Janda dan duda: Takdir atau trend?

Oleh Fairuz Zaidan

PERCAYA atau tidak, ketika masyarakat semakin bersikap terbuka menerima pelbagai isu dan kritikan umum, masih ada lagi segelintir mereka yang berpandangan negatif dalam sesetengah perkara. Kesalahan seseorang begitu mudah dijatuhkan hukuman seolah-olah merekalah yang layak menghakimi sesuatu perkara tanpa usul periksa sekali pun.

Akibatnya, pihak yang tidak tahu pucuk pangkalnya terpaksa menanggung impak ‘dosa’ yang belum tentu salahnya, walhal pihak yang menjatuhkan hukuman itu belum tentu mengetahui pucuk pangkalnya.

Seolah-olah sudah menjadi fitrah di kalangan masyarakat untuk ‘menghakimi’ segala benda. Begitu jugalah keadaannya dengan nasib janda dan duda.
 

Janda dan duda?

Tentu pelbagai tanggapan menerjah kotak fikiran bila membicarakan soal status wanita dan lelaki yang pernah berkahwin. Sukar untuk melihat penerimaan orang bila mendapati yang diri ini mempunyai status janda mahupun duda.

Bagaikan halilintar perubahan wajah dan personaliti seseorang bila dikhabarkan mengenai status itu. Apakah suatu dosa bila seseorang itu memiliki gelaran sedemikian yang dia sendiri mungkin tidak berkehendakkan status begitu?

Namun, apakan daya mulut tempayan boleh ditutup tetapi sukar untuk menghentikan tohmahan pembawa cerita yang begitu memburu segala cerita luar dan dalam insan bergelar janda – duda ini. Mengalahkan bintang popular pula lagaknya!

Berbicara mengenai status ‘kumpulan’ ini, terdapat beberapa tanggapan sesetengah masyarakat (sekadar mengambil beberapa contoh) mengenai status janda dan duda.

Mungkin impak bergelar duda tidak sehangat bergelar seorang janda yang terpaksa berhadapan dengan tohmahan sekeliling.

“Selagi seseorang wanita itu bergelar seorang janda, hari-hari yang dia lalui tidak akan sunyi daripada kata-kata berbau negatif berikutan gelarannya itu.

“Mahu atau tidak, seseorang janda itu terpaksa menerima pahit manis gelaran ini, sedangkan dia sendiri tidak bermimpi untuk bergelar janda,” kata seorang teman yang pernah melalui pengalaman bergelar janda, sebelum membina semula ikatan perkahwinan dengan seorang jejaka sejak tiga tahun lalu.

Sebelum bergelar janda, teman rapat tadi yang enggan namanya disiarkan berkata, faktor terburu-buru dan berkahwin muda antara sebab perkahwinan pertamanya gagal. Akibatnya, rumah tangga yang dibina selama dua tahun atas dasar suka sama suka menemui saat genting, sebelum masing-masing membuat keputusan untuk berpisah sebagai jalan terbaik.

“Tuhan saja yang tahu bagaimana saya menghadapi hari-hari biasa sebagai seorang janda. Ada saja cerita-cerita negatif dilemparkan teman sekerja, termasuklah rakan karib sendiri yang memfitnah saya sebagai punca perceraian.

“Kebetulan, perkahwinan saya itu tidak dikurniakan zuriat. Lagilah orang membangkitkan punca perceraian ini dengan menganggap saya mandul,” akuinya yang kini mempunyai seorang cahaya mata lelaki berusia 13 bulan.

Berbeza pula dengan lelaki, kebiasaannya masyarakat boleh menerima status seorang duda yang dirasakan lebih matang dan berpengalaman. Paling menarik, kebanyakan duda mencanak naik ‘sahamnya’, lebih-lebih lagi jika mempunyai pekerjaan dan kedudukan kewangan yang kukuh.

Tidak hairan, keluarga pasangan wanita yang ingin disunting tidak menolak jika bermenantukan seorang duda kerana faktor itu, berbanding dengan wanita bergelar janda. Lebih parah lagi, bila seseorang janda itu mempunyai bilangan anak yang ramai. Faham-faham sajalah…

‘Diskiminasi’ yang diwujudkan ini seolah-olah menyalahkan seratus peratus perceraian kepada wanita sehingga melayakkan mereka dilabel sebagai JANDA! Sudahlah puas menerima tohmahan sesetengah pihak, gelaran janda tidak mampu dipadam, selagi tiada lelaki yang sudi menyunting kembali seseorang wanita itu daripada gelaran ‘ngeri’ berkenaan.

Apapun, jangan sangka tidak ada yang gembira dengan gelaran janda dan duda ini. Setidak-tidaknya bagi sesetengah mereka ini, gelaran itu memberi kelegaan kerana berjaya juga akhirnya melepaskan diri daripada dibelenggu ‘kesakitan’ akibat ikatan perkahwinan yang memeritkan.

Bagaimana pula dengan mereka yang menjadikan status duda dan janda sebagai peluang mengambil kesempatan terhadap persepsi ‘nakal’ orang di luar sana? Anda yang mentafsirkannya…

KISAH MEREKA…

> Kisah 1

JIKA perkahwinan dibina hanya bersandarkan hubungan cinta, ia tidak memadai andai tidak mendapat restu keluarga. Ikatan perkahwinan itu pasti akan retak juga di kemudian hari.

Begitulah yang dilalui Norkamilawani Kamaruzaman, 29, yang kini bergelar seorang janda!

“Tiada siapa yang mahukan gelaran ini (janda). Memang saya tidak terfikir sama sekali yang saya akan mendapat title ini kerana antara saya dengan bekas suami dulu memang saling sayang menyayangi sehingga kami membuat keputusan untuk berkahwin.

“Hasrat itu terlebih dulu mendapat tentangan keluarganya yang merasakan saya tidak sesuai untuknya kerana menganggap gaya hidup saya tidak boleh membahagiakan bekas suami.

“Namun, kami berkahwin juga walaupun keluarga bekas suami tidak hadir pada majlis itu,” katanya yang mengenali suami selama empat tahun sebelum berkahwin pada 2002 ketika berusia 24 tahun.

Atas dasar sayang dan mahu menjaga hati suami, Norkamilawani atau lebih mesra dengan panggilan Wani, cuba untuk berbaik dengan mentua. Memang sukar dan hanya selepas menimang cahaya mata pertama, hubungan dengan mentua bertambah baik.

Bagaimanapun, malang tidak berakhir buat Wani. Hubungan dengan mentua bertambah baik, suami mula berubah perangai hingga menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka.

“Dia memiliki sikap panas baran dan pernah memukul saya ketika masih menjadi isterinya. Perbuatannya itu, turut berlarutan bila sudah melepaskan saya.

“Sehingga sekarang, dia seolah-olah tidak dapat menerima kenyataan yang dia sudah menceraikan saya dengan talak tiga selama dua kali serentak,” dakwa Wani yang tetap berbaik dengan bekas suaminya itu demi kebahagiaan anak tunggal perempuannya yang kini berusia empat tahun.

Walaupun sudah bercerai, dakwa Wani bekas suaminya itu seakan tidak boleh menerima kenyataan yang dirinya kini sudah bebas sehingga ingin mengetahui segala perkara mengenai dirinya. Malah, bekas suaminya juga beranggapan yang Wani tidak berpuas hati kerana mereka tidak boleh merujuk kembali.

Banyak perubahan apabila bergelar janda, kata Wani. Dia bukan saja terkejut dan buntu pada peringkat awalnya malah terpaksa menyesuaikan diri menjalani kehidupan bersendirian, baik dari segi soal perbelanjaan hinggalah kepada urusan seharian.

Syukur, kata Wani, mereka berdua bertolak ansur soal dalam soal penjagaan anak dan sesekali, bekas suami mengambil anak pada hujung minggu atau ketika ingin pulang ke kampung.

Tidakkah terfikir untuk menamatkan zaman solo sekali lagi? Serik, jawab Wani.

“Fobia sampai ke hari ini. Rasanya lebih baik bercinta saja daripada berkahwin selepas apa yang berlaku ini. Tetapi, saya akur dengan ketentuan Ilahi.

“Kadang-kadang kasihan sendiri dengan bekas suami bila lihat keadaan dirinya ketika melawat anak, tetapi perasaan itu harus diketepikan bila memikirkan kesan yang pernah saya lalui dulu,” katanya yang tidak terkecuali dipandang serong sesetengah orang.

> Kisah 2

“SIKAP arwah yang tenang dan begitu mengambil berat membuatkan saya menerimanya sebagai suami walaupun ketika itu dia adalah duda berusia 41 tahun yang kematian isteri akibat kanser payu dara dengan tiga cahaya mata,” kata Salisa Salleh, 30.

Dia yang kini bergelar janda ekoran bercerai mati dengan arwah suaminya menceritakan bagaimana hatinya boleh tertawan walaupun tahu hakikat yang faktor usia serta status lelaki itu yang bukan bujang sebagaimana yang diidamkan ramai gadis.

Tetapi, bila memikirkan semula usianya ketika itu sudah menginjak 28 tahun dan keikhlasan lelaki itu membuatkan hatinya begitu terbuka untuk menyayanginya sepenuh hati.

“Memang saya tidak menyangka sama sekali saya hanya berpeluang bersama dengannya untuk jangka masa pendek saja.

“Selang lima bulan selepas berumah tangga dengannya, saya dikhabarkan yang dia menghidap kanser usus pada tahap kritikal (tahap empat),” kata Salisa yang hanya sempat bergelar isteri selama sembilan bulan 22 hari.

Biarpun cuma seketika berkongsi kebahagiaan bersama orang tersayang itu, Salisa tidak menyesal sama sekali menempuh gerbang perkahwinan itu yang baginya cukup indah sepanjang bergelar seorang isteri.

Malah, baginya ujian itu seolah-olah semakin mengeratkan hubungan mereka suami isteri suatu ketika dulu. Ditambahkan lagi dengan hubungan akrab dengan anak-anak arwah sebagai pengubat dan sumber kekuatan untuk menempuh dugaan.

Kata Salisa, hari-hari terakhir sebelum kematian arwah suaminya, dia menjadi begitu lemah dan tidak bermaya, tetapi mengenangkan tanggungjawabnya untuk sentiasa memberikan sokongan kepada suami, sikap itu diketepikan bulat-bulat.

“Sepanjang arwah suami disahkan menghidap kanser, saya mengambil cuti tanpa gaji sehinggalah selepas arwah meninggal dunia, saya masih lagi bercuti selama dua bulan selepas itu.

“Saya bersyukur, syarikat tempat saya bekerja begitu memahami. Rakan dan keluargalah sumber kekuatan saya untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Ditanya bagaimana dengan kehidupannya kini, Salisa berkata dia kini menetap bersama dengan adik lelakinya dan masih bekerja di tempat lama sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan. Sementara, anak-anak bekas suaminya yang berusia 11 tahun hingga 16 tahun kini dibela oleh keluarga ibu kandung mereka.

“Saya masih berhubung dengan mereka walaupun tidak lagi tinggal sebumbung,” kata Salisa ringkas sambil meninggalkan seribu pertanyaan.

> Kisah 3

BENARLAH kata orang, kebahagiaan sesebuah rumah tangga tidak akan sempurna tanpa kerukunan dan sikap toleransi di kalangan suami isteri. Tanpa sifat sedemikian, rumah tangga yang dibina akan goyah dan tidak mustahil menjadi pudar di kemudian hari.

Walaupun ketika waktu bercinta dulu, hubungan begitu indah belaka. Tiada cacat cela mengenai pasangan, walhal hakikatnya tidak begitu.

“Saya memang tidak terfikir akan bergelar duda selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga. Sepanjang tempoh panjang itu, kami dikurniakan dua cahaya mata iaitu sepasang anak, perempuan berusia tujuh tahun dan lelaki yang kini berusia lima tahun.

“Apapun, saya menerima ketentuan Ilahi walaupun suatu ketika pernah berusaha untuk menyelamatkan ikatan perkahwinan tetapi bekas isteri tetap berkeras untuk berpisah,” kata Nor Azhar Zulkafli, 33, yang mengambil masa kira-kira dua tahun bagi menyelesaikan urusan perceraian.

Hak penjagaan kedua-dua anaknya kini diberikan kepada bekas isteri. Cuma sesekali, dia mengambil peluang bertemu dengan anak-anak tanpa halangan kerana hubungan antara dia dengan bekas isteri masih baik untuk kebaikan bersama.

Bagi memastikan dirinya tidak sunyi terutama ketika berada di rumah ekoran ketiadaan anak-anak di sisi, Nor Azhar menyibukkan diri di pejabat.

Ketika ditanya tidakkah beliau berusaha dalam tempoh itu untuk merujuk semula, Nor Azhar berkata, dia ada berusaha untuk ke arah itu tetapi bekas isteri tetap dengan keputusan untuk berpisah menyebabkan dia reda dengan ketentuan itu.

Dalam tempoh beliau ‘bertarung’ dengan masalah rumah tangganya itu, tanpa sedar hatinya mula membuka ruang untuk mengenali seseorang. Insan bertuah yang bertakhta di sudut hatinya adalah pegawai undang-undang di sebuah institusi kewangan.

“Saya sendiri tidak menyangka yang saya akan bertemu jodoh sekali lagi pada waktu terdekat. Perasaan takut itu memang ada ketika mengambil keputusan untuk berkahwin tetapi sebagai manusia kita harus tabah dan jadikan itu sebagai suatu cabaran.

“Sebelum mengambil keputusan berkahwin, secara jujur saya memohon petunjuk dari Allah dan alhamdulillah inilah keputusan yang diambil,” katanya yang kini sudah empat bulan mendirikan rumah tangga untuk kali kedua dengan Irnyza Ngah, 32.

Ditanya apakah ciri-ciri yang ada pada Irnyza sehingga membuatnya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi, kata Nor Azhar, sikap wanita itu yang sederhana, selain menerima status dirinya dan anak-anak membuatkan hatinya pantas tertawan.

“Paling penting yang saya lihat ada pada kami ialah keserasian. Tiada rahsia antara kami membuatkan saya begitu selesa membicarakan apa saja dengannya. Faktor komunikasi begitu penting yang saya rasakan sebagai rahsia mengekalkan keharmonian rumah tangga,” kata Nor Azhar.

Sementara itu Irnyza ketika mengulas mengenai duda pilihan hatinya itu berkata, sifat keterbukaan dan berterus terang Nor Azhar mengenai status dirinya sebagai duda yang membuatkan dirinya begitu selesa berdampingan dengan lelaki berkenaan.

“Pertemuan kami bukanlah atas faktor temu janji kerana saya hanyalah ingin bertemu kenalan yang kebetulan ada temu janji dengan Nor Azhar. Memang mula-mula tiada menaruh perasaan padanya tetapi lama kelamaan timbul pula perasaan terhadapnya.

“Lebih-lebih lagi sikapnya yang tidak berahsia mengenai status dirinya dan sudah memiliki anak membuatkan hati saya begitu terbuka dan tanpa ragu lagi untuk mengatakan ya ketika dilamar dulu,” katanya yang nyata bahagia dengan pilihan hatinya itu.

Petikan: Ikon

12 Responses to Janda dan duda: Takdir atau trend?

  1. Perindu Sepi berkata:

    Saya memang tertekan sejak 3 tahun memegang status janda.Saya terpaksa merahsiakan status semasa berada di tmpt kerja baru untuk mengelakkan tanggapan negatif daripada rakan sekerja dan kononnya saya masih bersuami.Memang sentiasa menjadi ‘buruan’ jika status diketahui umum.Apa2 pun,saya perlu sentiasa tabah untuk anak-anak.

  2. Quintas berkata:

    kenapa x cari yang baru?

  3. kepayan berkata:

    Kepada Perindu Sepi…kenapa mesti awak tertekan dengan status awak.Janda pun manusia juga,apa yang penting bukan awak saja malah semua wanita haruslah menjaga tata sila kita,cara kita berpakaian dan cara
    pergaulan kita ditempat kerja.Awak rasa tertekan kerana awak menyembunyikan status awak.Pedulikan orang yang memandang serong pada anda,yang penting anda ikhlas berkerja untuk membesarkan anak anak.Kuatkan iman anda ,terhadap golongan yang suka ambil kesempatan
    terhadap status anda.Sebenarnya segala galanya terpulang pada kita, cara untuk menghadapinya.Quintas………ko cakap sedap aja….ye.

  4. Quintas berkata:

    ahanks..ya thats kinda rude..sory ek perindu. saye ni x tau ape2 pn.

  5. jeffabd berkata:

    i m married to a janda with a child,, now da ada 2 anak sendiri,,my stepchild is also very close to me as1) i always take her as from my own blood 2) her father didn’t fulfill his fatherly responsiblities,

    i m very HAPPY married man and mywife is very important part of my life ,so “perindu sepi” tats is nothing wrong wit u or being janda,,, it the culture ere tat make u feel tat way,,, so wat is important is Iman, and don’t forget ur religion,,u can’t change people but u make good of urself and ur children,,besr wishes

  6. Perindu Sepi berkata:

    Thanks for all the comments..to Quintas:mencari yg baru tk semudah memilih baju di pasaraya..to Kepayan:insyaallah,selg iman tersemat di dada..sy sntiasa menjaga tata susila..to jeffabd:susah nk dpt org yg sanggup menerima janda yg ber’package’..so congratulations to you coz being a good husband & father to ur stepchild..

  7. ek ele berkata:

    betul jeffAbd….kita ni org melayu ni sebenarnya bukan main banyak lagi culture yang
    negatif dan bercanggah dgn Ugama..tapi masih di guna pakai..especially part2 camni..

    …tapi takpe..buat lah yang anda fikir terbaik…especially utk anak2 tu….buat
    pengetahuan anda tak sume lelaki tak bleh pakai..ada lagi yang berkualiti…

    …tapi slow2 declare lah status anda tu..kalau tak camne nak dapat ganti nanti..
    insyaAllah..ada jodoh mesti dapat pengganti ..

    Salam

  8. nazrida berkata:

    Perindu sepi, tak ada celanya menjadi janda. Peduli ape orang nak cakap, susah senang kita bukan dia orang yang nak tanggung! Kalau sepanjang masa asyik memikirkan apa orang lain cakap memang kita susah nak hidup.

    nasihat kak ida yang lemah ni, keluarkan diri dari tekanan. Bina kekuatan diri demi masa depan u dan anak2. Benda yang di luar kawalan (cakap2 orang) tak perlu difikirkan kerana akan menambahkan beban fikiran.

    Betul kata ek ele, tak semua lelaki tak baik, masih ada yang baik.

    Lalui hidup dengan ceria dan nikmati segala yang ada hari ini….

  9. missy berkata:

    saya pon join the ‘J’s Club’ sjak 2008. Rs malu jg nk terima glaran tu..sbb da tw apa komplikasinya. dek krn trpaksa n b4 bnda y x diingini tjadi…jln terakhir adalah berpisah. Slpas berpisah, bkas suami masih menaruh harapan utk kmbali cume ht ni tlah tawar mamikirkan apa y prnah di lakukn pd sya dan keluarga. Sekarang ni masih memujuk tp taknak bebaik dg family sya…bagaimana mgkin?..dia minta spaya sya xde lelaki lain demi anak kami y seorang 2…ntahlah…

  10. alia berkata:

    sya juga J dh 3 thun.mulanya sukar nak terima ttp lps tu declare je..pernah hati terpaut pd sorang DUDA..ttp jodoh x kemana.Berkwn pula ngan D yg mulanya kta duda pastu sms sya ke D dibalas ngan cacian dan sumpah seranah isterinya..maka skrg sya sendiri je..alhamdullilah ada kerjaya yg elok dpt jaga anak2.
    psss ada ke duda yg betul2 jujur,setia iklhas

  11. Pustaka Global berkata:

    Terbitan E-book: POLIGAMI ANUGERAH TUHAN

    Tajuk : POLIGAMI ANUGERAH TUHAN
    Penulis : MD LUTFI BIN YUSOF
    Penerbit : PUSTAKA GLOBAL
    ISBN : ISBN 983-43879-0-7
    Mode : e-book, boleh dicetak.

    Pembelian boleh dibuat secara online daripada penerbit.
    Untuk keterangan lanjut:

    http://www.impstandard.com/anugerah

    Terimakasih.
    Penerbit.

  12. izah berkata:

    salam.. sy telah bercinta dengan duda beranak dua selama 2 tahun
    sy menyorokkan hubungan itu kerana keluarga sy memilih dn mahu sy berkahwin dengan lelaki bujang. baru2 ini, family sy telah menghidu perhubungan kami dn menggesa ay pulang ke kampung. sy dan kekasih bercadang untuk berkahwin setelah dia bertukar tempat kerja. sy x tahu sama ada ingin meneruskan atau tidak hubungn ini. kekasih sgt mengambil berat dan baik. keluarga pula seperti tidak merestui…sy dalam dilema…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: