Isteri orang jadi idaman suami

“BILA sendirian, saya sering termenung memikirkan apalah nasib saya jadi begini, hidup saya tak pernah aman macam wanita lain. Fikiran saya sentiasa terganggu dengan sikap dan perbuatan suami saya yang amat memalukan, bukan sahaja kepada saudara-mara, ibu dan adik-beradik tetapi dengan jiran tetangga.

‘‘Dari mula kahwin sampai sekarang, suami saya sentiasa buat hal. Kini sudah 18 tahun kami berumah tangga anak pun dah ada lima. Tetapi suami saya Kamal tak pernah termimpi untuk berubah kepada kebaikan, sebaliknya terus melakukan perbuatan yang tak baik, bukan setakat menjatuhkan maruah keluarga tetapi melakukan maksiat hingga mengaibkan anak isteri,’’ demikian cerita Maizurah ketika kami bertemu minggu lalu.

Sebelum itu, Maizurah beberapa kali menghubungi penulis melalui telefon. Katanya, dia tak ada komputer apa lagi e-mel untuk meluahkan isi hatinya. Nak tulis surat tak pandai karang, jadi lebih baik ambil cuti boleh bersua muka. Apa yang penting dia boleh menceritakan isi hatinya dari A sampai Z. Itu katanya ketika kami bertemu.

Katanya, sepanjang mengikuti kisah-kisah yang dipaparkan dalam DCCK (Di celah-celah kehidupan), dia tak pernah terbaca kisah seperti suaminya. Mungkin ada tetapi mungkin sudah bercerai. Mungkin juga si suami dah bertaubat.

‘‘Berbeza dengan suami saya Kamal sejak muda sampailah sekarang tak pernah mahu berubah sentiasa suka bercinta. Biasanya bila kisahnya terbongkar, apabila orang dapat tahu termasuk saya dapat tangkap aktivitinya, dia akan minta maaf, minta ampun tak buat lagi. Kemudian baiklah dia seketika.

‘‘Tapi tak lama, lepas setahun dia buat hal lagi, siapa boleh tahan. Bila kita tanya dia tak mengaku hinggalah ada orang terjumpa dan tangkap dia lagi barulah mengaku dan minta ampun, konon dah insaf. Itulah taktik lapuk tahun demi tahun. Seingat saya bukan sekali dua, tapi lebih 10 kali dia buat hal bercinta dengan perempuan lain yang semuanya adalah isteri orang. Dia tak pilih cantik atau tidak, tua atau muda, asalkan wanita itu layan pujukannya, semua jadi.

‘‘Apa yang amat menyedihkan biasanya bila skandal mereka dah terbongkar wanita itu tentulah kena cerai. Puncanya kerana Kamal dah berjanji akan berkahwin dengan dia. Malang bagi wanita itu, bila dah kena tangkap dan bercerai-berai, Kamal tak akan kahwin dengan dia, katanya dia tak pernah berjanji nak kahwin, dia kata, masih sayangkan keluarganya dan macam-macam lagi alasannya.

‘‘Sebagai contoh ada satu kes Kamal bercinta dengan isteri orang, waktu itu Kamal masih muda, sedangkan isteri orang yang dicintainya itu lebih tua darinya. Tapi dia tetap melayan isteri orang itu. Kini setelah berusia lebih 40 tahun, isteri orang yang dicintainya ada juga yang sebaya dan ada juga lebih muda.

‘‘Saya beritahu Kamal, bercinta dengan isteri orang itu berdosa besar dengan suaminya. Tapi dia tak pernah mengaku bercinta, katanya, buat baik dengan orang salah ke? Tapi kenapa dengan perempuan aja? Lebih menyedihkan dia suka bercinta dengan saudara-mara saya sendiri. Tetapi dia nafikan. Konon nak tolong tapi mengapa dia harus mengulang rumah perempuan itu bila suaminya tak ada di rumah, dan mengajaknya keluar makan malam? Perempuan tu pula kerana cinta sanggup tinggalkan anak-anak kecil di rumah. Saya tak mahu bersubahat dengan maksiat Kamal. Saya nasihatkan dia tapi tak jalan, dia tak pernah mengaku, selalu menafikan.

‘‘Kira-kira empat tahun lalu saya sendiri tangkap dia berasmara dana dengan adik ipar saya. Mana muka saya nak letak bila adik saya bergaduh besar dengan Kamal kerana mengganggu isterinya.

‘‘Mulanya saya pun tak percaya Kamal sanggup buat kerja maksiat itu, tapi adalah seorang dua jiran nampak mereka keluar berjalan-jalan, shopping ke kompleks beli-belah. Kamal pernah datang ke rumahnya waktu malam. Dia fikir orang tak nampak terutama di tempat orang ramai. Tapi dia silap. Bila jiran beritahu, saya pun tanya dia, macam biasalah dia menafikan, sebaliknya dia marahkan saya konon suka dengar fitnah orang yang suka tengok kami bercerai-berai.

‘‘Saya tanya adik ipar saya secara jujur kerana dia duduk dekat rumah kami, dia pun menafikan. Saya suruh adik saya tanya pula, sebab ini bukan pertama kali Kamal bercinta dengan saudara-mara perempuan saudara-mara jauh kami.

‘‘Adik saya pula marahkan saya katanya jangan nak fitnah isterinya. Katanya, isterinya tak akan buat kerja terkutuk macam tu. Saya kata kalau tidak buat, tak apa kita cuma mahu mengingatkan supaya pisang tak berbuah dua kali.

‘‘Dalam pada itu saya terus menyiasat, walaupun sibuk dengan tugas di pejabat dan di rumah, saya masih boleh mengintip aktiviti Kamal. Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke bumi. Setelah menjalankan intipan demi intipan rupa-rupanya Kamal sering mengambil dia balik kerja waktu malam. Adik lelaki saya bila balik kerja terus ke rumah kami ambil anak-anak yang ditinggalkan kerana dijaga emak saya.

‘‘Dia tak perlu ambil isterinya sebab isterinya tumpang kereta kawan kerana mereka tinggal berdekatan. Tapi dia tak balik dengan kawan, Kamal yang ambil dan balik malam hari konon kerja overtime, sebenarnya mereka berasmara dana dulu, sebelum hantar dia balik di simpang jalan tak jauh dari rumah kami.

‘‘Bila adik saya kerja luar, Kamal masuk rumah ipar saya pukul 2 atau 3 pagi baru balik alasannya kerja banyak atau minum teh dengan kawan di warung 24 jam. Tapi dia tak tahu saya sudah intip aktivitinya.

‘‘Satu hari kerana tak tahan sabar, saya sendiri perangkap mereka sedang berasmara dana di dalam rumah. Kisah percintaan mereka berakhir bila masing-masing dihadapkan ke mahkamah syariah. Kamal ceraikan saya. Saya tak kisah daripada bersubahat biarlah bercerai.

‘‘Tapi belum habis idah, Kamal mula merengek, memujuk dan merayu, sambil memohon ampun dan maaf serta berjanji tidak buat lagi. Konon dah insaf, malu pada anak-anak. Macam biasa saya percayakan janji palsunya. Kerana sebagai seorang suami dan ayah Kamal memang baik dan penyayang. Dia minta saya buka buku baru, lupakan yang lepas, apa yang penting masa depan anak-anak. Masa dia buat hal tu dia tak ingat pula anak-anak. Dan dia sanggup pulak ceraikan saya!

‘‘Tapi kerana anak-anak juga saya sanggup dirujuk semula. Lepas peristiwa itu, adik saya bawa keluarganya pindah ke tempat lain. Mungkin dia tak boleh tengok muka Kamal lagi. Adik saya juga seorang yang baik cepat memaafkan bila isterinya minta ampun. Mungkin ini pengorbanannya demi anak-anak.

‘‘Taubat Kamal bertahan setahun saja, lepas tu dia buat hal lagi kali ini dengan isteri orang di pejabatnya. Puncanya wanita ini suka mengadu hal dan nak minta nasihat tentang masalah rumah tangganya. Katanya, suaminya ada perempuan lain, dan tak bagi duit untuk makan minum anak-anak. Sekali lagi Kamal sangkut. Tapi tak lama, tak sampai setahun suami perempuan itu cepat sedar dan Kamal terpaksa memutuskan hubungan yang semakin intim itu.

‘‘Kisah terbaru awal tahun ini Kamal bercinta lagi dengan isteri orang, Joyah namanya. Joyah mengadu konon suaminya tak bertanggungjawab, tak bagi nafkah anak-anak, semua urusan rumah dia yang tanggung sendiri, nafkah zahir batin juga diabaikan. Kisah Joyah konon dapat suami tak bertanggungjawab ini satu pejabat tahu. Dia sendiri menjaja ceritanya. Di sini Kamal masuk jarum. Kebetulan waktu itu kami bertiga (Kamal, saya dan Joyah) satu pejabat tapi berlainan unit. Tetapi kemudiannya Kamal berhenti kerana kononnya dapat kerja tempat lain dengan gaji lebih baik. Namun sebenarnya dia tak suka saya tahu aktivitinya terbongkar.

‘‘Satu lagi perangai Kamal yang menyusahkan hati saya, dia suka lompat kerja. Sebab ada kalanya dia tersalah lompat, mengharapkan dapat gaji lebih baik, akhirnya syarikat gulung tikar, terpaksalah menganggur beberapa bulan sebelum dapat kerja baru. Semasa mengganggur dialah suami paling baik. Bila dapat kerja lagi, perangainya berubah.

‘‘Kes dia bercinta dengan Joyah memang teruk. Satu pejabat meletup. Saya dapat tahu dah lewat, kerana fikirkan Kamal dah baik, sementara si Joyah setahu saya mabuk bercinta dengan bosnya, bukan Islam. Rupa-rupanya suami Joyah tahu dia buat hal dengan bosnya, lepas tu dengan Kamal. Dia tambah marah dan tinggalkan rumah pertengahan tahun ini. Bila saya jumpa suami Joyah minta supaya dia nasihatkan Joyah, dia kata tak mahu campur sebab dia dah tinggalkan Joyah, mereka dalam proses perceraian.

‘‘Siapa boleh sabar bila isteri buat hal dengan orang bukan Islam kerana kejarkan kenaikan gaji dan kerja lebih senang. Satu pejabat tahu skandal mereka. Agaknya kerana malu dia pikat Kamal. Kamal yang mudah tergoda bersedia jadi pak sanggup pada bila-bila masa.

‘‘Bila saya nasihatkan Kamal supaya insaf, dia jadi lagi hot marahkan saya kerana suka dengar fitnah. Tetapi siapa boleh tutup bangkai gajah dengan nyiru. Akhirnya Kamal dan Joyah ditangkap berkhalwat di rumah sewa Joyah pada bulan Syawal baru-baru ini. Penduduk tempatan satu taman yang tangkap. Mereka dibebaskan dengan ikat jamin.

‘‘Waktu itu Joyah dalam idah. Dan mungkin kerana malu, Joyah paksa Kamal ceraikan saya supaya mereka boleh kahwin. Kamal ceraikan saya untuk kali kedua melalui SMS. Nak jadikan cerita mereka lebih teruk lagi, baru-baru ini, sekali lagi mereka kena tangkap khalwat oleh JAIS. Peristiwa itu membuatkan mereka berpindah ke tempat lain.

‘‘Baru-baru ini saya ke mahkamah syariah untuk mengesahkan kedudukan saya, tetapi kes saya tertunda sebab perceraian pertama tak selesai, walaupun dah rujuk semula, tetapi Kamal tak buat report. Kini saya terpaksa tunggu tahun depan untuk mengesahkan kedudukan saya. Tapi yang pasti selagi kes saya dan Kamal tak selesai, selagi itulah mereka tak dapat nikah. Mereka juga terpaksa menghadapi dua kes khalwat.

‘‘Sebenarnya saya malu dengan perbuatan Kamal. Cukup mengaibkan pada anak-

anak yang sudah besar khususnya perempuan. Saya bimbang keadaan ini boleh mengganggu hidup mereka bila berkahwin nanti,’’ demikian cerita Maizurah. Saya mengagumi kesabarannya.

Masih ada wanita setabah dia, menyaksikan sendiri perbuatan suami yang terkutuk dan masih boleh menerimanya semula hanya dengan meminta maaf dan ampun. Benar kata pepatah orang tua-tua ‘‘Kerak nasi kalau direndam akan lembut juga.’’ Agaknya sebab itulah si suami masih berani mempersendakan kesabarannya. Inilah balasannya apabila diri sendiri tidak ada ketegasan.

- MAIMUNAH

http://www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

11 Responses to Isteri orang jadi idaman suami

  1. nazrida berkata:

    aduhhhh….sakitnye jiwa baca kisah mcm ni….! terimakasih penulis blog kerana memaparkan kisah2 kehidupan yang memberi pengajaran dan membuat kita menginsafi diri masing-masing.

    Mudah-mudahan segala kegembiraan dan ketenangan hidup ku hari ni akan berterusan….amin.

  2. azuan berkata:

    para isteri…..cubalah yg terbaik…jgn smpai suami cri isteri org

  3. ain sofea berkata:

    mcm ni punye laki pun ade ke? klu i kt tempt isteri kamal tu, silap2 bole masuk hsptal mental sbb x tahan dgn perangai suami mcm tu…biasa la lelaki, isteri buat terbaik mcm mane pun..klu dh ade yg dtg menyerah, tumpas jugak akhirnya, itulah kelemahan lelaki..tp i tau x sumer lelaki mcm tu..

  4. gee berkata:

    Yang penting sekali wanita kena jaga martabat sebagai isteri. Siapa suruh pergi melayan laki orang?

  5. arigato huzaimas berkata:

    eluk pun bercerai saja dengan laki mcm tu. si kamal tu tak akan berubah melainkan dia mendekatkan diri dengan Allah dan banyak berdoa. dia memang tak jujur. mahukan sex saja dan pada saya dia sememangnya lelaki yang gila sex dan getagih dengan perempuan.. kalau kawin pun dengan perempuan lain dia pasti akan buat hal lagi. apa2 pun kita sebagai islam doakan moga kamal akan berubah.

  6. madu berkata:

    errmm…cm2 perangai…jiran br sblh umah sy kantoi ..rupe2 nyer kawen dua tp klu bhgia,mkn pakai ckp..syukur la…kul3-5 pg..stat moto ..g mane pg2 buta kaan..
    jiran tetanga da ler uncle2&auntie2 yg mmg mkn grm dulu kaan..sume cm pelik..
    finally,my dad jupe itu abg ngan ank2 nyer…aik,rase2 baru kawen..cepat dpt ank…
    ooohh..rupe2 nyer isteri br tue jiran sy…isteri 1st lak tggl kat area umah lame kitorg…dunie sgt kecik…….itu brader dgn suke ati nyer tego my dad…hik2…cam2 la..
    tp klu kes kamal nie…issyhhkk..cmner nk jwb kat akhirat nnt..plg kesian kat ank2..
    para isteri lak…jaga laki sndiri…terima seadanye ….

    “masa b’cinta beri 50hati je..50hati smpn…. tatkala ijabkabul dilafazkan…berikan 100hati kpd pasangan”

  7. effa berkata:

    Suami seperti kamal tu, x mgkn akan berubah kerana itu sudah menjadi sifat smuajadi beliau..Syg seribu kali syg krn kamal tidak menyedari permata yg berada di depan mata, masih mendulang emas di lautan..

  8. luv berkata:

    saya slh seorg yg terlibat dlm percintaan ni.sbg seorg istri mmg berdosa bsr klu mengkhianati suami.saya tau sume hukum allah.tp perasaan dtg tnpa dipaksa.saya telah berkwn dgnnya lebih dr sethn.dan kami x pernah tefikir utk jth cinta apakan lg bercinta.hubungan kami baru terjalin dan kami rasa bahagia walaupun hubungan ini terpaksa disorokkan.x dinafikan suami sy seorg yg baik tp dia x pernah nk melyn saya dgn baik.utk pengetahuan sume, suami saya x kuat nafsu.jd setiap kali sya nak bersama saya yg kne mintak.kdg2 dia xamik peduli ttng nafsu saya.bohong klu saya katakan yg saya dan suami org 2 xpenah terlanjur.kami amat memerlukan sesama sndri.dia pun ada masalah dgn istri.kami tetap akn meneruskan hubungan ini walaupun kami tau ianya salah.saya mtk pendpt sume.

  9. Mazz berkata:

    Menarik kesah2…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 350 other followers

%d bloggers like this: