Membantu kanak-kanak mangsa dera seks

Oleh Roslah Othman

APAKAH reaksi sekiranya seorang kanak-kanak sama ada anak jiran atau anak sendiri mendatangi anda dan memberitahu dia mangsa deraan seks? Tentu sukar sekali menentukan reaksi spontan yang bakal diberikan.

Apa yang pasti rasa terkejut, kurang percaya, marah dan tidak kurang juga ada yang menyalahkan kanak-kanak tersebut sengaja ‘mereka-reka’ cerita.

Reaksi sedemikian tidak harus ditunjukkan kerana pengalaman menakutkan itu boleh membawa akibat yang buruk di kemudian hari kepada kanak-kanak itu, seperti kemurungan atau gangguan personaliti dan tingkah laku yang bertentangan daripada kelaziman.

Ini diakui sendiri Pengerusi Badan Bertindak Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (MCPCSA), Sabri Abdul Rahman.

Menurutnya, seseorang yang berada dalam keadaan tenang akan dapat membantu kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seks berasa dirinya selamat.

Memberi keyakinan dengan menyatakan, ‘saya kesal perkara ini terjadi kepada anda’ atau ‘mari kita lihat apa yang boleh kita lakukan’ akan memudahkan kanak-kanak itu berterus terang.

“Apabila kanak-kanak memberitahu kita yang dia telah didera, jangan mencelah percakapan mereka. Beri mereka ruang untuk bercakap. Jangan menggunakan ungkapan seperti ‘anda sepatutnya tidak bercakap seperti itu’ atau ‘apakah anda pasti’.

“Ini hanya akan menghalang mereka untuk bercerita atau berterus terang. Adalah tidak mudah bagi mereka untuk bercakap secara terbuka kerana mungkin mereka telah diberi amaran atau diugut oleh pelaku (pendera). Sokonglah mereka dengan memberi perhatian sepenuhnya,’’ ujarnya.

Beliau juga memberitahu pemulihan merupakan satu proses penting bagi kanak-kanak yang telah didera secara seksual.

Katanya, proses pemulihan yang dilalui oleh kanak-kanak itu dapat menjamin kehidupan yang lebih bahagia dan produktif.

Ia mungkin memakan masa yang lama tetapi hasilnya adalah berbaloi. Kepada kanak-kanak, sudah tentu mereka akan berasa lega apabila mengetahui ramai kanak-kanak lain telah berjaya dipulihkan daripada kesan trauma akibat didera secara seksual.

Beliau turut memberi beberapa panduan ringkas bagaimana tindak balas yang harus diambil apabila ada kanak-kanak memberitahu mereka mangsa deraan seks.

Antaranya, memberi kepercayaan kepada kanak-kanak tersebut, di mana ia merupakan langkah utama dalam menolong mereka mengatasi trauma yang dialaminya.

“Kenyataan seperti ‘saya percayakan anda’ atau `itu bukan salah anda’ akan dapat membantu mereka dalam proses pemulihan,” katanya.

Menurut Sabri lagi, kanak-kanak yang telah dianiaya atau didera sering berada dalam keadaan keliru tentang perasaan mereka akibat telah dimanipulasi oleh pendera mereka.

Ini lebih-lebih lagi jika pendera tersebut orang yang mereka kenali atau sayangi seperti bapa, abang, datuk mahupun jiran tetangga.

Oleh itu, mereka hendaklah diberi peluang serta digalakkan untuk melahirkan perasaan yang terpendam dan pihak yang mendengar hendaklah mengakui dan memandang serius luahan tersebut.

“Kenyataan-kenyataan seperti ‘saya tahu bahawa ini tidaklah mudah bagi anda’ dan ‘anda sungguh berani untuk menceritakan semua ini kepada saya’ dapat menyampaikan perasaan empati, keprihatinan dan sokongan yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut,” katanya.

Menurut Sabri, bagi mangsa peritnya untuk membicarakan tentang penderaan itu boleh disamakan seperti penderaan itu sendiri. Oleh sebab itu, orang-orang dewasa hendaklah memberi sokongan yang sebanyak mungkin kepada kanak-kanak itu, terutama apabila mereka mula bercerita.

Tenteramkan mereka dengan kata-kata seperti `saya di sini untuk menolong anda’ atau `saya akan bersama melalui keadaan ini.

Langkah seterusnya kata Sabri ialah, sediakan kanak-kanak tersebut menghadapi keadaan seterusnya kerana kanak-kanak yang dianiaya merasa diri mereka tidak berdaya.

“Mereka perlu diberitahu bahawa terdapat orang lain di sekeliling mereka yang boleh memberi pertolongan.

“Mereka juga perlu diberitahu tentang perkara yang boleh mereka lakukan, iaitu bagaimana untuk menceritakan tentang peristiwa itu, kepada siapa dan jenis sokongan yang mereka perlukan,” katanya.

Selain itu, beri peluang kepada kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam ‘kes’ mereka sebanyak mungkin.

Dengan itu kanak-kanak tersebut dapat merasakan bahawa mereka berhak ke atas diri mereka dan mendapat sokongan serta kekuatan untuk menghadapi perbicaraan kesnya nanti

“Tindakan terbaik membawa kanak-kanak itu ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan bagi kecederaan fizikal.

“Pada masa sama hubungi juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis atau mana-mana badan bukan kerajaan yang memberi perlindungan kepada golongan ini,” katanya.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN PENDERAAN SEKS KANAK-KANAK

* PENDERAAN seks kanak-kanak berlaku apabila seseorang, sama ada tua atau muda, lelaki atau perempuan, menggunakan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu seksnya. Ia boleh melibatkan paksaan, penipuan atau ancaman ke atas kanak-kanak untuk melakukan aktiviti seks. Penderaan seks boleh berlaku dalam bentuk fizikal.

Penderaan seks boleh berlaku dalam bentuk fizikal atau bukan fizikal dan boleh meliputi satu rangkaian perilaku seks termasuk: Persetubuhan melalui faraj atau dubur, memasuki objek di dalam faraj, mulut atau dubur, seks oral, pengonanian antara kanak-kanak dengan pendera dan sebagainya.

SIAPA YANG MUDAH TERDEDAH KEPADA PENDERAAN SEKS?

* Sebarang kanak-kanak tanpa sekatan umur atau ras berpotensi menjadi mangsa penganiayaan seks. Ia boleh terjadi di kalangan keluarga miskin, kelas menengah atau kaya. Penderaan seks boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja, baik pada kanak-kanak normal mahupun kurang upaya.

Mengikut Akta Kanak-kanak 2001, ‘kanak-kanak’ merupakan seseorang yang berusia di bawah 18 tahun.

SIAPA YANG MENDERA KANAK-KANAK

Lelaki atau perempuan tua atau muda kadang kala orang yang dikenali. Biasanya seorang yang dikenali atau rapat dengan mangsa mereka kelihatan bersopan dan boleh dipercayai

BAGAIMANA ANDA BOLEH MENGETAHUI SEKIRANYA SEORANG KANAK-KANAK ITU MENGALAMI PENDERAAN SEKS?

* Enggan pergi ke sekolah atau prestasi pelajaran menurun.

* Tingkahlaku yang agresif atau cemas (contoh melarikan diri).

* Mengigau, tidur yang terganggu, takut pada kegelapan, takut pada orang atau tempat tertentu.

* Memakai banyak lapisan pakaian.

* Cenderung untuk bunuh diri.

* Rendah harga diri.

* Murung.

* Gangguan pemakanan

* Penagihan dadah atau mencederakan diri sendiri.

* Tingkah laku yang menjurus kepada seks atau takut pada seks.

* Kencing malam atau menghisap ibu jari terutama kanak-kanak yang lebih tua.

* Gejala fizikal seperti penyakit kelamin atau mengandung, menarik diri dari aktiviti sosial yang biasa mereka sertai.

TALIAN BANTUAN

* Persatuan Pergerakan Wanita (AWAM) – 03-7888 4221

* Pertubuhan Pelindungan Dan Penyelamat Kanak-Kanak Selangor dan Kuala Lumpur (P.S. The Children) – 03-7784 4344/55

* Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) – 03-7957 5068
 

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: