Poligami gagal kerana suami lemah

KISAH minggu lalu berjudul Larangan poligami kerana tamak menarik perhatian ramai pembaca untuk memberikan pandangan. Ada yang menentang, tetapi ramai yang menyokong, baik lelaki atau wanita. Ada yang berpendapat, wanita tidak akan menerima apa juga pandangan suami yang ingin berpoligami. Namun mari kita ikuti pandangan di bawah ini dengan hujah masing-masing.

E-mel pertama daripada Imran. Dia terpanggil memberi pandangan mengenai isu panas bab poligami ini, kerana setuju dengan kisah minggu lepas yang dibawa oleh Farra Emelia bahawa kebanyakan suami lebih suka buat maksiat daripada berkahwin dua kerana takutkan isteri.

‘‘Saya dapat buktikan dengan tanggapan yang dilakukan oleh pegawai pencegah maksiat setiap hari. Kerana saya seorang kakitangan Mahkamah Syariah sudah tujuh tahun berkahwin dan berusia awal 30an.

‘‘Kalau diikutkankan nisbah lima tangkapan khalwat bersamaan satu permohonan berpoligami. Ada juga suami meminta pendapat dan pandangan saya macam mana beliau boleh berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri pertama mereka.

‘‘Boleh dikatakan semua negeri di Malaysia mengikut prosuder memanggil isteri pertama untuk menjawab tuntutan permohonan berpoligami daripada suami sebelum memanggil bakal isteri dan bakal wali untuk tujuan yang sama, kecuali negeri Perlis.

‘‘Kebanyakan suami takut dengan ugutan dan ancaman cerai jika nak kahwin lagi. Mereka sanggup bergelumang dengan maksiat asalkan isteri pertama tidak dimadukan. Perbuatan ini salah di sisi agama dan berdosa besar. Islam membenarkan lelaki berkahwin lebih dari satu jika lelaki itu berkemampuan dan khuatir jika tidak berpoligami akan mengundang dosa.

‘‘Menjaga perasaaan isteri adalah baik tetapi lebih mulia lelaki itu menjaga perbuatannya daripada membuat hubungan tanpa pernikahan. Lelaki harus pandai mainkan peranan menyelamatkan maruah wanita bergelar anak dara tua atau janda.

‘‘Wanita juga harus sedar, adalah lebih baik mereka berkongsi suami daripada membujang atau menjanda sampai mati. Buang tanggapan negatif tentang perosak rumah tangga. Istilah ini sepatutnya tiada dalam kamus orang Islam memandangkan sekarang wanita lebih ramai, kos sara hidup yang tinggi, di samping ramai wanita tidak menggalakkan suami berkahwin lebih.

‘‘Cadangan saya kepada lelaki yang berkemampuan, laksanakan peranan anda. Kalau bukan anda siapa lagi yang dapat membantu menyelamatkan maruah wanita zaman sekarang. Kepada isteri pertama andainya suami anda bergaji besar dan berkeinginan berkahwin lagi, izinkanlah. Apa guna institusi kehakiman syariah yang menjaga hak dan keadilan isteri. Adalah lebih baik berkongsi suami daripada membiarkan suami melakukan seks rambang atau dengan wanita yang tidak dikenali,’’ kata Imran.

Sementara itu An-Am dalam e-melnya pula berkata, kebanyakan suami membatalkan hasrat untuk berpoligami kerana tiga sebab, pertama kerana isteri yang memandang serong dan menyalahkan suami mereka kononnya gatal, sambil menggelarkan gadis atau wanita yang ingin berkahwin itu sebagai perampas suami orang.

‘‘Kedua kerana undang-undang negara yang menyukarkan suami berpoligami. Sementara ketiga kerana sikap wanita yang tidak adil kepada suami. Contoh jika suami uzur dan tidak beri nafkah batin atau dipenjara dia akan minta cerai kerana katanya suami tidak dapat memberi nafkah, tetapi jika si wanita sendiri mandul, tidak dapat melahirkan zuriat, gagal memenuhi nafsu seks suami, dia tetap marah suami nak kawin lagi. Mana keadilannya? Macamlah dunia ini wanita yang punya. Wanita sahaja betul, mesti ikut cakap mereka,’’ kata An-Am

Andy pula dalam e-melnya berkata, ada dua golongan lelaki yang ingin berpoligami. Pertama lelaki yang ikhlas, mereka ingin menolong wanita yang dalam kesusahan, walaupun wanita itu tidak cantik. Kedua lelaki yang memang berpaksikan hawa nafsu menggunakan agama untuk menghalalkan tuntutan nafsu serakahnya.

‘‘Sebenarnya isteri kenal benar dengan perangai suami mereka, kalau mereka yakin sepanjang tempoh perkahwinan suami mereka berada dalam golongan lelaki pertama tadi, sudah tentu mereka boleh menerima dengan mudah dan hati terbuka untuk dimadukan, kerana kaum wanita sudah maklum ia satu ibadah.

‘‘Tetapi, kalau isteri tahu benar bahawa perangai suami mereka termasuk dalam golongan kedua, kalau saya jadi isterinya, saya akan tuntut cerai, kerana jika dibenarkan, poligami tidak dapat memberi manfaat kepada sesiapa kecuali nafsu si suami. Sudah pasti anak-anak isteri pertama akan terabai. Ada kes suami tak mampu berpoligami, tetapi tetap mahu kahwin lagi, sudah tentu rumah tangga tidak aman.

‘‘Islam membenarkan poligami dengan sebab tersendiri, sudah semestinya membawa banyak manfaat, tapi hanya kepada suami golongan pertama dan jika itu tujuannya, saya sokong, tapi bukan untuk suami golongan kedua. Hampeh!,’’ kata Andy.

Sementara itu, Riz dalam e-melnya menerangkan bukan semua isteri pertama tamak kalau suami nak kahwin lagi. Contohnya bagaimana suami beliau nak kahwin lagi sedangkan kedudukan kewangannya tenat, hutang keliling pinggang, hutang kad kredit berlambak hingga hampir bergelar muflis. Tapi kahwin juga.

‘‘Dah tenat sekarang barulah dia sedar bahawa kahwin dua memang ikut sunah nama, tetapi ia gagal melaksanakan amanah dengan baik kepada isteri pertama. Perkahwinannya yang kedua menyebabkan isteri kedua juga menderita, dan kini dia takut di akhirat terjerumus ke dalam neraka kerana tidak berkemampuan,’’ kata Riz.

Hamamah pula berpendapat apa yang disebutkan oleh Farra Emelia banyak kebenarannya. Sebenarnya pandangan masyarkat kita masih belum terbuka untuk berpoligami. Sebagai contoh jika suami berpoligami mereka amat lemah hingga tunduk kepada tekanan isteri. Jika wanita dimadukan, mereka dari awal sudah menjangka tidak akan hidup bahagia dan minta diceraikan. Hingga tidak mahu membantu suami mewujudkan kebahagiaan.

‘‘Kerana itu ramai suami sanggup bersekedudukan dengan wanita simpanan daripada meminta kebenaran berpoligami. Suami juga sanggup mencari yang haram daripada yang halal seperti ditetapkan oleh Allah s.w.t. Mengikut hukum kedua-dua pasangan suami isteri ini berdosa.

‘‘Dalam dunia kini godaan wanita terlalu kuat. Rata-rata ramai wanita keluar bekerja. Ada yang berpakaian sopan, ada yang berhias berlebih-lebihan menyebabkan lelaki mudah tertarik dan tergoda, kerana itu ramai lelaki teringin berkahwin dua.

‘‘Namun tidak dinafikan zaman dulu pun ketika tidak ramai wanita keluar rumah, masih ramai lelaki berpoligami, apa lagi zaman ini banyak yang terdedah di depan mata dan di media massa. Itu sebabnya Allah yang menjadikan manusia memberikan jalan yang halal untuk dipilih tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil, maka lebih baik berkahwin satu sahaja. Itulah syarat yang telah ditetapkan oleh Alllah,’’ katanya lagi.

Dalam pada itu, Laily dalan e-melnya berkata: ‘‘Saya seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya. Saya cukup tertarik dengan pandangan Farra Emelia. Banyak yang saya setuju. Cuma saya ingin menambah sedikit yang saya rasa masyarakat kita perlu tahu.

‘‘Memang tidak dinafikan wujud perasaan sedih apabila suami menyatakan hasrat hendak berpoligami. Ramai isteri pertama menentang dan rela minta cerai kerana dari awal lagi mereka beranggapan negatif tentang poligami. Jika benar suami telah berpoligami, isteri pertama perlu bantu suami agar dia menjadi lebih bertanggungjawab.

‘‘Masyarakat kita amat sensitif dengan poligami tidak seperti masyarakat Islam di Timur Tengah, yang boleh terima dan bersikap terbuka. Agama lain memang tidak membenarkan poligami tetapi ramai kaum lelaki mereka menyimpan perempuan. Adakah kita sebagai orang Islam membenarkan yang haram sedangkan jalan halal sudah diberi? Allah mencipta manusia maka dia lebih tahu mengapa Dia membenarkan kaum lelaki berpoligami kerana terdapat hikmah yang jika dikaji kita akan menemui jawapannya.

‘‘Selain lelaki yang memang dengan fitrah semulajadinya suka berkahwin lebih, kaum wanita sebenarnya boleh mendapat manfaat dari poligami jika mereka berfikiran terbuka dan berpegang teguh kepada ajaran Islam dan berserah kepada Allah.

‘‘Bagaimanapun poligami perlu disertai dengan tanggungjawab dan syarat-syarat tertentu yang wajib dipatuhi oleh suami. Suami juga perlu lebih tegas, benar-benar mengikut hukum tanpa rasa takut atau tunduk membuta tuli kepada isteri-isterinya.

‘‘Banyaknya penentangan terhadap poligami kerana kurang faham kaum wanita kita tentang agama dan hukum Allah. Mereka lebih rela suami mencari jalan haram (berzina) daripada menerima jalan halal .

‘‘Pengalaman ibu saudara saya yang dimadukan boleh dijadikan panduan. Mulanya dia mengamuk sakan tetapi setelah dinasihatkan keadaannya terkawal. Malah dia banyak membantu suaminya supaya dapat berlaku adil kepada mereka berdua.

‘‘Kini suaminya telah meninggal dunia, hubungan ibu saudara saya dengan madunya menjadi lebih baik, malah mereka menjadi sahabat yang akrab. Segala-galanya mesti dilakukan dengan berlandaskan agama, baru semua pihak dapat menerima dengan fikiran terbuka.’’

Sementara itu, Haniza dalam e-melnya berkata, cintanya dengan kekasihnya kebetulan suami orang terputus kerana ditentang isteri pertama. Dia bermati-matian membantah mengajak keluarga suami dan keluarganya sendiri menentang saya. Pelbagai cara dilakukan memutuskan hubungan termasuklah menggunakan bomoh.

‘‘Walaupun saya kecewa, tetapi saya lebih kesal dengan perbuatannya yang sanggup buat apa saja memutuskan hubungan kami. Sedangkan hubungannya dengan suaminya tidak harmoni lagi. Mereka sudah lama berkrisis kerana keinginan suaminya sejak dulu ingin berkahwin lagi tidak tercapai.

‘‘Saya hairan dengan sikap wanita seperti ini. Mengaji al-Quran dan menghadiri kelas agama, tahu halal haram, baik buruk, tetapi apabila suami ingin kahwin lagi dia tentang hingga menyalahkan pejabat agama dan mahkamah syariah kerana tidak melindungi isteri pertama bersama anak-anak.

‘‘Sedangkan hubungannya dengan suami tidak baik lagi. Masing-masing bawa hal. Sepatutnya dia berfikiran terbuka setelah mendengar banyak ceramah agama.

‘‘Dia tidak pernah muhasabah diri mengapa suaminya sudah dua kali membuat permohonan ingin berkahwin lagi. Sepatutnya dia lihat kesalahan itu berpunca daripada diri sendiri. Malangnya dia tetap salahkan saya meruntuhkan rumah tangganya. Malah dia panggil saya parasit. Apakah benar salah saya?,’’ demikian pertanyaan Haniza mencari jawapan.

Haniza menyeru semua kaum wanita memahami ajaran Islam lebih mendalam sebelum membuat pelbagai tuduhan. Sepatutnya ketika belajar agama tanya ustaz mengapa Islam membenarkan poligami!

Demikian pelbagai pandangan pembaca tentang poligami. Namun terpulang kepada suami dan isteri membuat keputusan. Mereka lebih faham sama ada kasut atau baju yang dipakai dan ingin dibeli itu mengikut ukuran diri sendiri. Supaya kaki tak melecet kerana kasut terlalu ketat atau tercicir kerana longgar, dan baju tak koyak kerana sempit atau terlalu longgar hingga terjatuh. Anda pasti tahu jawapannya.

- MAIMUNAH

http://www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

4 Responses to Poligami gagal kerana suami lemah

  1. Fauzi berkata:

    Jangan pandang serong terhadap lelaki yang berpoligami dan yang hendak berpoligami.

  2. kebayan berkata:

    seboleh bolehnya elakkanlah berpoligami ini.Ianya hanya akan menghancurkan hati pasangan yang pernah kita cintai dan sayangi
    sebelum ini.Kasihanilah dirinya,usianya sudah dimamah,kegembiraannya hanya pada suaminya saja.Jatuh cinta itu
    hanya perasaan saja,seronoknya sekejap saja.Pada hal apa yang dialami semuanya sudah dilalui ketika bersama denganyang pertama.Apa yang perlu dilakukan ,kembalikan kegemilangan berkasih sayang dengan yang sedia ada agar ia terus subur dan mekar hingga keakhirnya…….

  3. Quintas berkata:

    da..dh tu mcm mane plak nasib pempuan 2 yg kat luar tu yg x bersuami?

    poligami is wrong kalo si laki just nk puas kan nafsu dia yg mcm binatang..
    poligami is wright kalo si laki nk bela nasib kaum hawa yg x kawen lagi and teringin nak berkawen.

    masalah nyer skrg laki da bengong, dah x mampu nk polgami ,kawen jgak smpi 2-3.Kate syg, cinta and beralansan nk bela nasib la..cakap x srupe bikin padahal just nak puas nafsu jer.

    Kalo dah x mampu jgn la buat mampu, ingat senang ke nak support seorang lagi manusia dlm idup korang tu. Kalo kaye raye no hal la. ni duet pun berhutang, isteri isteri plak yg tersekse nanti. Kalo dah x tahan sgt, just puase jer or lepas geram kat bini da..

  4. kebayan berkata:

    hidup bermadu ini perlu ada kekuatan.Pedihnya hati bila mengetahui kasih dibagi dua.Merajuknya boleh bawa sampai
    ke mati.Janganlah salah kan sang isteri jika menghalang suami berpoligami.Poligami ini bukan benda gurauan…..hanya orang yang mengalaminya saja tahu betapa sedihnya.Untuk mereka yang sedang bercinta dgn suami orang,kalau sanggup bermain dgn api
    teruskanlah……

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: