Talian Nur ~ Ketukan pisau di talian

Oleh AHMAD NAZRI MUHAMMAD dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN

BUKAN sekadar bercakap, tetapi turut memperdengarkan bunyi ketukan pisau bagi membuktikan dirinya benar-benar berniat mencederakan diri.

Itu antara panggilan menggerunkan yang pernah diterima Daeng Perpatih Hairi, 32, sepanjang bertugas sebagai ejen Talian Nur 15999 yang diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), 5 Disember tahun lalu.

Menurut Daeng, pada mulanya pemanggil itu mengadu masalah tekanan yang dihadapi, tetapi lama-kelamaan dia mengaku mahu melepaskan tekanan dengan mencederakan diri sendiri menggunakan pisau.

“Pemanggil itu mengugut mahu mencederakan diri sendiri. Dia mengetuk pisau pada gagang telefon bagi membuktikan dia benar-benar maksudkan apa yang dikatakannya.

“Dia bagaikan hilang kewarasan dan berkali-kali menyatakan akan mencederakan dirinya,” katanya yang masih terngiang-ngiang bunyi ketukan pisau itu setiap kali mengimbas pengalaman mendebarkan itu.

Begitupun, Daeng berkata, berbekalkan pengalaman, latihan dan kursus yang diikuti sebelum memikul tugas berat itu, situasi sedemikian dapat ditanganinya dengan selamat.

Dalam kata lain, khidmat Talian Nur berjaya menyelamatkan mangsa daripada melakukan tindakan tidak waras yang berbahaya dan mengancam nyawa.

“Untuk tempoh hampir dua jam, saya memujuk pemanggil terbabit melupakan hasratnya. Saya mengajaknya berborak dan menyuruhnya meluahkan apa saja yang terbuku di hatinya.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan pemanggil itu tersedar kerana apa yang mahu dilakukan hanya akan memudaratkan dirinya dan melupakan hasrat mahu mencederakan diri,” katanya.

Daeng berkata, dia juga pernah menerima panggilan daripada pemanggil yang menyatakan hasrat mahu menggantung diri kerana tekanan hidup.

Namun, katanya dia berjaya memujuk pemanggil terbabit melupakan hasrat itu dan membantunya mendapatkan kaunseling daripada pihak berkaitan.

“Sepanjang bertugas di Talian Nur, dua kes itu masih terngiang-ngiang di ingatan. Begitupun, saya bersyukur kerana dapat menanganinya dengan baik,” katanya.

Menurut Daeng, tiada apa yang dapat menggembirakannya melainkan dapat membantu pemanggil.

“Kebanyakan panggilan yang diterima membabitkan pertanyaan untuk mendapatkan maklumat dan bantuan. Kita kenal pasti masalah yang dihadapi dan ia akan dirujuk kepada pihak berkaitan,” katanya.

Daeng berkata, kewujudan Talian Nur banyak membantu kerana dengan hanya satu panggilan, pemanggil mendapat maklumat yang sebelum ini langsung tidak mereka ketahui.

Bagi Ivan Peter Santiago, 29, pengalaman menerima panggilan daripada seorang wanita yang berdepan kesusahan selepas dihalau suami sukar dilupakannya.

“Wanita itu menghubungi saya pada waktu malam. Sungguh mengejutkan apabila dia memberitahu ketika itu dia berlari di tepi lebuh raya.

“Saya memujuknya supaya bertenang dan memberitahu lokasinya. Saya memintanya tidak memutuskan panggilan sehingga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dimaklumkan mengenai masalah itu mengesan lokasinya dan menyelamatkannya,” katanya.

Ivan berkata, dia juga tidak terlepas daripada menjadi tempat melepas geram pemanggil yang tidak berpuas hati dengan orang lain.

“Apabila menerima panggilan seperti itu, saya layan seperti biasa dan bertanya tujuan sebenar pemanggil itu menghubungi saya. Lama-kelamaan pemanggil itu bertenang dan tidak lagi marah.

“Tugas ini memerlukan saya banyak bersabar kerana menerusi kesabaran itu saya dapat membantu pemanggil yang memerlukan bantuan,” katanya.

Pengurus Pusat Panggilan Talian Nur, Amy Hiew, berkata 29 kakitangan dan penyelia bertugas mengendalikan talian Nur selama 24 jam setiap hari.

Katanya, kakitangan itu dibahagi kepada tiga syif, masing-masing selama sembilan jam bermula 8 pagi, 5 petang dan 11 malam.

“Secara puratanya setiap kes yang dikendali memerlukan masa antara lapan hingga 10 minit bagi kes aduan kebajikan biasa.

“Manakala, kes serius seperti penderaan kanak-kanak mengambil masa sehingga setengah jam bagi membolehkan maklumat secukupnya diperoleh kakitangan yang menerima panggilan itu,” katanya.

Amy berkata, kakitangan pusat panggilan Talian Nur mendapat latihan asas pengendalian aduan untuk dirujuk kepada pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) atau polis bagi kes jenayah.

Katanya, mengikut prosedur, kes jenayah diberi keutamaan tindakan segera, manakala kes aduan kebajikan dirujuk ke jabatan di peringkat daerah sebelum pusat panggilan menghubungi pengadu dalam tempoh lima hari bekerja sebagai maklum balas aduan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Faizah Mohd Tahir, berkata sejak Talian Nur diperkenalkan, 99 peratus panggilan diselesaikan ejen, manakala selebihnya perlu tindakan susulan.

“Panggilan yang berjaya diselesaikan ejen membabitkan perkara seperti pemanggil mahu maklumat lanjut bagaimana memohon bantuan daripada JKM, status permohonan bantuan bulanan dan pendaftaran orang kurang upaya (OKU).

“Untuk panggilan yang memerlukan tindakan susulan ialah seperti kes keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, keluarga yang hidup melarat dan anak tidak mempunyai sijil kelahiran atau kad pengenalan,” katanya.

Secara umum, Faizah turut memberitahu beberapa kes yang diterima dan berjaya diselesaikan.

Antaranya, kes suami mendera isteri yang dilaporkan jiran, kes ‘haruan makan anak’ membabitkan remaja berusia 16 dan 14 tahun, keluarga hidup melarat dan memerlukan bantuan serta tiga kanak-kanak yang tidak bersekolah kerana tiada sijil kelahiran.

Menurut Faizah, pihaknya sangat menghargai aduan yang diterima daripada orang ramai, tetapi ia perlu lengkap.

“Ada yang telefon mengadu jirannya ada masalah, tetapi sekadar beritahu masalah tanpa beritahu alamat lengkap. Bagaimana kita nak bantu,” katanya.

Faizah berkata, Talian Nur tidak terkecuali daripada menerima panggilan ‘main-main’ daripada pemanggil, terutama kanak-kanak.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu, ejen menelefon semula nombor telefon pemanggil yang tertera secara automatik.

“Jika kita dapat berhubung dengan ibu bapa, kita beritahu mengenai perbuatan anak mereka dan meminta ia tidak diulangi,” katanya.

Menurut Faizah, ejen bertugas merekod semua pertanyaan, aduan dan permohonan serta data dan maklumat penyelesaian ke dalam sistem untuk membolehkan carian maklumat yang cepat dan tepat.

Katanya, laporan dihasilkan dalam bentuk statistik seperti jumlah panggilan diterima, jumlah panggilan dijawab, jumlah masa panggilan, bilangan aduan, jumlah klasifikasi/ kategori data/ maklumat yang diterima, kaedah penyelesaian dan status aduan/ panggilan.

“Semua maklumat yang diterima diberi kepada agensi yang dipertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah pemanggil dan pihak kami (kementerian).

“Kewujudan Talian Nur bukan saja membantu pemanggil, tetapi pada masa sama turut membantu kementerian memantau dan mengetahui dengan lebih dekat apa yang dilakukan agensi di bawah KPWKM,” katanya.

Berdasarkan rekod, dari 5 Disember hingga 28 Januari lalu, Talian Nur menerima 28,359 panggilan, di mana kes terbesar membabit kes di bawah JKM dengan 2,346 panggilan diikuti KPWKM (2,104), LPPKN (170), dan masing-masing satu panggilan Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Institut Pengupayaan Wanita bagi Negara-negara Berkecuali Negara (NIEW).

9 Responses to Talian Nur ~ Ketukan pisau di talian

  1. Azura berkata:

    saya bagi pihak kawan saya pn zainon minta tolong dari talian nur supaya dapat menghubungi pn zainon bagi menyelesaikan masalah kawan saya nie.dia dalam tekanan dari suaminya yang selalu memukul beliau dan dia ingin lari rumah bagi sekarang nie. harap pihak nur dapat menghubungi beliau di no talian 012-3084955.

  2. anggotasulit berkata:

    azura,oh azura,, u nak tolong ke atau nak menyusahkan kawan, memberitahu 1 dunia no talian itu akan memalukan dia,atau tahu suaminya akan mengeruhkan suasana, sepatutnya cari no Puan Zainun ke atau u talipon sendiri no Talian Nur tu,,tak perlah,, niat u baik cuma jangan panic ,,

  3. Azura berkata:

    memang i panic…pagi dia call nangis2…i tengah keje…nie .bukan tak nak tolong…dia nak tumpang duduk umah i .tapi suami i cakap apa plak nanti.tolonglah apa yang patut saya buat.

    • iskandar berkata:

      salam azura.
      awk kata dia kena “pukul”..
      report polis je wat laporan..
      mmgla res r/tangaa case yg agk terpencil&dibakulsampahkan oleh pihak pli..tp azura kata dia kena “pukul”..
      istilah “pukul” tu slh satu acara jenayah..so sy rs xada masalah..
      kalau report kat talian Nur ..opihak nur pun akn rujuk ke plois utk siasatan lnjut yg mengatakan ada case “pukul”..
      kalau salah betulkan sy.tq.

  4. serina berkata:

    Cuba call dia jumpa dulu…awak teman dia pi LPPKN unit kaunseling atau ke JKM…..awak buat mcm tu kot org tak tau pun no hp kawan awak tu…awak sbg kawan kena la tolong dia…dia mmerlukan teman…ambil EL n pi…takkan suami awak tak faham dia dalam kesusahan….

    sbb awk tunjuk tempat bukan awk msk campur dalam umahtangga dia….atau pi pejabat agama n balai polis…kalau dah kes pukul ni…mmg best kalau baru2…kena la lelaki tu…sakit ati bab2 jantan pukul bini…DAYUS!!!DAYUSSSSSSS!!!! cari sama saiz la nak hentak pun…yang dok katok bini apehalnya bini tu batang kayu tak tau sakit.

    Cuba suruh bini hentak ko…tau pulak ko lawan balik..Hangin betol aku…Menikah dengan bini …bayar mas kawin nak suruh dikatok2…ANGINNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNNN…..!!!!!

  5. isteri pernah didera berkata:

    mungkin dia ada sebab kena katok ..!!!hal suami isteri ni hanya mereka berdua yang tahu .Sebagai isteri yang teraniaya .. sepatutnya mereka tahu dimana untuk mengadu bukannya memendam perasaan .NAK dengan TAK NAK saja untuk ketengahkan perkara ini .

  6. Azura berkata:

    TQ SEMUA…TAPI CAM NE NAK DELETE NO TEL KAWAN SAYA TU?

  7. nazatul berkata:

    apa yang boleh kita lakukan jika kita berhadapan dengan jiran yang melakukan keganasan terhadap wanita/isteri/kekasih.

  8. ika berkata:

    saya ada mslh dgn abg kandung saya. die prnah pukul saya baru2 ni dan laporan polis telah dbuat.. tetapi malangnya saya berumur 19tahun 11bulan myebabkan laporan yang saya buat 2 tdk kukuh. saya sdh krn xde sorg pn yg brni myokong tndakan saya utk mmbuat laporan polis berkenaan saya kne pukul kerana mereka berpendapat akan memalukan keluarge.. saya sedih krn polis yg sepatutnya mendengar suara pgadu yg kne pukul bkn dgr pnjlasan drpd org yg memukul si pengadu..

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: