Probiotik bantu pencernaan

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN

ASAS kesihatan yang baik ialah mengamalkan pemakanan seimbang. Pemakanan seimbang bermakna mengandungi pelbagai jenis makanan, khususnya keperluan asas seperti sumber karbohidrat, protein dan mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari.

Bagaimanapun, saranan ini lebih mudah diperkatakan daripada dilaksanakan. Dalam kesibukan mencari rezeki, makanan kita kini berfungsi lebih kepada mengisi kelaparan dan memenuhi selera, bukan untuk mendapat khasiat diperlukan badan.

Justeru, ramai terdorong dan cenderung memilih makanan yang lama kelamaan boleh membawa kemudaratan, terutama makanan segera, banyak lemak, garam dan gula, kerana badan akan mengalami masalah kekurangan zat.

Setiausaha Kehormat Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Profesor Madya Dr Norimah Karim, berkata pemakanan seimbang bukan saja penting untuk mengekalkan berat badan yang sihat, tetapi juga mengekalkan jumlah kehidupan mikro (mikro organisma) dalam usus.

Mikro flora dalam usus ada dua fungsi asas iaitu pemakanan (untuk sintesis vitamin (sesetengah vitamin B dan K), membantu penyerapan garam galian dan unsur surih). Fungsi kedua ialah untuk perlindungan iaitu terhadap bakteria patogen, meningkatkan sistem imun dan membantu badan menyingkir bahan buangan (toksin).

Bagaimana mikro organisma memasuki usus? Mikro organisma diperoleh ketika atau selepas dilahirkan (sama ada dari ibu atau persekitaran). Dalam usus kita ada kira-kira 400 jenis bakteria ‘baik’ (juga dipanggil probiotik) dan ‘jahat’ yang perlu dijaga keseimbangannya.

Pun begitu, jumlah bakteria baik boleh berkurang akibat faktor penuaan, tekanan, pengambilan ubat dan antibiotik, pil pencegah kehamilan, minum minuman beralkohol berlebihan, terdedah kepada bahan toksik, gaya hidup tidak sihat dan diet tidak seimbang.

Ketidakseimbangan ini mengurangkan jumlah bakteria baik. Pengurangan bakteria baik memberi ruang kepada pertumbuhan bakteria jahat yang boleh menyebabkan jangkitan seperti jangkitan salur kencing, selain mengakibatkan pelbagai masalah berkaitan usus.

Antara gejala yang sering berlaku apabila keseimbangan mikro flora terganggu ialah:

> Kembung perut.
> Senak.
> Sakit perut.
> Cirit-birit.
> Sembelit.
> Hilang selera makan.
> Jangkitan.
> Alahan kulit.

Untuk mengembalikan semula keseimbangan kehidupan dalam usus, pakar pemakanan menyarankan kita mengambil probiotik iaitu makanan tambahan mengandungi bakteria asid laktik. Bakteria probiotik digunakan dalam industri makanan sejak berabad lamanya kerana ia bukan saja menghasilkan rasa masam, tetapi mampu bertindak sebagai pengawet dengan merendahkan pH (tahap keasidan atau kealkalian) yang secara tidak langsung mengelak pertumbuhan organisma perosak.

Setiap orang — daripada bayi hinggalah orang tua — memerlukan probiotik sepanjang hayat untuk:

> Memperbaiki sistem penghadaman.

> Mengurangkan insiden alahan dan penyakit kecelaruan sistem imun (autoimun).

> Mengelak dan memendekkan tempoh cirit-birit yang disebabkan antibiotik pada orang dewasa dan kanak-kanak.

> Menguatkan sistem imun bagi mencegah jangkitan.

> Mengurangkan penghasilan bahan toksik dalam usus.

Bakteria baik dan jahat ada dalam perut dan sistem usus iaitu:

a. Dalam perut:

> Laktobasilus.
> Streptococcus.
> Yis.

b. Dalam usus kecil:

> Laktobasilus.
> Bakteria bifido.
> Streptococcus.
> Bakteroides.
> Fusobakteria.

c. Dalam usus besar:

> Bakteria bifido.
> Laktobasilus.
> Streptococcus.
> Fusobakteria.
> Bakteroides.
> Enterobacteriaceae.
> Clostridia.
> Yis.

Dr Norimah berkata, bakteria probiotik biasanya ada dalam produk tenusu yang mengalami proses penapaian seperti dadih dan minuman dadih. Untuk kemudahan pengguna, banyak pengusaha kini menghasilkan pil probiotik sebagai makanan tambahan yang mudah disimpan, diambil dan dibawa ke mana saja tanpa bimbang ia mengalami kerosakan. Jenis paling biasa digunakan ialah bakteria bifido dan laktobasilus.

Kebaikan probiotik sudah lama diperkatakan, terutama terhadap sistem pencernaan. Kajian terbaru mendapati ia juga boleh mengurangkan ketidakselesaan akibat selesema, memendekkan tempoh demam ketika selesema serta terbukti meningkatkan daya ketahanan badan.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan Antarabangsa Merck Consumer Health Care, Jerman, Dr Stefen Henke, berkata kajian ke atas 479 responden bagi menguji kesan probiotik terhadap jangkitan virus penyebab selesema yang diberi sebiji pil setiap hari mendapati, individu yang makan probiotik lebih cepat sembuh berbanding kumpulan kawalan yang diberi pil vitamin dan mineral saja.

“Malah, pengambilan probiotik sekurang-kurangnya tiga bulan membuktikan ia mampu memendekkan tempoh jangkitan dan mengurangkan gejala selesema yang biasanya membuatkan ramai individu terpaksa mengambil cuti sakit, terutama penduduk Barat, pada musim sejuk.

“Walaupun jumlah pesakit yang diserang selesema tidak jauh berbeza antara kumpulan yang diberi probiotik dan kumpulan kawalan, individu yang makan probiotik kurang mengalami gejala hidung berair, sakit tekak, sakit kepala, sakit mata, demam, letih serta kurang selera makan. Hasil kajian itu juga mendapati, probiotik meningkatkan aktiviti sel, terutama sel T (limfosit) yang terbabit dalam sistem imun,” katanya ketika pelancaran probiotik pertama yang dilengkapi vitamin dan mineral, Bion 3.

Pil probiotik mengandungi 10 juta probiotik hidup itu diperkaya dengan 12 vitamin dan 12 garam galian asas yang diperlukan untuk aktiviti metabolisme, pertumbuhan dan organ berfungsi dengan baik.

Pengambilan probiotik juga didapati boleh mengatasi masalah mengalami alahan gula dalam susu (tidak toleran laktosa) akibat kekurangan enzim laktase (bertanggungjawab menukarkan gula laktosa kepada glukos dan galaktos). Individu tidak toleran lakstosa biasanya mengalami masalah sakit perut, kembung dan cirit-birit setiap kali minum susu.

Kandungan bakteria Laktobasilus gasseri dalam probiotik menghasilkan enzim laktase yang secara perlahan-lahan mengurangkan masalah tidak toleran laktosa dan individu berkenaan boleh menikmati khasiat susu.

Probiotik meningkatkan keupayaan badan menyerap garam galian seperti kalsium, magnesium dan fosforus. Pada masa sama, ia boleh menghasilkan vitamin B dan C.

Probiotik adalah produk selamat kerana ia mengandungi bakteria baik sama seperti kehidupan usus kita dan sesuai diambil semua peringkat umur. Malah, ada pakar menyarankan individu yang mahu berkunjung ke negara lain supaya makan probiotik yang dihasilkan di negara sendiri bagi mengelak cirit-birit di tempat asing.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: