Wanita Melayu kurang kesedaran periksa payu dara

Disember 31, 2007

KURANG kesedaran di kalangan wanita terhadap pentingnya pemeriksaan payu dara sebahagian punca peningkatan kes barah berkenaan.

Malah, wanita Melayu dikatakan kurang prihatin terhadap kepentingan pemeriksaan payu dara berbanding kaum lain di negara ini.

Menurut Pakar Pembedahan Pusat Pakar Payu Dara, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr Patricia Alison Gomez, kebanyakan kes yang dirujuk sudah agak lewat membuatkan mangsa tidak dapat diselamatkan.

“Kajian berdasarkan kaum mendapati Cina dan India mempunyai kesedaran tinggi dalam melakukan pemeriksaan awal untuk mengesan barah berkenaan berbanding wanita Melayu.

“Wanita Melayu agak terlewat dalam melakukan pemeriksaan secara berkala bahkan jika ada, ramai di kalangan mereka tidak boleh menerima hakikat mereka berisiko mendapat barah payu dara pada tahap yang dianggap kritikal itu.

“Segelintir mereka lebih suka berubat secara tradisional berbanding perubatan moden.

Apabila sudah agak berbahaya, barulah mereka mendapatkan semula rawatan di klinik. Mungkin ketika itu keadaan sudah agak parah dan payu dara tidak dapat diselamatkan.

“Sebaiknya, mereka wajib melakukan pemeriksaan kerap sama ada mengesan sendiri atau datang ke klinik sebagaimana yang disarankan pakar,” katanya.

Dia turut mencadangkan supaya kesedaran mengenai bahaya barah payu dara diberikan sejak awal remaja supaya mereka mendapat pendedahan mengenainya seawal mungkin.

Bahkan katanya, jika mampu dikesan lebih awal, ia membolehkan wanita menerima rawatan sebaik mungkin.

“Bukan semua ketulan pada payu dara itu mengundang rasa sakit. Jika tidak sakit sekali pun, ia boleh menjadi barah.

Ini bergantung kepada keadaan dan pemeriksaan sebulan sekali penting sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Petunjuk awal menentukan sama ada seseorang itu berisiko diserang penyakit barah payu dara berdasarkan ketulan yang memudaratkan atau sebaliknya.

Dia turut mengakui, masih ramai wanita takut melakukan pemeriksaan payu dara, malah turut bimbang sekiranya langkah drastik tidak dilakukan dalam tempoh dua tahun dari sekarang, mereka berkemungkinan menghidap penyakit berkenaan.

Barah payu dara juga tidak mengenal kedudukan sama ada wanita itu miskin atau berkedudukan tinggi.

“Jika lambat melakukan pemeriksaan, agak sukar untuk mengawalnya jika penyakit itu sudah serius. Ini yang patut disedari oleh wanita bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.


Remaja merokok trend atau tekanan hidup?

Disember 31, 2007

ENTAH secara kebetulan atau memang sudah ditentukan, saya bertemu kedua-dua remaja ini ketika berkunjung ke sebuah taman rekreasi di Kuala Lumpur untuk satu tugasan.

Dari jauh saya memerhati wajah mereka, cantik, anggun dan menarik, sayangnya di jari masing-masing terselit rokok. Begitu ghairah mereka menyedut asapnya dengan gaya bersahaja.

Melihat reaksi tersebut saya menarik nafas. Bagaikan tidak percaya, gadis secantik mereka sudah pandai merokok.

Lalu terfikir juga saya, kalau remaja belasan tahun sudah merokok, apa lagi mereka yang telah matang?

Persoalannya, mengapa mereka masih memilih untuk merokok sedangkan mereka sedia maklum tentang impak yang bakal ditanggung. Seperkara lagi kenapa mereka merokok?

Biarpun nyata trend merokok di kalangan wanita kini menjadi lumrah, naluri ingin tahu saya terus menerpa. Kalau dapat didekati kedua-dua remaja cantik ini tentu ada kisah menarik yang boleh dikongsi. Paling tidak berkongsi sebagai teladan.

Yakin keinginan saya akan terlaksana, mereka saya hampiri. Saya tidak kecewa sebab sebaik menyapa, salam saya bersambut. Kedua-dua remaja cantik itu bersetuju untuk berbual mengenai punca mereka terjebak dengan merokok.

Zila dan Zita (bukan nama sebenar) kemudiannya meluahkan perasaan kepada wartawan, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH, sambil jurugambar ZAKKI JILAN merakamkan suasana santai penuh telus itu yang berlatar belakangkan sebuah taman rekreasi popular di bandar raya, Kuala Lumpur.

ZILA, 22 (bukan nama sebenar) mengakui, dia merokok hanya sekadar untuk melepaskan perasaan sedih dan tertekan ketika tidak mempunyai sesiapa untuk mengadu masalah.

“Saya bukan perokok yang heavy atau merokok dalam kadar yang kerap. Apabila mengalami sesuatu masalah, misalnya, bergaduh dengan kekasih atau tekanan kerja, saya mengambil rokok untuk melegakan perasaan.

“Di ibu kota, budaya merokok di kalangan orang- orang seperti kami bukan sesuatu yang janggal. Malah, merokok boleh menambah keyakinan diri,’’ katanya.

Zila mengakui perasaannya menjadi lega sebaik rokok dapat disedut, kemudian dihembus perlahan-lahan mengiringi bebanan fikirannya.

“Saya tahu, rokok tidak baik dan memburukkan kesihatan. Macam saya, kulit sudah mula menjadi kering dan tekak sentiasa berasa haus. Kekadang saya rasa bibir kering tetapi nak buat macam mana, saya tiada jalan lain. Tidak dapat rokok, tidak sempurna hidup saya,’’ ujarnya.

Seperti juga Zila, Nita, 22 (bukan nama sebenar) menganggap hidup di kota perlu berani, terutama remaja wanita yang inginkan kehidupan moden.

“Tiada yang dapat menghalang kami di sini. Hidup bersama rakan-rakan yang sama cita rasa dan fikiran memudahkan segalanya.

“Rokok hanya suka-suka walaupun saya akui terpaksa mengeluarkan belanja yang besar setiap bulan,’’ jelasnya yang mula merokok sejak dua tahun lalu.

Nita memberitahu, tanpa rokok dia boleh sakit kepala terutama selepas penat bekerja.

“Tak tahulah sama ada Nita ni dalam kelompok perokok kronik atau tidak kerana macam yang Zila cakap tadi, kami merokok dalam kadar yang sikit. Lagipun ia bukan selama-lamanya hanya sekadar suka-suka,’’ katanya.

Nita memberitahu, dalam sebulan dia membelanjakan lebih kurang empat ratus ringgit untuk membeli rokok dan itu belum lagi ditambah dengan kos membeli rokok yang dikongsi bersama teman-teman.

Nita mengakui, ibu dan bapanya di kampung tidak mengetahui yang dia kini merokok.

“Habislah saya kalau mereka tahu, pasti saya kena balik ke kampung segera. Tentang risiko merokok, saya tahu dan saya sendiri pun kelihatan kurus, cengkung dan kekadang batuk-batuk seperti seorang penagih dadah pula.

“Kami tahu ada kalangan masyarakat yang tidak suka sebab itu kami memilih tempat untuk merokok.

“Susah juga hidup seperti ini, kerana mahu merokok kami terpaksa bersembunyi. Kalau boleh, saya tidak mahu sesiapa tahu saya merokok kecuali rakan-rakan.

Mendengar suara hati mereka, saya pasti mereka mempunyai sebab tersendiri berbuat demikian. Mengikut gaya hidup di bandar raya, disebabkan teman-teman atau memang itulah kehendak hati.

Menyelami perasaan mereka, tidak dapat dinafikan itulah cara mereka bagi mendapatkan ketenangan dalam sebuah kehidupan di kota besar ternama ini.

Nyata kedua-duanya menganggap merokok kini menjadi trend remaja moden wanita masa kini. Jika merokok dipandang tinggi dan ada kelas!

Walaupun mengetahui risiko kesihatan yang dialami dan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak setiap bulan, mereka langsung tidak mengendahkan tanggapan masyarakat mahupun nasihat keluarga sebelum mereka menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.

Saya mengharapkan kedua-duanya akan meninggalkan tabiat merokok itu apabila sampai masanya, sebaiknya secepat mungkin demi masa depan dan kesihatan yang baik.

Setelah mengucapkan terima kasih, kami bersalaman semula. Ada seri pada wajah mereka. Lalu terfkir saya, alangkah manisnya jika mereka hidup tanpa rokok!

Kepada remaja dan wanita di luar sana yang baru mencuba-cuba, tepuk dada, tanya selera. Banyak lagi cara untuk melegakan perasaan dan carilah rakan yang mampu membimbing kita ke arah kebaikan.

Sayangilah diri sendiri dan belai kesihatan anda bermula dari peringkat remaja lagi.

Sumber: Utusan


Pelaku maksiat tidak hidup tenang

Disember 31, 2007

Bersama Dr Juanda Jaya

MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.

Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.

Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat: “Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.”

Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.” Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.

Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari. Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi? Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?
Kegelapan di dalam hati

Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati! Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud: ”Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” – (Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)

Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.

Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.
Kegelapan di wajah

Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.
Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain

Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi: “Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”

Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?

Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.

Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.

Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:

”Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

Penulis bertugas di Pejabat Mufti Sarawak.
 


Kaedah pulih sihir

Disember 30, 2007

SOALAN:
Lebih 10 tahun saya menderita hingga sekarang, puas berubat hingga buang wang, tenaga dan waktu. Saya dipuja orang, hampir setiap malam bermimpi jatuh dari bangunan tinggi, ketawa mengilai, bermimpi bertelanjang dan lain-lain mimpi yang menakutkan.

Mulai tahun 2005 saya mula tidak boleh berfikir secara normal, mana yang baik dan buruk, telefon lelaki berkenaan siang dan malam. Setiap kali saya berubat dan membaca doa saya akan menjadi lebih gila dan terangsang hendak menemui lelaki berkenaan.

Ingatan terhadap lelaki itu sentiasa ada dalam pemikiran biarpun saya berusaha melupakannya.

Apabila saya bersembahyang hajat untuk melupakannya, seluruh badan terasa sakit termasuk kepala. Apabila mendengar suaranya, sakit yang saya deritai hilang serta-merta.

Saya seorang gadis yang pemalu dan tidak tahu mengacau orang, tetapi sejak balik dari Kuala Lumpur kerana ada urusan, saya mengalami masalah seperti ini.

Badan saya menjadi kurus menderita kerana takut hendak tidur. Tolonglah saya untuk kembali menjadi manusia normal. Terima kasih.

– Zai, Teluk Intan.

Jawapannya:
Berdasarkan keterangan di atas, juga bukti lain yang saudari jelaskan dalam surat memperlihatkan besar kemungkinan ia melibatkan amalan sihir, perbuatan manusia yang dibantu oleh jin, untuk sesuatu tujuan. Merujuk kes ini penglibatan jin itu dilakukan supaya saudari sentiasa mengingati orang yang memuja tadi.

Untuk pulih dan hidup seperti sediakala, sihir tersebut iaitu jin yang terlibat tadi hendaklah dipisahkan atau dihindarkan daripada menyakiti saudari yang menyebabkan saudari tidak berupaya berfikir waras, mimpi yang mengerikan, sentiasa ingat kepada lelaki berkenaan juga masalah-masalah lain yang dihadapi.

Pertama sekali, saudari perlu berubat dengan orang yang arif mengenainya. Jangan sesekali berubat dengan orang yang melakukan rawatan, yang juga melibatkan atau meminta pertolongan kepada jin. Amalan melakukan rawatan untuk mengatasi sihir atau akibat jin-jin dengan pertolongan jin-jin diistilahkan sebagai “an-nusyrah”. Ia adalah dilarang dalam Islam.

Perlu diingat, tidak mudah untuk membezakan antara mereka yang menggunakan kaedah yang diharuskan oleh syarak dengan yang melakukan rawatan melibatkan makhluk-makhluk jin. Selain dilarang, berkemungkinan pesakit seperti ini akan menjadi lebih teruk, kerana orang yang melakukan rawatan tadi yang menggunakan atau yang melakukan rawatan dengan pertolongan makhluk tersebut akan “melepaskan” atau “menambah” bilangan jin mendampingi si pesakit, lalu akhirnya menyakiti orang yang berkenaan.

Antara jin yang mengganggu seseorang menyebabkan mangsa tidak boleh berfikir waras, menjadi sasau dan sebagainya, atau jin-jin yang membantu seseorang untuk melakukan rawatan seumpama mempunyai “perjanjian” untuk menyakiti manusia yang seterusnya menyesatkan manusia menjadi syirik dan kufur.

Dalam situasi seperti ini, atas permintaan syaitan yang membantu perawat tadi ia boleh meminta syaitan yang menyebabkan seseorang itu sakit pergi meninggalkan pesakit, lalu pesakit tadi sembuh. Tidak lama selepas itu ia boleh datang semula, menyebabkan seseorang itu sakit semula atau lebih teruk.

Allah s.w.t. menjelaskan seperti tersebut dalam surah Jin: 6 bermaksud: Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.

Allah s.w.t. juga menjelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang jelas. Dalam keadaan apa sekalipun makhluk berkenaan adalah musuh, tidak kira sama ada ia boleh membantu seseorang untuk melakukan rawatan, seseorang itu menjadi kuat dan sebagainya.

Kaedah kedua ialah dengan merawat diri sendiri, iaitu dengan memperkuatkan roh kita. Apabila roh kuat, maka iblis dan syaitan itu tidak akan berupaya menyakiti seseorang. Kekuatan roh merupakan ketahanan, caranya ialah dengan bertakarub atau menghampirkan diri kepada Allah iaitu dengan (i) melakukan amalan-amalan sunat, (ii) terus-menerus, (iii) sehingga dikasihi Allah, (iv) dan apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah, Allah akan memberi kekuatan kepadanya. (v) Apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah, ketika itu Allah akan memberi “karamah” (kemuliaan) kepadanya, iaitu dengan memperkenalkan permohonannya memberi pertolongan kepadanya, ketika ia memohon pertolongan dan memberi perlindungan ketika ia memohon perlindungan.

Walaupun demikian, tidak semua orang atau pesakit, termasuk yang menjadi mangsa sihir berupaya merawat diri sendiri melalui kaedah kedua ini. Ada pesakit yang tidak pernah melakukan ibadah atau bertakarub kepada Allah. Tidak sembahyang, tidak tahu membaca al-Quran dan tidak tahu membaca doa. Dalam keadaan seperti ini, kaedah rawatan ini tidak sesuai baginya.

Ada pesakit yang boleh melakukan kaedah ini, tetapi ketika sakit ia tidak berupaya melakukan sembahyang, membaca doa dan sebagainya. Ada pesakit yang tersekat atau terhalang ketika hendak membaca doa atau sembahyang. Badan menjadi sakit ketika hendak sembahyang malam, mengantuk tidak boleh membuka mata, terasa lenguh longlai, sakit kepala yang bersangatan dan sebagainya. Bukti atau simptom seperti ini merupakan tanda-tanda seseorang itu diganggu ataupun terlibat dengan sihir.

Ada sesetengah pesakit yang berusaha untuk membaca doa-doa ataupun ayat-ayat al-Quran. Semakin ia banyak berusaha untuk berdoa, sakitnya menjadi lebih teruk. Hilang ingatan, mengilai, menjerit dan menangis. Malah ada mangsa yang terjelir lidahnya memanjang keluar apabila ia terus-menerus melawan dengan terus membaca doa. Ada pesakit yang terasa lehernya tercekik ketika sedang berdoa.

Keadaan seperti ini merupakan tindak balas daripada usaha-usaha untuk melakukan rawatan. Dengan demikian, pesakit akan berhenti menyebabkan penderitaannya terus berpanjangan. Ada pesakit yang menjadi fobia tidak mahu membaca al-Quran, membaca doa dan seumpamanya, takut atau tidak mahu sembahyang, melarikan diri apabila mendengar azan ataupun membaca ayat-ayat suci.

Kaedah ketiga ialah dengan berubat dengan orang yang arif, seperti yang dijelaskan dalam kaedah pertama, di samping merawat diri sendiri seperti kaedah kedua.

Banyak kaedah yang boleh dipelajari dan diamalkan dalam usaha merawat diri sendiri. Biar dalam keadaan apa sekalipun, seseorang itu mesti belajar atau berguru, bukan semata-mata berpandukan kepada buku. Ini perlu untuk memberi keyakinan dalam diri dan adanya tempat rujukan apabila timbul masaalah.

Kaedah ini merangkumi amalan (i) sembahyang taubat yang diikuti dengan beristighfar, (ii) sembahyang tasbih (iii) sembahyang tahajud, (iv) sembahyang witir (v) zikir, (vi) berdoa dengan al-Asma al-Husna (vii) selawat ke atas nabi (viii) sembahyang hajat.

Rangkaian amalan ini hendaklah dilakukan pada waktu mustajab, iaitu pada satu pertiga malam terakhir, lebih kurang bermula pukul 3 pagi sehingga subuh. Allah menjanjikan kemakbulan doa pada waktu itu dan keampunan bagi yang memohon keampunan.

Dirikan sembahyang taubat dua rakaat kemudian mohon keampunan (beristighfar) sekurang-kurangnya 100 kali. Sebutan istighfar tersebut bermaksud: Aku memohon keampunan kepada Allah yang maha agung, yang tidak ada Tuhan, kecuali Allah. Dia yang hidup lagi perkasa dan aku bertaubat kepada-Nya yang diakhiri dengan bacaan sayyidu ‘l-istighfar (penghulu istighfar).

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa barang siapa selalu memohon keampunan, Allah jadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesempitan, kelapangan dan daripada setiap dukacita, kegembiraan dan Allah memberinya rezeki yang tidak terkira.

Setelah itu lakukan sembahyang tasbih yang diikuti dengan sembahyang tahajud. Allah memuliakan hamba-Nya yang mendirikan sembahyang malam (tahajud) dengan lima perkara (i) memeliharanya daripada bencana (ii) akan lahir berkat ketaatan (iii) dicintai oleh hamba Allah yang soleh (iv) lidahnya bertutur dengan kata-kata hikmat (v) Allah menjadikan dia daripada golongan orang yang bijak dan mudah menerima ilmu.

Abu Hurairah menjelaskan, Rasulullah bersabda menyatakan setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan selawat, maka urusan itu hilang keberkatannya. Barang siapa berselawat sehari 100 kali, Allah menyempurnakan baginya 100 hajat, 70 untuk akhirat, 30 lagi untuk dunianya.

Baginda juga bersabda: Bahawasanya doa itu terhenti (mauguf) di antara langit dan bumi, tidak naik darinya sedikitpun, sehinggalah engkau berselawat ke atas nabimu.

Terdapat beberapa kaedah untuk melakukan sembahyang hajat. Untuk melakukannya seseorang itu boleh merujuk kepada mereka yang alim, di mana ia melibatkan doa kepada yang Maha Esa.

Berdoa perlu dilakukan dalam keadaan menghadap kiblat, mengangkat kedua-dua belah tangan bagi yang berdoa dalam keadaan duduk, kemudian sapu ke muka setelah sempurna berdoa, khusyuk dan tadaru, rasa rendah diri, dengan suara antara kedengaran dan tidak, yakin Allah akan memperkenankan doa yang dipohon dan bukan sambil lewa dan berulang-ulang kali.

Berdoa adalah tanggungjawab manusia manakala kemakbulannya urusan Allah. Jangan berdoa seolah-olah memaksa Allah menunaikan apa yang diminta dengan segera kerana ia terkeluar daripada adab doa.

Tidak mudah bagi seseorang itu untuk melakukan kaedah rawatan seperti yang dijelaskan, terutamanya mereka yang tidak pernah melakukannya, juga mereka yang menghadapi masalah seperti yang dijelaskan.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, panduan ini perlu diikuti, iaitu (i) jangan melakukan dosa pada waktu siang dan malam. Dosa itu mengeraskan hati dan mendinding rahmat. Dalam keadaan seperti ini seseorang itu perlu memperbanyakkan taubat. (ii) Tidur sebentar di siang hari untuk merehatkan badan (iii) jangan banyak makan dan minum (iv) jangan bekerja terlalu kuat di siang hari (v) tidur dalam keadaan mengiring ke kanan (iv) tidur awal dan niat untuk bangun beribadah. Sekiranya seseorang itu berniat bangun beribadah, tetapi dikuasai tidur sehingga subuh, Allah mencatatkan baginya pahala amalan yang diniatkan. Tidurnya adalah sedekah daripada Allah (vii) tidur dalam keadaan berwuduk.

Keterangan terperinci mengenai kaedah ini boleh dirujuk kepada buku bertajuk Memperkasa Diri, karangan Dr. Amran Kasimin, 2002. Percetakan Watan, Kuala Lumpur.

PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.


Masalah rumah tangga rujuk mereka yang arif

Disember 29, 2007

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

SEJAK dua dekad lalu, institusi keluarga di negara ini mengalami perubahan dan peralihan kesan pembangunan industri serta urbanisasi yang pesat.

Struktur keluarga dan nilai-nilainya turut mengalami perubahan ketara akibat cara perubahan dalam hidup berkeluarga yang amat berbeza dengan gaya hidup keluarga tradisi.

Kesan sampingan daripada kepesatan pembangunan yang tidak seimbang telah menimbulkan pelbagai cabaran dari dalam mahupun luar sistem institusi keluarga.

Antara faktor berlakunya perubahan sedemikian mungkin kerana kurangnya pengetahuan tentang kewujudan beberapa agensi kerajaan mahupun swasta yang boleh membantu menyelesaikan isu-isu kekeluargaan menyebabkan mereka memilih untuk mendiamkan diri, jika berlaku pergolakan rumah tangga.

Di atas kesedaran inilah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), menganjurkan Seminar Pemantapan Keluarga bagi membincangkan senario institusi keluarga masa kini yang semakin kronik, mengenai cabaran dan penyelesaian menurut perspektif Islam.

Seramai 550 peserta terdiri daripada kakitangan kerajaan, badan berkanun dan agensi swasta menyertai seminar sehari ini. Ia bertujuan memberi maklumat dan panduan pengurusan konflik dalam institusi keluarga.

Melalui seminar itu, turut diadakan diskusi di antara Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Kehakiman Negara dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Ia bertujuan memperjelaskan peranan agensi tersebut ke arah mewujudkan institusi keluarga yang kukuh dan berkualiti.

Antara ahli panel yang membincangkan tajuk itu ialah Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Aluwi Parman, Ketua Unit Pembangunan Undang-undang Islam dan Kehakiman Syariah, Abdul Walid Abu Hassan, Pegawai Penerangan LPPKN, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Hairil Fadzly Md. Akir dan Pegawai Pembangunan Keluarga, Sosial dan Pembangunan Masjid (Kesuma) Jakim, Zawanah Muhammad.

Dalam diskusi yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Jawi, Mohd Ajib Ismail, para peserta didedahkan tentang peranan setiap agensi tersebut agar mereka menyedari tidak keseorangan dalam memasuki alam rumah tangga.

Menurut Aluwi, Jakim adalah agensi pusat yang bertanggungjawab terhadap pengurusan hal ehwal Islam. Ia mempunyai mekanisme untuk mengatasi ketidakseragaman dalam pengurusan berkaitan dengan isu-isu kekeluargaan.

“Pihak kami menerima banyak kes berkaitan permasalahan rumah tangga seperti bapa enggan menjadi wali, campur tangan pihak ketiga, masalah ekonomi yang dibebani hutang perkahwinan dan masalah-masalah lain yang boleh mengundang perceraian,” katanya.

Sehubungan itu, Aluwi berkata, Kesuma diwujudkan untuk menyeragamkan undang-undang, peraturan dan prosedur pengurusan perkahwinan, perceraian dan rujuk selain berperanan merancang produk berkaitan dengan kekeluargaan untuk dilaksanakan oleh JAIN seperti modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) dan Modul Program Perkhidmatan Sosial (PPS).

“Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan, namun sedikit sebanyak dapat membantu memberi khidmat nasihat bagaimana untuk mengurus rumah tangga mengikut landasan agama di samping membantu mengurus hal-hal berkaitan cerai atau fasakh jika sesebuah perkahwinan itu tidak mampu diselamatkan lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Kehakiman Syariah pula berperanan membantu menyelesaikan kelewatan penyelesaian kes-kes di mahkamah atau kes tertunggak agar tidak menjadi beban kepada pasangan yang ingin bercerai atau sebagainya.

Dalam pada itu, diskusi tersebut turut membincangkan peranan LPPKN dalam memberikan latihan, bengkel dan modul kepada pasangan yang baru berkahwin dan akan berkahwin sama ada muslim atau bukan muslim. Ia melalui penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan persediaan perkahwinan dan pembangunan keluarga.

Kesimpulannya, negara kita sudah cukup menyediakan agensi-agensi yang dapat membantu memperkukuhkan institusi kekeluargaan demi melahirkan ummah yang cemerlang, terbilang dan gemilang.

Namun, ia terpulang kepada kita untuk memilih jalan terbaik bagi menyelamatkan sesebuah perkahwinan yang dibina atau meruntuhkan ia begitu sahaja tanpa perbincangan dan rundingan dengan pihak ketiga.