Teroka kemajuan menerusi jati diri bangsa Melayu

Bersama Prof Dr Sidek Baba

MALAYSIA bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-50 tidak lama lagi. Usia 50 tahun bagi seorang manusia adalah usia matang dalam menghadapi cabaran hidup. Usia 50 tahun bagi bangsa Melayu dalam mengisi makna kemerdekaan ialah kesedaran berubah, teguh dengan jati diri, terbuka untuk maju dan kesediaan melakukan adaptasi atau penyesuaian.

Kemerdekaan bukan saja kemampuan membebaskan diri daripada belenggu penjajahan suatu kuasa, tetapi keupayaan mengisi makna kemerdekaan dalam proses pembangunan dan kemajuan.

Penentangan bangsa Melayu dan warga Malaysia suatu ketika terhadap penjajah Inggeris disebabkan kolonial Inggeris cuba memaksa ideologi dan sistem nilainya terhadap anak tempatan. Kolonial Inggeris beranggapan bangsa Melayu dan warga Malaysia perlu mengikut acuan Inggeris dan Barat untuk memerdekakan diri daripada kejahilan, kemunduran dan kejumudan.

Bangsa Melayu yang memiliki kesedaran agama tinggi dapat membaca maksud penjajahan Inggeris kerana ia boleh memberi kesan terhadap minda, gaya hidup, orientasi perubahan dan pembangunan anak tempatan.

Bangsa Melayu tidak mahu syarat terhadap kemerdekaan membawa maksud pembaratan terhadap bangsa. Dalam bahasa mudah, walaupun bangsa Melayu berkulit sawo matang, tetapi pemikiran dan cita rasanya adalah Barat. Barat ingin dijadikan kiblat dan sumber rujukan utama bangsa Melayu.

Secara mekanistik ada manfaat berbanding yang boleh diambil daripada sudut kemodenan teknologi dan urusan pentadbiran dari Barat, tetapi roh dan semangat kebaratan tidak harus menjadi landasan membangunkan negara merdeka.

Kemerdekaan bangsa Melayu harus bermula daripada mengungguli jati diri bangsa Melayu sendiri berkaitan hal agama Islam, bahasa Melayu, tradisi dan budaya yang sifatnya menyumbang di samping tidak menolak faktor maju yang bermanfaat baik daripada tamadun orang lain.

Proses pembaratan tidak hanya berlaku pada zaman penjajahan, tetapi berlaku secara agresif selepas itu. Ketidakupayaan bangsa Melayu dan warga Malaysia memperkukuhkan jati diri seimbang dengan perubahan hari ini menyebabkan jerat penjajahan mengena kembali ke leher bangsa Melayu dan menyebabkan bangsa Melayu terbelenggu semula dalam arus globalisasi yang kencang menyerang. Sebahagian bangsa Melayu menjadi kagum perubahan di Barat terutama dalam bidang kebudayaan popular dan gaya hidup.

Berjiwa merdeka tidak bermakna bangsa Melayu perlu anti-Barat, antiperkembangan teknologi dan antikemajuan serta perubahan. Kemerdekaan bagi orang Melayu ialah keupayaan memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran, jati diri yang diolah secara dinamik, kreatif dan hala tuju kemajuan dalam acuan sendiri.

Islam mengambil pendekatan Barat tidak ditentang, tetapi proses pembaratan perlu diwaspada. Islam tidak melihat teknologi adalah segala-galanya dalam memberi erti kemerdekaan. Teknologi selamanya alat, bukan matlamat.

Matlamat dalam pembangunan teknologi ialah setakat mana pengguna teknologi memiliki kualiti nilai dan pedoman aplikasi yang baik dan pada masa sama setakat mana perisian serta program dalam aktiviti memanfaatkan teknologi berasaskan sumber dan pengolahan bermanfaat.

Inilah cabaran kemerdekaan bangsa Melayu dan warga Malaysia bagi memberi erti terhadap kemajuan dan perubahan berasaskan jati diri keMelayuan dan terbuka untuk menerima aspek positif daripada orang lain.

Kemajuan Islam tidak seharusnya dalam batas tradisional semata-mata. Faktor integrasi dalam ilmu, memperkasa metodologi pendidikan agama, memberikan orientasi baru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bina insan yang menyeluruh antara faktor perlu dilakukan bangsa Melayu untuk mengekalkan jati diri mereka.

Usaha ini memerlukan upaya kreatif yang tinggi. Faktor tradisi dalam seni dan budaya, ilmu dan pendidikan, metodologi dan kajian memerlukan asas maju dan berubah. Upaya kreativiti boleh mencetuskan pembaharuan bentuk dan isi yang merintis ke arah kemajuan.

Jika faktor ini gagal dibangunkan, ketirisan dan pencairan jati diri akan berlaku kerana pengaruh budaya popular Barat adalah terlalu kuat dan amat berpengaruh terhadap generasi muda.

Binaan ilmu Islam perlu diungkapkan secara tamadun. Pendekatan ritual atau rohaniah terbatas harus dikembangkan dengan upaya mengurus sistem yang tidak terpisah dengan sistem nilai makruf.

Ia harus bermula dengan proses integrasi dan Islamisasi ilmu dan pendidikan. Darinya bakal lahir modal insan di kalangan bangsa Melayu yang menyeluruh. Generasi muda di kalangan bangsa Melayu yang mendapat pendedahan ilmu di Barat dan Timur akan melakukan sinergi terhadap kedua-kedua orientasi ilmu supaya akhirnya di kalangan mereka mampu mempertahankan jati diri yang positif dan berdaya maju dan pada masa sama tidak tenggelam dengan fahaman sekular dan liberal yang ada di Barat dan Timur.

Membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa perlu dilakukan dengan cara memperkasa diri mereka dengan idea ketamadunan daripada sumber al-Quran dan Sunnah.

Ia bakal menjadikan bangsa Melayu khususnya di kalangan generasi muda cenderung mempelajari sains, tetapi sains yang mengiktiraf kewujudan Pencipta. Mempelajari teknologi, tetapi teknologi yang dihubungkan dengan nilai kepenggunaan positif.

INTI PATI:

  • Kemerdekaan (erti merdeka) bukan saja kemampuan membebaskan diri daripada belenggu penjajahan, tetapi keupayaan mengisi makna kemerdekaan dalam proses pembangunan dan kemajuan.
  • Kemerdekaan bangsa Melayu bermula daripada mengungguli jati diri bangsa Melayu sendiri berkaitan hal agama Islam, bahasa Melayu, tradisi dan budaya di samping tidak menolak faktor maju yang bermanfaat.
  • Kemerdekaan bagi orang Melayu ialah keupayaan memperkasa diri dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran, jati diri.
  • Membebaskan bangsa Melayu daripada belenggu penjajahan pemikiran dan jiwa perlu dilakukan dengan cara memperkasa diri mereka dengan idea ketamadunan daripada sumber al-Quran dan Sunnah.
  • Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 351 other followers

    %d bloggers like this: