Sikap ‘jaga tepi kain’ boleh bantu lindungi kanak-kanak

Oleh Fadzlena Jafar

Ibu bapa perlu sedia polisi keselamatan keluarga sebagai langkah berjaga-jaga, hindari anak diancam bahaya

PELBAGAI kes penculikan kanak-kanak yang berlaku di sekitar ibu kota sejak kebelakangan ini termasuk kes adik Nurin Jazlin Jazimin dan terbaru, kes kehilangan kanak-kanak berusia lima tahun, Sharlinie Mohd Nashar yang dilaporkan hilang tidak jauh dari rumahnya di Petaling Jaya, kira-kira dua minggu lalu, bagaikan tidak memberi sebarang mesej kepada ibu bapa supaya lebih peka terhadap keselamatan anak mereka.

Tinjauan Berita Harian di beberapa kawasan perumahan di Kuala Lumpur, mendapati masih ramai kanak-kanak kecil dibiarkan berjalan atau bermain sendirian di kawasan umum tanpa pengawasan orang dewasa. Apa yang lebih membimbangkan, ada ibu bapa masih membiarkan anak mereka berada di rumah sendirian tanpa pengawasan orang lebih dewasa terutama ketika waktu kerja kerana menganggap anak yang sudah meningkat remaja berupaya menjaga diri mereka.

Adakah ibu bapa beranggapan kejadian yang menimpa adik Nurin Jazlin tidak akan berlaku kepada anak mereka atau terlalu menaruh kepercayaan kepada si kecil untuk melindungi diri sendiri?

Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak, Sabri Ab Rahman yang turut melahirkan kebimbangan terhadap perkembangan semasa mengenai jenayah membabitkan kanak-kanak berkata, ibu bapa perlu memahami kanak-kanak sama ada kecil mahupun besar masih tidak boleh melindungi diri mereka.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa tidak boleh mengandaikan kanak-kanak tidak kira berapa peringkat umur mereka boleh menjaga diri sendiri dan paling penting, tidak dibiarkan berada di luar mahupun di dalam rumah tanpa ada pengawasan orang lebih dewasa.
“Apabila ibu bapa atau orang dewasa tiada untuk menghalang, ada kanak-kanak yang bebas keluar masuk dari rumah. Ini boleh membahayakan mereka. Ibu bapa tidak boleh memberi alasan mereka sibuk bekerja sehingga menyerahkan tanggung jawab itu (melindungi anak) kepada anak berkenaan. Mereka juga tidak boleh membuat andaian kawasan perumahan mereka itu selamat dan mengharapkan orang lain menjadi pemerhati.

“Sebenarnya tiada istilah tempat selamat. Statistik menunjukkan kejadian seperti ini (penculikan) termasuk jenayah keganasan terhadap kanak-kanak boleh berlaku di mana saja termasuk di rumah yang dianggap selamat. Justeru, mereka perlu lebih berhati-hati dan tidak memandang remeh isu keselamatan anak,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, dalam keadaan ini sebaiknya masyarakat khususnya ibu bapa mengambil langkah berjaga-jaga bermula dengan mendidik keluarga mereka dan menyediakan polisi atau peraturan rumah yang perlu diikuti sepenuhnya oleh setiap ahli keluarga.

Katanya, polisi berkenaan mestilah dipupuk dan dilaksanakan dengan tegas supaya kanak-kanak tahu bahawa tiada kompromi sekiranya mereka melanggar peraturan yang disediakan. Ini termasuk mengenakan hukuman kepada si kecil walaupun sekadar keluar bermain di depan rumah bersama teman hanya kerana tidak mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa terlebih dulu

“Kita balik pada asal pendidikan dan ilmu penjagaan kanak-kanak. Ibu bapa perlu ada dalam minda mereka satu polisi mengenai keselamatan kanak-kanak yang mesti dituruti atau diguna pakai oleh semua ahli dalam keluarga itu. Kanak-kanak tidak tahu berfikir seperti orang dewasa, jadi kita yang dewasa inilah perlu melindungi mereka.

“Malangnya, apabila kita memperkatakan mengenai polisi orang hanya ingat peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Setiap polisi perlu bermula daripada keluarga itu sendiri kerana ibu bapa sebagai insan yang paling hampir dengan anak menyebabkan mereka perlu bertanggungjawab terlebih dulu terhadap kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Polisi berkenaan antara lain perlu memastikan kanak-kanak tahu mereka tidak dibenarkan berada di luar rumah tanpa kebenaran dan juga pengawasan orang dewasa. Malah, ibu bapa juga perlu mengetahui pergerakan anak mereka setiap masa supaya dapat menghindarkan si kecil daripada masalah tidak diingini.

Mengenai cadangan supaya menghukum ibu bapa yang didapati cuai sehingga menyebabkan anak mereka berada dalam bahaya, beliau berkata, dari satu sudut beliau bersetuju supaya dapat memberi mesej kepada ibu bapa lain agar lebih peka dengan keselamatan anak mereka, tetapi ibu bapa berkenaan perlu dididik terlebih dulu dengan pelbagai peraturan sewajarnya yang dapat menghindari ahli keluarga itu daripada keadaan yang berbahaya.

Malah, katanya, polisi keselamatan itu sewajarnya tidak dilaksanakan hanya di rumah sebaliknya juga di kalangan ahli masyarakat. Dalam erti kata lain, kita perlu bersikap ‘jaga tepi kain orang’ bagi memastikan kanak-kanak dalam komuniti berkenaan selamat.

Dalam hubungan ini, Sabri berkata, ibu bapa perlu mengikis tanggapan bahawa sikap sebegitu sebagai menyibuk atau mencampuri urusan keluarga lain , kerana mungkin dengan pemantauan orang lain dapat menyelamatkan nyawa si kecil.

“Mungkin ada ibu bapa yang anggap kejadian seperti ini (penculikan) tidak akan berlaku kepada mereka, jadi mereka tidak kisah. Tetapi, kita tidak tahu apa yang akan berlaku kelak. Jika bukan anak kita mungkin anak saudara atau anak rakan kita. Jadi kita perlu ambil tahu hal keselamatan di kawasan kejiranan kita.

“Oleh itu, jangan cepat marah apabila anak anda ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk mendidiknya. Kita mungkin tidak nampak apa yang dilakukan anak, jadi tidak salah jika orang lain yang melihatnya menegur. Misalnya anak bermain dalam longkang dan ada orang yang tegur, kita sepatutnya bersyukur kerana perbuatan itu dapat menghindari anak kita daripada bahaya.” katanya.

Dalam hubungan ini, beliau mengesyorkan supaya setiap kawasan perumahan dan taman menyediakan polisi keselamatan sendiri serta tidak terlalu mengharapkan pihak berkuasa khususnya polis untuk memantau pergerakan anak mereka. Malah, bagi memastikan polisi itu dituruti sepenuhnya, orang dewasa khususnya ibu bapa selayaknya bertanggungjawab untuk melaksanakan setiap peraturan berkenaan.

Pengalaman seorang teman penulis, mungkin boleh dijadikan iktibar. Pada September lalu, tidak lama selepas peristiwa menyedihkan yang berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin, beliau ada menceritakan bagaimana keprihatinan penduduk mungkin menyelamatkan anaknya daripada diculik.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta setiap hari menghantar anaknya ke taman didikan kanak-kanak (tadika) pada sebelah pagi, sebelum ada van yang akan menghantar si kecil ke pusat jagaan tidak jauh dari rumahnya.

Satu hari, beliau dimaklumkan akan kehilangan anaknya dari pusat jagaan berkenaan, dan dalam keadaan bimbang beliau bergegas pulang. Sebaik tiba ke pusat berkenaan beliau menarik nafas lega apabila dimaklumkan si kecil sudah selamat ditemui oleh penduduk di sekitar.

Menurut ceritanya, pada hari berkenaan sebaik van menghantar anaknya pulang, pintu pusat jagaan berkenaan tidak dibuka menyebabkan anaknya yang baru berusia lima tahun mengambil keputusan untuk pulang sendirian ke rumah. Begitu pun, ketika si kecil melalui lorong di sebelah jalan besar, seorang penduduk yang menjual pisang goreng tidak jauh dari situ sempat melihat sebuah kereta mengekori perjalanan si kecil sebelum seorang lelaki keluar dan menuju ke arah kanak-kanak berkenaan.

Bimbang akan keselamatan kanak-kanak itu, selain menyedari lelaki itu bukan daripada kawasan kejiranan berkenaan, penjual pisang goreng itu sempat menjerit dan berlari ke arah anak teman tadi, sekali gus menyebabkan lelaki terbabit melarikan diri bersama keretanya. Siapa tahu apa niat lelaki berkenaan, tetapi jika beliau berniat jahat, besar kemungkinan keprihatinan penduduk (penjual pisang goreng) itu berjaya menyelamatkan anak teman tadi.

Satu Respons bagi “Sikap ‘jaga tepi kain’ boleh bantu lindungi kanak-kanak”

  1. orkid malaya Berkata:

    kini jenayah seksual kanak-kanak semakin medapat perhatian daripada masyarakat di negara ini.. namun sejauhmanakah kesedaran masyarakat kita hari diperlihatkan dalam memelihara dan menjaga mutiara hati mereka??????
    sikap masyarakat hari ini yang mengamalkan peribahsa sudah terhantuk baru nak tengadah hendaklah dikikis dalam diari kehidupan mereka….

Tinggalkan jawapan