Perempuan simpanan

SAYA wanita berusia 24 tahun dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Saya sudah bertunang dengan J sejak dua tahun lalu namun sehingga kini masih belum ada tanda-tanda kami akan bernikah. Saya ibarat digantung tidak bertali.

Saya sudah tidak mahu ambil tahu lagi pasal perkahwinan ini. Sebelum bertunang saya pernah dirogol dan mengandungkan anak J tapi saya terpaksa menggugurkannya kerana desakan serta ugutan J, selain bimbang keluarga mendapat malu.

Selepas peristiwa itu, dalam diam saya cuba merenggangkan hubungan dengan J dan tanpa dirancang saya berkenalan dengan seorang lelaki yang jauh lebih tua daripada saya bernama H. Dia berumur 40 tahun, sudah kahwin dan ada dua anak.

Pada awal perkenalan H mengaku masih bujang sehinggalah suatu hari segala-galanya terbongkar. Namun, H menangis dan merayu kepada saya supaya tidak meninggalkannya. H memberitahu isterinya terlalu sibuk dengan kerja dan persatuan sehingga tiada masa untuknya serta keluarga.

Kata H, keluarganya kucar-kacir. Dia dan isterinya kerap bergaduh. H mengatakan bahawa dia ikhlas ingin menjalinkan hubungan dengan saya. Kata H, dia terpaksa berbohong dirinya masih bujang kerana bimbang saya tidak melayannya jika saya tahu status sebenarnya.

Kata-kata H itu membuatkan saya kasihan dan simpati kepadanya. Saya rasa apa yang dikatakannya itu ada kebenarannya. Atas rasa sayang dan sudah jatuh hati kepadanya, saya juga tidak sanggup berpisah dengan H.

Perhubungan kami berlanjutan sehinggalah kami kemudiannya terlanjur. H pernah mengajak saya bernikah dengannya di Thailand kerana dia tidak dapat menceraikan isterinya demi masa depan anak-anaknya.

Bagaimanapun, saya tidak bersetuju kerana saya tidak sanggup menyisihkan keluarga saya. Masalahnya, sekarang H menjadikan saya seperti perempuan simpanannya. Bila ingin memuaskan nafsunya H akan datang kepada saya.

Jika saya menolak, dia akan marah-marah dan cuba pukul saya. Bimbang perkara tidak diingini berlaku, saya terpaksa memenuhi keinginannya, biarpun hati saya tidak merelakannya.

Dang Setia, sekarang saya benar-benar buntu. Saya rasakan diri saya ini amat kotor dan hina. Saya betul-betul rasa berdosa, menyesal dan serba salah terhadap keluarga, tunang serta semua orang. Saya impikan seorang lelaki yang dapat membimbing kehidupan saya di dunia dan akhirat.

Saya tidak mahu terus hidup bergelumang dosa. Adakah saya patut menyisihkan keluarga saya dengan bersetuju cadangan H supaya kami bernikah di Thailand demi mengelakkan kami daripada terus berzina? Bantulah saya Dang Setia, saya tidak sanggup lagi hidup dalam keadaan begini.

Mendeleng girl,
Kuala Lumpur

Terlebih dulu, syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberikan hidayah-Nya kepada saudari. Dengan hidayah-Nya itulah saudari kini berasa menyesal dan bersalah di atas dosa yang dilakukan serta ingin kembali ke jalan kehidupan yang diredai Allah.

Saudari harus sedar betapa hidayah Allah itu sesuatu yang perlu dihargai kerana bukan semua orang menerimanya. Ramai manusia yang terus-terusan hidup dalam kesesatan dan bergelumang dosa tanpa sedikitpun rasa takut serta bersalah kepada Allah.

Paling ditakuti, ada di antara mereka yang ditarik nyawanya oleh Allah dalam kehidupan yang penuh kegelapan itu tanpa sempat bertaubat. Nauzubillah, minta dijauhkan keadaan sebegitu berlaku kepada saudari dan diri kita semua.

Menyedari hakikat itu, Dang Setia amat berharap saudari kembali menyedari, takut dan memberi keutamaan dalam melaksanakan perintah Allah, adalah perkara paling penting serta mengatasi keutamaan lain, baik kepada H, tunang, mahupun keluarga saudari sendiri.

Untuk keluar daripada kehidupan saudari yang ibarat perempuan simpanan kepada H, saudari perlu meletakkan ketakutan kepada azab Allah sebagai pendorong paling utama. Saudari tidak boleh sekadar mengimpikan kehidupan yang baru, tapi apa yang penting ialah saudari perlu bertindak atau berusaha ke arah itu.

Terus terang, bagi Dang Setia kehidupan saudari kini amat hina. Saudari pernah hamil anak luar nikah dan menggugurkannya, saudari ada tunang tapi langsung tidak berminat mengahwini tunang saudari dan lebih teruk saudari menjadi perempuan simpanan serta berulang kali berzina dengan lelaki lain yang juga suami orang.

Jadi, cukuplah setakat itu. Jangan sekali-kali sia-siakan hidayah yang Allah kurniakan. Kini, pilihlah jalan penyelesaian terbaik daripada beberapa pilihan yang saudari ada, biarpun apa yang ada bukanlah pilihan yang menggembirakan saudari sepenuhnya.

Pertama, saudari perlu pilih siapakah yang sebenarnya mahu saudari kahwini sama ada tunang saudari, J atau kekasih saudari H? Jika saudari nekad mahu mengahwini H, berterus teranglah dengan J dan mintalah pertunangan anda berdua diputuskan.

Dang Setia tidak bermaksud H lebih wajar untuk saudari kahwini berbanding H, cuma berasa kurang adil untuk saudari mengahwini J kerana selama ini saudari menduakannya dan berzina dengan H.

Dang Setia juga tidak menganggap menerima cadangan H supaya berkahwin di Thailand, sekali gus mengabaikan kepentingan keluarga saudari, sebagai jalan penyelesaian paling baik, namun jika itulah satu-satunya jalan yang boleh mengelakkan saudari daripada terus menjadi perempuan simpanan H, terimalah cadangan itu.

Jika itu saudari lakukan, jangan pula saudari terus membuang keluarga. Biarpun mereka mungkin marah dengan tindakan saudari, berterus-teranglah dengan mereka mengenai dilema yang saudari tanggung.

Malu? Takut? Pastinya perasaan itu akan wujud, namun hadapilah ia dengan tabah kerana malu dan takut kepada Allah lebih utama. Fikirkanlah, disebabkan malu dan takut kepada manusia, mahukah saudari menerima kemarahan serta azab Allah di akhirat kelak.

Pilihan terakhir, wajar juga rasanya untuk saudari memikirkan kemungkinan memutuskan pertunangan dengan J dan pada masa yang sama putuskan juga hubungan dengan H.

Dang Setia turut mengambil kira cadangan ini kerana berpendapat perkahwinan dengan H sebenarnya turut menghadirkan satu risiko besar kepada saudari. Hidup bermadu bukannya mudah dan bagi Dang Setia juga, H bukanlah lelaki yang baik untuk dijadikan suami.

Dang Setia bimbang apabila saudari berkahwin dengannya, kebahagiaan yang saudari impikan tidak kesampaian sebaliknya apa yang hadir adalah derita yang berpanjangan.

Sumber: Dang Setia, Harian Metro

12 Responses to Perempuan simpanan

  1. cinta berkata:

    nasihat sya kpd mendeleng girl & semua wanita jgn libatkan diri anda dgn suami orang….. mereka tidak jujur dlm becinta… semua penipu klu benar mereka cinta kan kamu sepatutnya mereka sanggup tinggalkan apa yg mereka ada jika takut nak ckp dgn isteri nak kawin lg @ tak mahu ceraikan isteri atas alasan anak2 itu semua tipu semata…. klu kita sanggup tinggalkan apa yg ada ngapa meraka tidak…. jgn percaya jgn jadi alat pemuas nafsu meraka…

  2. kebayan berkata:

    semuanya kerana tersilap langkah….

  3. atie berkata:

    saya rasa tinggalkan kedua-duanya…. jalani hidup baru… kalau h jujur dari awal lagi dia bagitau dia dah berkahwin. lagipun dia x perlu ceraikan isterinya kalau dia betul2 nak kahwin dgn mendeleng girl. dia harus berterus terang dengan isterinya. bagi saya tinggalkan keduanya mulakan hidup baru dan berhati-hati dalam memilih pasangan hidup.

  4. nazrida berkata:

    lelaki yang dah beristeri memang begitu. Dia nak dua-dua, tak mahu kehilangan salah sorang. Yang makan hati, si gf la. ISteri biar sakit hati kerana dicurangi tapi masih beruntung dan menang lagi kerana dapat bersama suaminya, tapi pmpuan yg jadi kekasih tu, peluk bayang aje la!! Merana dan berendam air mata! aduhaiii… yang untung lelaki jugak!

  5. gee berkata:

    kak ida,

    kalau pompuan ketiga tu bini orang lak camna?

  6. nazrida berkata:

    Kalau pmpuan tu bini orang, lagi la menderita! kalau pmpuan tu masih single sekurang2nya dapat lagi dia cari lelaki lain yang dia boleh cinta, masih boleh mengubat hati dengan cinta baru.

    TAPI kalau bini orang, nak lari camana?…..lagi la sengsara, tidur dengan orang lain tapi rindu orang lain! Rasa-rasa nya kalau hentak kepala ke dinding pun tak sama sakitnya dengan sakit di hati tu. Cemburu memanjang! Dah tu bukan boleh buat ape pun! Setakat cakap2 benda2 romantis pun sampai ke mana jugak, kan?

    Sbb pmpuan ni lain, bila dah cintakan kat sorang tak boleh cinta orang lain lagi pada masa yang sama…eh, betul ke?

    Memang menderita le…….yg untung laki orang tu jugak!! he he

  7. azman berkata:

    0167312007

  8. ek ele berkata:

    camni lah wahai awek2 / bini org sekalian….kalau lelaki nak pasang lagi…..tolong
    ingat ni….perempuan yang no 2 , 3 , 4 dan seterusnya sume dia nak paras dada
    kebawah aje…takde lain….tolong lah ingat ayat ni….takde nye i love u you love me..

  9. nizam berkata:

    Allah telah berfirman, “Adakah kamu fikir kamu telah beriman sedangkan kamu belum di uji sebagaimana datangnya ujian kepada kaum2 sebelum kamu”?

    Muhasabah diri, sabar dan diri kan solat.

  10. wonder girl berkata:

    kalau lelaki yang suami orang tu bukan seagama contohnya cina? tapi tak pernah berzina.

  11. norah berkata:

    Saya rasa adik masih mudah dan perlu nasihat daripada yg berpengalaman..
    Bagi saya patut adik keluar shaja,jangan terlalu percaya,dia suami orang dan adik masih jauh perjalanan masih ada hidup yg lebih baik.
    Jadikan lah pengalaman pahit itu sebagai pengajaran hidup.
    salam

  12. umi eez berkata:

    salam….saya rasa tidak patut lah kita bergembira dengan kesedihan orang lain..sekali kita buat kebaikan, 10 kali kebaikan yang datang pada kita. kalau nak ikutkan hati, mati…ikut rasa binasa… fikirlah untuk kebahagiaan kedua2 pihak..mintak petunjuk daripada allah…solat taubat dan solat istikhoroh..semoga apabila kita ikhlas untuk berubah, allah akan tunjukkan jalan yang lurus buat adik…insyaallah…..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: