Apabila cinta kian pudar

Mei 30, 2008

HAMPIR semua orang pernah merasai penangan cinta. Kuasa cinta menyebabkan seseorang sanggup melakukan apa sahaja. Berjumpa setiap hari, bercakap berjam-jam di telefon, jaga sehingga lewat malam, meminjamkan wang dan sebagainya.
Pendek kata sewaktu dilamun cinta, semuanya terlalu indah dan membahagiakan. Tetapi kenapa kenapa kehangatan cinta tidak kekal lama? Keterujaan cinta bagi sesetengah orang hanya berlangsung sementara. Ada yang mungkin mencecah setahun tetapi banyak yang tidak sampai angka 12 bulan pun.

Selepas itu, kehangatan dan keterujaan cinta semakin pudar. Jika cinta masih kekal pun, ia tidak sehangat dulu. Tetapi lebih menyedihkan lagi, ikatan cinta berakhir dengan perpisahan.

Selain tiada persefahaman, ramai juga yang menyatakan mereka mudah bosan selepas tempoh masa tertentu perhubungan.

Benarkan keghairahan hubungan cinta tidak dapat dikekalkan? Atau adakah sememangnya menjadi lumrah kehangatan cinta hanya berlangsung dalam tempoh tertentu?

Apatah lagi selepas menjengah ke alam rumah tangga, kehangatan cinta akan semakin pudar.

Hakikatnya, bagi kebanyakan pakar psikologi, keterujaan dan kehangatan hubungan percintaan bergantung kepada pasangan terbabit.

Keghairahan semasa menempuh alam percintaan terjadi kerana ketika itulah, masing-masing mengungkap kata cinta, merungkai isi hati masing-masing dan saling menghargai.

Bagaimanapun, apabila hubungan percintaan sudah diisytihar, ramai yang mengabaikan kata-kata cinta, apatah lagi mengambil tahu isi hati pasangan masing-masing.

Tatkala itu, kehambaran cinta akan menerpa dan banyak yang tidak dapat menyelamatkan hubungan itu.

Berikut adalah antara beberapa tip ringkas untuk mengekalkan kehangatan dan keterujaan hubungan percintaan.

Situasi spontan

Jangan sesekali merendah-rendahkan nilai spontan dalam sebuah perhubungan. Biasanya kebosanan timbul dalam sesuatu perhubungan kerana rutin harian yang dilakukan hampir sama dan sudah boleh dijangkakan.

Jangan takut untuk mencadangkan aktiviti-aktiviti baru yang boleh dilakukan bersama. Atau lakukan kejutan-kejutan tertentu seperti lelaki boleh cuba memasak satu resipi baru untuk makan malam. Elakkan terlalu merancang situasi spontan.

Teroka lokasi baru

Pernah anda makan malam di sebuah kedai yang hampir sama saban hari dengan kekasih anda? Ada pula yang hanya membeli-belah di pasar raya yang serupa. Tidak kurang pula asyik bercuti di tepi pantai.

Pelbagaikan dan terokailah lokasi baru bersama untuk menambahkan keterujaan dalam hubungan. Terdapat ribuan kedai makan, ratusan pusat beli-belah dan pelbagai destinasi percutian di dalam dan luar negara. Mengapa perlu begitu sterotaip?

Hadir kelas atau kursus bersama

Apa kata hadir satu-satu kelas baru secara bersama.

Jika selesa dengan kelas masakan anda boleh mencuba kelas itu. Atau jika tidak terdapat banyak kelas lain termasuklah tarian, gim, pilates, hasil seni dan banyak lagi.

Aktiviti baru yang dilakukan bersama menyebabkan anda mewujudkan satu hubungan saling bergantung dan interaksi yang lebih kerap.

Tidur di hotel atau resort

Atmosfera yang baru akan menambahkan lagi romantis dalam hubungan. Jangan terlalu terikat – suami isteri perlu tidur dalam bilik di rumah.

Sesekali cuba atmosfera di hotel, resort atau berkhemah di tepi pantai. Ia akan membuatkan anda tidak terlalu bosan.

Beri hadiah tanpa sebab

Ini adalah antara cara untuk mengembalikan hubungan kembali ke landasan yang betul. Pada awal hubungan anda kerap menghadiahkan si dia hadiah, tetapi selepas beberapa lama ia tidak lagi berlaku. Hadiah yang kecil sudah cukup kerana ia menjadi satu tanda atau isyarat si dia sentiasa bertakhta di hati anda. Tidak perlu menunggu hari jadi, hari kekasih atau hari ulang tahun untuk melakukan perkara itu. Bosan bukan?

Berpegang tangan

Ramai yang mengambil sikap sambil lewa pada pergerakan semudah berpegangan tangan. Ramai pasangan hanya berpegangan tangan semasa awal hangat bercinta sahaja tetapi tidak selepas itu. Kenapa begitu? Malu?

Kenapa perlu malu apatah lagi sekiranya hubungan anda itu sudah menginjak ke alam perkahwinan? Memegang tangan, mengusap jari-jemari dan mencium tangan pasangan anda walaupun nampak mudah, tetapi ia satu tindakan yang menyenangkan dan menunjukkan anda ikhlas berkongsi hidup dengannya.


Cerai tanpa niat

Mei 30, 2008

Soalan: Suami saya pernah menceritakan bahawa kawannya telah menceraikan isterinya dengan mengucapkan lafaz cerai tersebut tanpa sebarang niat, cuma untuk menyatakan perceraian mereka sahaja. Apakah hukumnya bila suami menceritakan perkataan tersebut kepada saya?
– Nurul Nasimah Bt Junaidi,
Kota Belud, Sabah

Jawapannya: Hubungan anda yang mendengar perkataan atau cerita dan hikayat tersebut tidak terjejas dengan suami anda, kerana perkataan itu bukan ditujukan kepada anda melainkan semata-mata sebagai hikayat atau cerita mengenai perbuatan kawannya sahaja. Adapun lafaz cerai yang dipertikaikan itu ialah lafaz cerai yang ditujukan kepada isteri dalam keadaan bergurau atau marah dan sebagainya. Sedangkan cerita dalam bentuk hikayat adalah lain keadaannya. Justeru itu dalam al-Quran juga terdapat perkataan atau cerita Tuhan itu tiga sebagai hikayat dan cerita mengenai kepercayaan orang lain seperti firman-Nya bermaksud: Telah kafirlah mereka yang berkata bahawa Allah itu salah satu dari tiga tuhan (Surah al-Maidah ayat 73). Jadi sekiranya perkataan secara hikayat dan cerita juga tidak boleh disampaikan pastilah ayat ini tidak boleh dibaca oleh orang Islam. Kita tahu semua ayat al-Quran itu, disuruh kita membacanya tanpa sebarang pengecualian sedikitpun.

Walau bagaimanapun untuk menolak sebarang keraguan dan was-was syaitan eloklah si suami jangan mengucapkan perkataan tersebut. Sabda Nabi bermaksud: tinggalkan apa yang boleh meragukan dan ambil perkara yang tidak meragukan (maksud al-hadis). Menurut kaedah kita juga “perkara yang diyakini itu, tidak boleh hilang (terjejas) kerana datang sebarang keraguan.” Adapun lafaz cerai itu sekiranya ditujukan kepada mana-mana isteri ianya akan jatuh talaknya tanpa perlukan niat lagi. Kerana ianya termasuk dalam lafaz soreh (jelas dan nyata) tidak boleh difahami selain perceraian sahaja. Berlainan dengan mereka yang berlakon kerana perkataannya di tujukan benar-benar kepada isterinya sekalipun dalam lakonan, sebab itu kebanyakan ulama mengatakan talaknya itu jatuh juga. Wallahualam.


Hantaran tanda cinta

Mei 29, 2008

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

Dalam adat perkahwinan orang Melayu, selain tarikh, mas kahwin dan wang hantaran, perkara yang menjadi topik perbincangan ialah barang hantaran. Barang hantaran yang lebih membawa maksud sebagai hadiah kepada pasangan, turut ditentukan untuk dibawa oleh kedua-dua pihak sama ada sepersalinan atau serba satu. Kemudian jumlah bilangannya, inilah yang unik dalam perkahwinan masyarakat Melayu.

Adat berbalas-balas hantaran adalah simbolik kepada tanda kasih sayang kedua-dua pasangan tersebut.

Kini, hantaran turut mempunyai konsep dan warna yang ditentukan oleh pasangan pengantin. konsep moden, Inggeris, tradisional menjadi pilihan. Manakala warna-warna seperti perak, emas, firus, hijau epal, merah samar malah untuk kelihatan unik, warna hitam turut dipilih.

Konsep tradisional bersangkar separuh menjadi pilihan kali ini. Bakul mengkuang yang disaluti dengan kertas krep hijau epal diindahkan lagi ikatan reben dan ranting perak dan emas menceriakan lagi hantaran yang diletakkan buah-buahan, alat solek, beg tangan, jam tangan dan pewangi.

Manakala bagi yang gemar dengan warna perak, kuning, emas dan firus, gabungan permainan reben dan bunga-bungaan akan menaikkan seri hantaran tersebut dan ia dilihat lebih eksklusif.

Sementara itu, kini trend penggunaan bungaan segar lebih kepada pemberian lelaki kepada wanita manakala pemberian wanita kepada lelaki menggunakan bungaan tiruan.


Bahaya darah dalam najis

Mei 29, 2008

PENDARAHAN semasa membuang air besar sering berlaku kepada sesetengah orang dan masalah ini biasanya dikaitkan dengan penyakit buasir. Ramai yang berasa malu bagi mendapatkan rawatan doktor dan mengambil keputusan untuk merawat sendiri.

Buasir merupakan bengkakan yang terjadi di dalam dubur. Bengkakan ini tidak normal dan mereka yang mendapat buasir biasanya tidak berasa sakit apabila membuang air besar.

Boleh dikatakan setiap seorang daripada tiga orang pernah mengalami pendarahan akibat buasir dalam hidupnya. Pakar berpendapat buasir adalah implikasi kepada postur manusia yang berdiri kerana haiwan merangkak jarang mendapat buasir.

Demikian dijelaskan oleh Pakar Perunding Pembedahan Am, Hospital Damai Service (Melawati), Dr. Chaw Chee Kien pada forum awam mengenai Bahaya Darah Dalam Najis di hospital tersebut baru-baru ini.

Menurut Chee Kien, di dalam saluran dubur manusia terdapat struktur yang dikenali sebagai vaskular endocushions yang menyebabkan otot-otot dubur kenyal.

Biasanya struktur ini kecil dan tidak ketara. Walau bagaimanapun apabila seseorang itu mengalami sembelit atau meneran semasa membuang air besar, struktur ini membengkak.

“Selepas beberapa lama, ia hilang sifat kenyalnya dan terjulur keluar daripada dubur. Proses ini sering diiringi dengan pendarahan dan akhirnya menjadi buasir.

“Dengan kata lain, buasir adalah akibat langsung sembelit dan proses meneran,’’ katanya.

Beliau menambah, terdapat beberapa simptom buasir. Pesakit biasanya mendapati ada darah berwarna merah cerah yang keluar sebelum atau selepas meneran ketika membuang air besar.

Darah tersebut mungkin menitis, menyembur keluar atau hanya memberi kesan kepada tisu tandas yang digunakan.

“Jika perkara ini berlanjutan untuk beberapa lama, pesakit mungkin akan mengalami anemia akibat kehilangan banyak darah. Ada juga pesakit yang mengalami pendarahan yang membimbangkan sehingga menyebabkan mereka sering pitam.

“Ada juga pesakit yang tidak mengalami pendarahan. Buasir jenis ini hanya berbentuk gumpalan di dalam alur dubur. Gumpalan ini mungkin keluar semasa pesakit membuang air. Ia boleh masuk semula ke dalam alur dubur apabila ditekan tetapi ada juga yang kekal di luar dubur. Pesakit mungkin tidak berasa sakit tetapi ada masanya mereka berasa tidak selesa dan gatal-gatal,’’ katanya.

Beliau menjelaskan, buasir boleh dirawat apabila doktor sudah pasti yang pesakit benar-benar penghidap buasir dan bukan kanser anorektal atau penyakit lain.

“Doktor akan melakukan ujian rektal dan protoskopi terlebih dahulu. Adakalanya pesakit diminta menjalani ujian sigmoidoskopi atau kolonoskopi.

“Buasir Tahap 1 dengan pendarahan akan diberikan ubat vasotopik dan dinasihatkan agar mengubah diet. Diet tinggi serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin tinggi serat amat baik bagi kesihatan. Suppositories juga biasa diberikan selain ubat Daflon yang berkesan. Pendarahan biasa berhenti selepas dua atau tiga hari.

“Buasir Tahap 2 dengan pendarahan juga akan dirawat dengan kaedah sama. Bagaimanapun, oleh kerana pada tahap ini sudah ada jisim yang terlunjur keluar daripada dubur, prosedur yang dilakukan ialah rubber ligation, suntikan fenol dan photocoagulation.

Inovasi terbaru

“Buasir Tahap 3 dan 4 biasanya memerlukan rawatan pembedahan. Kaedah yang telah lama digunakan ialah haemorrhoidectomy sama ada secara terbuka atau tertutup.

“Kaedah ini didapati sangat berkesan namun pesakit akan menghadapi kesan yang menyakitkan selepas pembedahan. Proses penyembuhan juga lambat dan biasanya mengambil masa sehingga tiga hingga empat minggu sebelum pulih sepenuhnya,’’ ujar beliau lagi.

Chee Kien berkata, kini terdapat inovasi terbaru dalam rawatan buasir yang dikenali sebagai PPH, iaitu dengan mengikat dan memotong buasir menggunakan alat seperti stapler yang berbentuk bulatan.

Melalui kaedah ini, pesakit merasai sakit yang minimum atau tidak berasa sakit langsung serta tidak meninggalkan luka yang perlu dirawat. Pesakit boleh kembali melakukan tugas harian seminggu selepas rawatan.

Beliau menambah, selain buasir, sebab lain pendarahan semasa membuang air besar berlaku kemungkinan disebabkan ketumbuhan barah di dalam usus besar.

Barah usus besar adalah barah kedua kerap berlaku di kalangan kaum lelaki selepas barah paru-paru dan barah ketiga kerap berlaku di kalangan kaum wanita selepas barah payudara dan barah serviks di Malaysia.

Mengikut Pendaftaran Barah Nasional 2003, kekerapan barah pada keseluruhannya di Malaysia adalah 134.3/100,000 di kalangan kaum lelaki dan 154.2/100,000 di kalangan kaum wanita. Ini bermakna lebih daripada 40,000 kes barah baru akan dikesan setiap tahun di negara ini.

“Kekerapan barah usus besar kian meningkat selepas umur 50 tahun dan umur purata pesakit-pesakit barah usus adalah di antara 70 dan 75 tahun.

“Di negara Barat, risiko mendapat barah usus besar dalam jangka hayat adalah enam peratus. Ini bermakna seorang daripada 18 individu akan mendapat penyakit ini dalam jangka hayatnya.

“Kebanyakan kes barah usus terjadi secara semula jadi tetapi lebih kurang 15 peratus kes-kes barah usus besar ada unsur genetik. Risiko mendapat barah usus termasuk pemakanan yang kurang serat atau daging merah dan lemak yang berlebihan. Rokok dan alkohol yang berlebihan juga dikaitkan dengan penyakit ini.

“Satu lagi punca barah usus yang lebih jarang berlaku di negara ini adalah penyakit radang usus besar. Serat di dalam pemakanan boleh mengurangkan risiko barah usus kerana ia mengurangkan kerosakan usus besar oleh bahan toksik yang terdapat dalam najis.

“Unsur-unsur yang boleh mengurangkan risiko barah usus termasuk sayur-sayuran seperti brokoli, vitamin A, C dan E dan ubat aspirin yang ada aktiviti anti-oksida,’’ jelas Chee Kian.

Kata beliau, ramai orang mempunyai salah tanggapan bahawa barah selalunya menyebabkan kesakitan ataupun tidak boleh dirawati selepas dikesan. Barah usus yang dikesan pada peringkat awal berpotensi bagi dirawati dengan sepenuhnya.

Oleh sebab itu, ujarnya, ujian pengesanan barah usus besar perlu dimulakan dari umur 50 tahun. Kaedah ini telah dibuktikan berkesan dalam mengurangkan kadar kematian daripada penyakit barah usus besar.

“Pengesanan barah usus besar adalah penting dan ia dijalankan oleh doktor melalui pemeriksaan yang teliti berserta ujian darah dalam najis, endoskopi usus besar dan X-ray usus besar. Apabila barah usus sudah dikenal pasti, ia biasanya memerlukan rawatan pembedahan dan rawatan kemoterapi atau radioterapi.

“Terdapat banyak inovasi dalam perjuangan menentang penyakit barah, misalnya ubat yang boleh mengurangkan ketumbuhan saluran darah baru dalam barah dan mengehadkan ketumbuhan barah tersebut. Teknik-teknik baru dalam bidang pembedahan seperti pembedahan laparoskopik juga mengurangkan kesakitan kepada pesakit dan membolehkan penyembuhan yang lebih cepat,’’ ujar beliau.

Chee Kien menjelaskan, walaupun pendarahan dalam najis biasanya disebabkan oleh buasir, kemungkinan kewujudan barah usus besar yang boleh memberi gejala yang sama perlu dikecualikan. Lebih-lebih lagi kewujudan barah usus besar boleh menyebabkan ketumbuhan buasir.

Pesakit-pesakit yang ada ketumbuhan buasir digalakkan untuk berjumpa dengan doktor supaya mereka boleh diperiksa dengan sepenuhnya.

“Secara kesimpulannya, walaupun pendarahan dalam najis biasanya disebabkan oleh buasir, pesakit-pesakit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan daripada doktor supaya kemungkinan ketumbuhan barah usus boleh dikecualikan.

“Barah usus besar yang dikesan pada peringkat awal boleh dirawat dengan sepenuhnya. Kaedah-kaedah baru di dalam rawatan buasir dan barah usus besar membolehkan pesakit-pesakit dirawat dengan lebih selesa dan sembuh dengan lebih cepat,’’ ujar Chee Kien lagi.


Panduan melengkapkan diri sebelum persaraan

Mei 28, 2008

SIAPA yang tidak menanti dan menyambut dengan penuh kegembiraan saat-saat untuk bersara. Inilah masa dan ketika yang dinanti-nantikan. Apa jua hobi atau keinginan melakukan sesuatu kini boleh dilakukan yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa dan kesibukan tugas.

Dalam pada itu, mungkin ramai juga antara kita yang tidak terfikir untuk merancang persaraan kerana mereka beranggapan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk menampung hidup pada hari tua.

Malangnya, ia tidak sebegitu. Persaraan yang dilalui tanpa melengkapkan diri dengan persediaan yang sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada segelintir yang terpaksa bergantung harap kepada anak dewasa.

 

Bagi memastikan anda tidak ditimpa nasib yang sama, Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) menawarkan beberapa saranan seperti yang digariskan dalam buku panduannya mengenai kewangan individu.

ACCA menyifatkan amat penting bagi kita merancang persaraan seandainya kita mahu hidup selesa dan teguh kewangan pada tahun keemasan.

Perancangan persaraan membabitkan beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan sendiri dan ia termasuklah menentukan berapa banyak yang anda perlukan sewaktu persaraan, berapa banyak yang anda miliki sekarang serta apa yang boleh anda lakukan untuk membetulkan keadaan.

Jawapan ini memerlukan pemikiran dan perancangan yang bersungguh-sungguh memandangkan jumlah wang yang anda perlukan ketika persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang anda inginkan.

Misalnya, andai kata, anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar.

Sebaliknya, anda mungkin memerlukan wang lebih jika merancang untuk memulakan satu hobi yang mahal atau ingin melancong mengelilingi dunia. Sebelum memenuhi hajat itu, anda harus lihat perbelanjaan semasa dan menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah ketika persaraan.

Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan, tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan untuk anda jatuh sakit meningkat dengan peningkatan usia.

Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan.

Misalannya, katakan gaji terakhir anda ialah RM66,000 setahun. Anda hanya memerlukan kira-kira RM52,800 daripada pendapatan tahunan setelah bersara (80 peratus x RM66,000). Jawapannya ada kaitan langsung dengan jangkaan hayat anda.

Perangkaan bulan Disember 2007 Jabatan Perangkaan mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki ialah 72 tahun dan 76 tahun bagi wanita. Bagaimanapun, jika anda sekarang menikmati kualiti hidup yang tinggi dan kesihatan yang bagus, anda boleh lanjut usia sehingga 80 tahun.

Jadi, jika anda bersara pada usia 56, anda memerlukan sekurang-kurangnya 24 tahun pendapatan persaraan.

Ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Inflasi ialah peningkatan kos hidup yang diterjemahkan sebagai peratus kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.

Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila anda berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar.

Seperti contoh terdahulu, anda perlu mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM52,800 selepas bersara. Bagaimanapun, ekoran inflasi, jumlah itu perlu dinaikkan bagi membolehkan anda mengekalkan gaya hidup anda. Oleh itu, pendapatan persaraan sebanyak RM52,800, katakan 5 peratus daripada purata kadar inflasi untuk 25 tahun akan menjadi:

Pendapatan persaraan

RM52,800 x Faktor nilai faedah masa depan (25 tahun, 5%)

RM52,800 x 3.386 = RM178,781

Kini anda tahu bahawa inflasi boleh menjejaskan pendapatan ketika persaraan, langkah seterusnya ialah untuk mengetahui jumlah dana yang boleh bertahan sehingga 24 tahun. Andaikan bahawa purata kadar pulangan ke atas pelaburan untuk 25 tahun akan datang ialah lapan peratus. Memandangkan kadar inflasi ialah lima peratus, maka kadar sebenar pulangan ke atas pelaburan ialah 3 peratus.

Jumlah dana

RM178,781 x Faktor anuiti nilai faedah masa kini (25 tahun, 3 peratus)

RM178,781 x 17,413 = RM3,113,114.

Berapa aset yang ada tatkala bersara

Mencari jawapan ini agak rumit kerana anda perlu tahu nilai setiap pelaburan masa depan, termasuk KWSP, nilai tunai insurans, pelaburan dalam syarikat yang melabur dan membayar dividen dan hartanah. Bagi memudahkan pengiraan, katakan anda sudah mengumpulkan sejumlah RM1 juta tatkala bersara.

Ternyata, dengan hanya RM1 juta dalam tangan, ia adalah tidak mencukupi bagi jumlah dana yang diperlukan yakni RM3,113,114. Anda kekurangan RM2,113,114.

Memandangkan anda kekurangan RM2,113,114, cara terbaik untuk mengatasinya ialah dengan menabung secukup wang setiap tahun. Persoalannya, berapa banyak simpanan yang mencukupi untuk memenuhi kekurangan itu

Jumlah simpanan

RM2,113,114/ Faktor anuiti nilai faedah masa depan (25 tahun, 8 peratus)

RM2,113,114 /73.106 = RM28,905

Berdasarkan butiran ini, jumlah simpanan yang anda perlukan ialah RM28,905 setahun atau RM2,409 sebulan.

Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan mutual funds memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.

Melabur dalam saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang anda melabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham itu. Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.

Bon pula sebenarnya adalah pinjaman kepada perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.

Mutual funds adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.

Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.

Seandainya anda buntu untuk melakukannya, usah risau. Dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Tetapi, jika anda memilih untuk melakukan sendiri, sebuah perisian kewangan yang ada di pasaran boleh membantu anda.

Dengan perisian itu, anda boleh melihat graf malah pelbagai saranan mengenai jenis pelaburan boleh anda pertimbangkan.

Malah lebih menarik, anda boleh mencuba butiran yang ada untuk mengetahui sejauh manakah kukuhnya kewangan anda berada dalam keadaan berbeza.

Pokok pangkalnya, lagi awal anda merancang persaraan anda, lagi cerah masa depan persaraan anda. – Bernama