Talian bantu mangsa dera dilancar

Oleh: HABIBAH OMAR

PUTRAJAYA 5 Dis. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melancarkan Talian Nur yang berfungsi memberikan khidmat bantuan kepada orang ramai berkaitan isu-isu sosial termasuk kes dera dan keganasan rumah tangga.

Talian 15999 yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu difokuskan kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak, bencana alam, kebajikan dan penjagaan serta isu berkaitan keluarga dan masyarakat.

Ia akan beroperasi 24 jam, tujuh hari seminggu dan dibuka sepanjang tahun dengan 29 kakitangan telah ditugaskan untuk mengendalikan talian hayat itu yang beroperasi dari Kuala Lumpur.

Dalam ucapan pelancarannya, Abdullah berpesan jangan ada pihak yang membuat panggilan palsu melalui talian berkenaan kerana Talian Nur amat penting dan bernilai kepada mereka yang memerlukan bantuan.

“Saya berharap tidak ada mana-mana kumpulan nakal yang akan membuat panggilan palsu kerana kalau dibiarkan perbuatan nakal itu akan menjadi perbuatan jahat dan ia tidak baik.

“Pada masa yang sama, talian itu perlu sentiasa berfungsi dan tidak terputus manakala kakitangan yang akan menyambut panggilan pula perlu aktif serta mengangkat panggilan dengan segera,” katanya pada majlis pelancaran talian itu di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Menurut Perdana Menteri, tindakan segera perlu diambil terhadap setiap panggilan ke Talian Nur bagi mengelakkan kelewatan yang pastinya akan membawa kepada kemudaratan.

Bagi kakitangan yang terbabit pula, kata Abdullah, mereka perlu bertindak segera dengan memaklumkan kepada pegawai atasan sekiranya talian itu menghadapi masalah teknikal atau kekurangan pembantu.

‘‘Kakitangan yang terbabit perlu bekerja dengan dedikasi, efisien dan cepat,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat memberi jaminan kakitangan Talian Nur yang bertugas akan menjawab panggilan dalam tempoh tiga deringan dan segala butiran termasuk aduan akan direkodkan ke dalam komputer.

Pada hari pertama operasinya Talian Nur 15999 menerima kira-kira 100 panggilan daripada orang ramai.

2 Respons bagi “Talian bantu mangsa dera dilancar”

  1. Hasanah Berkata:

    Di sini saya bukan ingin berhasrat untuk meyatakan sebarang komen. Saya ingin membuat satu pertanyaan untuk menangani masalah yang berlaku pada seorang saudara saya. Saya ingin sebarang pendapat atau langkah yang patut kami ambil untuk menylesaikan masalah ini. Kisahnya begini……

    Saudara saya adalah seorang ibu tunggal, 5 orang anak. Setelah kematian suaminya, beliau memikul semua tanggungjawab. Anak sulongnya, lelaki berusia dalam 18 tahun telah dibesarkan disebuah rumah anak yatim di ibukota. 3 anak perempuannya dibesarkan di Rumah Budi, Yan. Kedah. Hanya anak bongsunya yang tinggal bersamanya.
    Permasalahannya begini….Anak lelaki sulung saudara saya ini, telah mengenali seorang ibu angkat yang masih bersuami dan mempunyai 4 orang anak. Namun, hubungan ini ada sedikit kemusykilan. Ibu angkatnya seakan menghalang anak lelakinya dari terus menghubungi keluarga kandungnya seperti biasa. Memang dalam masa yang sama dia menyara pengajian anak lelakinya ini disebuah kolej di ibukota. Perubahan tingkah laku anak lelakinya ini memang amat ketara sehingga membuat naluri seorang ibu sayu dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan hubungan ini. Anaknya lebih menyebelahi ibu angkatnya ini. Saudara saya ada mendapatkan pandangan dari seorang pengamal perubatan tradisional, dan jawapannya amat mengejutkan. Anak lelakinya telah diguna-gunakan untuk satu tujuan yang kurang baik. Saudara saya telan cuba untuk membawa anaknya kembali ke kampung tetapi gagal……
    Saya amat berharap pihak tuan dapat membantu saya dalam menangani hal ini….

  2. Runiza Mohd Salleh Berkata:

    Assalamualaikum. Saya bukan nak memberi komen cuma ada pihak2 yang dapat membantu sepupu saya. Sepupu saya seorang wanita yang mempunyai 4 orang anak. Anak sulung beliau besekolah darjah 4 dan yang kecil sekali 3 tahun. Suami dia seorang yang tidak bertangungjawab. Dia tidak mendera sepupu saya dari pada fizikal tetapi mental. Suami beliau tidak mahu bekerja. Kadang-kadang 3 bulan menghilangkan diri tampa memberi nafkah kepada anak isteri. Suami beliau juga mempunyai hutang keliling pinggang dan terpaksa isteri beliau tanggung. Lebih membebankan sepupu saya ini tidak mempunyai pekerjaan tetap. Beliau hanya membantu ibu beliau berniaga di gerai makanan. Beliau ingin berniaga tetapi tidak boleh membuat sebarang pinjaman kerana nama beliau telah disenarai hitam. (suami beliau menggunakan nama beliau untuk membuat pinjaman bank). Beliau tidak berani untuk bercerai kerana suami mengugut akan membawa lari anak-anak. Pernah sekali beliau berdiri di atas Jambatan P.Pinang dan cuba untuk membunuh diri. Beliau mengalami tekanan perasaan yang teruk. Ahlamdulilah ibunya berjaya memujuk. Dapatkah atau sudilah sesiapa dari pihak nur membantu beliau. Sudah berkali-kali kami dan keluarga menasihatkan beliau ke Pejabat kadi tetapi beliau enggan. Saya harap pihak tuan dapat membantu. Terima kasih.

Tinggalkan jawapan