Tumbesaran gadis: Mencapai akil baligh

DOKTOR MENULIS: PROF. MADYA DR. SHAH REZA (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM))
APABILA seorang ibu memerhatikan bagaimana anak perempuannya membesar setiap hari, seolah-olah memerhatikan pembesaran dirinya sendiri.

Ibu-ibu harus sedar yang anak perempuan mereka sedang berubah dari dalam dan juga di luar bila tiba masanya.

Perubahan seksual sekunder (akil baligh) mungkin tidak berlaku secara serentak untuk semua gadis.

Adalah normal sekiranya perubahan ini berlaku pada umur seawal lapan tahun ataupun mungkin lewat sekitar umur 14 tahun.

Walaupun tidak nampak perubahan luaran yang ketara, sebenarnya anak perempuan anda sedang menjalani perubahan fisiologi, endokrin serta anatomi dalaman lain.

Untuk itu, para ibu diharapkan dapat mengetahui dan memahami;

1. Bagaimana perubahan ini berlaku

2. Mengapa berlakunya perubahan ini

3. Bila kedatangan haid dijangka tiba

Dalam perubahan pada anak gadis semasa akil baligh, satu bahagian pada otaknya akan menghantar isyarat pada kelenjar seks iaitu ovari supaya mula berfungsi.

Kelenjar seks ini pula akan menghantar isyarat pada organ-organ lain supaya mula berubah mengikut keperluan perkembangan seksual sekunder.

Isyarat-isyarat ini dihantar melalui hormon-hormon yang dijanakan oleh badan anak gadis berkenaan untuk mengawal tumbesaran badan sebagai seorang gadis yang bertambah dewasa serta kematangan sistem seksual.

Pada tahap permulaan ini, seorang ibu dapat melihat perubahan pada anak gadis seperti;

* Payudara makin membesar

* Penambahan berat badan dan juga penambahan ketinggian

* Ukuran di bahagian punggung semakin lebar

* Tumbuhnya bulu ketiak dan juga di kawasan genitalia (kemaluan)

* Perubahan bau badan

* Kehadiran jerawat di muka.

Mungkin perubahan pertama yang dilihat bermula pada kawasan payudara yang semakin membesar.

Kawasan yang gelap di sekeliling puting akan membengkak, jisim payudara akan lebih membulat serta menjadi padat dan berat.

Terdapat juga kemungkinan tumbesaran payudara di kedua-dua belah dada tidak seiras dan serupa.

Mungkin juga anak anda merasai tidak selesa pada kedua-dua ataupun sebelah payudara.

Namun tidak perlu runsing kerana ini mungkin normal untuk peringkat awal perkembangan.

Jika waswas, bawa anak perempuan anda berjumpa dengan doktor untuk kepastian.

Kematangan hormon juga menyebabkan kematangan sistem reproduksi anak gadis dengan ovari kini berupaya mengeluarkan telur untuk disenyawakan.

Dengan kata lain, ovulasi sudah berlaku dan sekiranya persenyawaan tidak berlaku, lapisan dalam rahim iaitu endometrium yang pada mulanya menebal akan gugur sebagai darah haid.

Darah haid

Sukar untuk mengetahui dengan tepat bila seorang anak gadis akan mengalami haid pertamanya.

Kebanyakan anak gadis akan mendapat haid pertama sekitar umur 12 tahun. Haid pertama biasanya sedikit sahaja dan berlangsung untuk tiga hingga tujuh hari dengan kekerapan sekali setiap bulan.

Berkemungkinan juga darah haid anak gadis tidak teratur dan datang sekali setiap dua bulan atau mungkin dalam jumlah darah lebih sedikit.

Bagaimanapun, anak gadis ini mungkin perlu mendapatkan rujukan doktor jika kedatangan haid masih tidak teratur, tidak tenteram dan juga selalu menyakitkan selepas 2 tahun.

Buat perancangan nota kehadiran haid

Seorang ibu perlu memberi tunjuk ajar kepada anak gadisnya supaya menanda kehadiran haid di dalam diari ataupun kalendar dan catatkan sebarang masalah ataupun kesakitan semasa datangnya haid.

Dengan cara sebegini, anak gadis dapat meramalkan bila haid berikutnya akan datang dan juga julat di antara dua peristiwa haid berdekatan.

Lazimnya julat darah haid adalah di antara 21 hari hingga 45 hari. Adalah biasa bagi julat haid berbeza-beza dan hari pertama haid pun mungkin pada hari awal dan juga mungkin lewat berbanding dengan bulan lampau.

Untuk mereka yang sudah berkahwin pula, biasanya kelewatan haid dikaitkan dengan kemungkinan mengandung, bergantung kepada tempoh lewat datang haid.

Persediaan

Adalah lebih baik sekiranya perancangan awal disediakan sebelum datangnya haid seperti menyimpan tuala wanita di dalam beg dan dibawa ke sekolah.

Tuala ini dipakai di bahagian dalam seluar dalam dan bertujuan menyerap darah yang keluar. Perlu diingat bahawa tuala wanita ini perlu ditukar setiap empat jam kerana darah haid yang terkumpul mungkin menjadi tempat pembesaran yang baik untuk bakteria.

Biasanya untuk beberapa hari pertama, tuala wanita perlu ditukar dengan lebih kerap disebabkan jumlah darah yang keluar terlalu banyak.

Penggunaan tuala wanita yang diletakkan bau haruman juga tidak digalakkan kerana mungkin menyebabkan berlakunya keradangan pada kulit sekitar kemaluan.

Tidak selesa dan sakit

Ramai gadis mengalami kekejangan di bahagian bawah abdomen semasa kehadiran haid.

Mungkin juga kesakitan tersebut merebak ke bahagian belakang (seperti mereka yang sakit bersalin).

Ada juga keluhan seperti sakit kepala, pening-pening, kekerapan buang air besar dan juga loya-loya muntah.

Jangan runsing kerana ini adalah normal untuk pengalaman awal kehadiran haid.

Untuk menghilang masalah serta rungutan ini, anak gadis ini boleh mengambil;

* Pil penahan sakit seperti NSAIDs, contohnya ibubrofen ataupun naproxen sodium.

* Bersenam

* Meletakkan pemanas seperti bertungku di bahagian bawah abdomen.

Rujuk kepada doktor sekiranya:

1. Anak anda sudah pun berusia 15 tahun tetapi masih belum datang haid.

2. Kehadiran haid yang sebelum ini teratur, tetapi sekarang tidak lagi teratur.

3. Julat di antara sebelum dan selepas haid kurang dari 21 hari ataupun melebihi 45 hari.

4. Julat haid berlaku selama 90 hari (3 bulan) walaupun hanya untuk baru satu kitaran (bukan mengandung).

5. Kehadiran darah haid melebihi tujuh hari.

6. Sekiranya jumlah pendarahan terlampau sehinggakan tuala-tuala wanita perlu ditukar setiap satu hingga dua jam.

Banyak perubahan dari segi emosi dan juga fizikal akan berlaku pada anak gadis anda. Nasihatkan mereka supaya menjaga pemakanan supaya berat badan ideal dapat dikekalkan.

Bersenam serta beriadah mungkin dapat mengurangkan ketidakselesaan serta kesakitan ketika datang haid.

Amalkan senaman untuk mengukuhkan tulang-tulang, menguatkan otot-otot dan juga mengurangkan kekejangan semasa datang haid.

Akil baligh juga menyebabkan kelenjar di bawah kulit mengeluarkan sebum dan dengan kehadiran sebum yang banyak boleh menyekat lubang-lubang halus, menyebabkan berlakunya jerawat.

Membasuh muka dengan air ataupun bahan pencuci muka dengan kerap dapat mengurangkan kehadiran sebum di muka dan seterusnya dapat mengurangkan kehadiran jerawat di muka.

Jangan biarkan jerawat berlarutan di muka kerana penyembuhan jerawat mungkin meninggalkan parut yang berkekalan.

One Response to Tumbesaran gadis: Mencapai akil baligh

  1. saira mohd sadid berkata:

    masalah saya sekarang dah 3 minggu tak datang bulan dan pregnancy test pun dah buat, Garis pertama kabur, garis kedua jelas sangat. Dah 2 kali saya test tapi masih sama. Hari yang ketiga saya berjumpa Dr. untuk buat Scan tapi ianya tak menunjukkan apa-apa tanda seperti orang mengandung! Macamana sekarang ni. kesihatan saya masih OK buat masa ni tak menunjukkan seperti wanita mengandung. saya tak pening dan tak muntah muntah langsung. Saya dah ada 5 orang anak, setiap kali mengandung saya akan mengalami morning sickness yg teruk bila mengandung.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: