Hak isteri selepas berkahwin dan apabila diceraikan

PERCERAIAN adalah perbuatan halal yang sangat dimurkai oleh Allah SWT kerana ia membawa kepada pelbagai implikasi dalam masyarakat. Untuk menjamin kedudukan wanita, Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri telah memberi beberapa hak kepada wanita untuk menuntut keadilan akibat daripada perceraian.

Ekoran daripada perceraian biasa (bukan fasakh, khuluk dan taklik), isteri berhak menuntut perkara berikut:

l Tempat tinggal

Isteri yang diceraikan berhak mendapat tempat tinggal daripada bekas suaminya ketika dalam edah.

Nafkah

Nafkah bukan saja boleh dituntut ketika perkahwinan, ia juga boleh dituntut selepas berlaku perceraian iaitu semasa dalam edah. Termasuk dalam erti nafkah ialah makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

Muakah

Di samping nafkah, isteri juga berhak menuntut mutaah iaitu pemberian sagu hati oleh suami kepada bekas isteri yang diceraikan tanpa sebab.

Harta sepencarian

Harta Sepencarian ialah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak.

Cara membuat tuntutan ialah seorang perempuan atau lelaki yang telah bercerai boleh membuat permohonan kepada Mahkamah Syariah untuk mendapatkan sesuatu keputusan terhadap bekas suaminya atau isterinya tentang pembahagian harta sepencarian.

Untuk memudahkan mendapat hak-hak tersebut, adalah lebih baik menggunakan peguam. Bagi mereka yang tidak mampu menggunakan khidmat peguam, bolehlah membuat permohonan kepada Biro Bantuan Guaman. Semua permohonan hendaklah dibuat kepada Pendaftar Mahkamah Syariah.

Hadhanah

Hadhanah ialah penjagaan kanak-kanak dalam peringkat umur tertentu dan belum mumaiyyiz sesudah berlaku perceraian antara kedua-dua ibu bapa mereka.

l a) Hak penjagaan

Umumnya apabila berlaku perceraian, hak penjagaan kanak-kanak diberikan kepada ibu sesuai dengan sifatnya sebagai seorang ibu yang pengasih, penyayang, lemah lembut, penyabar dan sebagainya. Walaupun begitu, ia tertakluk kepada beberapa syarat yang telah digariskan oleh Islam yang wajib dipenuhi.

b) Kelayakan menjadi penjaga

Tidak semua orang berhak atau layak menjadi penjaga kepada kanak-kanak kecuali setelah memenuhi kriteria-kriteria berikut:

i. Beragama Islam.

ii. Baligh dan sempurna akal.

iii. Mampu dan boleh dipercayai dalam menjalankan tugas penjagaan dan pendidikan yang sempurna.

iv. Beramanah dan bermoral tinggi.

v. Mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak.

vi. Mempunyai tempat tinggal yang tetap sama ada miliknya sendiri atau rumah yang disewa.

vii. Tinggal di tempat kanak-kanak yang dipeliharanya.

viii. Sekiranya yang mengendalikan penjagaan itu adalah ibunya sendiri, maka disyaratkan dia belum lagi berkahwin dengan lelaki lain selain dari bapa bayi tersebut.

Kelayakan di atas adalah sepertimana yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Keluarga Islam Negeri-Negeri.

c) Hilang kelayakan

Hak penjagaan seseorang perempuan itu akan hilang jika:

i. Perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah dengan kanak-kanak itu.

ii. Perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.

iii. Perempuan itu menukar permastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu.

iv. Perempuan itu murtad.

v. Perempuan itu mencuaikan atau menganiayai kanak-kanak itu.

d) Had masa

Had penjagaan kanak-kanak akan tamat setelah kanak-kanak itu mencapai umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan. Walau bagaimanapun, Mahkamah atas permohonan penjaga boleh membenarkannya menjaga kanak-kanak itu sehingga mencapai umur sembilan tahun bagi lelaki dan sebelas tahun bagi perempuan.

Apabila tamat tempoh tersebut, hak penjagaan berpindah kepada bapa. Seterusnya jika kanak-kanak itu telah mencapai umur mumaiyiz maka ia boleh memilih untuk tinggal sama ada dengan ibu atau bapanya.

e) Penjagaan anak tak sah taraf (anak luar nikah)

Penjagaan kanak-kanak tak sah taraf adalah hanya oleh ibu dan saudara mara ibu.

f) Upah mengendalikan hadhanah

Apabila yang melaksanakan tugas hadhanah itu adalah ibu kanak-kanak itu, maka setelah tamat masa eddahnya dan dia tidak lagi mendapat apa-apa nafkah daripada bekas suaminya, maka pada saat itu dia berhak mendapat upah (bayaran) penjagaan anaknya. Ini kerana dia telah melaksanakan satu tugas bagi pihak bapa anaknya ataupun wali anaknya.

Jika yang mengendalikan urusan hadhanah itu seorang perempuan asing (bukan ibunya sendiri), maka dia berhak mendapat upah atas pelbagai khidmatnya terhadap kanak-kanak tersebut kecuali jika dia redha atau rela memberikan khidmatnya secara percuma.

Bayaran hadhanah dikira dari permulaan hari dia melaksanakan tugasnya. Bayaran ini tidak akan gugur atau luput sama sekali kecuali dengan menjelaskannya atau menghalalkannya sahaja.

Orang yang bertanggungjawab membayar upah hadhanah ialah orang yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak tersebut kerana perbelanjaan hadhanah dikira sebahagian daripada nafkah dan ia merupakan suatu perkara wajib ke atas seseorang bapa ataupun penjaganya.

g) Tambahan

Di samping perceraian biasa terdapat 3 cara lain untuk membatalkan perkahwinan bagi mengimbangi keadilan terhadap hak wanita iaitu:

1. Fasakh

Pada keseluruhannya semua negeri di Malaysia telah mempunyai peruntukan Undang-Undang tentang perceraian melalui fasakh. Isteri berhak mendapat perintah Mahkamah Syariah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh nikah atas salah satu alasan-alasan berikut:

i. Suami tidak diketahui tempat tinggalnya selama tempoh lebih dari satu tahun.

ii. Suami cuai atau tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan.

iii. Suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih.

iv. Suami tidak memberi nafkah batin selama tempoh satu tahun.

v. Suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan.

vi. Suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan berjangkit.

vii. Suami menganiayai isteri antara lain:

a. berkawan dengan perempuan-perempuan jahat atau hidup berperangai keji menurut hukum syarak.

b. Cuba memaksa isteri hidup secara lucah.

c. Melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta.

d. Menghalang isteri dari menunaikan atau menjalankan kewajipan dan amalan agama.

viii. Suami sengaja enggan menyetubuhi isteri sehingga berlalu tempoh masa empat bulan.

2. Khulu’ (tebus talak)

Khulu’ adalah perceraian melalui permohonan daripada pihak isteri yang disertai dengan ‘iwad (bayaran tertentu). Isteri harus meminta talak dengan membayar kepada suaminya sesuatu benda yang berharga sebagai ganti. Kadar atau jumlahnya tertakluk kepada kedua-dua belah pihak. Setelah kedua-dua belah pihak bersetuju tentang jumlah bayarannya, maka Mahkamah akan mengarahkan suami supaya melafazkan perceraian. Talak seperti ini dinamakan ‘Bain Sughra’ iaitu perceraian yang tidak boleh dirujuk lagi kecuali dengan akad dan mas kahwin yang baru.

3. Taklik

Menurut semua undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, seorang wanita yang telah berkahwin boleh memohon cerai taklik. Taklik diertikan sebagai lafaz perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak.

Seorang perempuan berhak memohon kepada Mahkamah mendapat perceraian kepada mahkamah mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang telah dibuat selepas akad nikah.

– Rencana sumbangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

5 Responses to Hak isteri selepas berkahwin dan apabila diceraikan

  1. mashitah berkata:

    assalamualaikum.

    Saya ingin tahu, apakah isteri layak mendapat apa-apa hak dalam perkahwinannya. Suami saya tidak menyediakan rumah, perabot, pinggan mangkuk dan keperluan saya dan anak-anaknya mengikut kemampuannya. Jadi saya banyak berkorban wang gaji untuk bertolak ansur dan membantunya. Dia tak mahu langsung membantu saya membuat keja rumah walaupun saya telah membantunya dalam tanggungjawabnya. Apakah saya layak menuntut hak saya? bagaimana caranya?

  2. suraya berkata:

    Assalamualaikum,

    Saya ingin tahu apakah kelayakan yang perlu ada pada seorang isteri sekiranya dia ingin menuntut mutaah pada bekas suami.Bekas suami telah berkahwin lain semasa saya masih dalam edah. Perintah semasa perceraian bekas suami harus membayar nafkah anak-anak seramai 2 orang berjumlah RM1,000.00 sebulan.Pada 2 bulan tempoh perceraian bekas suami telah bersetuju dan membayar nafkah anak-anak sebanyak RM1,500 sebulan tetapi bulan ini dia hanya membayar ikut perintah iaitu RM1,000 sahaja.Kos sara hidup sangat tinggi sekarang dan anak saya yang kedua juga akan bersekolah.Bagaimanakah saya boleh membuat tuntutan penambahan kos bagi nafkah anak dan apakah perancangan yang perlu saya ada untuk membawa perkara ini ke mahkamah tinggi syarie. Harap persoalan saya ini memdapat bantuan dan pandangan dari pihak tuan.

  3. marylin berkata:

    saya inginkan kepastian,jika si suami mengungkit kisah zaman bujang si isteri yang dahulu nya ada boyfriend dan pernah menjalinkan hubungan sulit.sekarang ini si isteri di gelar pelacur @ perempuan sundal oleh si suami itu sendiri.padahal si isteri itu bukan nya pelacur.dengan mengungkit kisah lama si isteri,timbul salah paham dan pergaduhan antara pasangan ini.si suami pula mahu minta cerai dan kedua2x anak dia mahu dalam jagaan nya,dan mengatakan si isteri tidak layak mengambil anak2x tersebut.padahal selama ini dia tidak pernah pun menolong si isteri menjaga anak,membeli susu,makan,sebaliknya keluar minum sampai mabuk.bila bali ke rumah,si isteri di paksa bangun dari tidur dan melayan kehendaknya.sekira si isteri menolak,si suami akan ‘memberi tangan’.bagaimana dengan masalah saya ini,tolong lah saya.saya dlm di lema.saya tak mahu anak2x saya hidup dengan seorang pemabuk dan mudah naik angin.tolonglah……….

  4. anne berkata:

    salam…
    Saya telah kehilangan ibu tersayang…dalam waktu yang sama pembantu rumah yang telah saya perbaharui permit untuk thn ni telah lari…Suami saya tidak langsung memahami dan malah menyalahkan saya berkenaan pembantu rumah dan tidak mahu langsung membantu saya walaupun saya minta setengah bayaran untuk membayar untuk mengambil pembantu rumah yang baru kerana,saya sudah 3 bulan tidak bekerja dan harus bekerja.Saya harus bekerja kerana selama berkahwin suami saya tidak pernah memberi nafkah untuk diri saya sendiri selama berkahwin 10 tahun.Mengikut fikirannya,kerana saya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.Selama ni saya yang kena bayar segala2nya termasuk utilities dan die akan berkira dengan saya…Malah sewa rumah juga saya harus bayar selang seli dengannya.
    Sekarang suami saya telah bergaduh dan ingin berpisah hanya kerana dia cakap saya tidak hormatkan die..malah die sudah kuar rumah seolah2 tanggungjawab semua di bahu saya…baginya jika die kuar rumah die tidak perlu membayar sewa rumah/anak2 diserahkan pada saya/serba serbi ditolak sepenuhnya pada saya…
    Saya ingin meminta nasihat dan apa yang boleh saya tuntut jika saya bercerai dengan suami saya.Adakah suami saya nanti akan terlepas dari tanggungannya seolah2 tiada anak utk dipikul…Tolonglah saya kerana semua benda dia tolak kepad saya seolah2 saya yang kena menanggungnya sendiri….

  5. Mummy Queen berkata:

    salam

    suri rumah yg tidak pernah bekerja…boleh x tuntut hak sepencarian…makamah buat pengiraan bagaimana…jumlahnye…bekas suami di arab saudi adakah..makan mase tuk menyelesaikan kes ini…

    adekah perlu slip gaji…pihak bekas suami sedangkan sy x pernah tahu dan nampak pun slip gaji nye…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 349 other followers

%d bloggers like this: