Kelahiran Kembar

KADAR kelahiran kembar berbeza di kalangan masyarakat. Contoh, kadar paling tinggi ialah di kalangan masyarakat Nigeria, Afrika dengan kadar 45 kelahiran kembar bagi setiap 1,000 kelahiran.

Di China, kadar kelahiran kembar adalah paling rendah iaitu kurang daripada lima kelahiran kembar bagi setiap 1,000 kelahiran. Perbezaan dalam kadar kelahiran kembar itu adalah bagi kadar kelahiran kembar tidak seiras.

Ada dua jenis kembar iaitu kembar seiras (monozygotic twins) dan kembar tidak seiras (dizygotic twins). Mekanisma yang mencetuskan kandungan kedua-dua jenis kembar ini adalah berbeza.

Kembar tidak seiras berlaku apabila wujud dua ova (benih wanita) yang sudah dikeluarkan dari ovari yang berbeza ataupun dari ovari yang sama dan disenyawakan oleh dua sperma (benih lelaki).

Proses persenyawaan ini akan menghasilkan dua individu berlainan dalam kandungan yang sama.

Setiap janin mempunyai karung tersendiri dan uri yang berbeza. Jantina mungkin sama ataupun berbeza. Kembar jenis ini lazimnya berlaku jika wujud sejarah kelahiran kembar dalam keluarga seperti anda.

Sejarah keluarga isteri adalah lebih penting daripada sejarah kembar daripada pihak keluarga suami.

Kembar seiras pula berlaku kerana wujud perpecahan pada embrio yang terbentuk daripada persenyawaan antara satu ovum dan satu sperma.

Jika perpecahan ini berlaku dalam masa tiga hari selepas persenyawaan (tahap lapan sel), proses pembentukan kembar menyerupai keadaan kandungan kembar tidak seiras dengan dua uri dan dua karung.

Proses ini berlaku dalam satu pertiga kes kembar seiras manakala jika perpecahan berlaku di antara empat dan tujuh hari selepas persenyawaan (tahap ketulan sel dalaman) maka dua janin terbentuk dengan satu uri dan dua karung kandungan.

Kembar seiras jenis ini berlaku bagi dua pertiga kembar seiras. Apabila perpecahan berlaku lebih lewat iaitu dari lapan hingga 12 hari selepas persenyawaan, satu uri akan terbentuk untuk kedua-dua janin dalam satu karung.

Hanya satu peratus daripada kembar seiras berlaku daripada perpecahan selewat ini. Kembar seiras daripada perpecahan embrio yang berlaku 13 hari selepas persenyawaan amat jarang sekali berlaku dan akan menyebabkan kembar melekat di antara satu sama lain (kembar siam).

Kandungan kembar ialah kandungan berisiko tinggi. Berikut ialah antara komplikasi kandungan kembar ataupun kandungan berganda:

1. Kecacatan janin. Kadar ini berlaku lebih kerap bagi kembar seiras.

2. Keguguran. Kadar ini lebih tinggi kerana kadar kecacatan janin lebih tinggi.

3. Muntah-muntah pada awal kehamilan. Lazimnya ibu yang hamil kandungan kembar mengalami muntah-muntah lebih teruk berbanding kandungan tunggal.

4. Kurang darah (anaemia)

5. Kadar cecair dalam karung kandungan yang banyak.

6. Kedudukan uri di bawah berlaku lebih kerap bagi kandungan kembar.

7. Tekanan darah tinggi lebih kerap bagi kandungan kembar terutama bagi ibu hamil buat pertama kali dan mempunyai kandungan kembar.

8. Sindrom pemindahan darah antara kembar dan dalam keadaan ini ada sambungan antara saluran darah bagi kedua-dua janin. Keadaan ini menyebabkan janin yang menderma darahnya pucat dan yang menerima darah pula merah. Kadangkala keadaan ini boleh menyebabkan janin mati dalam kandungan.

9. Kebanyakan janin kembar dilahirkan lebih kecil dan ringan jika dibandingkan dengan kelahiran bayi biasa. Kira-kira satu perempat daripada kelahiran kembar mempunyai berat badan kurang daripada sentil kelima bagi umurnya.

10. Kematian dalam kandungan dan kemungkinan wujud masalah pembesaran janin adalah lebih kerap bagi kembar seiras.

11. Kelahiran pra matang. Kadar kelahiran kembar berlaku sebelum 37 minggu adalah sebanyak 44 peratus jika dibandingkan hanya lima peratus bagi kandungan tunggal.

Sebelum menginginkan kandungan kembar, anda perlu memikirkan risiko yang mungkin dihadapi jika hamil dengan kandungan kembar. Memanglah ada ubat-ubatan yang merangsang proses ovulasi dan boleh menyebabkan kandungan kembar.

Jika ubat-ubatan itu diambil, anda perlu berada di bawah pengawasan doktor. Pengambilan ubat-ubatan ini bagi jangka masa yang lama boleh meninggikan risiko barah ovari.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: