Keunikan adat perkahwinan India Muslim

WARNA-WARNA ceria hasil kerlipan sari menyinari ruang Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, yang menyaksikan pernikahan pasangan pengantin muda berketurunan India Muslim.

Majlis perkahwinan Mohamed Roslan Hakimsa, 25, dan pasangannya, Nasrin Banu Ahmad Basher, 19, mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri apabila menyerlahkan adat resam diamalkan nenek moyang mereka.

Kemeriahan majlis perkahwinan dalam masyarakat India Muslim sebenarnya bermula pada malam berinai atau dikenali sebagai mehndi. Apa yang menarik, acara yang menjadi kemestian buat pengantin perempuan itu, turut dilangsungkan oleh pengantin lelaki.

Bagaimanapun, kedua-dua belah pihak mengadakan majlis berinai secara berasingan di rumah keluarga masing-masing. Upacara dimulakan di rumah pengantin lelaki terlebih dahulu dan pengantin perempuan hanya boleh memulakan majlis mehndi sejurus menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki ke rumah mereka.

Majlis berinai dimulakan dengan rombongan keluarga pengantin perempuan bertandang ke rumah lelaki dengan membawa dulang berisi semangkuk inai untuk digunakan bagi menyempurnakan upacara tersebut di rumah lelaki.

Sekembali rombongan tersebut dari rumah pengantin lelaki, tiba pula giliran wakil pihak lelaki bertandang ke rumah pengantin perempuan, juga membawa semangkuk inai bersama dulang hantaran yang lain termasuk sepersalinan sari untuk dipakai pengantin perempuan pada majlis tersebut, rantai emas dan sebentuk cincin.

Jika dulang hantaran perkahwinan orang Melayu rata-rata dihias cantik dan mempunyai kiraan tersendiri, umpamanya tujuh dihantar lelaki dibalas sembilan dulang oleh perempuan, berlainan pula dalam masyarakat India Muslim.

Mereka hanya menggunakan dulang biasa dan bilangannya mengikut keselesaan masing-masing. Hantarannya pula terdiri daripada buah-buahan iaitu sejenis buah untuk setiap dulang manisan, al-Quran, gula, telekung, alat solek serta kasut.

Menurut bapa pengantin lelaki, Hakimsa Abdul Karim, 48, memang menjadi adat keturunan mereka untuk memberikan buah-buahan sebagai hantaran dan amalan itu telah diamalkan sejak berkurun dahulu.

Dalam pada itu, ketika majlis berinai, kedua-dua pengantin disandingkan seorang diri di rumah masing-masing sebelum upacara merenjis dilangsungkan iaitu dengan meletakkan secubit inai di telapak tangan pengantin dan kemudian disuapkan sesudu gula.

Ketika disandingkan itu, telapak tangan pengantin akan dialas dengan sekeping daun sirih sebelum seorang demi seorang ahli keluarga mencalitkan secubit inai yang dibawa oleh wakil keluarga pengantin lelaki atau perempuan tadi.

Selain itu, pengantin turut akan disuapkan sesudu gula sebagai tanda memberi pemanis terutama kepada pengantin perempuan.

Majlis akad nikah merupakan detik paling bermakna dan istimewa, malah mendebarkan buat kedua mempelai memandangkan saat itulah Mohamed Roslan dan Nasrin Banu akan bertemu mata buat pertama kalinya.

Mohamed Roslan yang segak dengan persalinan baju Melayu merah jambu sabar menanti untuk diijab kabul, manakala di satu sudut lain, Nasrin Banu yang cantik menyarungkan persalinan sari rona merah sementara menunggu saat bergelar isteri.

Tepat jam 10.25 pagi, dengan sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM80, Mohamed Roslan sah menjadi suami kepada Nasrin Banu. Sejurus selepas diijab kabul, bacaan doa pun dibacakan, tetapi dalam dua bahasa, Arab dan Tamil.

Selesai akad nikah, selalunya akan diadakan upacara membatalkan air sembahyang bermula dengan mengalungkan seutas rantai perkahwinan yang dinamakan karsemani dan dikalungkan oleh ibu pengantin perempuan sendiri.

Selepas itu baru pengantin perempuan mencium tangan suami untuk upacara membatalkan air sembahyang. Inilah saat pertama kedua mempelai bertentang mata antara satu sama lain.

Selesai pernikahan di masjid, kedua mempelai diiringi pulang ke rumah pengantin perempuan untuk majlis persandingan kecil buat kaum keluarga terdekat.

Ketika itu, pasangan pengantin akan disuapkan tiga sudu besar susu segar yang dicampur pisang oleh keluarga dan sanak saudara terdekat agar kehidupan yang bakal dilalui pasangan itu kelak sentiasa manis.

Majlis persandingan utama pula diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Seksyen 7, Shah Alam, Selangor. Pasangan pengantin memilih persalinan serba biru diarak masuk menuju persada pelamin dengan diiringi tarian Gunung Ledang.

Lebih menarik tentang perkahwinan pasangan pengantin muda ini, mereka bukan sekadar tidak pernah bersua muka, malah tidak pernah menatap gambar pasangan masing-masing walau hakikatnya kedua-duanya bersaudara.

Bagi Roslan, yang kini menguruskan perniagaan restoran milik bapanya di Seksyen 7, Shah Alam, berkahwin atas pilihan keluarga sama sekali tidak menimbulkan sebarang masalah kerana memang sejak awal lagi dia menyerahkan urusan mencari jodoh kepada bapanya.

“Saya tidak kisah dengan aturan keluarga kerana memang itu amalan masyarakat kami, lagi pun wanita yang saya kahwini bukannya orang lain, dia mempunyai pertalian saudara di sebelah ibu saya.

“ Memang lazimnya begitu, kami akan berkahwin sesama saudara dan ia menjadi adat resam yang sudah lama diamalkan oleh masyarakat India Muslim,” kata anak sulung kepada pasangan Hakimsa dan Taubika Banu Sarif, 45.

Bagi Nasrin Banu, walaupun tidak pernah melihat apatah lagi mengenali hati budi suaminya, dia yakin dengan pilihan keluarganya kerana tiada ibu bapa yang ingin anaknya hidup sengsara.

Sebab itu katanya, tidak pernah terdetik di hati untuk menolak pilihan tersebut biarpun dia hanya diberitahu mengenai calon suaminya dua bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: