Cik Kuntum: Suami enggan mengaku hadapi masalah kesuburan

Februari 29, 2008

cikkuntum@bharian.com.my.

RUANG kotak e-mel Cik Kuntum dihujani kiriman daripada pembaca sejak kisah Syikin mengenai gangguan makhluk halus yang dialaminya disiarkan minggu lalu, malah ada yang menghubungi Cik Kuntum menerusi telefon untuk mendapatkan nombor telefon ustaz yang membantunya.

Bukan tidak ingin membantu, tetapi Cik Kuntum ingin memperbetulkan salah faham kerana ada yang menyangka ustaz berkenaan yang membantu Syikin hamil pertama kali selepas lapan tahun berkahwin. Sebenarnya seperti yang ditulis, ustaz berkenaan hanya membantu mengusir gangguan makhluk halus yang ‘menghantui’ Syikin tanpa pengetahuannya selama ini, bukannya membantu mengubati masalah ketidaksuburannya.

Kiriman e-mel asal Syikin agak panjang dan terpaksa Cik Kuntum pendekkan, namun Syikin ada memaklumkan bahawa dia melakukan rawatan kesuburan di bawah pemerhatian seorang pakar obstetrik dan ginekologi terkemuka di ibu negara. Bukan sedikit yang dia habiskan untuk mendapatkan khidmat pakar berkenaan dan dia mengambil masa yang agak lama sehingga akhirnya disahkan hamil.
Cik Kuntum faham, ramai wanita yang mengalami masalah seperti Syikin. Lapan tahun berkahwin bukan tempoh yang singkat. Ada lelaki yang boleh bersabar, tetapi ada juga yang pendek akal dan asyik menyalahkan si isteri tanpa mengakui hakikat kemungkinan besar dialah sebenarnya yang mengalami masalah ketidaksuburan.

Itulah kisah minggu ini yang ingin Cik Kuntum paparkan. Selepas menyiarkan kisah Syikin minggu lalu, seorang pembaca ingin berkongsi kisah hidupnya yang beliau umpamakan seperti cerekarama di televisyen, tetapi itulah yang dialami Gina (bukan nama sebenar).

“Cik Kuntum, selepas membaca kisah Syikin saya terpanggil untuk menulis kepada saudari mengenai secebis kisah hidup saya yang diharap dapat dijadikan iktibar kepada semua khususnya lelaki. Ketika di kampus, saya berkenalan dengan A dan hubungan kami direstui kedua-dua belah pihak.

Sebaik tamat pengajian dan bekerja selama setahun, kami akhirnya mengakhiri jalinan cinta yang disemai sejak sekian lama dengan ikatan yang sah. Pada mulanya mahligai yang dibina berjalan dengan lancar dan kami sering menghabiskan masa bersama dengan melancong ke beberapa destinasi yang menjadi impian kami selama ini.

Kami tidak berasal daripada keluarga yang berada, justeru kami melancong menggunakan pakej bajet. Untungnya, kami berdua mempunyai minat yang sama, jadi tidak menjadi masalah untuk berkongsi segalanya.

Masuk tahun kedua perkahwinan kami, hubungan yang sebelum ini ceria semakin suram. Jika selama ini suami sering berjenaka, saya perhatikan dia sering termenung dan apabila melihat anak jiran, dia tersenyum sendirian. Sejak itu saya memahami kesuraman di hatinya kerana tiada sulaman gelak tawa si kecil yang lazimnya menjadi penawar dalam sesebuah rumah tangga.

Demi sayangkan dia, saya menawarkan diri untuk berjumpa doktor bagi mengetahui masalah yang mungkin saya hadapi. Ketika berjumpa doktor, doktor menasihatkan saya supaya turut membawa suami untuk menjalani pemeriksaan, namun saya tahu A mempunyai ego yang tinggi.

Ya, saya sayangkan dia dan kerana cinta itu, saya tidak kisah dan sanggup melakukan pemeriksaan kesuburan sendirian. Hasilnya, doktor mengesahkan saya tidak mempunyai masalah yang boleh menjejaskan kesuburan saya. Apabila mengetahui keputusan itu, A mendiamkan diri dan satu hari dia memberitahu saya, mungkin kami belum mempunyai rezeki.

Saya mencadangkan supaya dia bertemu doktor, tetapi dia hanya mengangkat bahu dan terus berlalu. Saya faham A, itu maknanya dia tidak mahu perbualan itu diteruskan. Sejak itu kami tidak lagi memperkatakan mengenai isu itu dan saya menganggap A benar-benar tidak kisah sehinggalah satu hari ketika majlis makan malam syarikat A.

Memandangkan A dan teman sepejabatnya sibuk berbual dan menghisap rokok di luar dewan, saya mengambil keputusan untuk ke tandas dan di situ bertemu dengan seorang wanita hamil, juga daripada majlis sama. Melihat keadaannya yang mengah, saya bertanya khabar mengenai kandungannya.

Kami terus berbual sepanjang kembali ke dewan besar dan ketika itu A berjalan beriringan dengan seorang temannya, juga menuju kembali ke dewan.

Tidak semena-mena, wanita hamil tadi yang turut melihat A berkata: “Kesian dia tu, isterinya mandul. Dah enam tahun kahwin, belum dapat anak.” Terkejut saya mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut wanita berkenaan sehingga tergamam saya dibuatnya. Saya faham, dia tidak tahu yang saya ini isteri A, tetapi kata-katanya cukup terkesan di hati ini.

Bayangkan selama ini saya ingatkan A tidak pernah kisah keadaan kami yang tidak mempunyai anak, tetapi tidak sangka sama sekali dia bercerita kepada temannya dan lebih menyedihkan saya, dia menyalahkan saya sedangkan dia sendiri tidak pernah berjumpa doktor.

Balik daripada majlis itu, kami bergaduh besar sehingga terkeluar daripada mulutnya hendak berpisah. Malam itu juga, kira-kira jam 2 pagi saya angkut beg baju keluar dari rumah. Dipendekkan cerita, sebulan kemudian kami bercerai atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Ibu bapa kami terkejut, malah mentua menangis memujuk saya.

Tetapi hati saya hancur apabila A yang amat saya cintai sanggup melukai hati saya. Enam tahun kami bersama, tetapi begitu penyudahnya cinta kami, namun saya reda dengan ketentuan Tuhan.

Tidak sampai enam bulan kemudian saya mendapat tahu A berkahwin lagi. Saya pula bertemu jodoh dua tahun selepas itu, dan saya bersyukur kepada Tuhan kerana meskipun ketika itu sudah agak berumur (34 tahun) saya masih bertemu jodoh dengan lelaki bujang.

Untuk pengetahuan Cik Kuntum, saya kini hamil anak kedua dan anak pertama sudah pun berusia dua setengah tahun. A pula khabarnya masih belum mempunyai anak, tetapi saya tidak berdendam dengannya. Cuma apa yang ingin saya katakan pada kesempatan ini ialah kepada semua lelaki, jangan hanya menyalahkan isteri jika belum dikurniakan cahaya mata kerana mungkin anda punca sebenar.”

Jika anda hendak berkongsi pendapat atau pengalaman, hantarkan kepada Cik Kuntum di alamat Cik Kuntum, Halaman Citra, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, No 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur, no faksimili 03-22822425 atau e-mel kepada cikkuntum@bharian.com.my.


Denda hingga menjatuhkan maruah ganggu sahsiah anak

Februari 29, 2008

Jawapan oleh Dr Rohayah Husain dan Dr Habsah Hassan

Soalan:
SEORANG pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di pedalaman didenda guru sekolah disebabkan kenakalannya. Beliau dimalukan di hadapan perhimpunan sekolah dengan berdiri sepanjang waktu persekolahan dan kertas yang melabelkan perkataan menjatuhkan harga dirinya digantungkan di bangunan sekolah. Akibatnya, pelajar itu mengalami kemurungan. Seminggu selepas kejadian, pelajar itu dimasukkan ke hospital kerana mengalami gangguan mental. Persoalannya, wajarkah pelajar dihukum hingga menjatuhkan air muka dan mendatangkan tekanan kepada mereka? Apakah tindakan sewajarnya bagi menghukum pelajar?
Ingin tahu,
Kelantan

MUNGKIN kita tertanya-tanya apakah kesalahan yang dilakukan anak ini sehingga beliau dihukum sebegitu rupa. Namun apapun kesalahan beliau, hukuman yang menjatuhkan maruah seseorang lebih-lebih lagi kanak-kanak perlu dihentikan.

Denda seperti ini akan menyebabkan kanak-kanak berasa rendah diri dan mudah memberontak. Keadaan ini akan mengganggu pembentukan sahsiah mereka. Persoalannya, apakah tujuan sesuatu denda dijalankan? Jika untuk mendidik dan merubah sikap, pastinya denda itu tidak membantu.
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak-anak dalam Islam mengulas kaedah pendidikan berkesan kepada kanak-kanak yang bercirikan lemah lembut, penuh belas kasihan dan berperingkat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ajarkan mereka dan jangan mengkasari mereka, sesungguhnya guru itu lebih baik daripada seorang pengeras.” – (Riwayat al-Haris, at-Thayalisi dan al-Baihaqi)

Kaedah berperingkat dalam memulihkan disiplin anak adalah disarankan. Ia harus dimulakan dengan menunjukkan kesalahan melalui bimbingan, lemah lembut, memberi amaran sehingga peringkat merotan yang berpatutan.

Dalam kisah pelajar tadi, hukuman yang dikenakan memberi tekanan emosi yang serius kepadanya sehingga beliau terpaksa dimasukkan ke hospital. Beliau mengalami tekanan hingga memberi kesan kepada mentalnya.

Kemungkinan kenakalan beliau ketika di sekolah adalah manifestasi penyakit yang mula beliau alami beberapa bulan kebelakangan itu. Ibnu Khaldun menerangkan kesan akibat penggunaan kekerasan dalam mendidik. Katanya, kekerasan akan menjadikan anak seorang yang lemah semangat, pengecut dan rosaklah erti kemanusiaan dalam dirinya.

Menurut teori pembelajaran, pakar psikologi terkenal, B F Skinner menjelaskan bahawa sesuatu sikap yang baik akan dikekalkan atau bertambah jika diberi rangsangan positif yang berulang seperti pujian, kata-kata semangat dan hadiah.

Umumnya pakar psikologi menyarankan adalah lebih baik memperbanyakkan ganjaran terhadap perbuatan baik berbanding sering menghukum atau mencari kesalahan seseorang. Pengalaman kita sendiri membuktikan kita berasa yakin, lebih bertenaga dan mudah berubah jika diberi layanan seperti itu.

Apa yang berlaku kepada pelajar itu bukan kes terpencil kerana kita juga dikejutkan dengan kisah guru memukul murid menggunakan kasut hingga cedera dan diajar menipu tidak berapa lama dulu.

Didikan yang hanya mengikut perasaan wajar dihentikan, tetapi bukan guru saja harus dipersalahkan tetapi sistem pendidikan yang hanya berorientasikan kecemerlangan akademik, di samping bebanan kerja guru dan kurangnya penekanan kepada pembentukan akhlak.

Khabarnya kurikulum pendidikan sekolah rendah dan menengah akan dirombak dalam jangka masa terdekat, moga lebih banyak ciri pendidikan Rasulullah SAW diterapkan memandangkan Malaysia kini adalah negara Islam yang disegani.

Jawapan disediakan pensyarah dan pakar psikiatri, Dr Rohayah Husain bersama pensyarah dan pakar mikrobiologi, Dr Habsah Hassan dari Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kelantan dengan kerjasama Wanita Jim.


Apabila kasih kian hambar

Februari 29, 2008

APA yang perlu dilakukan jika pasangan isteri atau suami tiba-tiba tidak lagi mahu berbual mesra seperti dulu? Jika bercakap pun, cuma perkara-perkara yang penting dan komunikasinya terhad.

Apabila ini mula berlaku, janganlah berharap untuk mendengar tutur kata romantis seperti ‘sayang’, ‘manja’ dan sebagainya. Malah jika perkara ini dibiarkan berlanjutan tidak mustahil sesebuah institusi perkahwinan itu menjadi semakin hambar dan lebih mengharukan mampu menghilangkan perasaan kasih sayang antara suami isteri.

Jika ini mula terjadi dalam rumah tangga, ini adalah petanda awal bahawa komunikasi antara suami isteri sudah mula mengalami gangguan atau breakdown.

Pegawai Penerangan di Lembaga Pembangunan Penduduk Keluarga dan Negara (LPPKN), Fouziah Hanim Yahya berkata, apabila tanda-tanda kurang kemesraan itu berlaku, pasangan perlulah bermuhasabah dengan menanyakan semula apa sebenarnya diinginkan daripada kehidupan berkeluarga.

“Ambil masa untuk mengenali diri anda sendiri termasuk pasangan anda, kemudian cuba fahami perbezaan personaliti antara anda dan keluarga anda. Apabila sudah mengenalpasti keadaan tersebut, cuba tenangkan hati dan berkata pada diri sendiri bahawa anda boleh menerima pasangan seadanya,” ujarnya dalam ceramah di LPPKN, baru-baru ini.

Adalah penting bagi suami isteri mengutamakan 3K iaitu keyakinan, kepercayaan dan kasih sayang (3K), di mana perantara untuk 3K yang mantap ialah komunikasi.

Komunikasi boleh berlaku dalam banyak cara iaitu secara lisan, bukan lisan dan simbol. Ia juga terbahagi kepada dua bentuk iaitu interpersonal (dua hala atau lebih) dan intrapersonal (sehala atau diri sendiri).

“Mengapa komunikasi itu amat penting? Kerana menerusi komunikasi yang baik, kita dapat mengetahui maksud yang ingin disampaikan oleh pasangan secara jelas dan khusus. Komunikasi juga adalah medium untuk meluahkan perasaan, mengenali reaksi serta menyalurkan maksud yang tersimpan di dalam hati.

“Cara kita berkomunikasi itu mesti dengan betul, contohnya apabila berbicara dengan pasangan, mestilah memandang matanya dan jangan cakap dengan membelakangkan pasangan kerana itu menunjukkan yang kita tidak hormat kepada pasangan kita.

Konflik

“Jika kita mendapat pasangan yang banyak bercakap, pastikan kita menjadi pendengar yang baik, jangan bercakap serentak kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam komunikasi. Sebaiknya, dengar dengan aktif, tanamkan rasa hormat terhadap pasangan masing-masing dan tambah ilmu tentang cara bagaimana untuk menguruskan konflik bagi menyelesaikan isu yang diutarakan oleh pasangan,” jelas beliau.

Bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang menghalang komunikasi dan perlu dikenal pasti oleh setiap pasangan suami isteri.

“Ini sebenarnya bermula dengan diri kita sendiri, justeru jika kita sebelum ini bukanlah seorang pendengar yang baik maka ubahlah menjadi sebaliknya. Jika tabiat kita suka menyampuk, cuba hentikan perangai itu, sebaiknya tunggu masa yang sesuai untuk berkata-kata.

“Reaksi atau mimik muka juga penting untuk menyalurkan maksud, justeru janganlah membuat mimik muka yang tidak disenangi oleh pasangan. Sebaliknya cuba berikan senyuman manis kepada pasangan anda untuk menenangkan hatinya.

“Mulakan eye contact ketika berbicara dan elakkan berbincang perkara yang tidak sesuai dengan keadaan yang tidak kena dengan topik yang ingin dibincangkan,” jelas Fouziah lagi.

Untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, adalah penting bagi pasangan yang mendengar, memberi perhatian kepada isu yang ingin dibincangkan oleh pasangannya.

Katanya, jika suami atau isteri yang mendengar itu mengambil serius perkara yang dibincangkan, maka pasangan akan merasakan bahawa mereka mempunyai tempat untuk bergantung dan mendapat kepercayaan.

“Kesimpulannya komunikasi yang baik demi keutuhan sesebuah rumah tangga itu terletak di tangan anda sendiri,” katanya.


Manusia Yang Dikutuk Oleh Allah Dan Rasulnya

Februari 29, 2008

Bersabda Rasulullah s.a.w maksudnya: Enam jenis golongan manusia yang Aku kutuk dan Allah s.w.t, juga turut mengutuk dan pada hari kiamat. Allah tidak akan memandang mereka dengan pandangan kasihan terhadap mereka itu ialah:-

1. Orang yg menambah maksud tafsiran Al Quran. (Takwil yg menyimpang)

2. Orang yang mendustakan kepada takdir Allah.

3. Orang yang berkuasa tetapi takbur, dia memuliakan orang yang dihina dan sebaliknya menghina orang yang memuliakan Allah.

4. Orang yang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah di Tanah Haram.

5. Orang-orang dari ummatku yang menghalalkan sesuatu yang telah diharamkan oleh Allah.

6. Orang-orang dari ummatku yang meninggalkan sunnahku.


Hikmah Berbakti Kepada Kedua Ibu Bapa

Februari 29, 2008

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.

Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. DI sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, “Kubah apakah gerangan ini?” fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.

“Siapakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?” tanya Nabi Sulaiman kehairanan.

“Aku adalah manusia”, jawab pemuda itu perlahan.

“Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?” tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.

“Setelah ibuku wafat aku berkeliling di atas pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah terbuat dari permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya.” Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.

“Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?” tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.

“Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah.”

“Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?”

“Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu.”

“Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?” tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.

“Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam.”

Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.