Larangan bersetubuh dengan isteri yang sedang haid

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maghari berkata: Persoalan yang dikemukakan ini merupakan salah satu daripada tiga soalan yang datang secara ‘ataf dengan wau kerana hubungannya dengan sebelum dan selepasnya. Ini kerana kesemuanya berkenaan dengan persoalan wanita.

Di samping itu, berlakunya pengaruh kefahaman di Madinah antara golongan Arab dan Yahudi berkenaan dengan masalah haid. Justeru Allah menurunkan ayat ini.

Allah berfirman: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (al-Baqarah: 222)

Sebab timbulnya pertanyaan itu. Para ulama berselisih kepada dua pendapat.

Anas bin Malik meriwayatkan dengan katanya: Bagi orang Yahudi, apabila wanita mereka kedatangan haid, maka mereka tidak akan makan dan minum bersama dan tidak duduk sekali dengan mereka dalam sebuah rumah. Lalu hal itu ditanyakan kepada Nabi s.a.w.. Maka Allah menurunkan ayat: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), tentang (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang menjijikkan dan mendatangkan mudarat. Lalu Baginda menyuruh mereka supaya makan dan minum bersama-sama wanita-wanita haid itu dan hendaklah mereka tinggal serumah dan melakukan apa sahaja kecuali persetubuhan.

Lantaran orang Yahudi pun berkata: Muhammad hanya mahu membuat kelamin dari setiap urusan kita. Kemudian datanglah Usaid bin al-Hudair dan Ubad bin Bisyr. Mereka berkata: Wahai Rasulullah mengapa kita tidak membuat kelainan daripada orang Yahudi itu dengan menyetubuhi isteri semasa haid?

Lantas berubahlah air muka Rasulullah s.a.w., sehingga kami menyangka Baginda marah kepada mereka berdua. Kata Abbas: Kemudian mereka berdua bangun dan keluar. Tetapi sejurus kemudian datang orang membawa hadiah susu kepada Baginda, lalu Nabi menghantar orang menjejaki mereka dan memberikan mereka minum susu. Tahulah mereka bahawa Nabi tidak marah kepada mereka. Hadis ini sahih dan disepakati para imam ahli hadis.

Firman Allah s.w.t: Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri daripada perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci.

Ibn al-Arabi berkata: Tafsiran al-Mahid. Perkataan ini di atas wazan Maf’il, ia berasal daripada kata kerja yang bermaksud mengalir. Orang Arab menyebut: Pokok dan pohon balak itu mengalir. Yakni apabila mengalir lembapan-lembapannya (air bah mengalir). Seorang penyair berkata: Dan mengalirlah ke atasnya aliran air bah yang besar. Dari segi maksudnya, ia membawa erti darah yang dilepaskan oleh rahim sehingga memancar keluar. Ia mempunyai lapan nama iaitu; Haid, ‘Arik, arik, Tamis, Daris, Kabir, Dahik dan Tamith.

Mujahid menafsirkan firman Allah: Lalu dia (isteri Nabi Ibrahim) tertawa. Dengan maksud, kedatangan haid, seorang penyair menyebutkan yang bermaksud: Dan ditinggalkan isterinya pada suatu hari tatkala dia kedatangan haid.

Ahli tafsir menyebutkan firman Allah yang bermaksud: Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya. Dengan memberi maksud datanglah haid mereka. Mereka menguatkan alasan dengan mengemukakan bait syair yang bermaksud: Wanita itu didatangi apabila mereka suci dan mereka tidak didatangi apabila mereka berhaid.

Tetapi selepas suci pun, persoalan ini bukanlah persoalan yang boleh dilakukan sewenang-wenang mengikut kemahuan hawa nafsu dan cara-cara yang menyeleweng, malah ia tetap terikat dengan perintah Allah, kerana hubungan kelamin merupakan tugas yang terbit daripada perintah dan taklif dan terikat dengan cara dan batas-batas yang tertentu.

Bagi tafsiran Aza seperti firman Allah yang bermaksud: Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang menjijikkan dan mendatangkan mudarat. Tentang perkataan Aza terdapat empat pendapat:

*Ia bermaksud kotoran. Dikatakan oleh Mujahid dan al-Suddi.

*Ia bermaksud darah. Dikatakan oleh Mujahid.

*Ia bermaksud najis.

*Ia bermaksud perkara yang tidak disenangi dengan sebab bau, kemudaratan dan kenajisannya. Pendapat keempat ini adalah pendapat yang sahih kerana dua sebab:

*Pengertian ini merangkumi semua pengertian yang lain.

*Allah berfirman dalam ayat lain yang bermaksud: Jika kamu dihalangi oleh sesuatu yang menyusahkan seperti hujan.

Perkataan ini boleh dirujuk kepada tiga andaian yang dibincangkan sebelum ini iaitu sama ada merujuk kepada tempat haid secara majaz. Ia dirujuk kepada majaznya secara hakikat.

Firman Allah: Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Ada tiga pendapat tentang maksud ayat ini;

Firman Allah yang bermaksud: Sehingga mereka suci. Yakni sehingga (putus) berhenti darahnya. Pendapat ini dikatakan oleh Abu Hanifah tetapi pendapatnya bercanggah pada dua tempat apabila beliau berkata: Apabila darahnya berhenti pada tempoh maksimum haid maka halallah dia, tetapi jika darahnya terhenti pada tempoh minimum haid maka dia tidak halal kecuali dengan berlalu satu waktu solat yang sempurna. Ia bermaksud, jangan menyetubuhi wanita haid sehinggalah dia mandi junub. Pendapat ini dikatakan oleh al-Zuhri, Rabiah, al-Laith, Malik, Ishak, Ahmad dan Abu Thaur. Sehingga dia berwuduk untuk solat.

Pendapat ini dikatakan oleh Taus dan Mujahid. Datangilah mereka pada tempat yang melahirkan anak bukan pada tempat yang lain. Matlamat hubungan kelamin bukanlah semata-mata melepaskan keinginan nafsu tetapi melanjutkan hayat dan mencari ketetapan Allah.

Allah telah menetapkan sesuatu yang halal dan memfardukannya dan kewajipan seorang Muslim ialah mencari apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan bukannya menciptakan sendiri apa yang dikehendakinya, Allah memfardukan segala apa yang difardukannya itu untuk membersihkan para hamba-Nya dan Dia amat sayangkan mereka yang bertaubat apabila mereka melakukan kesilapan dan pulang kepada-Nya memohon keampunan.

Firman Allah yang bermaksud: Menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Terdapat enam pendapat tentang maksud ayat ini:

*Datangilah mereka dari mana tempat yang sebelum itu dilarang.

*Datangilah mereka dari kemaluan hadapan. Dikatakan oleh Ibn Abbas dan Mujahid melalui salah satu daripada dua pendapatnya yang dilaporkan.

*Datangilah mereka seluruh badannya. Juga dikatakan oleh Ibn Abbas.

*Datangilah mereka dari tempat sebelum sucinya. Dikatakan oleh Ikrimah dan Qatadah.

*Datangilah mereka dari arah (dengan cara) perkahwinan.

*Datangilah dalam keadaan yang Allah halalkan kepada kamu, janganlah mereka itu perempuan yang sedang berpuasa atau berihram atau beriktikaf. Dikatakan oleh al-Asam.

Firman Allah: Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri. Di bawah bayangan inilah ayat yang berikut menggambarkan salah satu daripada hubungan suami isteri yang sesuai dan selaras dengan garis-garisnya.

Iktibar ayat

*Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini menunjukkan syariat menggalakkan perkahwinan dan mengharamkan kerahiban dengan meninggalkan perkahwinan semata-mata niat beribadat dan mendekatkan kepada Allah.

*Haid merupakan perkara yang keji dan boleh membawa kepada penyakit jika bersama dengan isteri ketika datangnya haid. Walaupun begitu boleh dilakukan apa saja kecuali bersetubuh sahaja berdasarkan riwayat Ahmad, Muslim dan Ashabu Sunan.

*Dua sifat yang amat disukai Allah iaitu sentiasa bertaubat dan membersihkan diri.

- DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang- undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Tugas berat bimbing saudara baru
Oleh Siti Razasah Abdul Razak dan Nurhidayah Muhd Hashim
KEBELAKANGAN ini kita melihat bilangan perkahwinan campur semakin bertambah dalam masyarakat kita. Perkahwinan campur di sini merujuk kepada seorang yang asal Islam ingin berkahwin dengan seorang yang bukan Islam dan kemudian, pihak yang bukan Islam memeluk Islam sebelum perkahwinan dan dikenali sebagai saudara baru.

Saudara baru boleh jadi dari bangsa Cina, India, Inggeris dan lain-lain yang asalnya beragama Hindu, Kristian, Budha dan sebagainya. Akhbar juga banyak menunjukkan kisah perkahwinan campur sebegini di kalangan selebriti negara.

Ruangan kali ini tidak bertujuan membincangkan isu perbezaan kaum atau agama sebaliknya ingin melihat kepada tanggungjawab orang Islam terhadap saudara barunya dalam menangani permasalahan berkaitan rumah tangga yang dibina.

Perkahwinan campur sebegini mempunyai beberapa kebaikan seperti anak yang dilahirkan selalunya mempunyai paras muka yang comel dan berkemungkinan mempunyai tahap kebijaksanaan lebih tinggi. Hakikatnya usaha mengajak saudara baru memeluk Islam adalah satu dakwah yang sangat tinggi ganjarannya.
 
Namun begitu, ia tidak terhenti kepada selesainya perkahwinan itu, pasangan yang asalnya Islam bertanggungjawab mendidik pasangannya untuk memahami dan menghayati serta berusaha beramal dengan ajaran agama terutama amalan asas seperti sembahyang lima waktu, berpuasa, menjaga kehormatan, meninggalkan arak dan sebagainya.

Perkahwinan adalah ikatan untuk hidup sepanjang hayat dan ia berkait rapat dengan kesediaan menerima dan memberi hak dan tanggungjawab antara pasangan. Tidak dapat dinafikan ada antara pasangan kahwin campur bahagia sehingga ke akhir hayat dan menjadi contoh untuk pasangan lain. Bahkan ada berlaku saudara baru yang memeluk Islam di atas keikhlasan dan kesedaran cintakan Islam menjadi seorang Muslim yang jauh lebih baik berbanding mereka yang asal dilahirkan Islam.

Penulis terpanggil untuk mengupas isu ini kerana sejak akhir-akhir ini ada perkembangan yang agak banyak membabitkan permohonan fasakh isteri saudara baru di mahkamah syariah. Adalah sesuatu yang amat menyedihkan apabila antara lain alasan permohonan fasakh isteri itu ialah suami tidak menjalankan tanggungjawab dalam menyediakan nafkah zahir isteri, suami seorang pemabuk, panas baran dan sering memukul isterinya, tidak bersembahyang dan tidak berpuasa malah tidak membenarkan isteri mengikuti kelas fardu ain bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahamannya terhadap cara hidup Islam.

Ada antara suami yang hidup secara tidak bermoral dan bertentangan dengan hukum syarak seperti tidak mempunyai pendapatan tetap tetapi berfoya-foya di kelab malam dan melanggani rumah pelacuran serta perjudian. Apabila pulang ke rumah, isteri sering dipukul dan suami meminta wang daripada isteri untuk meneruskan kehidupannya tidak bermoral.

Ada juga kes di mana isteri seorang saudara baru yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri disuruh berhenti bekerja dan dihujahkan oleh suami tugas seorang isteri beragama Islam adalah hanya tinggal di rumah, menjaga keluarga dan menyediakan makan minum dan pakaian suami serta diberikan amaran tidak boleh keluar dan bercakap dengan sesiapa tanpa kebenaran suami.

Perubahan cara hidup memberi kesan kepada saudara baru dan apabila beliau tidak dapat bertahan lagi, isteri menghubungi kawannya untuk berbual tanpa pengetahuan suami. Apabila suami mengetahuinya, isteri dimarahi, dipukul dan dikatakan tidak akan masuk syurga kerana derhaka kepada suaminya. Apakah tindakan suami berkenaan boleh membina saudara baru untuk melihat kecantikan Islam atau menyebabkan pandangan negatif terhadap Islam?

Kes suami berkahwin dengan saudara baru, tetapi selepas berkahwin, suami enggan bekerja dan mendesak isterinya menyediakan saraan hidup untuknya. Apabila malam, suami keluar berfoya-foya dan minum arak sehingga mabuk. Apabila isteri menegur dan menasihati, ia akan dijawab dengan maki hamun dan pukulan demi pukulan oleh suami itu. Akibat sering dipukul dan dikasari, isteri mengalami tekanan perasaan dan sering sakit. Tetapi si suami tidak mengendahkan bahkan membiarkan isteri menaiki bas sendirian untuk ke hospital.

Contoh kes di atas adalah kesilapan besar umat Islam berkahwin dengan saudara baru dan ia amat dikesali. Saudara baru berkahwin dengan orang Islam memerlukan didikan supaya kecintaan dan kefahamannya kepada Islam akan bertambah subur hari demi hari.

Tetapi kesilapan dilakukan oleh segelintir umat Islam menyebabkan nama baik agama turut tercalar kerana bagi saudara baru, apa yang ditemui daripada pasangannya dan cara pergaulannya adalah gambaran kepada ajaran Islam dan ia memberi kesan besar kepada mereka dalam menilai apakah sebenarnya Islam yang suci ini.

Justeru, bagi orang Islam yang ingin berkahwin dengan saudara baru, perlu melihat lebih jauh ke hadapan. Pasangan Islam itu sendiri perlu mempunyai kefahaman yang baik Islam, memasang niat yang benar iaitu berkahwin demi meramaikan umat Islam dan berazam untuk mendidik pasangannya ke arah sama-sama menghayati Islam. Tanggungjawabnya sangat besar dan memerlukan usaha berterusan. Dapatkan bantuan daripada pihak Perkim atau mana-mana badan agama sebagai support group bagi menjayakan perkahwinan campur ini.

Kegagalan melayani saudara baru, mengasari, memukul, tidak membenarkan isteri bekerja, mengambil wang isteri sesuka hati, tidak menjalankan amalan asas sebagai Islam, hidup bebas dengan arak dan zina akan menyebabkan saudara baru mempunyai persepsi salah mengenai Islam.

Tidak mustahil, saudara baru ini selepas bercerai akan berusaha kembali ke agama asalnya kerana mereka tidak mendapat sokongan moral, bahkan tidak dapat melihat kecantikan Islam daripada pasangan yang dikahwininya. Apakah pula yang akan terjadi kepada anak-anak mereka sekiranya pasangan ini bercerai?

Justeru, menjadi tanggungjawab besar seluruh umat Islam terutama pasangan suami atau isteri yang asal beragama Islam untuk memberi kefahaman dan pendidikan Islam kepada saudara baru itu. Kita juga mengharapkan supaya pihak berwajib termasuklah pihak Perkim juga supaya dapat menjalankan usaha susulan ke atas saudara baru selepas mereka berkahwin untuk melihat perkembangan mereka. Semoga kes-kes kesilapan umat Islam ini dapat dikurangkan pada masa akan datang.

Penulis adalah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke exco_pgsm@yahoo.com
   

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: