Tersungkur di lembah hina

Mac 31, 2008

LONDON: Dia dikenali sebagai kanak-kanak genius matematik dan mendapat tempat di Universiti Oxford ketika usianya baru 13 tahun.

Tetapi kini, satu-satunya perkara diminati Sufiah Yusuf ialah pendapatan diperolehnya dengan menjual tubuh.

Kisah kehidupan terkini Sufiah itu didedahkan dalam laporan edisi online News of the World keluaran semalam.

Menurut laporan itu, bagi Sufiah, penyelesaian matematik hariannya kini hanyalah menawarkan khidmat seks melalui Internet dengan bayaran 130 paun (RM845).
Wanita berusia 23 tahun itu dianugerah kepintaran semula jadi dan menarik perhatian dunia kira-kira 10 tahun lalu dan sepatutnya kaya-raya ketika ini.

Tetapi minggu lalu, kata laporan itu, dia menanggalkan pakaiannya untuk wartawan akhbar itu yang menyamar sebagai pelanggan di flet kos rendahnya.

“Adakah anda sudah mahu memulakan setengah jam pertama?” tanya Sufiah sambil dia menari di atas katil dalam keadaan telanjang bulat.

Dia memberitahu kepada wartawan itu apa yang boleh dia lakukan jika tawaran seks itu diterima.

Dengan menggunakan nama Shilpa Lee, bekas ‘bintang’ kanak-kanak itu mengiklankan khidmat seksnya di laman web pelacur dengan menggambarkannya sedia melayan pelanggan setiap hari dari dari jam 11 pagi hingga 8 malam.

Sufiah turut menggambarkan dirinya ‘amat seksi dan pelajar pintar’ yang gemar kepada lelaki lebih tua.

Seorang rakan lama yang melihat kejatuhannya sebagai kanak-kanak genius menyifatkan perkembangan Sufiah, yang ibunya berasal dari Malaysia, sebagai amat memilukan.

“Dengan kepintarannya, dia pasti boleh meraih pendapatan lumayan dengan pelbagai cara yang dimahukannya. Tetapi dia gagal mengawal hidupnya,” katanya.

Laporan News of the World itu juga menyifatkan kehidupan tidak menyebelahi Sufiah.

Pembabitan wanita itu dalam pelacuran di Salford, Manchester, adalah tragedi terbaru yang menimpa hidupnya sejak kegemilangannya ketika dia bergambar dengan topi graduan di depan wartawan di luar Kolej St Hilda yang berprestij.

Pendedahan akhbar itu berlaku serentak sewaktu bapanya, Farooq yang berasal dari Pakistan mula menjalani hukuman penjara kerana mencabul dua gadis berusia 15 tahun ketika memberi mereka tuisyen matematik.

Sebenarnya, Farooq yang menjadi segala punca kepada masalah yang dihadapi Sufiah, malah sejak dia lulus matematik pada peringkat A-Level yang diperlukan untuk membolehkannya memasuki Oxford pada usia 12 tahun.

Sufiah menjalani disiplin yang ketat diterapkan bapanya serta dipaksa bermain tenis bersungguh-sungguh.

Rutin itu begitu berkesan hingga membolehkan Sufiah menduduki tempat kelapan senarai pemain wanita bawah 21 tahun.

Tetapi selepas tiga tahun di Oxford, polis melancarkan gerakan besar-besaran untuk mencari Sufiah yang ketika itu berusia 15 tahun, selepas dia melarikan diri daripada keluarganya.

Farooq bermati-matan mendakwa Sufiah diculik dan dipengaruhi satu pertubuhan yang berusaha mencari punca kepintarannya.

Bagaimanapun, Sufiah menghantar e-mel kepada keluarganya dengan menyifatkan kehidupan bersama bapanya seperti ‘neraka’.

Satu mesej yang dihantar kepada adiknya berbunyi: “Saya sudah tidak dapat menahan pencabulan fizikal dan emosi yang saya lalui selama 15 tahun. Anda tahu apa yang saya maksudkan.”

Sufiah hilang dua minggu sebelum ditemui di sebuah kafe Internet di Bournemouth, tempat dia bekerja sebagai pelayan hotel.

Dia enggan kembali semula kepada keluarganya, sebaliknya diletakkan di bawah jagaan khidmat kebajikan.

Kemudian terbongkar kisah Farooq dipenjara tiga tahun pada 1992 kerana terbabit dalam penipuan wang berjumlah 1.5 juta paun (RM9.75 juta). Sebelum itu, pada usia 19 tahun, dia pernah dihantar menjalani pemulihan akhlak kerana terbabit dalam penipuan berjumlah 100,000 paun (RM650,000).

Selepas bebas daripada kawalan bapanya, Sufiah kembali ke Oxford untuk menamatkan pengajian tahun akhirnya dalam Ijazah Sarjana Matematik.

Tetapi dia lebih pentingkan untuk menghiburkan dirinya dan gagal menamatkan kursus itu selepas berkenalan dengan peguam pelatih, Jonathan Marshall.

Mereka berkahwin pada 2004 ketika Sufiah berusia 19 tahun dan Jonathan, 24. Namun, hubungan dengan keluarganya terus tegang.

Walaupun diundang, ibu bapa Sufiah dan saudara kandungnya yang lain tidak hadir.

Impiannya untuk hidup bahagia dengan Jonathan berkecai apabila mereka bercerai setahun kemudian.

Kini, wanita itu menjalani kehidupan di flet terbabit dengan menjual tubuhnya untuk membayar sewa.

Sufiah bertemu dengan wakil akhbar itu yang menyamar sebagai pelanggan di laluan masuk ke fletnya dengan hanya memakai skirt pendek, but kulit dan baju-T.

Dengan membawa tiga telefon bimbit, dia ketawa dan berjenaka sambil memimpin ‘pelanggan’ ke apartmen kecilnya.

Sebuah katil tersedia di ruang tamu. Sufiah memberitahu lelaki berkenaan, harganya 130 paun (RM845) sejam dan menawarkannya segelas air sebelum memasang muzik menerusi radio kecil murah dan dengan gementar, menanggalkan skirt serta baju-T.

Sufiah kemudian melucutkan seluar dalamnya dan menari di atas katil. Dia memberitahu wartawan terbabit bahawa dia melakukan seks dengan kondom dan seks oral tanpa perlindungan.

Selepas wartawan itu memberikan alasannya, Sufiah membuatnya terus bercakap dengan berkata, dia masih belajar untuk mendapatkan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi menerusi kursus separuh masa selama dua tahun di London.

Pernah disifatkan ibu bapanya sebagai anak yang baik, Sufiah bekerja sendiri tanpa keselamatan atau perlindungan fizikal.

Sufiah yang kelihatan girang tidak menunjukkan sebarang tanda kesedihan mengenai nasib bapanya yang mula menjalani hukuman penjara sehari sebelum itu.

Farooq, 50, dihukum penjara 18 bulan oleh mahkamah di Conventry kerana meraba dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Mahkamah diberitahu bagaimana Farooq, Mei lalu, tiba di rumah seorang mangsanya itu untuk memberi tuisyen matematik.

Dia mula berbisik pada telinga pelajar itu dan mencium rambut serta pipinya. Dia juga meraba payu dara pelajar itu sambil memujinya dengan berkata pelajar itu pintar dan cantik sebelum meletakkan tangannya pada paha pelajar berkenaan.

Peguam Farooq, Tim Hannam berkata: “Selepas ini, dia tidak akan dibenarkan mengajar dan sebarang harapan untuk memperoleh pendapatan tinggi menerusi teknik pengajarannya yang diasaskannya hingga terbukti kejayaannya, sudah hancur. Reputasinya sudah musnah.”

Kini, jelas, si anak yang melarikan diri daripada teknik belajar yang ketat dan keras, sudah hampir musnah.

Seorang rakannya berkata semalam: “Sufiah mengalami terlalu banyak tragedi dalam hidupnya.

“Saya berharap dia mampu keluar daripada kehidupan dilaluinya ketika ini. Dia orang baik dan sepatutnya memperoleh satu kehidupan lebih baik daripada ini. Anugerah semula jadi yang dimilikinya membawa kecelakaan pada dirinya,” katanya.


Kuat marah, lambat sembuh

Mac 31, 2008

TERDAPAT perumpamaan mengatakan gelak-tawa sebagai ubat yang paling mujarab. Ini mungkin susah untuk dibuktikan tetapi satu kajian baru mendakwa mereka yang senang atau kuat marah memang akan lambat sembuh daripada kecederaan atau penyakit yang dihadapi.

Beberapa kajian terdahulu telah berjaya mengaitkan sifat ‘panas baran’ seperti menggertak atau pembuli jalan raya dengan peningkatan kejadian strok, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung, terutamanya bagi golongan lelaki.

Namun, kumpulan penyelidik dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat pula berjaya merekodkan tahap pemulihan yang jauh lebih baik bagi golongan yang berjaya mengawal emosi dan kemarahan mereka.

Dengan menyebabkan kecederaan ringan yang serupa pada lengan sekumpulan sukarelawan, kumpulan penyelidik berkenaan mendapati mereka yang gagal mengawal kemarahan memerlukan tambahan empat hari untuk pulih.

Bagaimanapun, faktor kemarahan ini dilihat cuma menjejaskan mereka yang gagal mengawal rasa marah mereka sementara individu yang sememangnya sering marah (agresif, bermusuhan) pulih sepantas mereka yang tidak panas baran.

Tahap pemulihan berbeza ini dikaitkan dengan penghasilan hormon cortisol yang menyebabkan penurunan dalam pengeluaran dua jenis protein yang diperlukan dalam pemulihan kecederaan sel dan tisu badan.


“Poligami manisnya 1, masalahnya 9’’

Mac 30, 2008

Di celah-celah kehidupan
KISAH minggu lalu berjudul ‘Hanya lelaki pilihan boleh berpoligami” mengundang pandangan yang pelbagai, tidak seperti diharapkan Nurhazira.

Rata-rata pembaca yang menghantar e-mel menasihatkan Nurhazira meletakkan dirinya di tempat isteri pertama, ketika itu baru dia dapat merasakan betapa peritnya hati, sakitnya jiwa bila diri tidak disayangi oleh suami.

Azah yang mengakui isu poligami tidak ada kesudahan. Beliau tidak menentang poligami tetapi selalu menasihatkan suami, rakan-rakan lelaki supaya membetulkan keluarga dahulu dengan memberikan didikan dan ilmu agama.

‘‘Untuk pengetahuan Nurhazira kesalahan suami anda ialah berkahwin secara rahsia, ketua tidak membentuk isteri pertama jadi isteri solehah (mengikut cerita anda). Kegagalan rumah tangga terletak di bahu suami dan isteri. Suami memainkan peranan membentuk isteri. Jika isteri tidak dididik maka si suami tadi bukan suami pilihan.

‘‘Zaman ini sukar dicari lelaki yang betul-betul layak berpoligami, kalau sekadar ada harta dan ilmu belum tentu bahagia dan berjaya, yang penting seseorang itu perlu berlandaskan Islam sebagai cara hidup.

‘‘Sekiranya saya Nurhazira, saya tidak akan kahwini lelaki yang tidak dapat membentuk isteri pertamanya. Kerana kita bukan bahan ujikaji. Kalau perkahwinan pertama gagal, belum tentu yang kedua bahagia. Jangan musnahkan hidup kita hanya kerana lelaki, tidak berbaloi,’’ kata Azah.

Maria dalam e-melnya berkata dia layak memberi pandangan kerana dia juga mengalami kehidupan sedemikian.

‘‘Hanya suami berpoligami layak beri pandangan, kerana dia ada ramai isteri. Dia lebih tahu tahap kebaikan dan keburukan isteri-isterinya. Namun suami mesti tahu apakah dia telah jalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Apa rasional dia bernikah lagi? Adakah dia faham maksud poligami dari sudut Islam? Kerana kealpaan suami akan mengakibatkan timbul isu negatif tentang poligami.

‘‘Hanya segelintir suami faham dari sudut Islam. Kebanyakannya nak test market, sebab pengaruh kawan yang berpoligami, tanpa mendalami masalah yang akan wujud, kemampuan nafkah zahir batin, keadilan pelbagai aspek, jadi adakah dia layak sebagai nakhoda mengemudi kapal-kapalnya?

‘‘Saya bercakap berdasarkan pengalaman, tak perlulah beritahu saya ini isteri pertama, kedua atau seterusnya, tapi saya ingin membuka mata isteri-isteri yang bermadu, kita jangan terlalu percaya kepada apa yang diceritakan oleh suami tentang madu kita, jangan menuduh tanpa mengetahui kebenaran keburukan madu kita.

‘‘Kita juga perlu fikir dan renungi mungkin suami kita yang jadi dalang dalam permusuhan antara kita. Fikirkan mengapa alim ulama jarang berpoligami? Sebabnya dia tahu hukum hakam, dan takut dilaknati Allah kerana kegagalannya berlaku adil. Lagi pun mereka faham dan berfikir apakah dia cukup sempurna sebagai ketua keluarga dan suami. Bukan seperti kebanyakan lelaki, kahwin dulu baru fikir,’’, kata Maria.

Namun minggu ini saya bawakan pengalaman pahit Puan Mazimah gara-gara suami yang hidup tidak keharuan hingga hampir menghancurkan rumah tangga apabila digoda. Beliau juga saya temui di KL Sentral di tengah-tengah kota Isnin lalu.

Kata Mazimah, sejak mula kahwin dia faham perangai suaminya panas baran, pantas tangan dan cepat mengamuk, tetapi semua itu boleh diatasi, sehinggalah fikirannya terganggu apabila anak-anak jadi mangsa penangan suaminya.

‘‘Zul memang cepat berang walaupun masalah remeh temeh dan bila kehendaknya tidak dipatuhi. Selama lebih 17 tahun kahwin, saya sentiasa sabar dan berusaha kurangkan marahnya sama ada di tempat kerja, dengan kawan-kawan atau di rumah. Dia akan cepat naik angin kalau lauk terasa garam, air terlalu manis, terpanas atau keadaan rumah bersepah. Dia akan melenting, memekik dan menghumban apa sahaja, apa lagi bila anak menangis. Jadi saya berusaha mengawal keadaan.

‘‘Kalau dia cakap salah jangan dibantah, apa lagi kalau dibetulkan dia cepat angin. Pernah dia tinggalkan saya di kedai bersama dua anak yang masih kecil dan terus balik ke rumah, semata-mata kerana terpintas cakapnya. Pandai-pandai sayalah kalau nak balik. Waktu itu memang susah dapat teksi, saya terpaksa menunggu sejam lebih dalam keadaan panas dan anak-anak kelaparan.

‘‘Pernah juga dia tinggalkan salah seorang anak kami di kedai semata-mata kerana dia minta belikan pensil dan pembaris yang hilang. Setelah tiga jam anak kami yang berusia 9 tahun ditinggalkan di kedai itu, barulah dia telefon saya suruh pergi ambil.

‘‘Dalam ketakutan dan terkejut yang teramat saya tak sedar menangis sambil mencari anak ke hulu ke hilir dan di dalam kedai. Saya hampir pengsan kerana sedih. Setengah jam kemudian baru nampak anak saya berlari mendapatkan saya dalam ketakutan. Sebab dia tak pernah keluar rumah sendirian, tak tahu jalan balik dan kedai itu jauh dari rumah kami, bas pun tak ada.

‘‘Selepas menghantar anak balik saya cuba tenangkan dia, malamnya dia demam panas kerana takut. Tapi Zul tak ambil pusing. Hubungannya dengan anak-anak tak mesra langsung. Tak pernah berbual, kecuali kalau dia marahkan mereka. Dia tak peduli masa, siang atau malam, bila naik angin semua orang kena marah, anak-anak sentiasa dalam ketakutan.

‘‘Sebenarnya perangai barannya sejak kecil. Bukan kami anak beranak saja kena marah. Adik-beradiknya pun tak sukakan dia. Zul tak pernah pedulikan mereka. Dia cuma pentingkan dirinya saja, hinggakan adik-beradiknya tak suka ke rumah kami.

‘‘Itulah juga perangainya di pejabat, semua orang tahu, dia tak suka di bantah, apa lagi ditegur, dia fikir dia betul.

‘‘Perangai barannya buat saya kesiankan anak-anak, kerana takutkan ayah mereka, apa lagi kalau pelajaran mereka merosot, bukan setakat anak-anak kena marah, saya pun kena tengking, kerana tidak ajar mereka. Bila saya kata tak ada masa kerana perlu masak, berkemas rumah selepas balik pejabat, dia tak peduli. Sedangkan dia balik pejabat hanya tengok tv, baca paper dan tunggu makan malam.

‘‘Perangai barannya tak menentu, pernah ketika kami diajak berkelah, dia tak berkenan tengok pakaian salah seorang anak kami, dan si anak pula sukakan pakaian tersebut, kerana tak dengar cakapnya, dia terus batalkan rancangan berkelah. Begitulah perangainya tak suka bertolak ansur.

‘‘Pernah juga dia tinggalkan seorang anak kami sendirian di rumah untuk pergi bercuti puncanya kerana anak kami lambat balik dari kelas tambahan.

‘‘Selain panas baran Zul juga amat kedekut kalau ke kedai. Waktu nak bayar dia keluar dulu. Tapi nak makan yang best-best. Itulah perangainya, punyalah kedekut.

‘‘Keadaan semakin teruk kira-kira tiga tahun lalu. Mulanya saya tak tahu, hinggalah saya ternampak SMS bunga-bunga cinta dan ucapan kasih sayang. Tapi saya diamkan kerana takut dia angin. Hinggalah setahun lalu dia berubah sikap suka keluar malam, dan sering terima SMS. Saya mula syak tapi tak berani tanya.

‘‘Satu hari saya buka SMS dari telefon dan letakkan atas pangkuannya sambil saya kata sampai hati dia bercinta dan nak kahwin lagi, sedangkan saya terlalu banyak bersabar dengan panas barannya. Tapi dia tak peduli. Jawab pun tidak, dia buat selamba.

‘‘Dalam diam saya siasat siapa gadis yang menggodanya. Setelah rahsia terbongkar saya jumpa gadis itu dan bertanya apakah dia benar-benar nak kahwin dengan Zul, dia mengaku, dia tahu perangai panas baran Zul, katanya itu bukan masalah besar, dia boleh atasi. Dari perwatakan dan cara bercakap dia memang sombong, ego dan perangainya sama dengan Zul. Kawan-kawannya juga bercerita yang sama.

‘‘Sejak rahsianya terbongkar, kelakuan Zul bertambah ganas, dia bukan saja pukul anak-anak, tapi sanggup lempar benda-benda hingga mencederakan mereka. Dia jadi ganas bila rajin mengajar anak-anak. Katanya tak payah tuisyen. Tujuannya supaya dia tak payah keluar duit tuisyen.

‘‘Waktu mengajar kalau tak mendebuk dan tak memukul anak-anak, dia tak puas hati. Pernah kepala anak saya kena lapan jahitan dibaling fail tebal dan tajam, bukan itu saja ada yang tak boleh berjalan tegak bila tulang belakang terkehel kerana dipukul. Doktor yang merawat nasihatkan saya buat laporan polis, tapi risikonya Zul akan kena buang kerja dan kena penjara.

‘‘Waktu dia pukul anak-anak saya tak boleh tegur, nanti dia pukul lebih teruk.

‘‘Saya pernah tanya Zul betul ke dia nak kahwin lagi? Kalau dia kahwin lagi dan boleh berubah jadi ayah dan suami yang baik, kahwinlah. Tetapi setelah dihasut oleh gadis tersebut dan keganasannya terhadap anak-anak menjadi-jadi, saya suruh dia fikir semula apakah ada kebahagian jika dia kahwin lagi?

‘‘Dia pernah junjung al-Quran depan saya menafikan dia bercinta dan nak kahwin, bukan sekali dua dia nafikan, tetapi dalam diam dia teruskan hubungan. Dia sanggup ikut gadis tu bertugas out station, sanggup pergi jogging, pergi jim setiap hujung minggu semata-mata untuk bersama, pada saya dia bagi alasan nak jaga kesihatan.

‘‘Cerita Zul pada kawan rapatnya, dia nak kahwin dengan gadis itu sebab gadis tu bergaji besar, sama taraf dengannya. Lagi pun dia perlukan duit sebab pelaburan saham yang dibuatnya rugi dan bisnes dengan kawannya hancur.

‘‘Pada saya inilah padahnya, dengan anak isteri, adik beradik sendiri dia kedekut, apa lagi nak bantu, asyik kata tak ada duit sedangkan dia simpan banyak duit. Allah dah kata rezeki yang diberi-Nya adalah untuk keluarga selain bersedekah. Akibatnya semua duit simpanan lesap sekelip mata.

‘‘Bila tak ada duit, dia minta pada saya. Kalau tak bagi, dia akan mengamuk.

‘‘Kerana asyik bercinta tak ada keputusan bila nak kahwin, akhirnya saya telefon ayah kekasihnya minta mereka desak anaknya kahwin segera, sebab saya tak mahu Zul memukul anak bila fikirannya terganggu. Tapi bila balik Zul mengamuk, saya hampir makan penumbuknya.

‘‘Kerana bimbangkan keselamatan kami dan atas nasihat dan kebenaran mahkamah syariah dan doktor yang takut anak-anak jadi mangsa, saya pindah ke rumah saudara saya. Lepas sebulan atas nasihat mahkamah juga saya kembali ke rumah bila keadaan sudah reda. Waktu saya balik Zul tak ambil pusing, malah dia tanya saya buat apa balik. Lelaki memang besar egonya. Tetapi selepas beberapa hari dia buat drama lagi beritahu saya, dia tak berhajat kahwin lagi.

‘‘Katanya apa yang dilakukannya hanya kerana dia suka bila ada wanita lain sayangkan dia. Saya tanya dia apakah saya tak sayangkan dia? Katanya nikmat bercinta lain. Kahwin tu bermasalah. Katanya, orang kata kahwin dua ni seronoknya cuma 1, masalahnya ada 9, jadi buat apa susahkan diri. Dia memang tak nak kahwin lagi.

‘‘Sejak itu hingga kini katanya dah lebih setahun dia dah putuskan hubungan, tapi gadis itu tak pernah jemu. Dia terus menggoda Zul. Maklum umur dekat 40 tahun. Terdesak agaknya. Hantar SMS setiap hari. Lebih dua tahun gadis tu menggodanya, dia tak layan, tapi lelaki ni dalam diam, dia curi-curi makan juga. Tapi bila tanya katanya dia tak minat nak kahwin,’’ demikian cerita Mazimah tentang pengalaman pahitnya.

Memang sakit hati kalau suami panas baran dan pantas tangan, tambah mendidih darah dalam pada bengis itu dia nak kahwin lagi. Tapi tak salah suami juga kalau si gadis bersedia jadi nombor dua. Terdesak kot? Tapi ingat jangan pikul biawak hidup, nanti merana diri.

www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com


Perbezaan dua mutaah

Mac 30, 2008

SOALAN: Apakah bezanya pengertian ‘mutaah’ (pembayaran saguhati kepada seorang isteri yang diceraikan) dengan istilah ‘mutaah’ (kahwin ‘Mutaah’)

– Abu Hanifah Abdul Hakim,

Kelana Jaya, Selangor.

JAWAPAN: Amat jauh perbezaan antara dua perkara tersebut. Pertama mutaah (sagu hati) adalah dibenarkan dan disuruh manakala yang kedua pula (kahwin mutaah) adalah haram dan tidak dibenarkan. Ianya cuma dibenarkan sekejap pada awal Islam kemudian dilarang terus hingga hari kiamat, melainkan dalam mazhab Syiah sahaja.

Manakala mazhab lain semuanya mengharamkannya kerana hakikatnya sama dengan perzinaan yang dilarang dalam ayat yang menjadi dalil mereka sebelum itu. Allah berfirman yang bermaksud: dan dihalal bagi kamu wanita yang lain (bukan isteri orang) untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu melalui perkahawinan, bukan secara persundalan (perzinaan).

Maka mana-mana wanita yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah dia menjadi isteri kamu), maka berikan kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna) sebagai satu ketetapan (dari Allah). (Surah an-Nisaa ayat 24).

Sedangkan kahwin mutaah itu adalah betul-betul sama dengan amalan pelacuran hari ini. Ianya tidak ada wali, saksi, pada tempoh masa tertentu, tanpa ada tanggungjawab. Manakala mutaah yang bermaksud sagu hati pula adalah diambil dari ayat lain bermaksud: tidaklah salah (atau dikenakan apa-apa bayaran) jika kamu ceraikan isteri kamu sebelum kamu sentuh (mencampuri mereka) atau sebelum kamu menetapkan maskahwin untuk mereka, walaupun demikian hendaklah berikan mutaah (sagu hati) kepada mereka (isteri yang diceraikan itu), yang mana suami yang senang (hendaklah memberi sagu hati itu) menurut kemampuannya dan suami yang susah pula menurut kemampuannya sebagai pemberian (sagu hati) menurut apa yang sepatutnya, lagi menjadi kewajipan terhadap mereka yang mahu berbuat kebajikan (Surah al-Baqarah ayat 236). Kesimpulannya perbezaan antara keduanya adalah amat jauh sekali, dan tidak akan sama selama-lamanya. Wallahualam.


Ilmu Sihir

Mac 30, 2008

Dalam masyarakat melayu memang terkenal mengenai Ilmu Sihir. Ilmu Sihir ini selalu dikaitkan dengan Bomoh dan Dukun. Ia sering dirujuk dalam masyarakat kita sebagai perbuatan orang atau kemasukan syaitan.

Bahan yang sering digunakan oleh tukang sihir di kalangan masyarakat Melayu bergantung kepada keperluan tukang sihir itu sendiri.

Lazimnya air sihir, keris, darah, telur, jarum dan patung merupakan bahan yang popular digunakan di kalangan bomoh atau tukang sihir Melayu. Di samping itu ia turut dibantu beberapa jenis jin atau hantu bagi tercapainya apa yang diminta. Antara jin atau hantu tersebut dikenali sebagai berikut :-

Hantu Bungkus : Mempunyai kuasa dan boleh meresap dalam tubuh manusia,

Langsuir : Perempuan yang mati ketika melahirkan anak, boleh digunakan bagi tujuan mengganggu,

Polong : Bagi menghisap darah mangsa

Jembalang : Tukang sihir akan membuat perjanjian dengan jembalang sebagai pengawal apabila sesuatu tapak atau kawasan diganggu oleh orang lain.

Kesemua ini diperolehi tukang sihir sama ada secara warisan keturunan nenek moyang kita atau dipelajari oleh seorang guru sihir. Dalam hubungan ini syaitanlah yang memainkankan peranan yang paling besar.

JENIS-JENIS SIHIR:

PATUNG
Tukang sihir akan menggunakan bahan-bahan yang didapati daripada tubuh badan mangsa seperti rambut, kuku dan sebagainya yang kemudian diikat pada patung. Seterusnya patung itu dicucuk dengan jarum. Pada masa yang sama jampi mantera dibaca oleh tukang sihir tersebut dan dipercayai mangsa akan berasa sakit dan boleh membawa maut.

SANTAU
Nama ini sudah begitu popular di kalangan masyarakat Melayu. Santau merupakan bahan campuran antara kaca yang ditumbuk halus dan ia akan dimasukkan ke dalam makanan atau minuman mangsa dengan membaca ayat-ayat tertentu oleh tukang sihir

TELUR LAYANG
Tukang sihir akan mengambil sebiji telur yang telah dijampi yang lalu dibalut dengan kain kuning. Kemudian sebatang jarum akan dicucuk ke dalam telur tersebut sambil jampi mantera dibaca. Akibatnya mangsa akan berasa sakit serta boleh membawa maut.

TANGKAL dan AZIMAT
Tukang sihir akan menulis ayat azimat dengan lidi daun pokok kabong berserta dakwat merah yang dicampur dengan bedak za’faran dan air ros. Dakwat merah tersebut ialah darah seseorang yang telah mati dibunuh dengan kejam atau darah ayam jantan. Kemudian tangkal atau azimat tadi diperasap dengan kemenyan yang dilakukan pada malam jJmaat atau malam Khamis yang ditujukan kepada mangsanya.

SIHIR PEMBENCI dan KASIH SAYANG
Sihir pembenci bertujuan memisahkan sepasang kekasih atau suami-isteri. Manakala sihir kasih-sayang boleh dilakukan oleh tukang sihir dengan menulis ayat-ayat jampi di atas kertas kemudian dibakar dan habuknya dimasukkan ke dalam minuman yang disertakan dengan jampi tiga kali sambil menyebut nama orang yang dihajati.


CARA MENGATASI GEJALA SIHIR:

Apabila telah disahkan seseorang itu terkena sihir samada dari segi fizikal, mental atau spiritual, maka dalam dalam konsep Islam, tiap-tiap yang bermasalah ada penyelesaiannya.

Tiap-tiap penyakit ada penawarnya. Islam telah membuat beberapa peraturan untuk mengatasi penyakit disebabkan sihir. Terutamanya setelah kita melihat fakta yang jelas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah terkena sihir dalam kisah yang terkenal dengan Labid bin A’sam. Peristiwa ini berlaku untuk memberitahu kita bahawa terdapat ayat Al-Qur’an yang dinamakan Al-Mu’awwizat, iaitu beramal bersungguh-sungguh dan yakin dengan ayat-ayat itu sehingga ia menjadi penawar.

Begitu juga dengan ayat Kursi dan memang dari kaedahnya ayat tersebut adalah pengubat dan penyembur sihir. Malah Nabi Muhammad s.a.w. telah menyebut secara terperinci bahawa sihir itu boleh diubati dengan membaca enam ayat pertama surah Al-Baqarah, tiga ayat daripada surah Al-Baqarah iaitu ayat 255, 256 dan 257 dan tiga ayat terakhir daripada surah tersebut. Ayat-ayat ini hendaklah diamalkan dengan penuh yakin bahawa Allah S.W.T. boleh menyembuhkan sihir.

Ayat-ayat tersebut adalah seperti berikut :-

1.) Surah Al-Baqarah 2 : 1-6
2.) Surah Al-Baqarah 2 : 255-257
3.) Surah Al-Baqarah 2 : 284-286

SAKA ( KETURUNAN )
Saka adalah jin yang telah berada dalam tubuh manusia yang sudah sekian lama hingga sudah menjadi sebati dengan manusia itu. Ini berlaku samada seseorang itu tahu atau tidak, kerana ia datang dari keturunan kita. Kemungkinan ilmu ini telah dipelajari oleh nenek-moyang kita terdahulu. Dan diturunkan kepada kita tanpa diketahui atau jin itu sendiri yang memilih untuk mendampingi keturunannya yang dia kehendaki.

Dari itu memang sukar menghalau jin di dalam tubuh seseorang yang telah dianggap saka. Ia tetap akan kembali lagi ke tubuh tuannya itu walaupun sudah beberapa kali diberi amaran atau bersumpah di atas nama Allah s.w.t. bahawa ia tidak akan datang lagi.

Namun begitu, dibawah ini ada cara yang boleh mengeluarkan saka dalam tubuh seseorang itu, tetapi ia memakan masa yang lama mungkin makan bulan malah tahun.

Caranya ialah ambil tempat (tumbler) berisi air, lalu bacakanlah air tersebut dengan surah-surah dibawah ini. Ia dilakukan diwaktu sesudah mendirikan solat subuh.

1.) Surah Al-Fatihah ( Ayat 1-7 )
2.) Surah Al-Baqarah ( Ayat 255 )
3.) Surah Al-Insyirah ( 1-8 )

Air ini digunakan sebagai minuman harian. Apabila kamu minum air yang dibacakan ayat-ayat Al Qur’an ia akan menjadi darah daging kamu. Lakukanlah pada tiap-tiap hari, jangan mudah jemu, sudah dikatakan proses ini memakan masa yang lama. Dengan izin Allah…… Jin (saka) yang berada di dalam tubuh kamu akan merasakan kepanasan lalu terbakarlah dia dengan azab Allah s.w.t. Insya Allah….

Setelah kamu minum air tersebut berterusan, kamu dapat merasakan seluruh anggota kamu akan menjadi pija (panas) terutama di bahagin tengkuk, kerana disitulah tempat duduknya jin tersebut. Ini menunjukkan, usaha anda telah berhasil. Itu petanda Allah s.w.t. telah mengazabkan jin di dalam tubuh kamu itu. Itulah kemujarabannya.

Segala sesuatu bergantung kepada izin Allah.

#Di zaman serba moden ini, kita tidak sewajarnya bergantung kpd amalan perbomohan utk mendapatkan sesuatu hajat. Sihir adalah syirik dan dosa besar yg tak akan diampunkankan Allah kecuali bertaubat.