Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN:
Saya menjadi keliru untuk membezakan antara pawang, bomoh dan dukun, ataupun poyang, yang betul dan tidak betul. Ramai di antara mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran, ataupun doa-doa tetapi ada pula pendapat menyatakan individu berkenaan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kalaulah mereka yang menggunakan ayat-ayat al-Quran dan doa itu salah, siapa pula yang boleh dirujuk untuk memastikan bahawa apa yang mereka lakukan itu tidak menyeleweng?
– Wan, Sitiawan.
——–
JAWAPAN:
Pendapat saudara ada kebenarannya, dalam masa yang sama anggapan saudara juga keliru.
Tidak mudah untuk mengenali atau membezakan di antara pawang, bomoh dan dukun yang benar dan salah, kerana rahsia yang berkaitan dengan ilmu-ilmu seperti ini, yang diistilahkan sebagai “ilmu kebatinan” adalah milik rahsia mereka, yang tidak mudah diperturunkan kepada orang lain, diperdengarkan atau dijelaskan.
Penggunaan ayat-ayat al-Quran, kalimah-kalimah tertentu, seperti salam, basmalah, sebutan nama-nama nabi dan rasul. Nama malaikat, seperti malaikat Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail atau sebagainya termasuk perkataan “berkat”, “doa” atau lain-lain perkataan seperti perkataan “Lailahaillallah” tidak semestinya membuktikan apa yang diistilahkan sebagai “jampi”, “mantera” dan “serapah” itu diharuskan menurut syariat, kerana perkataan-perkataan tersebut ataupun ayat-ayat yang dituturkan ada kalanya hanya merupakan pengaruh Islam dalam ungkapan-ungkapan seperti ini yang datang selepas orang Melayu dipengaruhi oleh pengaruh animisme dan Hindu-Buddha sebelum itu.
Tidak dinafikan bahawa pada dasarnya, jampi, mantera dan serapah itu diharuskan bergantung kepada kandungan yang dituturkan, juga amalan yang dilakukan, termasuk kalimah-kalimah yang dijelaskan tadi.
Auf bin Malik telah berkata bahawa ia pernah menjampi ketika di zaman jahiliah dahulu. Ia bertanya apakah pandangan baginda rasulullah mengenai perkara tersebut.
Baginda menjawab meminta agar jampi itu diperdengarkan kepadanya. Harus hukumnya, sekiranya jampi itu tidak ada padanya amalan syirik.
Memang benar bahawa pengetahuan bahasa Arab itu perlu untuk membezakan amalan mereka itu benar ataupun salah. Walaupun demikian pengetahuan bahasa Arab semata-mata tidak memadai, tetapi mesti tahu hukum yang berkaitan.
Pengetahuan mengenai larangan sihir semata-mata adalah tidak memadai. Orang yang hendak mencari kebenaran dan menganalisis mesti mengetahui hakikat amalan yang berkaitan dengan ilmu kebatinan termasuk amalan sihir yang melibatkan jampi, mantera dan serapah.
Mengetahui harus atau haram (ditegah) amalan seseorang yang melibatkan dengan ilmu kebatinan semata-mata tanpa memahami hakikat ilmu kebatinan tidak ubahnya seperti orang yang mengetahui tentang haramnya.
Walaupun demikian, jalan penyelesaian tidak akan diperoleh andainya orang yang berkenaan tidak mengetahui apakah sebenarnya yang dinamakan riba, unsur-unsur riba dan sebagainya. Kerana itu orang yang berkenaan, selain mesti mengetahui hukum syariat, ia juga perlu mengetahui ilmu ekonomi.
Jampi mantera dan serapah seperti yang dijelaskan adalah rahsia, milik mereka yang terlibat. Biarpun seseorang itu mengetahui bahasa Arab, ia akan terkeliru sekiranya orang yang terlibat memperkuatkan suaranya ketika membaca, menyebut perkataan salam, basmalah, sebutan nama-nama nabi dan rasul, kalimah syahadah dan sebagainya, tetapi memperlahankan suara sehingga tidak kedengaran, hanya kumat-kumit mulut sahaja ketika menyebut nama-nama jin, nama-nama berhala sembahan orang-orang kafir, atau ungkapan-ungkapan syirik yang boleh menyebabkan seseorang itu syirik.
Kerana itulah saya jelaskan bahawa tegahan atau keharusan amalan seperti ini adalah bergantung kepada bacaan-bacaan yang dituturkan juga amalan-amalan yang dilakukan.
Selain daripada itu, ayat-ayat al-Quran yang dibaca dalam jampi-jampi selalunya disebut, bukan seperti sebutan orang yang sedang membaca al-Quran, yang dibaca jelas, menurut keperluan tajwid. Kerana itu bukan mudah untuk mendapat kepastian bacaan yang sebenar.
Tidak mungkin orang yang mendengar itu meminta orang yang membaca jampi, mantera ataupun serapah mengulangi sebutannya bila ia tidak pasti apa yang didengar, kerana bacaan itu disebut ketika orang yang berkenaan melakukan rawatan, upacara-upacara tertentu dan sebagainya.
Sesetengah ayat yang dibaca, yang dianggap diambil daripada al-Quran, sumber hadis ataupun doa-doa yang muktabar, padahal ia sebenarnya menyimpang daripada ayat-ayat yang sebenar pada sebutan, baris dan sebagainya.
Satu amalan yang begitu popular di kalangan mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan ialah bacaan qulhuwallah songsang, iaitu dengan cara membaca surah al-ikhlas dari belakang ataupun disongsangkan.
Qulhuwallah songsang ini mempunyai banyak versi. Dalam pengertian yang sebenar, ia bukan dibaca dari belakang (menyongsangkan), tetapi dibaca tidak menurut bacaan yang sebenar, bercampur aduk, diubah dan sebagainya. Salah satu contoh bacaan tersebut adalah seperti berikut:
Bacaan ini dikatakan mempunyai kelebihan, memudahkan hajat seseorang itu dikabulkan dan mujarab untuk dibacakan kepada pesakit, terutamanya sakit akibat gangguan makhluk-makhluk halus, ataupun akibat sihir.
Al-Quran adalah kalamullah yang agung. Mereka yang membaca Qulhuwallah songsang dan mempercayai keberkesanannya, secara tidak langsung beranggapan bahawa surah Qulhuwallah yang sebenar tidak sempurna, ataupun tidak mempunyai fadilat yang kuat berbanding dengan bacaan Qulhuwallah songsang. Ini membawa makna bahawa Allah, yang menurunkan wahyu ini seolah-olah tidak sempurna. Manusia yang menyongsangkan lebih sempurna.
Membaca mana-mana ayat al-Quran tidak seperti yang termaktub sebenar membawa erti yang berkenaan telah merubah ayat-ayat yang telah ditetapkan oleh Allah. Perbuatan ini tidak ubah seperti menghina (istihza’) kalamullah.
Membaca al-Quran tanpa menurut kaedah tajwid adalah berdosa, apatah lagi andainya seseorang itu mengubah ayat-ayat tersebut dengan sengaja. Allah memerintahkan agar al-Quran itu dibaca dengan teratur, kelompok demi kelompok (al-Furqan: 32), bukan membacanya menyongsang.
Banyak faktor menyebabkan berlakunya penyelewengan:
a. Guru yang tidak mempelajari atau memahami bahasa Arab, ayat-ayat al-Quran dan seumpamanya.
b. Tuntutan ilmu yang diperturunkan secara tradisional, yang tidak disertai dengan soal jawab di antara murid dan guru, bersesuaian dengan kaedah tradisional yang dipraktikkan. Hal demikian menyebabkan kesilapan terus-menerus berlaku, menyimpang daripada ayat-ayat asal.
*Kesilapan
Kesilapan yang tersedia wujud dalam “doa-doa” yang diberi bertambah apabila ia dipelajari dan disalin menggunakan transliterasi Romanise. Contohnya:
Bismillahhirrahmanirrahim
Allah hu lathifun bi ‘ibadihi bizruqu man yasaha ‘i wahuwal qauwiyul aziz.
Faktor-faktor yang dijelaskan ini menyebabkan berlakunya kesilapan yang jelas pada apa yang dianggap sebagai “doa” yang dibaca.
Walaupun demikian, suara bacaannya tetapi seperti bunyi ayat bahasa Arab, menyebabkannya tetap dianggap sebagai ayat-ayat bahasa Arab, menyebabkannya tetap dianggap sebagai ayat-ayat al-Quran, terutamanya oleh orang awam, yang tidak mengetahui bahasa Arab ataupun mengetahui bahasa Arab tetapi tidak dapat mendengarnya dengan jelas atas sebab-sebab yang dijelaskan tadi.
Menurut Syeikul ‘l-Islam Ibn Taimiyyah, apabila seseorang itu telah rosak dirinya, ia akan lebih berkecenderungan melakukan sesuatu yang merosakkan dan berasa seronok dengannya, malah menjadi asyik untuk merosakkan akal, agama, akhlak, diri dan hartanya.
Syaitan itu kotor lagi jahat, kerana itu apabila seorang yang sesat itu melakukan sesuatu yang disukai olehnya, seperti amalan-amalan kufur dan syirik, amalan seumpama itu menjadi penggalak kepadanya, lalu makhluk ini membantu menunaikan hajat manusia.
Amalan tersebut termasuklah menulis kalimah-kalimah Allah dengan najis, menyongsangkan huruf-huruf yang terdapat pada kalimah-kalimah Allah sama ada huruf-huruf yang terdapat pada surah al-Fatihah, Qulhuwallah dan sebagainya.
Kerana itu mereka berupaya melakukan sesuatu yang menakjubkan, yang melahirkan rasa kagum kepada orang awam.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Dikirim oleh Haniey
Dikirim oleh Haniey
Dikirim oleh Haniey 

















