PERUBAHAN gaya hidup yang semakin moden dan terlalu bergantung kepada peralatan mesin dalam kehidupan seharian menyebabkan ramai wanita di negara ini semakin kurang bersenam.
Ketua Unit Sains Sukan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Chen Chee Keong, berkata 80 peratus daripada wanita yang terbabit dalam satu soal selidik mengaku kurang bersenam.
“Kebanyakan mereka tidak bersenam kerana beberapa faktor seperti tidak mempunyai masa yang cukup, kurang pengetahuan mengenai senaman, perubahan dalam gaya hidup dan terlalu bergantung pada mesin seperti mesin basuh, mesin pengering kain dan mesin pencuci pinggan mangkuk,” katanya kepada Bernama di Kota Bharu, baru-baru ini.
Beliau sebelum itu membentangkan kertas kerja bertajuk Penilaian dan Promosi Kecergasan Berkaitan Dengan Kesihatan Dalam Kalangan Wanita Pertengahan Umur pada Seminar Sains Sukan ke-7 anjuran USM.
Dr Chen berkata, soal kurang bersenam tidak boleh dipandang ringan oleh wanita kerana lama-kelamaan ia boleh menyebabkan timbulnya penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis, strok dan obesiti.
Beliau berkata, golongan wanita perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu untuk melakukan senaman.
“Banyak cara yang boleh dilakukan, kerja rumah juga boleh dijadikan satu bentuk senaman, bersenam tidak semestinya perlu berjoging di taman atau pun membeli peralatan senaman yang mahal-mahal,” katanya.
Beliau berkata, antara senaman yang boleh dipraktikkan dengan mudah oleh golongan wanita ialah melakukan tarian poco-poco, bermain dengan anak di taman, mengemas rumah dan berjalan kaki atau berjalan laju.
“Aktiviti seperti ini bukan saja dapat menguruskan badan, melancarkan perjalanan darah dan menyihatkan jantung, tetapi pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.
Dr Chen berkata, wanita terutama yang bekerjaya dikesan lebih cenderung menggunakan jalan mudah untuk kelihatan kurus dan ramping, iaitu dengan menggunakan krim sapu dan ubat kurus yang banyak dijual di pasaran.
“Biasanya, wanita bekerja paling berisiko untuk mempunyai berat badan tidak ideal kerana waktu makan mereka yang tidak menentu. Mereka juga lebih suka memilih makanan segera yang lebih cepat dan mudah diperoleh berbanding makanan sempurna, manakala kerja rumah juga lebih banyak bergantung kepada orang gaji.
“Kalau betul ada krim sapu yang boleh hilangkan lemak sekelip mata, tentu tak ada lagi masalah berat badan berlebihan, tentu ramai orang kita yang kurus dan ramping,” katanya.
Beliau berkata, pada asasnya tiada jalan singkat untuk mendapatkan kesihatan yang unggul melainkan dengan melakukan senaman yang kerap dan memakan pemakanan seimbang. – Bernama
Dikirim oleh Haniey 

















