Apa itu penyakit jantung koronari?

Oleh: DR. NOORFAIZAN SAAIDIN (Pensyarah dan Pakar Perunding Kardiologi Unit Kardiologi, Jabatan Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia)

TURUT dikenali sebagai penyakit koronari arteri, ia merujuk kepada sekumpulan penyakit yang kesemuanya berkaitan dengan pembuluh darah yang membekalkan darah kepada jantung itu sendiri bagi membolehkannya mengepam darah.

Apabila deposit lemak terkumpul di dalam arteri, ia menjadi sempit dan darah yang mengalir melaluinya semakin berkurangan. Proses yang menyebabkan arteri ini menjadi sempit dinamakan aterosklerosis.

Pembuluh darah ini sama ada tersumbat dan menyebabkan serangan jantung yang boleh membawa risiko kematian lebih-lebih lagi jika tidak dirawat dengan segera, ataupun tersempit, yang mana selalunya menyebabkan sakit dada atau istilah perubatannya, angina.

Angina sering berlaku apabila jantung terpaksa bekerja lebih kuat daripada biasa misalnya ketika melakukan senaman ataupun terdapat gangguan emosi. Bahagian jantung yang arterinya sempit tidak mendapat oksigen secukupnya, akibatnya seseorang mengalami sakit dada.

Sementara itu, serangan jantung pula terjadi apabila arteri yang sempit tadi secara tiba-tiba menjadi tersumbat sepenuhnya oleh darah beku.

Otot-otot jantung yang mendapat bekalan darah daripada arteri yang tersumbat itu tidak mendapat oksigen dan sekiranya aliran darah tidak dipulihkan dengan kadar segera, ia boleh menyebabkan kerosakan kekal.

Sayugia diingatkan bahawa penyakit jantung yang dahulunya merupakan penyakit yang hanya terdengar di negara barat ataupun negara maju, sekarang ini sudah endemik dan menjadi masalah di mana sahaja.

Ia telah membunuh ramai penduduk yang rata-ratanya masih berkemampuan untuk menyumbang kepada pertumbuhan negara dan juga mereka yang menjadi pencari rezeki untuk keluarga.

Adalah sesuatu yang menyedihkan jika ini melibatkan bapa kepada anak-anak yang masih kecil dan bersekolah.

Terdapat juga pesakit yang mengalami beberapa serangan jantung pada masa lepas tanpa mereka sedari sama ada disebabkan oleh masalah kencing manis ataupun risiko-risiko jantung yang lain, yang tidak pernah dirujuk kepada doktor sebelumnya, termasuklah kolesterol tinggi.

Lazimnya, disebabkan oleh serangan bertubi-tubi secara senyap ini, pesakit akan mendapat komplikasi serius. Ini sama ada melibatkan kerosakan sebahagian atau keseluruhan dinding jantung ataupun kerosakan injap.

Akibatnya pesakit akan menghidap lemah jantung dan kerap kali akan memerlukan rawatan hospital disebabkan masalah paru-paru berair.

Wajar diingatkan bahawa sehingga hari ini, komplikasi serius sebegini masih memberikan permasalahan dan menjadi perbincangan di kalangan pakar-pakar jantung di seluruh dunia dari segi rawatan dan ubatan yang bersesuaian untuk mengawal simptom dan melanjutkan peluang usia pesakit.

Simptom yang perlu dikhuatiri

Gejala-gejala yang selalu dikaitkan dengan sakit jantung koronari adalah sakit dada.

Walaupun ada banyak penyakit lain yang boleh menyebabkan sakit dada, yang patut diberikan perhatian adalah apabila sakit dada itu berupa seperti ‘dada terasa berat’, ‘dada tertekan’ ataupun sakit dada yang dirasakan beralih ke tangan dan kadang-kadang ke rahang mulut.

Ini mungkin berlaku secara tiba-tiba ataupun semasa atau selepas senaman kecil dan selepas melakukan aktiviti yang menggunakan lebih tenaga.

Yang perlu diberikan perhatian lebih adalah apabila sakit itu berterusan lebih dari 20 minit ke setengah jam atau intensiti semakin meningkat, lebih-lebih lagi jika disertakan dengan rasa pening, loya atau berpeluh secara tiba-tiba.

Sesiapa yang mempunyai tanda-tanda di atas, adalah dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan doktor berkelayakan dengan seberapa segera yang mungkin..

Siapakah yang berisiko menghidap penyakit ini?

Penyebab tradisi kepada penyakit yang berbahaya ini semuanya melibatkan gaya hidup seseorang.

Ia termasuklah merokok (sama ada aktif merokok atau pasif, iaitu menghidu asap rokok orang lain), kencing manis, kolesterol tinggi (lemak dalam darah), darah tinggi, berat badan yang berlebihan dan kurang bersenam.

Seseorang yang mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidap sakit jantung dalam usia yang muda juga berkemungkinan mengalami risiko yang sama.

Adalah dikatakan bahawa lelaki lebih banyak terlibat berbanding wanita, tetapi disebabkan trend pada masa kini di mana lebih ramai wanita yang merokok, andaian ini mungkin tidak benar lagi.

Masalah berat badan atau obesiti sedang hangat diperkatakan di merata dunia, dan negara kita tidak terkecuali.

Dikhuatiri jika masalah ini tidak diberikan perhatian sewajarnya, bilangan pesakit jantung dan penghidap kencing manis pada usia yang muda, akan meningkat secara mendadak dalam sedekad dua ini.

Diagnosis

Apabila doktor mengesyaki anda menghidap penyakit jantung, selepas mengambil maklumat secara lisan daripada anda, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal.

Berdasarkan kepada maklumat awal ini, pemeriksaan seterusnya melibatkan ujian darah, bacaan elektrikal jantung (elektrokardiogram) atau singkatannya ECG dan ujian senaman ECG.

Di atas pertimbangan doktor, selalunya prosedur penyiasatan yang penting iaitu angiogram koronari, sejenis sinar X pembuluh darah jantung akan dilakukan untuk melihat sama ada ia sempit atau tersumbat.

Satu tiub panjang dan halus akan dimasukkan ke dalam arteri sama ada di pangkal paha atau lengan anda menggunakan pembiusan setempat. Pesakit perlu sedar sepanjang ujian tersebut dijalankan untuk mengikuti arahan doktor.

Anda mungkin biasa mendengar orang menyebut pengkateteran jantung. Inilah prosedurnya. Ia dirujuk sedemikian mengambil sempena tiub tersebut yang turut dikenali sebagai kateter.

Kateter digerakkan melalui pembuluh darah utama tubuh ke aorta dan ke punca arteri koronari jantung. Pergerakan ini dilihat menerusi gambar sinar X yang dipamerkan pada skrin televisyen.

Apabila kateter sampai ke bahagian yang dikenal pasti, sedikit pewarna akan disuntik ke dalamnya dan gambaran sinar X diambil mengikut pewarna yang bergerak melalui arteri koronari.

Kebanyakan pesakit tidak akan berasa sakit sepanjang prosedur ini yang biasanya mengambil masa di antara 30 hingga 40 minit.

Apakah rawatan yang boleh didapati?

Apabila seseorang itu disahkan menghidap sakit jantung koronari ataupun dilabelkan berisiko tinggi, sebagai permulaan, ubat-ubatan akan diberi.

Ubat-ubatan selalunya merangkumi antiplatelet untuk mencairkan darah, beta-blocker untuk mengawal rentak jantung dan ubat kawal kolesterol. Jika menghidap kencing manis dan darah tinggi, ubat yang bersesuaian juga akan diberikan.

Jika mengadu sakit dada, pesakit akan dinasihati supaya mengambil sejenis ubat yang diletakkan di bawah lidah, yang mampu melegakan sakit dalam beberapa minit. Walau bagaimanapun, jika sakit berterusan, pesakit disarankan berjumpa doktor terdekat dengan seberapa segera.

Satu rawatan yang menjadi kelaziman di kalangan pakar jantung ketika ini adalah rawatan angioplasti belon dan stent (sejenis rerelung dawai logam), yang dijalankan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada prosedur penyiasatan angiogram koronari yang sama ada dilakukan terdahulu pada waktu yang berasingan ataupun serentak.

Saluran sempit atau tersumbat itu dirawat dengan belon khas dan diikuti dengan stent, untuk memastikan saluran darah itu terbuka luas untuk membawa nutrien dan oksigen ke bahagian jantung yang berkenaan.

Jika saluran pembuluh darah itu tidak sesuai dirawat dengan angioplasti, selalunya jika melibatkan banyak tempat ataupun saluran yang kritikal, pembedahan pintasan koronari akan disarankan. Ini selalunya adalah hasil dari perbincangan lanjut antara pakar jantung dan pakar bedah jantung.

Cara-cara untuk mengurangkan risiko

Oleh kerana penyakit jantung koronari rata-ratanya berkait rapat dengan cara dan gaya hidup, langkah yang paling sesuai adalah untuk mengubahnya.

Perokok mesti berhenti daripada meneruskan tabiat yang tidak berfaedah itu. Berat badan mesti dikawal supaya tidak berlebihan.

Pemakanan sepatutnya bercirikan kesihatan iaitu yang kurang lemak, kurang manis, kurang masin dan berpatutan dari segi sukatannya.

Pesakit yang menghidap kencing manis semestinya perlu mengikut nasihat doktor, dan mengamalkan pemakanan yang tidak berasaskan gula atau karbohidrat yang terlalu tinggi.

Bersenam memang sudah diketahui akan menyihatkan badan, apatah lagi menjauhi seseorang dari gejala penyakit jantung koronari.

Sememangnya seseorang itu tidak dapat mengubah nasib keluarga yang berisiko tinggi ataupun genetik/keturunan penghidap penyakit ini tetapi amalan cara hidup sihat telah terbukti dapat menjauhi kita dari gejala-gejala penyakit yang amat berbahaya ini.
 

2 Responses to Apa itu penyakit jantung koronari?

  1. jamaliah berkata:

    Thanks dr. atas rawatan n info yg dr. telah berikan.

  2. obewr berkata:

    info2 ni masih x ckup…
    boleh perbanyakkan lg??

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: