Farakh, Fasakh Dan Khuluk

Farakh

FARAKH, atau perkahwinan yang dipisahkan, jarang berlaku dalam masyarakat. Mahkamah boleh membuat keputusan sekiranya ternyata pernikahan itu adalah fasik seperti tersilap wali ataupun ia dilaksanakan dengan tidak menepati hukum-hukum nikah. Rukun nikah terdiri daripada lima perkara iaitu lelaki, perempuan, wali, dua orang saksi dan ijab dan kabul.

Pembubaran perkahwinan secara farakh berpunca apabila wujudnya keraguan dalam pernikahan yang melibatkan wali atau saksi. Misalnya, Ali dan Aminah berkahwin dan selepas itu, muncul keraguan di pihak Ali atau Aminah.

Maka, mahkamah berhak menentukan perkahwinan tersebut sah ataupun tidak. Mereka juga boleh bernikah semula tanpa menunggu masa yang lama, kata Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Bahagian Perundangan Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor, Aluwi Parman.

Menurut beliau, kes yang menimpa Zanariah dan Muhammad Nazirul merupakan sebahagian daripada contoh kes farakh kerana berlakunya kekhilafan agama apabila pendaftar nikah bertegas menggunakan wali hakim sedangkan adiknya layak sebagai wali.

Bagaimanapun, katanya, banyak perkara perlu diteliti secara adil dalam menilai kejadian tersebut. Setidak-tidaknya, dengan keberanian mereka mendedahkan apa yang berlaku boleh menjadi iktibar kepada pasangan lain yang akan mendirikan rumah tangga. Hal-hal yang melibatkan rukun nikah bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Kepentingan wali dijelaskan dalam riwayat al-Khamsah dan An-Nasa’i daripada Abi Musa, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali.” Syarat-syarat sah wali ialah beragama Islam, baligh (sekurang-kurangnya sudah berumur 15 tahun), berakal, lelaki, adil dan merdeka.

Mengikut pendapat mazhab Syafie dan Hambali, wali fasik tidak sah menjadi wali nikah. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan saksi yang adil.” (Riwayat Ahmad)

“Setakat ini tidak ada kes seumpama itu berlaku di Selangor. Cuma yang dilaporkan ialah kahwin sindiket tanpa kehadiran wali yang sah. Juga ada orang yang mengaku boleh menjadi wali hakim sedangkan dia tidak layak,” ujar beliau mengenai contoh kes perkahwinan dibatalkan yang berpunca daripada masalah wali.

Kes farakh berbeza dengan penceraian secara talak rajie. Perempuan yang diceraikan suaminya perlu menunggu hingga habis idah iaitu tiga kali suci sebelum dibenarkan berkahwin dengan orang lain. Dalam perkahwinan yang dibubarkan secara farakh pula, pasangan boleh melalui proses pernikahan semula tanpa menunggu tiga kali suci. Bagaimanapun, jika pengantin perempuan memilih untuk mengahwini orang lain, mereka perlu menunggu hingga habis idahnya.

“Tempoh yang diambil untuk berkahwin semula terpulang kepada proses yang dilakukan oleh pihak pejabat agama daerah tersebut. Mungkin ia mengambil masa dua minggu atau lebih,” tambahnya.

Selain farakh, antara perkara yang boleh membawa kepada pembubaran sesebuah perkahwinan ialah lafaz talak, tuntutan fasakh, cerai taklik dan khuluk.

Penceraian biasa berlaku apabila suami melafazkan talak ke atas isterinya atas sebab-sebab tertentu seperti sudah tidak menemui kata sepakat dalam perkahwinan dan bertelagah hinggalah suami menceraikan isteri. Cerai taklik pula berlaku apabila isteri melanggar taklik yang dilafazkan sewaktu akad nikah. Apabila suami bertaklik, maka ia tidak disabitkan hinggalah isteri melanggar taklik yang telah dilafazkan.

Fasakh

Tuntutan fasakh ialah membatalkan perkahwinan tanpa ucapan talak. Fasakh diharuskan demi kebaikan kedua-dua pihak. Isteri boleh menuntut fasakh daripada suaminya di Mahkamah Syariah jika berlaku beberapa perkara, antaranya:

- Suami tidak bertanggungjawab menanggung nafkah zahir atau nafkah batin.

- Suami menghilangkan diri tanpa berita setelah sekian lama.

- Suami tidak berlaku adil terhadap isteri-isterinya (sekiranya suami beristeri lebih daripada satu).

- Suami menghidap penyakit berbahaya yang sukar untuk diubati.

- Suami tidak taat pada ajaran Islam dan suka melakukan perkara-perkara maksiat.

- Suami telah melakukan kezaliman ke atas dirinya (diri isteri), seperti memukul dan sebagainya.

Khuluk ialah penceraian dengan cara tebus talak iaitu isteri dengan cara tebusan seperti ganti rugi atau mengembalikan mahar. Khuluk hukumnya adalah harus. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada waktu suci atau waktu idah. Kebiasaannya, khuluk adalah kehendak dan kemahuan isteri walaupun suami tidak mempunyai niat untuk menceraikannya. Dalam kes ini, suami tidak boleh rujuk dan tidak boleh menambah talak sewaktu idah kecuali dibolehkan berkahwin dengan akad baru bersama bekas isterinya.

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Tidak halal bagi kamu mengambil semula apa-apa yang telah diberikan kepada mereka sedikit pun (isteri yang diceraikan), kecuali kedua-dua suami isteri takut tidak dapat menjalankan hukum Allah. Jika kamu (wali-wali) khuatir mereka tidak dapat menjalankan hukum Allah, maka kedua-duanya tidak berdosa tentang apa-apa bayaran (tebus talak) yang dibayarnya.” (al-Baqarah: 229)

Khuluk diharuskan bagi mengelakkan isteri menderhaka kepada suaminya dan menyedarkan kedua-dua pihak akan kesilapan masing-masing. Selain itu, ia juga sebagai penghormatan kepada isteri iaitu isteri berhak bertindak mengikut peraturan yang betul untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan.

Jenis-jenis wali

- Wali mujbir – Wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan tanpa meminta izin terlebih dahulu. Wali mujbir terdiri daripada bapa kandung dan datuk sebelah bapa ke atas.

- Wali aqrab – Wali yang terdiri daripada saudara lelaki seibu sebapa, saudara lelaki sebapa, anak saudara lelaki seibu sebapa dan anak saudara lelaki sebapa

- Wali ab’ad – Wali yang terdiri daripada bapa saudara sebelah bapa seibu sebapa, bapa saudara sebelah bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah, bapa saudara seibu sebapa, bapa saudara bapa sebapa, anak lelaki bapa saudara seibu sebapa, anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah, bapa saudara datuk seibu sebapa, bapa saudara datuk sebapa, anak lelaki bapa saudara datuk seibu sebapa ke bawah dan anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah.

- Wali hakim – Dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan, Seksyen 2 (1) wali hakim ditakrifkan sebagai wali yang ditauliahkan oleh Yang di-Pertuan Agung dalam hal Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau oleh Raja dalam hal sesuatu negeri lain untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali daripada nasab. Wali hakim digunakan sekiranya tidak ada wali nasab, anak tidak sah taraf atau anak angkat, wali yang ada tidak cukup syarat, wali aqrab menunaikan haji atau umrah dan wali enggan menikahkan perempuan yang dalam kewaliannya.

17 Responses to Farakh, Fasakh Dan Khuluk

  1. akmal halim berkata:

    mana khulu’!!?????

  2. aroy berkata:

    mana khuluknye?????????????????????????????????????

  3. Fandi Omar berkata:

    Assalammualaikum wr wb,

    Saya ingin tahu dengan lebih lanjut tentang Khuluk. Ini kerana Isteri saya telah meminta cerai berkali-kali.

    Apakah boleh saya minta dia berikan anak-anak kepada saya dan juga rumah kami yang saya bayar selama ini?

    Saya berharap dapat penjelasan dengan lebih lanjut.

    Wassalam,
    Fandi

  4. kiranto berkata:

    KHULUK

    Pengertian khuluk

    1. Khuluk bermaksud perceraian yang diminta oleh isteri dengan membuat gantirugi (bayaran)
    kepada suami.
    Cara ini juga dipanggil tebus talak.

    2. Bagi pasangan suami isteri yang bercerai secara tebus talak, suami tidak boleh merujuk kembali bekas isterinya. Jika suami ingin kembali kepada isteri atau sebaliknya mereka perlu bernikah semula dengan akad yang baru.

    3. Bayaran khuluk tidak ditentukan nilainya. Suami tidak sewajamya mengambil kesempatan untuk
    mendapatkan bayaran yang terlalu tinggi daripada isteri.

    Maksudnya:
    Tidak halal bagi kamu mengambil apa­apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu
    juapun kecuali jika takut keduanya bahawa tiada alcan menurut peraturan Allah. Jika kamu
    takut bahawa tiada akan men urut peraturan Allah maka tiadalah berdosa kedua-duanya
    tentang barang yang jadi tebusan perempuan itu. Al-Baqarah : 229

    Rukun Khuluk

    1. Suami
    2. Isteri
    3. Bayaran yg dipersetujui
    4. Lafaz

    Cara Khuluk (tebus talak).

    1. Bayaran tebus talak bergantung kepada persetujuan suami isteri yang hendak berpisah.

    2. Contoh lafaz khuluk suami: “Aku ceraikan engkau dengan bayaran sebanyak RM2000, isteri terus menjawab, “Saya terima”.

    3. Contoh lafaz khuluk isteri: “Ceraikan aku dengan bayaran RM2000,” jawab suami, “Saya ceraikan engkau
    dengan bayaran tersebut”.

    4. Bayaran khuluk boleh dibuat dengan mata wang atau barang-barang lain yang halal, suci, dan berharga
    seperti rumah, sawah, kebun atau lain-lain yang bermanfaat dan berharga.

    5. Tebus talak tidak boleh dipaksa oleh orang lain. Jika pihak suami berkeras hati tidak mahu melakukan
    khuluk, pihak kadi hendaklah bertindak mengikut lunas-lunas yang dibenarkan oleh syarak.

    6. Khuluk tidak mengurangi bilangan tiga talak kepunyaan suami terhadap isteri itu.

    7. Khuluk boleh dijatuhkan pada bila-bila masa sama ada ketika suci ataupun tidak kerana ia adalah atas
    kehendak isteri tersebut.

    Hikmah Khuluk

    1. Mengelakkan isteri nusyuz kepada suami.

    2. Penghormatan kepada kaum perempuan kerana mereka mempunyai hak untuk bertindak mengikut
    peraturan yang telah ditetapkan oleh syara’.

    3. Memberi keinsafan kepada suami supaya menyedari kesilapan dan kesalahannya terhadap isteri
    demi kebaikan masa depan.

    • fieda berkata:

      askum..sya nak btanya soal khuluk..jika sya menuntut khuluk namun ganti rugi yg di mta ole suami terlalu tinggi dan x mampu utk sya bayar bgaimna yah??? dan juga skiranya suami tetap x ingin ‘melepaskan’ itu bgaimana?

  5. nuek berkata:

    Assalamualaikum….maaf menanya…blh x seseorang perempuan tu memimta fasakh walupun si suaminya x ada kekurangan yang tertera diatas….2 je saya nak tanya….sebab musykil…zaman sekarang ni perkara sebegini sering berlaku

  6. effa berkata:

    TIGA PULUH LARANGAN UNTUK WANITA

    1. Menyambung rambut palsu

    2. Bertatu, mencabut bulu wajah dan mengikir gigi

    3. Keluar rumah dengan memakai minyak wangi

    4. Memperlihatkan perhiasan(bersolek) di depan lalaki lain

    5. Menolak panggilan suami untuk tidur bersama

    6. Membuka rahsia hubungan suami isteri

    7. Berpuasa sunat tanpa izin suami

    8. Membelanjakan harta suami, tanpa izin suami

    9. Derhaka kepada suami

    10. Meminta cerai tanpa sebab yang jelas

    11. Mengingkari kebaikan suami

    12. Bersama lelaki lain yang bukan mahram

    13. Memandang lelaki yang bukan mahramnya

    14. Bersalaman dengan lelaki bukan mahram

    15. Menyerupai lelaki

    16. Membuka rahsia wanita lain kepada suami

    17. Memandang aurat wanita lain

    18. Keluar rumah tanpa ada keperluan

    19. Masuk permandian awam

    20. Mencakar-cakar tubuh ketika dapat musibah

    21. Meratapi kematian

    22. Berhias atas meninggalnya seseorang

    23. Menghantar jenazah

    24. Mempercayai dukun dan peramal

    25. Menyumpah anak-anak sendiri

    26. Tidak bertegur sapa dengan sesama muslim

    27. Menganiaya pembantu

    28. Mengganggu jiran

    29. Minta cerai kerana suami sakit

    30. Minta cerai kerana suami menikah lagi

    SEMBILAN BELAS HADITH RASULLULLAH S.A.W MENGENAI WANITA

    1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayangnya yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah s.a.w. akan hal tersebut, jawab Baginda s.a.w., “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia”.
    2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

    3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

    4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

    5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

    6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

    7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah s.w.t. dan orang yang takutkan Allah s.w.t., akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

    8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah). Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

    9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

    10. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

    11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki yang soleh.

    12. Aisyah berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah s.a.w., “Suaminya”. “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ibunya”.

    13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah panggilan ibumu dahulu.

    14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang dan puasanya.

    15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

    16 Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

    17 Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Nabi s.a.w) di dalam syurga.

    18 Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

    19 Daripada Aisyah r.a. “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuan lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.”

    EMPAT GOLONGAN LELAKI DITARIK WANITA

    Seseorang wanita itu apabila di yaumal alkhirat akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka? Na’uzubillah, artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya iaitu supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama serta berwaspada akan tanggung-jawab yang kita pikul!
    PERTAMA – AYAHNYA

    Apabila seseorang yngg bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat, tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

    KEDUA – SUAMINYA

    Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun dia seorang alim seperti solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan ditarik oleh isterinya.

    KETIGA ABANG-ABANGNYA

    Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pundak abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

    KEEMPAT – ANAK LELAKINYA

    Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari Islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak nantikan tarikan ibunya maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar dan tidak silap.

    Firman ALLAH SWT:-

    “HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU…”

    Hai wanita, kasihlah ayah anda, suami anda,abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda kesihankanlah mereka dan diri kamu sendiri, jalankan perintah ALLAH S.W.T bersungguh dan dengan ikhlas.

    Akhir kalam, marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik oleh mana-mana pihak.

    Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH S.W.T nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA, semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yang mengucap kalimah tauhid) dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yang ALLAH S.W.T berikan pada kita

    PESANAN BUAT WANITA

    Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
    “Dan katakan kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya mereka menahan sebahagian penglihatan, memelihara kehormatannya dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya) selain dari yang nyata (mesti terbuka terdiri dari bahagian badannya yang sangat perlu dalam pekerjaan sehari-hari, seperti mukanya dan tapak tangan). Dan hendaklah mereka sampaikan kudungnya ke leher (tutup kepalanya sampai ke leher dan dadanya), dan tiada memperlihatkan perhiasannya (tubuhnya), kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anak-anaknya, anak-anak suaminya, saudara-saudaranya,anak-anak saudara lelaki, anak-anak saudara perempuannya, sesama perempuan Islam, hamba sahaya kepunyaannya, laki-laki yang menjalankan kewajubannya tetapi tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan – umpanya pelayan-pelayan lelaki yang sudah tua dan tiada lagi mempunyai keinginan kepada perempuan) dan kanak-kanak yang belum mempunyai pengertian kepada aurat perempuan. Dan janganlah mereka pukulkan kakinya, supaya diketahui orang perhiasannya yang tersembunyi (misalannya melangkah dengan cara yang menyebabkan betisnya terbuka atau perhiasan seperti gelang/rantai kakinya nampak). Dan taubatlah kamu semuanya kepada Allah s.w.t, Hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung. (surah An-Nur ayat 31)

    Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

    Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman untuk khusyuk (taat) hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran (suruhan dan larangan) Allah serta (taat) mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberi kitab sebelum mereka (Yahudi dan Nasrani), setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut (jauh dari zaman nabi mereka) maka hati mereka menjadi keras (dari mengikuti perintah/ajaran nabi mereka) dan banyak di antaranya orang-orang fasik. (surah Al-Hadid ayat 16)

    Bila ayat menutup aurat turun sahaja semua wanita ketika itu tidak kira dari golongan Ansar mahupun Muhajirin dengan segera menutup aurat masing-masing. Yang ada di pasar, yang ada di rumah, yang sedang dalam perjalanan capai apa sahaja untuk menutup aurat masing-masing dengan SEGERA dan bukannya NANTI DULU. Yang tidak mendapat apa-apa mereka segera memalingkan muka menghadap dinding supaya tiada lelaki terpandang wajah mereka. Itulah kekuatan iman yang ada pada wanita-wanita ketika itu. Tetapi kini segala- galanya telah berubah makin jauh kita dari zaman Rasulullah s.a.w. makin kita jauh dari amalan agama.

    Dalam ayat yang sama juga Allah s.w.t. menegur kita supaya tidak menjadi seperti ahli kitab sebelum kita (Yahudi dan Nasrani) di mana semakin mereka jauh dari zaman nabi mereka maka semakin kurang mengamalkan agama. Itulah keadaan kita ketika ini. Saudari-saudari seagama dengan kita bukan tidak tahu kewajiban menutup aurat, tetapi oleh kerana kelemahan iman serta sikap acuh tak acuh membuatkan mereka lalai. Perkataan yang biasa kita dengar dari saudari-saudari kita ialah “belum sampai seruan”. Seruan apa yang ditunggunya atau seruan dari siapa yang sedang mereka tunggu? Bukankah Allah s.w.t. telah seru untuk menutup aurat sejak 14 abad dahulu lagi. Tetapi kenapa masih tak tutup-tutup lagi?

    Lihat lagi ayat di atas Allah s.w.t. berfirma “Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman” Allah s.w.t. dengan khusus gunakan perkataan “beriman” dan bukannya “wahai manusia” kerana segala perintah hanya boleh didukung oleh orang-orang yang beriman sahaja.

    Dalam ayat kedua pun sama yang ditujukan ayat-ayat ini adalah kepada orang-orang yang beriman. Kita kata kami beriman dengan Allah s.w.t, Rasul-rasulNya dan, Kitab-kitabNya tetapi apa yang kita ucapkan dan buat adalah sungguh bertentangan. Allah s.w.t. telah menggariskan peraturan dan rasul telah mengajarkannya dan peraturan itu telah termaktub di dalam kalamNya. Tetapi kenapa masih leka? Kita bimbang kalau-kalau kita dibungkus dengan kain putih sebelum kita sempat menutup aurat.

    Maka wahai saudari-saudari seagamaku (YANG BERIMAN), sebelum terlewat rebutlah peluang yang ada jangan tunggu esok amalkan sekarang juga. Bimbang “Esok tiada bagi mu”. Gembirakanlah Allah s.w.t. dan rasulNya dengan mengikut perintah mereka supaya dikala kamu dirundung malang Allah s.w.t. dan rasulNya dapat menggembirakan kamu.

    BIAR KAMU TIDAK CANTIK DI MATA PENDUDUK BUMI TETAPI NAMAMU MENJADI PERBUALAN PENDUDUK LANGIT.

    KERUGIAN BAGI WANITA YANG MENOLAK PERKAHWINAN

    Sepertimana yang diberitakan kepada kita oleh akhbar Berita Harian, hari ini terdapat segolongan wanita yang menolak perkahwinan. Antaranya memandang perkahwinan sebagai satu bebanan yang menyekat kebebasan. Bila berkahwin, kuasa mutlak dalam menentukan hidup berubah dan terpikul pula dengan kerja-kerja mengurus rumahtangga dan anak-anak.

    Justeru itu ramai yang lebih rela jadi andartu walaupun pada hakikatnya, ianya tidak dapat memberi kebahagiaan pada jiwa. Ada juga yang tidak berkahwin disebabkan terlalu memilih calon yang sekufu dan ada yang tidak sempat memikirkan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan tugas-tugas dan karier kerjanya.

    Sebelum ini saya ada memberi pandangan bagaimana hendak menyelesaikan masalah andartu. Kali ini saya akan dedahkan pula tentang kerugian wanita yang tidak mahu bekahwin; tetapi bukan kepada wanita yang tidak berkahwin kerana tiada jodoh. Kalau sudah tidak ada jodoh, wanita tersebut tidak boleh dipersalahkan kerana sudah takdir menentukan demikian. Masalahnya sekarang, terdapat wanita yang ada peluang berkahwin tetapi menolak dengan alasan-alasan sepertimana yang saya sebutkan di atas tadi.

    Perkembangan tentang wanita yang tidak gemar berkahwin bukan sahaja berlaku di dalam masyarakat bukan Islam tetapi juga berlaku di kalangan masyarakat Islam. Sikap demikian bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ajaran Islam yang menggalakkan perkahwinan tetapi juga bertentangan dengan fitrah semulajadi manusia yang hidupnya memerlukan pasangan. Bahkan sunnatullah kejadian manusia, ada lelaki dan ada wanita yang saling memerlukan antara satu sama lain. Ibarat talian elektrik yang memerlukan positif dan
    negatif untuk melahirkan cahaya.

    Di Malaysia, walaupun terdapat di dalam masyarakat Islam sikap memilih hidup membujang tetapi tidak begitu berleluasa seperti di barat. Sungguh pun demikian pada pandangan Islam, orang yang tidak berkahwin dianggap jelek. Menyerupai para pendita Kristian. Golongan ini juga tidak akan mendapat kesempurnaan dalam agama dan mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.

    Kejelekan tidak berkahwin khususnya bagi kaum wanita, adalah lebih banyak berbanding dengan lelaki. Kerana umumnya bagi kaum wanita, pintu syurga lebih banyak bermula dan berada di sekitar rumahtangga, suami dan anak-anak. bagi kaum wanita, untuk mendapat maqam salehah dan menjadi ahli syurga di akhirat adalah amat mudah. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:

    “Sekiranya seorang wanita dapat melakukan empat perkara iaitu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruah dan taat kepada suami maka masuklah syurga mana-mana yang ia kehendaki.”

    Sekiranya seorang wanita itu tidak berkahwin, ia tidak akan dapat mencapai kesempurnaan pada maqam yang keempat. Walau sehebat mana sekalipun ia bersembahyang, berpuasa dan menjaga maruah, wanita yang tidak berkahwin tidak akan mendapat kelebihan pada mentaati suami. Sedangkan kelebihan mentaati suami mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, sehinggakan redha Allah s.w.t. pun bergantung kepada redha suami.

    Selain daripada itu di antara kelebihan wanita yang berkahwin bahawa ia akan diberi pahala seperti pahala jihad fisabilillah di kala mengandung. Apabila ia menyusukan anak maka setiap titik air susu akan diberi satu kebajikan. Berjaga malam kerana mengurus anak akan diberi pahala seperti membebaskan 70 orang hamba. Wanita yang berpeluh kerana terkena bahang api ketika memasak untuk keluarganya akan dibebaskan daripada neraka. Bagi wanita yang mencuci pakaian suminya akan diberi 1000 pahala dan diampuni 2000 dosa. Lebih istimewa lagi ialah bagi wanita yang tinggal di rumah kerana mengurus anak-anak akan dapat tinggal bersama-sama Rasulullah s.a.w di syurga kelak.

    Bahkan wanita yang rela dijimak oleh suami juga akan mendapat pahala dan lebih hebat lagi bagi wanita yang mati kerana bersalin akan mendapat pahala seperti pahala syahid. Semua kelebihan-kelebihan ini tidak akan dapat diperolehi bagi wanita yang menolak perkahwinan. Malah di dunia akan selalu berada di dalam fitnah dan di akhirat menjadi golongan yang rugi. Oleh itu wanita dianjurkan berkahwin apabila telah menemui pasangan yang sekufu. Yang dimaksudkan sekufu yang utama ialah dari segi iman, walaupun lelaki tersebut telah berkahwin. Sabda Rasulullah s.a.w:

    “Apabila datang kepada kamu lelaki yang beragama dan berakhlak maka kahwinlah dia, kalau tidak akan timbul fitnah dan kebinasaan.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana kalau ia telah berkahwin?” Jawab Baginda s.a.w, “Kahwinilah juga ia (diulang sebanyak tiga kali).”

    Begitulah besarnya pahala bagi wanita yang berkahwin. Tidak perlu bersusah-payah untuk keluar rumah seperti kaum lelaki atau berslogan seperti kebanyakan wanita hari ini. Hanya dengan duduk di rumah sebagai seorang isteri dan ibu sudah memperolehi banyak pahala. Kalau suami redha dengan perlakuan seorang isteri itu maka akan terus masuk syurga tanpa melalui kesukaran. Nikmat ini tidak akan dapat diperolehi oleh wanita yang menolak perkahwinan kerana dia telah menolak untuk menjadi calon wanita salehah yang berada dibawah naungan suami.

  7. kebayan berkata:

    Effa …terima kaseh sekali lagi …

  8. effa berkata:

    sama2 kasih, utk kebaikan dn renungan kita bersama apa salahnya..tiada insan yg dilahirkan sempurna didunia ini tapi tak salah kalau kita terus belajar krn semakin lama kita belajar, baru kita sedar rupanya byk perkara yg kita x tahu..Wassalam.

  9. DINGDONG berkata:

    effa u punya coretan ok 5 star

  10. DINGDONG berkata:

    effa : bagaimana kalau isteri minta cerai bekali2 hitam putih ? kena let go ke… ada kah dia sakit jiwa atau pun saja2 acah aje…

  11. azitamusa berkata:

    Salam effa,

    Bagus apa yang effa bagi. Izinkan jie ambik nak letak kat blog jie kay

  12. effa berkata:

    Thank a lot member2 smua..yg baik dtgnya dari allah dn yg buruk adalah kelemahan kita sendiri..jika is3 minta cerai walau beribu kali, tapi kuasa talak masih ditangan suami..sy rasa jika kuasa talak ditgn is3, dh ramai suami yg jadi duda..he3x..jgn marah gurau je..apapun alasannya..kita sentiasa mencari kebaikan dn juga mencari punca..setiap permasalahan pasti ada jln penyelesaian..yg penting kebijaksanaan suami utk mengendalikan perasaan dn emosi is3..

  13. elisa berkata:

    assalamualaikum…

    soalan untk KHULUK…
    siapa yg sepatutnya membayar khuluk???

  14. helmy berkata:

    ape implikasi fasakh?

    • akmal berkata:

      Salam helmy.

      Bila fasakh diputuskan, suami isteri akan dikira sebagai telah bercerai.

      Dan jika mereka ingin rujuk semula, mereka perlu bernikah semula dengan aqad yang baru, selepas tamat tempoh iddah isteri.

      Harap menjawab. Betulkan salah silap.

      Wassalam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 351 other followers

%d bloggers like this: