Tekanan jejas kesihatan

November 30, 2007

GAYA hidup moden yang begitu menuntut masa membuat kita sering kepenatan dan tertekan. Situasi itu menjadi antara penyebab kepada peningkatan masalah tekanan emosi dan kemurungan, serta pada masa sama menjadikan kita mudah lupa, cepat marah, sukar memberi daya penumpuan selain turut menjejaskan kecergasan fizikal dan kecerdasan mental.

Tekanan yang kronik akan meningkatkan paras kortisol dan melemahkan sistem imun di samping mendedahkan kita kepada pelbagai masalah kesihatan dan jangkitan. Apabila anda dalam keadaan tertekan, kesihatan akan terganggu kerana anda kurang memberi perhatian kepada pemilihan makanan yang baik, kurang rehat dan tidur, cenderung mengamal gaya hidup tidak sihat seperti merokok, mengambil minuman beralkohol dan kurang bersenam serta kemurungan.

Peningkatan tekanan darah atau tekanan darah tinggi, serangan jantung, denyutan jantung dan strok mungkin juga ada kaitannya dengan tekanan yang berterusan dan kronik.
Antara masalah umum yang kerap dialami akibat tekanan termasuklah keletihan, pelbagai kesakitan, sakit kepala, masalah emosi seperti keresahan dan gangguan tidur. Masalah kesihatan lain yang sering kali dikaitkan dengan tekanan termasuk gangguan gastrousus, kekejangan pada abdomen dan ulser.

Bagi wanita mereka juga boleh mengalami perubahan dari segi seksualiti dan pelbagai gejala kemerosotan fungsi seksual seperti kurang keinginan terhadap seks dan kekeringan vagina akibat tertekan. Keadaan ini juga akan menjejaskan hubungan intimasi dengan pasangan dan mengurangkan minat untuk berinteraksi.

Amalan yang boleh melegakan tekanan

  • Tingkatkan hubungan sosial dengan teman dan mereka di sekeliling anda. Ia bukan saja berkemungkinan dapat membantu anda menyelesaikan masalah, malah menceriakan dan menyuburkan emosi. Ketawa didapati dapat meningkatkan keimunan tubuh.
  • Senaman, yoga dan urutan terapi bukan saja mempertingkatkan aliran darah, tetapi juga sebahagian terapi untuk menenangkan minda.
  • Jaga kesihatan tubuh anda dengan amalan pemakanan yang sihat, tidur dan rehat secukupnya. Penjagaan tubuh yang baik akan membantu ia berfungsi dengan baik dan meningkatkan keupayaan tubuh untuk melawan tekanan dan penyakit.
  • Aturkan jadual harian dengan baik supaya kita dapat menyelesaikan kerja dengan lebih berkesan. Aktiviti seks yang sihat menjamin perhubungan intim suami isteri. Suburkan dan semarakkan ia dengan kasih sayang walaupun anda berada dalam usia emas. Dalam usaha untuk mengekalkan kesihatan, pengambilan herba adalah antara amalan tradisi sejak turun temurun.

    Antara herba yang dikenal pasti mungkin boleh membantu anda termasuklah seperti horny goat weed, withania, ginseng, gingko, damiana, puncture vine dan muira puama. Herba itu dikatakan memberi kesan yang lebih baik demi meningkatkan keinginan seks, menangani keletihan dan memperbaiki stamina yang penting untuk kesihatan termasuk juga memperbaiki masalah kemerosotan kesihatan seksual.

    Horny goat weed adalah antara herba yang digunakan untuk mengatasi masalah lemah syahwat sejak berabad lamanya oleh masyarakat Cina. Bagi lelaki, ia memberi kesan yang menyerupai testosteron, meningkatkan keinginan terhadap seks dan merangsang kepekaan sistem saraf.

    Muira puama pula bermanfaat dalam membantu mengendurkan saluran darah dan membenarkan lebih banyak darah mengalir ke bahagian genital serta meningkatkan kepekaan terhadap rangsangan seks.

    Pengambilan gingko boleh membantu meningkatkan peredaran darah, bukan saja penting untuk membantu daya ingatan, tetapi juga bermanfaat untuk mengekalkan kesihatan seksual termasuk keupayaan ereksi.

    Bagi wanita, pengambilan herba seperti damiana yang juga dikenali sebagai tonik perangsang seks boleh membantu meningkatkan keinginan serta menambah kepekaan saraf pada bahagian alat kelamin apabila mendapat rangsangan seks, manakala withania membantu kesihatan saraf dan telah digunakan untuk melawan tekanan emosi dan kelesuan.

    Amalkan gaya hidup sihat seperti senaman secara berterusan tentunya boleh meningkatkan tahap kecergasan dan stamina serta baik untuk pengaliran yang sihat boleh memberi kesan kepada bekalan darah lebih baik ke bahagian alat kelamin.

    Sekiranya anda mempunyai masalah berat badan berlebihan, ambillah langkah yang lebih proaktif untuk memperoleh berat badan ideal demi kesihatan yang lebih baik. Kenali penyebab berlakunya kemerosotan syahwat supaya anda dapat menangani dengan lebih berkesan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE di talian 03-77287407 (Isnin hingga Jumaat: 9 pagi hingga 6 petang) atau e-mel kami health@biolife.com.my

    INFO

  • Bagaimana nutrisi antiradikal bebas melindungi tubuh anda daripada kerosakan akibat radikal bebas? Ketahui lebih lanjut mengenainya di dalam buku kecil mengenai peranan antioksida.
  • Hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE Isnin-Jumaat, 9 am hingga 6 pm) di talian 03-77287407 (Semenanjung Malaysia), 082-241820 (Sarawak), 088-230148 (Sabah) atau e-mel kami health@biolife.com.my untuk mendapatkan naskah
    anda hari ini!

  • Mungkinkah anda menghidap diabetes?

    November 30, 2007

    HARI ini, lebih 240 juta manusia di seluruh dunia hidup dengan diabetes. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, angka ini dijangka akan meningkat kepada 380 juta.

    Kanak-kanak sekalipun tidak terlepas daripada wabak yang membawa kepada komplikasi-komplikasi yang begitu menakutkan serta mengancam nyawa ini.

    Diabetes menyebabkan kira-kira 5 peratus semua kematian dunia setiap tahun. Tanpa tindakan segera, kematian akibat diabetes mungkin akan meningkat sebanyak lebih 50 peratus dalam masa 10 tahun akan datang.

    Diabetes ialah penyakit kronik yang muncul apabila pankreas tidak dapat mengeluarkan insulin dengan mencukupi, atau apabila badan tidak dapat menggunakan insulin yang dikeluarkan itu secara berkesan.

    Insulin ialah sejenis hormon yang diperlukan untuk menukar gula, kanji dan makanan lain menjadi tenaga untuk keperluan harian.

    Hiperglikemia, atau peningkatan gula darah, merupakan kesan biasa penyakit diabetes yang tidak terkawal dan lama-kelamaan ia akan membawa kepada kerosakan yang serius kepada beberapa sistem badan, terutama sekali sistem saraf dan saluran darah.

    Sekiranya komplikasi berkaitan diabetes ini tidak boleh dikurangkan, maka salah satu jalan untuk mencegah penyakit kronik ini ialah dengan mendidik diri sendiri.

    Dengan mengetahui tanda dan gejala biasa penyakit ini di samping melakukan ujian glukosa darah yang sewajarnya, kita mungkin dapat membasmi gejala penyakit ini dari awal lagi.

    Tanda-tanda dan gejala biasa

    Kerap mengunjungi bilik air: Adakah anda terlampau kerap mengunjungi bilik air kebelakangan ini? Adakah anda berasa seperti mahu kencing sepanjang hari?

    Kencing menjadi lebih kerap apabila terdapat terlampau banyak glukosa dalam darah.

    Jika insulin tidak wujud ataupun tidak berkesan, maka buah pinggang anda tidak dapat menapis glukosa untuk mengembalikannya semula ke dalam darah.

    Oleh yang demikian, buah pinggang akan dipenuhi glukosa dan ia cuba menarik lebih banyak air keluar daripada darah untuk mencairkan glukosa.

    Ini menyebabkan pundi air kencing anda sentiasa penuh dan membuatkan anda selalu berlari ke bilik air.

    Kehausan Yang Tidak Dapat Dipuaskan: Sekiranya anda sentiasa tidak puas minum dan minum lebih dari biasa, ini mungkin suatu tanda diabetes, terutamanya jika ia datang dengan kencing yang kerap.

    Jika badan anda menarik lebih banyak air keluar daripada darah dan anda lebih kerap ke bilik air, anda akan mengalami penghidratan, maka lebih banyak lagi anda perlu minum untuk menggantikan air yang telah hilang itu.

    Berat Badan Turun Tanpa Diusahakan: Gejala ini nampak lebih jelas pada diabetes jenis 1.

    Dalam diabetes jenis 1, pankreas berhenti membuat insulin, kemungkinan disebabkan oleh serangan virus terhadap sel-sel pankreas ataupun kerana sesuatu tindakbalas autoimun yang membuatkan badan menyerang sel-sel yang mengeluarkan insulin.

    Badan dengan nekad akan mencari sumber tenaga lain kerana sel-sel tidak memperolehi bekalan glukosa. Ia mula memecah-mecahkan tisu otot dan lemak untuk mendapatkan sumber tenaga.

    Diabetes jenis 2 berlaku secara beransur-ansur dengan penentangan insulin semakin meningkat; oleh itu kehilangan berat badan tidaklah begitu terserlah dalam diabetes jenis ini.

    Kelemahan dan Keletihan: Glukosa daripada makanan yang kita makan bergerak masuk ke dalam aliran darah di mana insulin akan membantu memudahkannya masuk ke dalam sel-sel badan kita.

    Sel akan menggunakannya untuk mengeluarkan tenaga yang kita perlu untuk hidup.

    Apabila insulin tiada di situ ataupun jika sel-sel tidak lagi bertindakbalas dengannya, maka glukosa akan terus berada di luar sel-sel dalam aliran darah. Sel-sel akan mengalami kekurangan tenaga dan anda akan berasa letih dan lemah.

    Denyutan atau Kekebasan pada Tangan, Betis atau Kaki: Gejala ini dikenali sebagai neuropati. Ia berlaku secara beransur-ansur dalam masa yang panjang kerana kandungan glukosa yang tinggi secara konsisten dalam darah akan merosakkan sistem saraf, khususnya di tangan dan kaki.

    Diabetes jenis 2 muncul secara beransur-ansur, dan ramai orang seringkali tidak menyedari bahawa mereka menghidapinya.

    Oleh itu, gula darah mungkin sudahpun berada pada tahap yang tinggi buat beberapa tahun lamanya sebelum pengesahan diabetes dilakukan.

    Kerosakan saraf boleh menular tanpa disedari. Keadaan neuropati kerap kali boleh diperbaiki apabila kawalan glukosa darah diperketatkan.

    Tanda-tanda dan gejala lain yang boleh berlaku: Penglihatan yang kabur, kulit kering dan gatal-gatal, selalu mendapat jangkitan, atau luka dan lebam yang mengambil masa yang lama untuk sembuh, semua ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

    Apabila tanda-tanda ini dikaitkan dengan diabetes, ia merupakan hasil daripada paras glukosa yang tinggi dalam badan.

    Sekiranya anda ternampak mana-mana tanda tersebut, sila jumpa doktor secepat mungkin. Doktor dapat mengesahkan sama ada anda sedang berhadapan dengan masalah diabetes.

    Suplemen-suplemen nutrisi untuk para pesakit diabetes dan pradiabetes

    Membekalkan pesakit diabetes dan pradiabetes dengan nutrien-nutrien penting telah terbukti dapat memperbaiki pengawalan gula darah di samping mencegah atau mengurangkan perkembangan komplikasi utama diabetes.

    Nutrien-nutrien penting yang diperlukan pesakit diabetes dan pradiabetes dalam jumlah yang lebih tinggi berbanding daripada yang boleh didapati dalam formula multivitamin dan mineral harian biasa ialah – Vanadil Sulfat, Kromium, Biotin, Vitamin B1, B6, B12, Niacinamide, Vitamin C, Vitamin E, Mangan, Zink, dan Selenium.

    Vanadil Sulfat mungkin dapat memperbaiki kawalan glukosa bagi penghidap diabetes jenis 2. Telah dibuktikan bahawa Vanadil Sulfat dapat meningkatkan kesensitifan insulin.

    Disebabkan terdapat kesan-kesan seumpama insulin pada Vanadil Sulfat, maka jumlah mineral surih yang tidak mencukupi ini seharusnya dielakkan oleh penghidap masalah ketidaknormalan gula darah.

    Kromium membantu pesakit diabetes dan pradiabetes untuk merangsang kesensitifan insulin mereka dengan meningkatkan kedua-dua bilangan reseptor insulin pada sel- sel dan juga kegiatan reseptor tersebut.

    Mengambil suplemen kromium akan mewujudkan pengawalan yang lebih baik terhadap gula dengan mengurangkan insulin.

    Suplemen Biotin akan meningkatkan kesensitifan insulin serta menggiatkan aktiviti enzim glukokinase yang bertanggungjawab terhadap langkah pertama dalam penggunaan glukosa oleh hati.

    Konsentrasi glukokinase pada penghidap diabetes adalah sangat rendah. Oleh itu, menambahkan suplemen Biotin dalam pemakanan akan memperbaiki kegiatan glukokinase dengan itu membantu menurunkan paras gula darah.

    Asid Alfa Lipoik (ALA) telah pun digunakan selama lebih 30 tahun di Eropah (terutamanya di Jerman) untuk menentang kerosakan saraf pada mereka yang menghidapi diabetes (jenis 1 dan 2).

    Asid Alfa Lipoik merupakan sejenis antioksida sejagat yang unggul dan amat berkuasa kerana ia larut air dan juga larut lemak.

    Di samping menjadi antioksida yang amat berkuasa, ALA membantu badan dalam penggunaan glukosa, dengan itu berpotensi untuk memainkan peranan dalam memperbaiki pengawalan gula darah.

    ALA akan mengurangkan komplikasi akibat daripada pemakanan gula yang tinggi.

    Oleh itu, mengetahui tanda dan gejala biasa seperti di atas amat bermanfaat kerana seseorang itu dapat melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan sebaik sahaja gejala seperti ini muncul.

    Langkah pertama ialah melakukan perubahan gaya hidup – mengamalkan pemakanan yang sihat serta bersenam dengan kerap merupakan gaya hidup yang berhemat.


    Hepatitis B punca kanser hati

    November 30, 2007

    Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

    KIRA-KIRA 1.3 juta rakyat Malaysia didapati pembawa kuman virus hepatitis B. Mereka kelihatan sihat tetapi mampu secara senyap-senyap menjangkiti orang lain.

    Pembawa kuman hepatitis B yang kronik mempunyai 200 kali ganda risiko untuk mendapat kanser hati berbanding dengan mereka yang normal.

    Hepatitis B kronik adalah punca kematian yang ke-10 utama di seluruh dunia dengan kira-kira 350 juta orang dijangkiti, manakala setiap tahun dianggarkan kira-kira 1.2 juta individu meninggal dunia akibat penyakit kronik yang berkaitan dengan penyakit ini.

    Virus hepatitis B akan menyerang sel hati. Ia boleh dipindahkan dari ibu ke anak semasa lahir atau menerusi pendedahan kepada darah dan bendalir badan orang yang dijangkiti.

    Virus ini 100 kali lebih mudah berjangkit daripada HIV dan kebanyakan orang tidak sedar mereka dijangkiti virus tersebut. Ini kerana penyakit tersebut mungkin tidak muncul dengan serta-merta.

    Profesor Perubatan dan Perunding Hepatology di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Dr. Rosmawati Mohamed berkata, hepatitis B kronik ialah masalah perubatan serius yang boleh menyebabkan masalah hati seperti sirosis, kanser dan kegagalan organ tersebut, seterusnya membawa kematian awal.

    “Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh PPUM, hepatitis B ialah punca utama kanser hati iaitu 85 peratus jika dibandingkan dengan hepatitis C ( dua peratus), alkohol (empat peratus) dan selebihnya masih belum diketahui.

    “Antara faktor yang mempengaruhi hepatitis B kronik ialah peningkatan umur, gender lelaki, pengambilan alkohol secara berlebihan dan merokok.

    “Walaupun kajian PPUM menunjukkan lelaki lebih berisiko daripada wanita, golongan wanita jangan memandang remeh tentang penyakit ini, sekurang-kurangnya lakukan pemeriksaan kesihatan sekali seumur hidup.

    Matlamat rawatan

    “Matlamat utama rawatan ialah untuk menyekat jumlah virus hepatitis B dalam sistem dan memastikan parasnya serendah yang mungkin dalam jangka panjang. Ini merupakan faktor penting dalam usaha menambah baik keputusan rawatan pesakit,” katanya lagi ketika sidang media pengenalan rawatan hepatitis B, Sebivo, di Petaling Jaya, Selangor.

    Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Richard Abela dan Prof. Dr. Lim Seng Gee dari National University Hospital, Singapura.

    Rawatan Sebivo (telbivudine) dapat mengekang virus dengan lebih pantas dan menyeluruh berbanding rawatan Lamivudine.

    Penemuan ini berdasarkan kajian penting Globe, sebuah kajian klinikal fasa III, yang membabitkan 1,367 pesakit dari 20 negara dan merupakan ujian pendaftaran terbesar bagi pesakit hepatitis B kronik yang pernah dijalankan.

    Dalam kajian Globe, sebahagian besar pesakit adalah dari Asia. Sebivo dapat mengekang virus dengan lebih pantas dan menyeluruh berbanding Lamivudine dengan profil keselamatan lebih baik.

    Kesan ini dikekalkan selepas dua tahun rawatan, menunjukkan bahawa Sebivo boleh dijadikan pilihan rawatan jangka panjang bagi penghidap hepatitis B.

    Analisis data Globe menunjukkan bahawa pengekangan virus maksimum pada minggu ke-24.

    Pada minggu ke-24 selepas memulakan terapi, lebih ramai pesakit yang menggunakan Sebivo didapati mempunyai kandungan virus hepatitis B yang tidak dapat dikesan berbanding Lamivudine, lantas membuktikan keberkesanan anti virus Sebivo.

    Mempunyai pilihan

    “Pelancaran Sebivo memang dinanti-nantikan kerana para doktor kini mempunyai pilihan rawatan tambahan untuk merawat pesakit yang menghidap hepatitis B kronik, penyakit yang biasanya dialami sepanjang hayat,’’ jelasnya.

    Rancangan rawatan bagi pesakit hepatitis B kronik bergantung kepada peringkat penyakit. Pesakit perlu menemui doktor secara berkala untuk pemeriksaan, walaupun mereka tidak memerlukan ubat buat masa ini.

    “Pesakit perlu datang untuk menjalani pemeriksaan supaya doktor boleh menentukan rancangan pengurusan dan jenis terapi yang sewajarnya berasaskan keadaan mereka.

    Pengesanan awal amat penting kerana kita boleh mencegah kerumitan serius bagi pesakit pada masa depan, justeru meningkatkan kualiti kehidupan mereka,” kata Dr. Rosmawati.

    INFO

    - Ia merupakan jangkitan pada organ hati oleh kuman virus hepatitis B (HBV). Hepatitis bermaksud radang hati yang lazimnya menyebabkan hati membengkak dan terasa lembut. Kadangkala ia membawa kerosakan hati yang berkekalan.

    - Lebih daripada 350 juta penduduk dunia dijangkiti oleh penyakit hepatitis B ini. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan hepatitis B sebagai penyebab yang ke-10 menyebabkan kematian di dunia.

    - Virus hepatitis B terdapat di dalam cecair badan mereka yang dijangkiti penyakit hepatitis B seperti darah, air liur, air mani, rembesan dari faraj, air mata, mukus, air kencing dan juga susu badan.

    - Walau bagaimanapun, kebanyakan jangkitan adalah disebabkan oleh pemindahan darah yang mengandungi virus.

    - Antara gejala kronik:

    - Muntah darah

    - Salur pemakanan kembang (varices)

    - Busung (Asites)

    Cara jangkitan

    - Hepatitis B dijangkiti melalui darah yang dijangkiti atau cairan tubuh seperti dari faraj, mulut dan sperma.

    - Jangkitan berlaku melalui ibu yang dijangkiti kepada anak yang dikandungnya semasa proses:

    - Kelahiran

    - Pemindahan darah

    - Melalui hubungan seks

    - Penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan

    Glosari

    - sirosis: Penyakit hati yang dicirikan oleh matinya sel-sel hati dan sebagainya (yang terjadi akibat jangkitan kronik, terlalu banyak minum minuman keras dan lain-lain)

    - virus: Sejenis kuman yang lebih halus daripada bakteria yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia, haiwan atau tumbuhan.

    - rembesan: Aliran atau titisan

    - enzim: Bahan kimia yang terdapat di dalam benda hidup (tumbuhan, haiwan) yang menyebabkan perubahan kepada bahan kimia lain tetapi tidak pada dirinya sendiri.


    Kemahiran tangani tekanan cara berkesan atasi bunuh diri

    November 30, 2007

    JIKA disorot kembali sejak awal tahun ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan untuk bunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan itu dipilih. Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan.

    Pada 19 November, akhbar melaporkan cubaan membunuh diri seorang wanita berusia 38 tahun dari Kuala Terengganu yang cuba membakar diri dan bayinya berusia lapan bulan. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya.

    Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Pada tarikh sama, seorang pelajar Tahun Enam ditemui mati tergantung dengan sehelai selimut dalam bilik di rumahnya di Pulau Pinang. Murid itu dikatakan kecewa dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
    Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata kes seperti ini berpunca daripada tekanan keterlaluan.

    “Tahap pendidikan seseorang tidak semestinya menjadi kayu ukur buat mereka menangani masalah atau tekanan. Malah, ia juga bukan perisai menentukan keupayaan mereka berhadapan dengan tekanan.

    “Sama ada berpendidikan, berkerjaya profesional atau tidak, tekanan yang tidak terkawal boleh membuatkan seseorang itu hilang kawalan pada akhirnya,” katanya.

    Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya.

    Kemampuan menangani tekanan bergantung kepada beberapa perkara iaitu personaliti seseorang, individu contoh seperti ibu bapa atau idolanya, ahli keluarga dan juga rakan sebaya.

    Azhar tidak menafikan gaya hidup masa kini mungkin menjadi punca tekanan, turut memberi contoh negara maju seperti Eropah dan Jepun mencatatkan kadar bunuh diri yang tinggi.

    Tekanan boleh muncul dalam pelbagai keadaan. Misalnya tekanan daripada ahli keluarga, di tempat kerja dan rakan serta persekitaran mendesak sehingga ada yang tidak sanggup berhadapan masalah. Ia bermula dengan perubahan tingkah laku yang biasanya membawa kepada kemurungan.

    “Ada banyak sebab bagi kemurungan, namun yang penting adalah cara menanganinya. Orang terdekat adalah individu bertanggungjawab untuk mengenalpasti faktor itu.

    “Satu caranya ialah melapangkan masa untuk menjadi pendengar yang baik. Individu yang pernah cuba membunuh diri biasanya memendam rasa. Besar kemungkinan dia akan kembali mencuba. Walaupun dirawat, mereka masih lagi memerlukan perhatian,” katanya.

    Selain itu, sekiranya mereka memiliki sistem sokongan yang kuat, terutamanya daripada ahli keluarga yang prihatin, masalah ini boleh diatasi. Mungkin ada yang malu mengakui mereka perlu mendapatkan rawatan kaunselor kerana bimbang dikategorikan sebagai pesakit mental, dipinggirkan keluarga dan masyarakat.

    Justeru, tahap stres akan meningkat dan daripada masalah kemurungan kecil ia bertambah besar hingga mereka mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

    Sebenarnya, bantuan awal boleh diberi kepada mana-mana individu yang dilihat memiliki ciri kemurungan. Antaranya ialah:

  • Adakah individu itu dapat melakukan tugas hariannya tanpa berasa tertekan;
  • Adakah individu itu mengalami masalah berat badan sama ada turun atau naik yang serius, atau perubahan tabiat tidur;
  • Adakah individu itu kehilangan kawan atau mendapat kawan baru yang memberi pengaruh kurang sihat;
  • Mengadu mengalami penyakit tidak berasas;
  • Tahap keyakinan diri turun mendadak;
  • Individu itu sering berasa letih;
  • Individu itu berasa tidak berguna kepada rakan, keluarga dan hidupnya;
  • Individu itu pernah berfikir hendak membunuh diri atau pernah cuba membunuh diri,
  • Individu itu tiba-tiba mula merokok, minum minuman keras atau mengambil dadah.

    Azhar turut menekankan pengisian rohani juga bekalan perlu untuk menguatkan jiwa seseorang individu mengikut kepercayaan agama dianuti. Program Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan diperkenalkan pada 2003 juga banyak membantu memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.

    Pencegahan adalah ubat paling mujarab bagi mengatasi kes bunuh diri serta cubaan bunuh diri. Namun, jika gagal, kes ini mungkin membawa kecacatan kekal yang akhirnya membuatkan mereka serta orang terdekat turut sama menderita. – Bernama


  • Hak wanita: antara hukum Tuhan dan pelaksanaan insan

    November 30, 2007

    Oleh: DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

    Islam telah mencatatkan di dada sejarah bahawa dirinya adalah pembela agung wanita yang tiada tolok bandingnya. Sebelum kedatangan Islam, hak-hak wanita tidak dibincangkan atas nama sistem agama atau tanggungjawab keagamaan dalam wajah yang lengkap. Jikapun ada pembelaan hak mereka adalah atas ihsan dan simpati lelaki semata. Bahkan dalam sesetengah masyarakat, wanita dianggap sial dan tidak mempunyai nilai. Dalam masyarakat Babylon, jika suami membunuh seseorang, maka isterinya dihukum mati menggantikan tempatnya. Masyarakat Greek menganggap wanita lebih rendah nilainya dari lelaki. Pelacuran pula adalah amalan biasa di setiap peringkat dalam masyarakat Greek dan Rom. Masyarakat Mesir kuno menganggap wanita adalah lambang syaitan. Sementara masyarakat Arab pula mewarisi tradisi membunuh anak perempuan hidup-hidup. Masyarakat Hindu lebih dahsyat membakar seorang isteri bersama dengan mayat suaminya. Ini menyebabkan bekas ketua Hakim Mahkamah Delhi, Mr. Rajindar Sachar pernah menyebut: “Dari segi sejarahnya, Islam telah lama begitu terbuka dan progresif dalam memberikan hak pemilikan harta untuk kaum wanita. Suatu hakikat yang pasti bahawa tiada hak pemilikan harta yang diberikan kepada wanita Hindu sehinggalah tahun 1956. Ini apabila Hindu Code Bill dihapuskan. Sedangkan Islam telah pun memberikan hak-hak ini kepada wanita Muslim sejak seribu empat ratus tahun yang lampau. (Wahidudin Khan, Women Between Islam and Western Society, hlm. 46.)

    Namun kedatangan Nabi s.a.w. adalah rahmat bagi wanita. Baginda telah membela dan mempertahankan hak mereka. Bayangkan, dalam keadaan dunia sekeliling menafikan hak-hak wanita dan mempersendakannya, tiba-tiba insan yang bernama Muhammad bin Abdillah bangun dengan perintah wahyu membela hak mereka. Hadis-hadis Nabi yang membela dan mempertahankan wanita begitu banyak dan jelas, antaranya daripada Urwah bin al-Zubair bahawa Aisyah isteri Nabi menceritakan kepadanya, kata Aisyah: Telah datang kepadaku seorang wanita bersama dua orang anak perempuannya meminta (makanan) daripadaku sedangkan tiada padaku melainkan sebiji tamar. Aku berikan kepadanya, lalu dia membahagikannya untuk kedua anaknya. Kemudian dia bangun dan keluar. Apabila Nabi masuk, aku pun menceritakan kepadanya, lalu baginda bersabda: Sesiapa yang mengendalikan sesuatu urusan anak-anak perempuan lalu dia melakukan kebaikan kepada mereka maka mereka menjadi penghalang dari api neraka untuknya (Riwayat al-Bukhari 5/2234 dan Muslim 4/2027).

    Daripada Ibn Abbas, seorang gadis dara datang kepada Nabi memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

    Maka dalam Sahih al-Bukhari, ada bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

    Namun masyarakat Melayu dahulu, apabila begitu terikat dengan mazhab al-Imam al-Syafii maka mereka membiarkan bapa memaksa anak-anak perempuan berkahwin dengan pilihan bapa sekalipun dibantah oleh anaknya atas alasan bapa wali mujbir. Mereka tidak bersikap terbuka menyemak dalil dan mengambil manfaat daripada para sarjana Islam yang lain. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi: “Siapa tahu, jika al-Syafii hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika al-Syafii melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya.” (al-Qaradawi, Al-Fatawa al- Mu‘asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha). Namun paksaan seperti itu sudah jarang kedengaran lagi. Masyarakat berubah, pandangan mazhab sudah tidak relevan lagi dalam bab tersebut. Mengambil manfaat dari pendapat lain adalah satu keperluan.

    Hak wanita

    Di sana begitu banyak nas-nas sama ada dari al-Quran atau al-Sunah yang membela hak wanita. Namun adalah mengejutkan, setelah keadilan gender ini ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya, tiba-tiba kita sering mendengar aduan atau rasa tidak puas hati wanita Islam yang berleluasa terhadap Mahkamah Syariah atau pejabat agama. Sehingga ada wanita yang memberitahu bahawa antara sebab beliau ingin keluar agama adalah layanan agama yang diberikan kepadanya. Setiap kali beliau mengangkat kes tentang kezaliman suami kepadanya, beliau diberi nasihat agar bersabar, Allah bersama-sama dengan orang yang sabar. Sedangkan dirinya semakin hari semakin menjadi mangsa. Bahkan ada yang lebam-lebam matanya, masih disuruh bersabar. Tidak pula ‘pasukan gerak khas’ antimaksiat bertindak pantas mencegah kemungkaran suami yang menyeksa isteri, sepantas pencegahan khalwat yang terpaksa mengintip dengan penuh kesabaran. Sedangkan perbuatan memukul isteri secara zalim ini adalah mungkar yang nyata.

    Ada wanita yang memaklumkan kepada saya bahawa mereka takut hendak ke pejabat-pejabat agama, nanti akan berhadapan dengan pengurusan yang ‘tidak mesra’. Sama ada dakwaan itu palsu atau benar, saya tidak pasti. Namun dakwaan seperti itu sering sahaja kedengaran. Apa pun halnya, yang penting penghormatan kepada kaum wanita dan memberikan layanan yang baik kepada mereka adalah ajaran Islam yang agung ini. Daripada Abu Sa‘id al-Khudri: Wanita-wanita berkata kepada Nabi: “Kaum lelaki telah mendapat engkau melebihi kami. Jadikanlah satu hari engkau untuk kami. (Baginda pun lakukan) maka baginda menasihati mereka dan menyuruh mereka (memberitahu suruhan agama). Antara yang baginda sebut kepada mereka, Tidak ada di kalangan kamu yang mendahulu tiga orang anaknya (meninggal semasa hayatnya) melainkan ia menjadi dinding dari api neraka. Tanya seorang wanita: “Dua orang anak?” Jawab baginda: (Ya) dua orang anak juga.

    Baginda dalam hadis ini memberikan kesempatan untuk golongan wanita belajar dan membuat peruntukan khas dari baginda apabila didapati kaum lelaki telah mendominasi mereka sehingga mereka tidak mempunyai kesempatan yang cukup.

    Kes-kes isu talak yang tertangguh perbicaraannya sampai bertahun-tahun masih berterusan kita dengar sehingga hari ini. Walau apa pun alasan yang cuba diberikan oleh Mahkamah Syariah, ia pada hakikatnya tidak lebih dari kezaliman terhadap wanita. Sama ada disebabkan kongkongan kesempitan pemikiran hukum atau pengurusan yang kurang kualiti atau tenaga yang dibekalkan tidak mencukupi. Sehingga kadangkala susah benar nampaknya untuk dipisahkan isteri daripada suaminya sekalipun ternyata kemudaratan telah berlaku. Padahal pada zaman Nabi isteri Thabit bin Qais datang menemui Nabi lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka Rasulullah pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya.” Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia (Riwayat al-Bukhari).

    Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang mentafsir bermaksud terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H): “Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: 229. Jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

    Allah dan Rasul-Nya mengharamkan talak bid‘i iaitu mentalak isteri ketika haid atau ketika suci tapi telah disetubuhi. Tujuannya untuk meringankan bebanan tempoh edah ke atas isteri. Hikmahnya mungkin agar tidak lama isteri menunggu edah iaitu tidak lebih dari tiga kali suci juga tidak terdedah kepada risiko hamil. Tujuan dan maksud hukum-hakam Allah dan Rasul- Nya amat kudus dan mulia. Mana mungkin pengurusan syariah seperti Mahkamah Syariah dan jabatan agama yang ditubuhkan untuk mencapai kemurnian hasrat syarak tiba-tiba menjadi faktor yang membantutkannya. Ini seperti penangguhan kes-kes talak yang begitu lama. Tidak syak ia adalah satu kezaliman terhadap wanita.

    Lebih malang lagi, wajah Islam yang mulia ini terguris apabila ada ‘ustazah tv’ yang sanggup membawa cerita palsu bahawa wanita yang terbaik pada zaman Nabi ialah seorang wanita yang setiap hari menunggu suaminya pulang kerja dengan menyediakan makanan dan rotan. Jika suaminya mahu, suami dipersilakan merotankan dirinya walaupun tanpa sebab. Kisah yang seperti ini di samping tidak berasas, ia hanya memalukan agama yang agung ini. Ini masalah stesen televisyen jika hanya mementing orang yang ‘pandai cakap’ bukan ketepatan fakta. Akhirnya kesucian Islam menjadi mangsa.

    Di samping itu saya juga suka mengingatkan kepada para pejuang hak wanita atau hak-hak yang lain tentang keseimbangan Islam ini. Al-Tawazun atau al-Wasatiyyah merupakan salah satu ciri-ciri perundangan Islam yang istimewa. Ia bermaksud pertengahan di antara dua keadaan atau pihak. Di mana ketika Islam membela kepentingan satu pihak tidak menyebabkan dicuaikan kepentingan pihak yang lain. Dalam konteks ini, kita maksudkan bahawa pembelaan Islam terhadap hak kaum wanita tidak menyebabkan dipinggirkan atau diabaikan kepentingan dan hak kaum lelaki. Pembelaan Islam terhadap hak isteri umpamanya, tidak menyebabkan diabaikan hak suami. Pembelaan hak ibu, tidak menyebabkan dialpakan hak seorang bapa. Pembelaan hak anak perempuan tidak menyebabkan disia-siakan hak seorang ayah dan ibu. Begitulah seterusnya. Malangnya, kadang-kadang pembelaan hak-hak kaum wanita yang dilakukan oleh sesetengah pihak tanpa merujuk dan mengikuti nas- nas Islam secara menyeluruh sehingga boleh menyebabkan ketidak seimbangan. Mereka ini kerana terlalu ingin membela kaum wanita sehingga melupai hak kaum lelaki. Hal ini berbeza dengan Nabi ketika membela hak kaum wanita, juga mengimbanginya dengan hak kaum lelaki.
    Hak Muslim

    Demikian juga apabila kita membela hak Muslim, kita jangan terlalu emosi sehingga menzalimi bukan Muslim. Islam itu adil untuk semua. Begitu juga yang begitu ingin membela hak rakyat sehingga melupai hak pemerintah untuk dihormati dan tidak dimaki. Atau jangan sibuk membela hak pemerintah lalu diketepikan hak rakyat sehingga mereka tertindas. Renungilah kata-kata tokoh sarjana agung umat ini Syeikh al- Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H): “Sesungguhnya agama Allah adalah pertengahan antara yang melampau mengenainya dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu perintah melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah yang mana satu dia berjaya. Iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam beragama) atau tafrit (cuai terhadap agama).” (Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, jld 2/hlm. 236).

    Dalam kisah Abu Darda yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman, sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: “Sesunguhnya untuk Tuhanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu, untuk badanmu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu dan untuk isterimu ada hak (tanggungjawab) ke atasmu. Berikan kepada setiap yang berhak haknya.” Ketika Nabi mendengar perkataan Salman, baginda berkata: Benarlah Salman (Riwayat al-Bukhari).

    Pembelaan hak yang tidak seimbang, menghilang kecantikan susunan masyarakat dan keindahan ajaran yang suci ini.

    - DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

    E-mel: moasriza@yahoo.com