Terapi kaunseling untuk pesakit HIV/AIDS

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SEPERTI mana yang diketahui umum, penyakit-penyakit berkaitan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS) masih tidak ditemui penawar sebenarnya sehingga kini dan individu yang disahkan menghidap penyakit tersebut akan pasti melalui saat yang paling sukar dalam hidupnya.

Perkhidmatan kaunseling jelas memainkan peranan penting dalam membantu pesakit menerima hakikat dan merancang semula kehidupan mereka.

Namun, orang ramai perlu jelas tentang perbezaan kaunseling untuk pembawa HIV dan penghidap AIDS.

HIV atau singkatan kepada Human Immunodeficiency Virus, adalah virus daripada kumpulan Retrovirus yang menghasilkan jangkitan sepanjang hayat pesakitnya.

Ia mempunyai tempoh pengeraman yang panjang antara lima hingga 10 tahun sebelum menunjukkan tanda-tanda penyakit.

Virus ini boleh menular melalui hubungan seks, perkongsian jarum dan pemindahan darah. HIV menyerang dan melemahkan sistem pertahanan semula jadi badan terhadap semua jenis jangkitan yang membawa kepada penyakit AIDS.

Menurut kaunselor dan pensyarah Jabatan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr. Haslee Sharil Lim Abdullah, seseorang pesakit akan melalui saat sukar bermula daripada ujian HIV dan persediaan psikologinya dalam menerima keputusan ujian tersebut.

“Sebaik sahaja sah dijangkiti virus ini, pelbagai persoalan serta kebuntuan akan melanda diri pesakit.

“Antara kesan psikologi yang akan dialami oleh pesakit ialah ketakutan tentang pelbagai perkara terutamanya penerimaan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Bagi seseorang yang menghidap AIDS, perkara utama yang paling ditakuti ialah menghadapi kematian, takut mati dalam keadaan berseorangan dan tidak dipedulikan, serta mati dalam keadaan yang menyakitkan.

Beliau memberitahu, secara logiknya pesakit tidak akan mampu berdepan dengan kejutan berita yang diterima daripada doktor jika tidak membuat persediaan psikologi yang sebaiknya

“Pesakit juga akan berhadapan dengan kebuntuan dan pelbagai persoalan seperti kerjaya, pandangan masyarakat dan perancangan kehidupan.

“Selain itu, pesakit juga akan mengalami perasaan seperti kehilangan daya tarikan fizikal, perhubungan seksual, kehilangan cita-cita, status dalam masyarakat, kestabilan kewangan dan kehilangan kasih sayang orang-orang yang disayangi.

“Di samping itu, mereka juga hilang kawalan dalam kehidupan peribadi, hilang keyakinan diri dan terpaksa bergantung kepada orang lain. Mereka juga akan meratapi segala kehilangan tersebut.

“Akan wujud juga perasaan bersalah kerana ada kemungkinan mereka telah menjangkiti orang lain. Selain itu, timbul perasaan insaf terhadap perbuatan salah yang telah dilakukan,” ujarnya.

Ini seterusnya akan menyebabkan pesakit berasa bersalah kerana menyebabkan orang lain bersedih atas apa yang berlaku terutama kepada isteri dan anak-anak.

Dr. Haslee memberitahu, kesan psikologi lain adalah seperti berasa tertekan. Selain itu, ada juga pesakit yang menafikan hakikat dia telah dijangkiti virus HIV.

Pada peringkat awal diagnosis, kegelisahan juga akan melanda diri pesakit kerana pelbagai perkara perlu difikirkan dan banyak perubahan juga perlu dilakukan.

Kemarahan juga akan wujud dan ia merupakan salah satu kesan psikologi yang dialami oleh pesakit sebaik sahaja dijangkiti HIV/AIDS.

“Ia adalah sebagai helah bela diri pesakit daripada menyalahkan diri sendiri dan melepaskan kemarahan kepada orang lain.

“Akibat daripada pemikiran dan perasaan pesakit, mereka adakalanya akan bertindak di luar batasan.

“Ada juga yang akan cuba membunuh diri atau terfikir untuk membunuh diri kerana tidak mahu menanggung malu jika orang lain tahu mengenainya,” katanya.

Beliau menjelaskan, penghargaan kendiri atau keyakinan diri pesakit juga rendah apabila mengenangkan penyisihan oleh keluarga dan masyarakat.

“Sehingga satu tahap, pesakit akan mengalami situasi dinamakan hypocondria.

“Seringkali pesakit ini memikirkan mengenai kehilangan, kesepian dan perasaan berdosa di atas segala apa yang telah dilakukan menyebabkan mereka kurang menitik beratkan langkah-langkah penjagaan kesihatan dan kerohanian mereka,” ujarnya.

Disinilah perkhidmatan kaunseling memainkan peranan yang penting dalam membantu klien HIV/ AIDS agar tabah mengharungi kehidupan setelah disahkan positif.

“Dalam program ini, kaunselor memberi maklumat tentang kesan HIV/AIDS, pemindahan virus dan langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil untuk mengelakkan jangkitan.

“Mereka juga diberi panduan yang jelas tentang cara-cara penggunaan kondom yang betul serta diadakan sesi main peranan untuk menerangkan langkah-langkah pencegahan,” katanya.

Melihat kepada praktik kaunselor terlatih di Barat, kaunselor tidak boleh segan silu dan hanya bercakap secara teori sahaja.

Namun begitu, memandangkan di dalam masyarakat negara ini di mana perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami isteri tidak dibincangkan secara terbuka, maka langkah ini agak sukar untuk dijalankan.

“Dalam perhubungan suami isteri, kaunseling keluarga akan disarankan kepada pasangan tersebut.

“Selain itu, kaunselor yang berhadapan dengan pesakit yang mempunyai penyakit serius perlu mempunyai pengetahuan yang luas tentang penyakit tersebut, prosedur merawat, kaedah mengendalikan kesan psikologi yang dialami oleh pesakit dan juga mampu membantu pesakit dengan seikhlas hati,” jelasnya.

Dalam manual yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan berkaitan kaunseling HIV/AIDS, dinyatakan bahawa kaunseling tersebut adalah satu proses komunikasi dan dialog antara kaunselor terlatih dan klien yang menghadapi masalah berkaitan dengannya. Ia juga satu proses membantu klien mengadaptasikan diri dengan masalah tersebut.

Sementara itu, menurut Dr. Haslee, tahap pertama praujian kaunseling yang selalu dijalankan ialah ujian HIV/AIDS.

“Dinyatakan dalam urusan pengujian dan makluman keputusan kepada pesakit, kaunselor juga berperanan penting.

“Ini kerana HIV dan AIDS akan memberikan satu kesan psikologi sosial kepada pesakit, keluarganya dan masyarakat.

“Tahap kedua bagi pesakit HIV ialah menjalankan sesi ‘selepas ujian kaunseling’ yang dijalankan oleh kaunselor yang sama menjalankan ‘praujian kaunseling’.

“Dalam sesi ini, klien akan diberi kefahaman tentang keputusan ujian, ruang untuk meluahkan perasaan seperti marah, penafian, putus asa, kebisuan dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, kaunseling untuk pesakit AIDS agak berbeza dengan pesakit HIV.

“Kaunseling untuk klien AIDS lebih kepada membuat persiapan diri klien dalam proses menghadapi kematian serta beberapa unfinished business antara pesakit dan keluarganya.

“Ini bermakna pesakit akan dibimbing dan digalakkan untuk menyelesaikan kes-kes yang belum selesai semasa hayatnya.

“Dalam beberapa kes juga memerlukan kaunselor berjumpa dengan penjaga kepada pesakit AIDS dalam usaha membantu mereka menghadapi sisa-sisa kehidupan dengan lebih berkualiti.

“Terapi kaunseling penting untuk memastikan mereka dapat menjalankan aktiviti seperti orang lain kerana ada jangka hayat hidup pembawa HIV mungkin akan panjang,” katanya.

Dalam erti kata lain, kaunseling dapat membawa pesakit makna kehidupan dan tujuan hidup dapat dibincang untuk membantu meningkatkan harga diri serta meredakan tekanan pesakit.

“Begitu juga mereka yang menghidap AIDS dan bakal melalui saat-saat akhir hidupnya, mereka dibantu mendekati Tuhan, reda atas apa yang ditakdirkan, memastikan keluarga menerima pesakit dan pesakit dapat meninggal dunia dalam keadaan yang tenang,” jelasnya.

12 Responses to Terapi kaunseling untuk pesakit HIV/AIDS

  1. liz berkata:

    saya pengidap HIV positif, adekah saya masih bleh berpeluang berkahwin atau berkeluarga seperti org lain ?

    • gasakman berkata:

      u kena kawein segolongan dgn u..

    • AsianPrince berkata:

      liz, of course, anda masih ada berpeluang untuk berkahwin dan berkeluarga seperti orang lain… cuma ada langkah2 prevention yang perlu dilakukan untuk mengelakkan daripada virus menjangkiti bakal pasangan dan anak2…

  2. partiban berkata:

    saya pun ada soalan yang sama …

  3. mala berkata:

    saya nak tanya kalau kawan saya yang menghidap penyakit ini dan suaminya baru buat screening,kalau plan nak anak bolehkah

    • AsianPrince berkata:

      mala, boleh… pertama sekali pesakit mesti mengurangkan kandungan virus dalam darah menggunakan ubatan2 antiviral… dengan ini, kepekatan virus dalam air mani pesakit adalah pada tahap terendah dan risiko untuk menjangkiti pasangan pun pada tahap terendah

  4. azfa berkata:

    sy nak bertanya..jika seorang suami mnghidapi HIV apakah percentage utk si isteri di jangkiti? adakah terlalu tinggi..?

    • AsianPrince berkata:

      Azfa, sebenarnya, jangkitan sebenarnya berlaku apabila seseorang pesakit HIV itu memindahkan virus kepada isteri / suaminya apabila dia tidak sedar status sakitnya… kerana sebenarnya, kajian telah menunjukkan bahawa risiko jangkitan akan menjadi sangat rendah sekiranya pesakit mengambil ubat & kandungan virus dalam darah berjaya dikurangkan sehingga kurang dari 20 virus / mililiter darah selama 6 bulan berturut2…

      Saya agak arif tentang penyakit ini, walaupun bukanlah sehingga tahap seorang doktor.

      Maka, nasihat saya, pujuklah pesakit untuk berubat… dan hendaklah konsisten mengambil ubat, pada waktu yang tepat setiap hari… periksa darah setiap 3 bulan sehingga virus kurang dari 20 virus / mililiter untuk mengurangkan risiko. BUat masa sekarang, pakailah kondom semasa hubungan suami isteri untuk merendahlan risiko jangkitan. Insya-Allah, semua akan selamat dengan izinNya :)

  5. azfa berkata:

    dimana kah untuk sy dapatkan kaunselor yang boleh sy berkongsi masalah ini?

  6. apple berkata:

    adakah seorang pesakit hiv dapat melanjutakn pelajaran nya d peringkat yg lebi tinggi?

    • AsianPrince berkata:

      Apple, ya, kenapa tidak? Semua itu bergantung pada semangat anda untuk gigih berusaha demi masa depan anda… penyakit ini tidak mempengaruhi sama ada anda dapat melangkau lebih jauh dalam pelajaran anda atau sebaliknya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: