Rabun hijau-merah, biru-kuning

September 30, 2007

Oleh: DR. HALIZA ABDUL MUTALIB
Pakar Optometris dan KetuaJabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur

RABUN warna atau colour blindness sering disalahertikan. Ramai yang menganggap orang yang mempunyai rabun warna mempunyai penglihatan bagaikan televisyen hitam putih.

Sebenarnya, orang yang rabun warna itu tidak sebenarnya buta warna, cuma persepsi warnanya sahaja yang berbeza dengan orang yang mempunyai penglihatan normal.

Contohnya, jika kita melihat warna merah menyala, seseorang yang mempunyai defeksi warna merah akan melihat warna tersebut seperti warna merah gelap.

Jenis rabun warna adalah pelbagai dan tahap keterukan rabun warna itu sendiri berbeza.

Walau bagaimanapun, ada segelintir orang yang mempunyai defek warna yang sangat teruk di mana ia boleh menyebabkan mereka ‘buta’ terhadap semua warna.

Jenis rabun warna yang biasa dijumpai adalah jenis defek warna hijau-merah atau biru-kuning.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa rabun warna biasanya bersifat kongenital. Ini bermakna, masalah ini telah ada pada kanak-kanak itu sejak lahir lagi disebabkan pembawaan genetik.

Ada kalanya ia berlaku hanya setelah dewasa kerana menghidap sesuatu penyakit. Masalah rabun warna ini sukar untuk dikesan tanpa menjalani ujian warna.

Malah ramai ibu bapa tidak dapat mengecam masalah ini pada anak-anak sewaktu mereka masih kecil.

Oleh kerana kanak-kanak yang terlalu muda tidak begitu mengenali jenis-jenis warna, agak sukar bagi ibu bapa ataupun guru untuk mengesan sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai masalah rabun warna.

Kanak-kanak rabun warna juga biasanya mempamerkan akuiti visual yang baik. Disebabkan itu, ibu bapa tidak mengambil perhatian sewajarnya memandangkan tiada masalah yang ketara timbul di usia sedemikian.

Adalah penting untuk mengetahui sama ada anak anda mempunyai masalah rabun warna ataupun tidak.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah rabun warna biasanya mempunyai masalah pembelajaran di sekolah terutamanya di awal persekolahan, di mana, banyak aktiviti menggunakan warna seperti melukis dan mewarna dilakukan.

Penggunaan komputer juga boleh terjejas sedikit bagi pengguna yang mempunyai rabun warna. Warna mula dikenali serta dilihat sejak dari bayi lagi.

Pada mulanya, warna sukar untuk dibezakan oleh bayi, tetapi selepas beberapa bulan bayi mula tertarik kepada warna-warna terang seperti kuning dan merah.

Bagi kanak-kanak yang berumur kurang daripada empat tahun, agak sukar bagi mereka untuk membezakan tona warna yang sama seperti hijau pucuk pisang dan hijau rumput.

Kanak-kanak perlu mempelajari dan memahami bukan hanya warna, tetapi juga bentuk dan saiz objek. Mereka perlu diberitahu bahawa banyak objek mempunyai warna yang sama.

Kebanyakan kanak-kanak mula dapat mengecam dan menamakan warna dengan betul selepas berusia lima tahun.

Apa itu rabun warna?

Di belakang mata terdapat satu lapisan nipis yang dikenali sebagai retina. Di lapisan retina terdapat dua jenis sel iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini mempunyai tindak balas yang berbeza terhadap cahaya.

Sel-sel rod sangat sensitif pada cahaya dan ia mampu bertindak balas terhadap cahaya walaupun dalam keadaan berkabus atau dalam cahaya malap. Walau bagaimanapun, sel ini tidak dapat membezakan warna.

Oleh itu, pada malam hari, kita masih dapat melihat cahaya malap tetapi dalam bentuk bayangan hitam, kelabu dan putih. Sel-sel kon pula bertindak balas terhadap cahaya yang lebih terang dan yang berwarna.

Terdapat tiga jenis sel kon iaitu setiap satunya bertindak balas dengan warna merah, hijau dan biru. Seseorang yang rabun warna akan mengalami kekurangan salah satu atau lebih sel kon.

Fakta genetik mengenai rabun warna

Rabun merah-hijau biasanya berpunca daripada genetik ataupun keturunan. Ia lebih kerap terjadi kepada lelaki berbanding perempuan. Ini disebabkan oleh susun atur kromosom.

Gen yang menyebabkan rabun merah-hijau terdapat pada kromosom X (lelaki memiliki satu kromosom X manakala perempuan memiliki dua kromosom X).

Sekiranya ibu adalah pembawa gen rabun merah-hijau (satu X normal dan satu X terubah), anak perempuannya tidak akan mendapat rabun warna tetapi kebiasaannya anak lelaki yang akan mendapat rabun warna tersebut.

Anak perempuan pula kebiasaannya akan mempunyai penglihatan warna yang normal kecuali sekiranya ibunya adalah pembawa dan ayahnya pula rabun warna.

Masalah yang boleh timbul

Kebanyakan aktiviti seharian banyak bergantung kepada penggunaan warna seperti pemilihan pakaian yang sepadan atau penggunaan pen yang berlainan warna.

Sekiranya mereka tidak dapat memilih warna tersebut dengan tepat, mereka terpaksa bergantung kepada perbezaan pada objek itu untuk menolong mereka memilih seperti, baju berkolar warna merah dan seluar berpoket warna hitam.

Kanak-kanak di dalam kelas tadika sering didedahkan dengan alat-alat pembelajaran seperti kiub, pensel warna dan mainan.

Adalah digalakkan barang-barang mainan ini dilabelkan dengan nama warna ataupun terdapat dalam saiz berlainan yang mana, kanak-kanak dapat mengamati perbezaannya dengan melihat pada saiz objek.

Pada skrin komputer pula, kebiasaannya perkataan atau simbol yang penting akan dihitamkan atau warna berbeza digunakan.

Mereka yang rabun warna tidak akan menghadapi masalah membezakan ayat kerana kecerahan komputer boleh menolong membezakan warna mengikut tona gelap dan cerah.

Seseorang yang rabun warna (tahap rendah) mungkin tidak mempunyai masalah mengamati lampu isyarat.

Ini kerana, susunan warna lampu isyarat adalah sama di mana-mana iaitu warna merah berada di kedudukan atas sekali. Walau bagaimanapun, ia mungkin sukar dilihat pada waktu malam atau sewaktu hujan lebat.

Hal yang sama juga boleh terjadi kepada lampu brek kereta yang berwarna merah akan kelihatan sangat malap (merah gelap) bagi mereka yang rabun warna. Bagi rabun warna (tahap serius), warna lampu isyarat mungkin tidak dapat dibezakan sama sekali.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah pekerjaan yang sememangnya tidak dapat dilakukan oleh mereka yang mempunyai rabun warna seperti pendawaian, makmal kimia dan kerja-kerja pengendalian kenderaan komersial dan tugas-tugas ketenteraan dan polis.

Apa yang dapat dilakukan

Semua kanak-kanak (terutamanya kanak-kanak lelaki) sewajarnya menjalani ujian penglihatan warna terutamanya bagi mereka yang mempunyai saudara atau keluarga yang diketahui mempunyai masalah rabun warna.

Ujian ini boleh dilakukan pada usia lima tahun dan ke atas terutamanya jika kanak-kanak sudah mula faham arahan yang diberi dan sudah boleh mengenal nombor.

Sekiranya kedua-dua belah keluarga ayah dan ibu diketahui ada mempunyai masalah rabun warna, maka kanak-kanak perempuan juga dinasihatkan untuk menjalani ujian penglihatan.

Kebanyakan ujian penglihatan yang dijalankan di sekolah hanya tertumpu kepada akuiti penglihatan dan jarang sekali kanak-kanak disaring untuk masalah rabun warna.

Ujian penglihatan warna yang kebiasaannya dilakukan oleh optometris adalah dengan menggunakan carta yang direka khas untuk mengesan rabun warna (Ishihara colour plates) dan juga alat-alatan lain seperti D-15, 100 Hue dan Anamaloskop.

Apabila rabun warna dikesan, ujian selanjutnya akan dijalankan untuk mengesan keterukan rabun warna tersebut dan jenis rabun warna yang dialami.

Setelah diagnosis diperoleh, konsultansi atau rundingan berkenaan keadaan penglihatan warna tersebut akan diberi dan satu surat khas akan dikeluarkan untuk menyatakan status penglihatan warna bagi orang rabun warna tersebut.

Bagaimana orang rabun warna dapat dibantu?

Pengesanan awal dari usia kanak-kanak dapat membantu membaiki kelemahan ini. Sepatutnya kita tidak melihatnya sebagai satu kecacatan.

Mereka yang rabun warna dapat melihat warna kecuali persepsi warna itu sendiri yang dilihat berlainan daripada normal seperti warna merah cerah dilihat sebagai merah gelap atau hitam sementara warna hijau dilihat sebagai kuning coklat (bergantung pada keterukan rabun warna).

Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah rabun warna, mereka dapat membantu atau mengajar kanak-kanak ini dengan cara yang berlainan dan lebih efektif.

Bagi ibu bapa pula anda boleh menolong anak anda dengan melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna.

Ini dapat mengelakkan dirinya daripada diejek oleh rakan-rakan.

Mereka juga perlu dibantu untuk mengenal warna sebenar meskipun persepsi warna yang dilihat adalah berlainan, contohnya: rumput berwarna hijau gelap dan bukannya hijau muda.

Rabun warna tidak mempunyai sebarang rawatan khusus. Terdapat alat optikal seperti kanta sentuh khas dan cermin mata dengan penapis warna tertentu dapat membantu untuk meningkatkan tona warna lantas mampu membezakan warna-warna defek dengan lebih mudah.

Walau bagaimanapun ini bukanlah satu kaedah rawatan yang dapat membantu kanak-kanak untuk mendapatkan persepsi warna yang lebih normal tetapi hanya satu kaedah untuk membolehkan seseorang mengecam warna dengan lebih baik.

Namun, kejayaan alat-alat ini amat bergantung kepada tahap rabun warna individu itu sendiri.

Berapa jeniskah buah-buahan yang dapat anda lihat?

Kanak-kanak yang mempunyai penglihatan normal (trikromat) akan dapat melihat lima timbunan buah-buahan yang berlainan jenis. Dari belakang kelihatan timbunan buah-buahan berwarna merah, hijau, merah, kuning dan oren.

Orang yang mempunyai rabun warna merah-hijau sukar melihat semua timbunan buah-buahan dengan jelas. Kemungkinan hanya tiga atau empat jenis buah-buah yang dapat dilihat mereka. (Dipetik dari www.vischeck.com).


Sedekah selamat bala bencana, cegah mati tidak beriman

September 30, 2007

AMALAN yang sangat dituntut pada Ramadan ialah bersedekah. Hal ini dijelaskan Abu Hurairah: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW. Ya Rasulullah, tolong terangkan kepada saya, sesuatu amal yang apabila saya melakukannya, akan menyebabkan saya masuk syurga. Baginda menerangkan, berilah makan (fakir miskin dan anak yatim), amalkan selalu memberi salam, eratkan silaturahim dengan membantu kaum kerabat dan kerjakan sembahyang tahajud pada waktu malam ketika orang ramai tidur, nescaya engkau akan masuk syurga dengan aman sentosa.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Mereka yang digalakkan bersedekah bukan di kalangan orang kaya saja, malah dituntut kepada sesiapa saja yang mempunyai kemampuan melakukannya. Jika yang hendak bersedekah itu adalah orang yang kurang berada atau orang susah, mereka hendaklah bersedekah ala kadar saja, asalkan tidak menyusahkan diri serta tanggungannya. Jika ada berlebihan daripada yang diperlukan, maka mereka boleh sedekahkan kepada orang lain juga memerlukan bantuan daripada mereka.

Islam membuka seluas-luasnya kepada sesiapa yang berkemampuan untuk bersedekah kerana ganjaran bersedekah bukan saja diterima pelakunya di akhirat, malah mereka yang bersedekah akan mendapat ganjarannya di dunia.

Di dunia, mereka yang bersedekah akan dimurahkan rezeki oleh Allah dalam kehidupannya. Faedah ini dijelaskan oleh Jabir Abdullah katanya: “Rasulullah berucap kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Menerusi hadis di atas, dapat difahami bahawa sedekah itu digalakkan sama ada secara terang-terangan atau sembunyi. Mereka yang melakukannya akan diberi ganjaran berlipat ganda.

Selain itu, dengan bersedekah seseorang akan terselamat daripada bala bencana. Anas bin Malik menjelaskan katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Segeralah kamu bersedekah, kerana bala bencana tidak dapat melangkahi sedekah.” (Hadis riwayat Baihaqi)

Dengan bersedekah juga seseorang itu akan dipanjangkan umur dan dicegah baginya kematian yang buruk. Amru bin Auf menceritakan: “Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu akan memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan buruk (Hadis riwayat Tabrani)

Maksud dipanjangkan umur ialah diberi keberkatan pada umurnya sehingga ia dapat mengisinya dengan amalan kebajikan yang akan menghidupkan namanya dengan sebutan yang baik sesudah matinya.

Dicegah baginya kematian yang buruk pula bermaksud mereka akan dilindungi oleh Allah daripada mati dalam keadaan tidak beriman kerana sedekahnya itu membawa rahmat dan rahmat itu akan menyebabkan matinya dalam keadaan baik.

Bersedekah juga akan menyebabkan dosa seseorang itu dihapuskan Allah. Hal ini dijelaskan oleh Jabir bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sembahyang itu dapat mendampingkan diri dengan rahmat Allah dan membawa keredaan-Nya, dan puasa menjadi perisai kejahatan, manakala sedekah pula menghapuskan dosa seperti air memadam api.” (Hadis riwayat Abu Ya’la)

Inilah kelebihan orang yang bersedekah. Oleh kerana banyaknya kelebihan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya, maka sewajarnya umat Islam berlumba-lumba untuk bersedekah, lebih-lebih lagi bersempena Ramadan ini.

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia


Steroid boleh ubati sindrom nefrotik

September 30, 2007

Soalan:

Doktor, ada dua soalan yang ingin saya tanya.

Pertama, anak saya disahkan mengalami penyakit sindrom nefrotik. Adakah ia boleh diubati? Bagaimana pula dengan pemakanannya?

Soalan kedua, anak saudara saya menghidapi penyakit sawan sejak dia umur enam bulan. Sehingga kini dia diserang sawan dua kali dalam sebulan. Hingga kini dia masih mengambil ubat ‘epilepsy’ yang diberi oleh hospital kerajaan. Apakah cara lain yang dapat menyembuhkan penyakitnya?

Bapa Risau.

Jawapan:

a) Penyakit sindrom nefrotik ialah sejenis penyakit buah pinggang yang kronik. Ia disebabkan oleh kehilangan protein yang berlebihan di dalam air kencing. Air kencing yang biasa tidak mengandungi bahan protein. Ini menyebabkan di sekeliling mata, muka dan kakinya bengkak.

Air kencing juga nampak kotor, berbuih dan berkurangan. Penyakit ini boleh diubati dengan rawatan steroid. Jika tidak ada kes berulang (relapse) dalam masa 5 tahun, peluang untuk kes tidak berulang sehingga dewasa adalah lebih tinggi.

Pemakanan kanak-kanak yang mengidap penyakit ini adalah seperti kanak-kanak biasa. Begitupun, kurangkan pengambilan garam dalam makanannya terutama makanan ringan dan makanan yang diproses. Lebihkan mengambil makanan yang tinggi kandungan protein.

b) Seperti yang tuan ketahui, penyakit sawan adalah sejenis penyakit kronik yang memerlukan rawatan jangka panjang. Ia terjadi disebabkan gangguan pada arus elektrik dalam otak. Manifestasi yang terjadi bergantung pada bahagian saraf otak yang terbabit.

Sekiranya ia menjejaskan keseluruhan bahagian otak ia akan menyebabkan grand mal epilepsi. Sekiranya anak tuan masih mendapat sawan walaupun mengambil ubat sawan secara berterusan keadaannya perlu mengkaji semula sama ada:

  • Dos ubat yang diambil mencukupi
  • Ubat yang diberi bersesuaian untuk jenis sawan yang dihidapi
  • Perlu penambahan ubat yang lain atau tidak

    Tujuan utama rawatan penyakit sawan ialah untuk memastikan pesakit tiada lagi serangan sawan dan dapat menjalani kehidupan secara normal. Sekiranya tiada serangan sawan selama dua tahun dan ujian ulangan EEG adalah normal, ubat sawan mungkin boleh diberhentikan.

    Secara amnya, kanak-kanak yang mengidap sawan mempunyai IQ yang lebih rendah dan mengalami masalah dalam membaca, mengeja dan pengiraan. Ini mungkin disebabkan oleh kerosakan pada bahagian otak yang menyebabkan sawan. Sesetengah ubat sawan juga boleh menyebabkan anak kurang cergas dan hilang tumpuan ketika belajar.

    Jawapan disediakan oleh: Dr Fadzillah Ghazalli Pakar Pediatrik, DEMC.


  • Menjaga keselamatan diri

    September 29, 2007

    Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS (fikrahremaja@yahoo.com)

    KEBELAKANGAN ini sering kedengaran berita anak atau remaja hilang yang dilaporkan melalui media massa. Sebilangan kes tersebut melibatkan remaja yang lari dari rumah, manakala sebilangan lagi berpunca daripada pihak luar yang menculik anak-anak demi pelbagai tujuan yang tidak baik.

    Sudah tentu hal ini amat memilukan hati ibu bapa yang mengalami situasi tersebut.

    Kes-kes jenayah berkaitan isu keselamatan diri kanak-kanak kecil serta remaja bukanlah perkara baru. Namun dengan peningkatan jumlah kes yang berlaku menuntut kita merenung kembali situasi ini serta mengambil langkah-langkah yang sepatutnya dalam memastikan keselamatan mereka terjamin.

    Seolah-olah persekitaran kita pada zaman ini menjadi tidak selamat khususnya untuk anak-anak serta remaja. Justeru adalah perlu ibu bapa mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi anak-anak mereka daripada perkara-perkara yang mungkin mengancam keselamatan diri. Di samping, mendidik anak-anak supaya bersikap proaktif dalam mengambil langkah-langkah keselamatan.

    Kebebasan yang terkawal

    Dalam hal ini, isu yang mungkin timbul ialah berkenaan kebebasan diri anak-anak khususnya yang sudah meningkat remaja. Dalam usia sedemikian, remaja mempunyai perasaan ingin tahu atau ingin mencuba yang amat kuat. Justeru mereka mungkin lebih berkeinginan untuk mengetahui dunia di luar rumah.

    Konflik mungkin timbul apabila remaja mula menuntut lebih kebebasan daripada kawalan ibu bapa. Di pihak ibu bapa, kawalan mereka bertujuan melindungi remaja daripada pelbagai perkara negatif serta jenayah. Oleh itu, ibu bapa perlu menerangkan anak-anak mereka tentang hal ini supaya konflik yang timbul dapat dijernihkan kembali.

    Namun tidak selamanya ibu bapa dapat meletakkan bentuk kawalan yang sama untuk anak-anak mereka yang semakin membesar.

    Melepaskan kawalan terhadap anak-anak perlu dilakukan ibarat melepaskan tali bersama pemberat. Untuk pemberat sampai ke tanah tali perlu dilepaskan dengan lancar serta sedikit demi sedikit agar apabila sampai ke tanah pemberat tidak rosak dan tanah tidak berbekas. Seandainya tali dilepaskan terus maka pemberat bakal menjunam ke tanah, lalu pemberat rosak dan tanah pun berbekas.

    Begitu juga dalam memberi kebebasan kepada anak-anak. Kebebasan perlu diberi secara terkawal dan terbimbing agar anak-anak akhirnya apabila dewasa memiliki kebijaksanaan serta kekuatan melindungi diri daripada perkara negatif.

    Indah dipandang, padah mengundang.

    Sememangnya dunia di luar rumah mungkin kelihatan begitu indah bagi seseorang remaja itu. Justeru keadaan inilah yang paling didambakan remaja.

    Namun remaja harus sedar bahawa keseronokan untuk lepas bebas itu hanya sementara. Sebaliknya, apa yang menanti adalah ancaman terhadap keselamatan, kehormatan serta kesihatan sendiri.

    Berapa banyak kes yang kita dengar tentang remaja perempuan lari dari rumah mengikuti teman lelaki akhirnya menjadi hamba kepada nafsu lelaki tersebut. Malah ada yang disuruh bekerja dengan menggadaikan kehormatan sendiri kepada orang lain.

    Akhirnya remaja sendiri merana kerana kebebasannya dirampas malah mungkin penyakit Aids yang dibalas. Juga berapa ramai yang gagal kembali kepada keluarga lantaran terperangkap dengan sindiket pelacuran sepanjang hidupnya.

    Ibu bapa remaja sebenarnya berusaha melindungi anda daripada perkara yang tidak baik di luar rumah. Remaja perlu menyedari bahawa dunia di luar rumah, ada sahaja pihak yang mungkin mengambil kesempatan melakukan perkara yang tidak baik terhadap remaja andainya mereka alpa. Seandainya remaja ada dimarahi ibu bapa, amarah mereka bertujuan mendidik remaja agar menjadi lebih baik.

    Peranan ibu bapa

    Terdapat pelbagai langkah yang dapat diambil oleh para ibu bapa dalam melindungi anak-anak mereka.

    * Sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya yang masih kecil. Anak-anak yang masih kecil masih belum mampu melindungi diri mereka, justeru peranan ibu bapa adalah penting dalam hal ini. Bagi anak yang sudah remaja, ibu bapa perlu mengambil berat ke mana mereka keluar, untuk tujuan apa serta bersama siapa mereka keluar.

    * Kenali siapa rakan anak-anak. Hal ini penting dalam mengenal pasti watak serta keterampilan mereka kerana pengaruh mereka mampu mencorak watak serta keterampilan anak-anak pula. Di samping itu, ibu bapa juga boleh membina hubungan yang baik dengan rakan anak-anak dengan mengajak menyertai aktiviti kekeluargaan sendiri agar secara tidak langsung mereka dapat dididik.

    * Mengajar anak-anak terutamanya yang masih kecil supaya tidak mudah menerima sebarang pelawaan orang lain yang tidak dikenali. Mereka juga boleh diajar untuk menjerit meminta pertolongan sekiranya berasa terancam.

    * Mendidik anak-anak supaya berada di rumah pada waktu malam. Jika ditelusuri, kebanyakan kes jenayah berlaku pada waktu malam, seperti pergaduhan atau lumba haram.

    Peranan remaja

    Dalam menjaga keselamatan diri, remaja perlu bersikap proaktif dalam mengambil langkah-langkah berkaitan. Berikut adalah sebahagian saranan untuk remaja;

    * Sentiasa meminta keizinan ibu bapa untuk keluar rumah serta memaklumkan di mana mereka berada ketika di luar rumah.

    * Berkongsi cerita dengan ibu bapa perihal rakan-rakan remaja yang berkaitan supaya ibu bapa dapat mengenali watak rakan-rakan remaja. Ini memungkinkan ibu bapa dapat memberi nasihat berguna untuk remaja dalam berkawan.

    * Berusaha mempelajari seni mempertahankan diri.

    * Sentiasa berjalan dalam berkumpulan serta menggunakan laluan yang tidak sunyi atau gelap terutamanya bagi remaja perempuan. Mereka juga perlu memastikan pergaulan dengan rakan lelaki adalah terkawal agar kehormatan sentiasa terpelihara.

    Kesimpulan

    Isu keselamatan diri anak-anak termasuk golongan remaja memerlukan usaha pelbagai pihak dalam mewujudkan suasana persekitaran yang selamat. Ancaman keselamatan di luar rumah boleh berlaku di mana-mana atau pada bila-masa.

    Ancaman tersebut bukan sahaja boleh berlaku dalam bentuk jenayah tetapi kemalangan. Apa yang penting, masing-masing perlu berhati-hati pada setiap masa agar risiko perkara negatif dapat dikurangkan.


    Perbezaan usia pasangan beri banyak cabaran

    September 29, 2007

    Perkahwinan lelaki tua dengan wanita muda di Malaysia bukan ikut Barat

    PANAHAN asmara! Terpacul kata-kata itu daripada seorang teman apabila mendengar cerita mengenai wanita muda yang mengakui sudah jatuh cinta dengan lelaki dan jarak usianya dua kali ganda daripadanya.

    Kata wanita muda itu, sikap hormat dan pandai mengambil hati ditunjukkan lelaki itu menyebabkan hatinya terpaut. Kata lelaki pula, jodoh Tuhan yang tentukan.

    Mungkinkah ini yang dikatakan mabuk cinta? Jawapan sebenar tentu ada pada diri masing-masing. Pokoknya, kata teman itu lagi cerita sebegini bukan baru. Beberapa bulan lalu di pejabatnya, ada gadis muda lepasan universiti yang baru bekerja memburu cinta teman sepejabat lelaki dan hampir mencecah usia bersara.

    Si gadis tidak bertepuk sebelah tangan, sebaliknya disambut tangan terbuka lelaki yang sudah bertahun-tahun mendirikan rumah tangga dan beranak-pinak itu. Kata ‘jejaka’, tiba-tiba hatinya terdetik ingin mengorak langkah mencumbui anak dara.

    Bagi si gadis, walaupun tahu lelaki itu sudah berusia dan mempunyai anak seusia, dia senang mendampingi kerana baginya ‘kekasih hati baru’ bersikap matang dan lebih memahaminya, berbanding bekas tunang yang cepat melenting.

    Persoalannya, benarkah lelaki berusia lebih matang dan boleh membawa kebahagiaan rumah tangga? Apakah konflik yang akan timbul apabila pasangan antara muda dan tua ini melayari bahtera impian mereka? Desas desus kedengaran, senario lelaki berusia berkahwin dengan wanita muda menjadi gaya hidup perkahwinan hari ini.

    Perunding Psikologi dan Terapi Perkahwinan dan Keluarga, Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki, berkata sebelum menghuraikan topik lelaki tua berkahwin dengan muda, pertama sekali ialah menjelaskan maksud sebenar yang dikatakan usia tua antara pasangan berkenaan.

    Beliau berkata, apa yang dimaksudkan lebih usia ialah jarak usia antara lelaki dan wanita itu melebihi daripada tujuh tahun ke atas daripada pasangan.

    “Jika wanita berusia 20 tahun dan berkahwin dengan lelaki 27 tahun, pasangan berkenaan tidak dianggap lebih tua tetapi masih dalam lingkungan usia sesuai memilih jodoh. Tetapi jika lelaki 30 tahun dan wanita baru berusia 20, inilah dikatakan pasangan tua. Apatah lagi jika 50 tahun, memang sah didefinisi dengan usia tua,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.

    Dr Mat Saat berkata, dalam mendirikan rumah tangga, jarak umur pasangan antara aspek penting. Seandainya, lebih banyak jarak umur maka lebih banyak isu penyesuaian perlu dilakukan antara kedua-dua pasangan.

    Katanya, sesuatu dianggap baik oleh yang tua mungkin sebaliknya bagi si muda. Ini tidak mustahil berlaku kerana dunia masing-masing berbeza.

    “Misalnya, isteri berusia 20 tahun, manakala suami sudah mencapai 50 tahun. Isteri bagi duit suruh suami beli susu anak. Suami pergi ke kedai bukan beli susu, tetapi beli bajunya kerana konsep jaga anak itu tiada padanya. Apa yang dilihat, persepsi keperluan antara kedua-duanya berbeza.

    “Jika gadis itu berumur 20 atau 27 tahun mengahwini lelaki 47 atau 57 tahun, ini bermakna dia ada 20 tahun jarak berbeza. Persepsi dunia antara pasangan berkenaan ada berbeza dan ada perbezaan tersendiri,” katanya menghuraikan realiti mengenai masalah bakal timbul apabila jarak usia pasangan ada perbezaan ketara.

    Beliau berkata, walaupun wanita itu biasanya dikatakan lebih cepat matang daripada lelaki, tidak semestinya dalam hal sebegini. Hakikatnya, wanita hanya matang daripada segi perubahan fizikal tetapi tidak semestinya perubahan fikiran.

    “Kita lihat wanita memang cepat matang dan berubah perubahan fizikal kerana wanita lazimnya, baligh ketika sembilan tahun berbanding lelaki 13 tahun. Tetapi kematangan ada perbezaan antara fizikal dan fikiran,” katanya.

    Menjawab soalan mengapa wanita mudah terpaut kepada lelaki tua atau sebaliknya, Dr Mat Saat berkata, isu status dan kewangan antara yang menjadi faktor.

    Lelaki berusia biasanya, kedudukan kewangan lebih mantap. Dalam hal ini ada isu ‘keterjaminan’ dan ada kedudukan sosial lebih tinggi untuk wanita muda ‘menumpang’ apa dimilikinya.

    “Misalnya, ada wanita muda kahwin dengan lelaki berusia – kahwin saja dapat gelaran Datin. Tidak payah usaha apa. Perkara seperti ini menggalakkan senario itu (lelaki tua kahwin muda). Wanita muda itu hendak senang cepat, tetapi bukan kaya kerana kaya tidak semestinya senang,” katanya.

    Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak semestinya wanita muda berkahwin kerana hendakkan harta dan begitu juga lelaki berusia; kahwin bukan semestinya nafsu kerana ada segelintir kadang-kadang tidak mampu untuk perhubungan suami isteri.

    “Motif lelaki tua berkahwin dengan wanita muda juga dikaitkan dengan status. Bermakna aku mampu kahwin dengan orang muda. Kedua, mahukan kepelbagaian dalam perhubungan, manakala ketiga, lelaki itu ingin menunjukkan boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada isteri. Ia mungkin satu kaedah mengajar isteri pertama.

    “Ada juga yang hendak menunjukkan kepada isterinya, sekarang dirinya sudah senang dan mampu buat apa saja disukai. Hak berkahwin itu adalah haknya yang digunakan. Konsep simpati tiada dalam hal ini. Baginya, ‘aku sudah bagi bagi kau apa yang engkau hendak, sekarang aku nak buat apa aku mahu’,” katanya.

    Beliau berkata, sifat ego lelaki turut menjadi pendorong sehingga kadang-kadang ada yang bertaruh sesama mereka untuk mendapatkan seseorang wanita itu. Perasaan ego lelaki semakin melonjak apabila ada memujinya bagus dan dapat berjaya memiliki sesuatu yang tidak mudah.

    Selain itu, ada lelaki berusia berkahwin untuk menjadikan wanita muda berkenaan sebagai ‘perhiasan’ atau lebih menjurus kepentingan diri sendiri. Bagi wanita muda pula kemewahan hidup menjadi taruhan walaupun menyedari dirinya dipergunakan.

    “Contohnya, dalam menguruskan perniagaan isteri kedua biasanya cantik, lebih glamor dan boleh digunakan sebagai daya tarikan atau untuk perbincangan. Jika bawa isteri pertama asyik monyok saja, lebih susah untuk buat perniagaan. Dalam hal ini, isteri muda ini boleh dianggap sebagai patung.

    “Demi kesenangan hidup, wanita muda itu tidak kisah tetapi lazimnya, ada syarat tertentu yang membuatkannya terikat. Kebanyakan kes, syarat ditetapkan ialah wanita itu mungkin tidak boleh mengandung atau tidak boleh ada anak Wanita itu mesti jaga diri untuk cantik saja tetapi apabila aku panggil kau mesti datang,” katanya.

    Dr Mat Saat berkata, dalam menjalinkan hubungan kemesraan, cantik fizikal saja bukan sebagai pengikat utama. Isteri pertama kadang-kadang lebih cantik dan glamor daripada yang muda serta langsung tiada tarikan fizikal.

    Konsep belaian sebenarnya penting bagi mengikat hubungan yang mana lazimnya, wanita muda menerima lelaki itu sehingga berasakan dirinya diterima.

    “Orang lelaki ini punya penyakit tidak boleh dicabar. Jika isteri mencabar, suami akan terima cabaran itu. Misalnya, kata isteri kenapa tidak cari lain maka suami akan terima cabaran berkenaan. Ia membuatkan lelaki mengawal situasi dan tidak sesekali dicabar,” katanya.

    Bagi wanita pula, sikap penyabar dan pandai ambil hati serta belaian yang secukupnya diberikan lelaki berusia kepadanya membuatkan diri berasa mendapat perhatian yang tidak dikecapi seperti itu sebelum ini. Perasaan sayang akan semakin segar apabila dimandikan dengan hadiah setiap bulan.

    “Lelaki berusia ini memang kebanyakan penyayang jika dia hendakkan keadaan seperti itu. Tetapi ada lelaki tua yang biadap hendakkan wanita muda seperti objek saja. Awak layan saya, akan dapat,” katanya turut menasihat wanita berhati-hati terhadap lelaki seperti itu.

    Dr Mat Saat berkata, bertemu jodoh dengan lelaki usia tua bukan sesuatu yang baru di kalangan masyarakat di negara ini, mahupun terikut-ikut dengan budaya Barat. Orang tua dulu ramai juga yang berkahwin dengan orang muda. Misalnya, orang kampung berada berkahwin dengan anak dara dari keluarga susah.

    “Itu tidak jadi masalah. Tetapi yang jadi masalah lebih tua daripada bapa mentua. Engkau menantu aku tetapi kau lebih tua, takkan hendak panggil bapa. Selain itu, tidak semestinya lelaki tua itu berkahwin dengan muda dia ada masalah dengan isteri pertama. Lelaki berkenaan tetap sayang isteri pertama. Walau berkahwin baru, apa yang diberi tidak akan diusik atau satu sen pun tidak luak. Cuma dia hendak kahwin lagi,” katanya.

    Beliau berkata, semua lelaki dan wanita ada kemahiran. Jika sedar hakikatnya perhubungan ini sementara saja mereka akan memaksimumkan akal.