remaja.

“Sebagai pembimbing dan pengasuh, ibu bapa seharusnya memberi peluang kepada kanak-kanak dari peringkat pra sekolah lagi untuk mempelajari perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Apa yang dipelajari ini akan membantu membentuk sahsiah diri yang amat dikagumi kelak,”katanya.

Katanya, pemerhatian orang dewasa terhadap cara pergaulan anak-anak dan interaksi bersama rakan merupakan elemen penting yang perlu dititikberatkan dalam rutin kehidupan mereka.

“Anak-anak bukan sahaja perlu dibimbing di peringkat sekolah tadika, tetapi mereka juga perlu dididik sejak awal usia di rumah,” ujarnya kepada Kosmo!, di Kompleks Penyayang Bakti, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Katanya, proses pembelajaran berkaitan cara menjalin persahabatan adalah antara perkara utama yang diperoleh di sekolah, selain membimbing murid ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Ini kerana, kanak-kanak akan mula berfikir tentang sesuatu perkara yang terbaik untuk dirinya.

“Di sini (taska), kami sentiasa mendekatkan diri kanak-kanak dengan suasana persekitaran yang ada di sekeliling mereka.

“Sama ada bersama rakan-rakan dan guru, mereka didedahkan dengan pelbagai aktiviti secara berkumpulan.

“Selain bertujuan mengasah tahap pemikiran kanak-kanak, aktiviti ini juga dapat menilai dan mempelajari makna persahabatan dengan lebih dekat,”ujarnya.

Terdapat tiga perkara penting diketengahkan dalam setiap subjek yang dipelajari. Antaranya ialah proses pembelajaran, kandungan dan konteks yang diperoleh.

Tambahnya, kesan terhadap prinsip pembelajaran yang diamalkan ialah kanak-kanak dapat berkomunikasi dengan lebih bijak, meneroka serta meneliti sesuatu perkara sebelum bertindak dan mengumpul maklumat untuk penyelesaian masalah.

Berikut tip ibu bapa dalam membantu anak-anak memahami nilai murni seorang sahabat.

 

* Ibu bapa tidak perlu memilih siapa kawan yang sesuai untuk anak-anak mereka. Namun, ibu bapa perlu membantu anak-anak memahami bagaimana menjadi seorang sahabat yang sejati.

* Bina keyakinan diri anak-anak dengan cara memberitahu bahawa anda sayangkan mereka sepenuhnya. Apabila anak-anak berjaya melakukan sesuatu dan sebagai ibu bapa, anda perlu memuji pencapaian yang dilakukan itu. Sekiranya mereka gagal mencapai sesuatu yang diinginkan, cuba bantu mereka membetulkan kesilapan.

* Ibu bapa seharusnya bercakap dan mendengar luahan anak-anak setiap hari. Berikan perhatian yang secukupnya apabila anak-anak mula memberitahu perkara yang berlaku terhadap diri mereka.

* Bincang dengan anak-anak hal berkaitan kualiti persahabatan dan perbatasan pergaulan yang perlu diamalkan dalam kehidupan.

* Kenali rakan-rakan anak-anak anda. Menerusi pemerhatian, anda dapat menilai sikap dan tingkah laku seseorang. Paling penting, luangkan masa bercakap dan mengenali dengan lebih dekat tentang perkara yang disukai rakan anak anda.

* Sebagai ibu bapa, anda bukan sahaja perlu mengetahui latar belakang rakan anak-anak, tetapi anda juga perlu mengenali siapakah ibu bapa mereka. Cara sebegini membuatkan anda tidak memendam perasaan risau terhadap segala aktiviti yang dilakukan anak-anak.

* Libatkan diri anak-anak ke dalam persatuan atau kumpulan. Ia bertujuan meningkatkan daya kematangan anak-anak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 350 other followers

%d bloggers like this: