Maduku, teman baikku

4madu.jpg

KEBANYAKAN wanita cukup sensitif mendengar perkataan poligami, walaupun mengetahui mereka yang merelakan suami beristeri lagi dijanjikan payung emas di akhirat kelak. Sememangnya cukup sukar bagi wanita untuk hidup bermadu, berkongsi kasih dengan wanita lain. Malah keputusan suami untuk berkahwin lagi pasti mengguris hati dan perasaan si isteri.

Berbeza dengan lelaki yang berpendapat perkahwinan kedua atau seterusnya adalah ketentuan Ilahi. Takdir kata mereka, selain menganggap perkahwinan berikutnya mereka dikurniakan rezeki yang lebih.

Justeru, bukan sesuatu yang pelik apabila mendengar, isteri tua tidak pernah dan tidak akan berbaik dengan madunya, malah si isteri muda pula tidak mahu mengalah apatah lagi tinggal sebumbung kerana bimbang akan ‘bercakaran’ sesama sendiri.

Tetapi berbeza dengan pendirian wanita kelahiran Kota Tinggi, Johor, Hasrin Ramlan, 39. Beliau mengusahakan kedai makan di bandar berkenaan menganggap tinggal sebumbung bersama madu lebih manis berbanding tinggal berasingan.

Hasrin yang juga isteri pertama kepada pekerja buruh, Zulkifli Osman, 44, merestui perkahwinan suaminya bersama wanita yang sebaya dengannya, Noraini Omar, kira-kira 11 tahun lalu. Lebih menarik apabila beliau mengakui hidup bersama madunya cukup membahagiakan, seperti adik beradik, selepas bersetuju dengan suami untuk tinggal sebumbung di Kota Kecil, Kota Tinggi, Johor.

Beliau menganggap Noraini sebahagian daripada hidupnya, malah hidup bagaikan tidak lengkap sekiranya Noraini tiada. Mereka juga sering keluar membeli-belah bersama di pekan ketika masa lapang tanpa ditemani suami.

“Pada tahun pertama dan kedua, sukar bagi saya untuk menerima hakikat suami berkahwin lagi. Pelbagai perasaan timbul, marah, tertekan dan sedih bercampur baur. Terngiang-ngiang juga ke fikiran ketika itu, adakah sayang Abang Zul (Zulkifli) terhadap saya sudah berkurangan, adakah tidak cukup dengan kasih yang saya dicurahkan sehingga tergamak untuk berkahwin lagi.

“Bagaimanapun, saya tolak semua itu ke tepi. Saya berbangga dengan sikap positif yang ditunjukkan Ani (Noraini). Dia begitu baik. Ani bersungguh-sungguh memikat hati saya dengan bertandang ke rumah hampir setiap hari walaupun saya tidak suka kepadanya.

“Beberapa tahun selepas itu, saya cuba memujuk diri supaya dapat menyenangkan hati pada masa depan. Bagi saya, hati menjadi lagi sakit apabila banyak berfikir mengenainya,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Pada mulanya, Hasrin berkata, beliau tidak dapat menafikan wujud perasaan cemburu terhadap Noraini. Lebih-lebih lagi apabila suami meminta supaya mereka tinggal sebumbung.

Bagaimanapun, katanya, perhubungan semakin serasi dan menjadi lebih akrab ketika mereka tinggal bersama. Kemesraan terjalin ibarat isi dengan kuku. Apa saja aktiviti lapang, dilakukan bersama selain sering berbincang bagi mendapatkan kata sepakat.

“Keadilan yang diberikan suami membuatkan kami jatuh cinta kepada Abang Zul kerana dia tidak pernah membeza-bezakan kami. Begitu juga dengan anak.

“Kami bersyukur kepada Tuhan kerana memberi rezeki untuk membuka kedai makan yang disewakan rakan sejak tiga tahun lalu. Saya dan Ani mengusahakan kedai makan berkenaan bersama. Kerjasama menguruskan perniagaan ini sekali gus mengeratkan hubungan kami,” katanya sambil menasihatkan supaya wanita yang dimadukan perlu banyak bersabar dan berserah kepada Tuhan.

Sementara itu, Noraini ketika dihubungi berkata, sebagai wanita beliau juga memahami perasaan Hasrin. Tindakan nekad bertandang ke rumah Hasrin hampir setiap hari pada awal perkahwinan akhirnya memberikan kesan positif dan bersyukur kerana madunya memahami niatnya sebenar.

“Saya berterima kasih kerana selepas melahirkan anak, Kak As (Hasrin) banyak membantu dengan menjaga saya dan anak ketika dalam pantang.

“Saya amat terharu kerana Kak As sudi menjaga saya ketika itu. Dia mencurah sepenuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri,” katanya penuh bermakna.

Noraini berkata, keempat-empat anak juga antara landasan membuatkan hubungan mereka semakin erat.

“Saya percaya suami kini bahagia. Apa saja yang kami lakukan mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami. Abang Zul seorang yang adil. Caranya menguruskan dan menjaga keluarga membuatkan kami sekeluarga bahagia,” katanya.

Dalam diam, Hasrin dan Noraini menyimpan seribu keazaman dan harapan untuk mengekalkan kebahagiaan keluarga. Hasrin berharap mendapat kerjasama berkekalan daripada madunya dalam urusan rumah tangga dan perniagaan kedai makan sementara Noraini pula mengharapkan supaya dengan kebahagiaan yang dikecapi bersama dapat membantu anak berjaya dalam pelajaran hidup.

Berdasarkan pengalaman dan cerita Hasrin dan madunya, Noraini, boleh dijadikan contoh kepada masyarakat luar yang juga hidup bermadu. Sikap tolak ansur, bersabar dan berfikiran terbuka mampu menjamin keluarga bahagia bukan saja di dunia malah di akhirat.

Hidup bermadu bukan untuk berebut kasih

BUDAYA berpoligami sering dianggap sebagai ‘mimpi ngeri’ atau malapetaka bagi kebanyakan wanita. Hakikatnya, hidup bermadu lebih manis sekiranya si suami yang mengendalikan rumah tangga dan juga isteri muda pandai memainkan peranan mereka.

Ketua Kaunselor dari Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Norazman Amat, berkata isu poligami adalah satu sentimen yang berdasarkan gaya hidup dan budaya yang diamalkan.

Bagaimanapun, katanya, Islam melihat poligami adalah antara cara membina hubungan kekeluargaan ke arah kebaikan sedangkan masyarakat pada masa ini, sering menganggap boleh mewujudkan permusuhan.

“Dua kesan yang dapat dilihat apabila suami berpoligami ialah kesan positif, yang mana wanita bermadu atau isteri tua dapat menerimanya dengan tenang walaupun ada perasaan marah, manakala dari sudut negatif pula si isteri itu tidak boleh bertembung langsung dengan madunya kerana akan timbul kekecohan.

“Kebahagiaan hidup bermadu terletak pada kekuatan yang diamalkan suami sama ada berlaku adil ataupun tidak. Sekiranya tiada kekuatan, maka akan timbullah pelbagai perkara yang boleh merosakkan hubungan dalam institusi kekeluargaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, suami sebagai ketua keluarga adalah tunggak kebahagiaan, manakala ahli keluarga yang lain terutama isteri perlu saling bertolak ansur. Kegagalan dalam memimpin mampu mengundang kepada kehancuran keluarga.

“Tujuan berpoligami atau perkongsian hidup memerlukan pasangan itu lebih mengambil berat antara satu sama lain, menghargai, bertolak-ansur, saling memahami dan sebagainya. Bermadu bukanlah untuk berebut kasih, tetapi ia adalah perkongsian hidup beberapa isteri itu dalam menjalankan tanggungjawab kepada keluarga masing-masing,” katanya.

Merujuk kepada pengalaman yang diceritakan oleh pasangan madu Hasrin Ramlan dan Noraini Omar masing-masing berusia 39 tahun, Norazman mengulas, ia adalah satu contoh yang sangat baik dan perlu dijadikan teladan oleh semua pihak, terutama mereka yang memiliki lebih daripada seorang isteri.

“Wanita yang bermadu juga perlu mengambil inisiatif dengan berfikiran positif termasuk mengikut langkah yang dilakukan oleh kedua-dua wanita berkenaan sehingga mereka boleh duduk sebumbung di samping menguruskan perniagaan kedai makan.

“Apa yang penting, hidup bermadu seperti yang dilalui Hasrin dan Noraini dari Kota Tinggi, Johor itu ialah mereka cuba elakkan sifat cemburu yang keterlaluan walaupun memang ada sekelumit yang tersimpan di hati. Tetapi saya percaya, kedua-dua mereka mempunyai daya tahan yang tinggi sehingga berjaya membentuk keluarga bahagia dengan bantuan suami,” katanya .

Norazman berkata, bagi mereka yang mengalami masalah bermadu perlu memahami konteks silaturahim. Si isteri tua harus menganggap isteri muda memerlukan bimbingan dan perlu dipimpin selain berkongsi pengalaman yang dilalui.

7 Responses to Maduku, teman baikku

  1. Amy abadi berkata:

    Salam.. saya kagum dgn cerita diatas dan saya ingin sekali berkenalan dgn isteri-isteri PERTAMA untuk mendapatkan nasihat, pendapat atau berkongsi rasa. Saya telah membenarkan suami kahwin secara sah setelah mendapat tahu dia telah berkahwin senyap2. Sebelum itu suami merahsiakan dan menafikan kerana dihalang mak bapa pihak perempuan. Mungkin saya benarkan perkahwinan tersebut kerana terpaksa, suami memberitahu perempuan tu sedang mengandung. Lagipula mereka pernah menggugurkan zuriat sebelum ini kerana belum berkahwin. Mungkin kerana saya juga rasa bersalah tidak merestui hubungan mereka sebelum ini. Masalahnya setelah 2 thn lebih hidup berpoligami, sedang saya cuba mengubatkan hati dan menerima kehadiran madu, suami saya telah menjalinkan hubungan dgn orang ke 3 pula. Setelah didesak baru suami mengaku dia telah meniduri perempuan ke 3 tu. Masalah mereka, masalah yg sama, mak bapa perempuan menghalang. Saya tak tau apa kesudahannye nanti. Kini saya dlm kebingungan sejak dimadukan saya masih belm dpt sepenuhnya menyayangi suami semula dan kini semakin teruk dgn kehadiran org ke3.

  2. kebayan berkata:

    masaalahnya disini amy .. suami anda memang hobinya mudah terjebak dengan perempuan .Dia tahu alasan yang diberikan sudah’ meniduri ‘perempuan itu akan mendapat greenlight dari anda .Janganlah tertipu dengan suami lagi .. binalah kekuatan diri .. kena sayangi diri sendiri dulu sebelum menyayangi orang lain .Di saat pahit kelukaan ini berbaik baiklah dengan madu yang no 2 .Apa yang anda rasa akan dirasa sama dengan yang no 2 .Berpakatlah dengannya bagaimana untuk menyedarkan sikap suami anda yang selalu tak cukup dengan isteri isterinya ..

  3. Amy abadi berkata:

    memang saya berpakat dgn no 2, cuma kekadang saranannya mencurigakan, dianjurnya saya spy meminta cerai sb suami slalu kata saya sgt sayangkan dia. Pernah sms saya ke no 2 ttg suami diforwardkan ke suami, terkedu juga saya nak menjwbnya. Suami memang berang tiap kali kami berpakat utk mghalang hbgn dia dgn no 3. Saya masih contact no 2 tapi kena tapis2 apa yg dickpnya, mungkin dia masih baru dlm alam rumahtgga. Masalah saya tak dpt menahan prasaan bila suami asyik dgn hp tiap kali dirumah, sdg makan pun sggup ditinggalkannya. Beckp lama2 diluar rumah, di dlm kereta klau di tegur baik2 pun melenting, masa dgnnya makin kurang, tidur pun tak sebilik. Hati saya makin tawar dan tetanya2 adakah saya berdosa berperasaan begini.

  4. zaza berkata:

    sian nye kat awk Amy..
    sy rase better awk cube tok bine idop awk sndri..
    bab smpi ble awk nk idop ngan suami yg cm 2..
    bwu kawen ngan no 2..
    da crik no 3..
    da la 2..
    dy kan da de 2 istri nape nk tdo ngan gurlz len g..
    dy x pk ke yg dy da de istri..
    kalu awk bg green light kt dy tok psang istri no 3..
    t dy nk psang no 4 lak..
    laki cm 2 xpnah puas nafsu dy..
    awk cbe r bine idop awk….crik keje..
    mgkin ngan care 2 awk ley dpt kkebahagian…
    sape tw..

  5. AISYA berkata:

    Alhamdulillah, saya tumpang gembira dan tahniah kpd kaum hawa yang berjaya mengharungi medan poligami yang pastinya memerlukan kekuatan jiwa dan minda. Bukan calang-calang orang yang mampu menundukkan nafsu jahat yang ada dlm diri. Kpd yg terlalu sukar untuk menerima hakikat diri dimadukan suami berusahalah untuk mencari kebahagiaan yg hakiki. Suami hanyalah modal untuk kita menuju ke syurga. Kelemahan kita krn terlalu suka memikirkan perkara yg bukan-bukan dan prejudis pd suami. Apa yg penting bergantung haraplah hanya pd yg Maha Esa. Hidup bermadu akan menempuh pelbagai ujian. Redhalah dan yakinlah akn kasih syg Allah. Bila suami pulang berilah layanan yg terbaik, jgn memberontak krn ini akan menambah kebosanan suami. Berdoalah untuk kebaikan suami dan keluarga. Bila suami berada di giliran yg sana selalunya kita terasa sakit hati, cepat-cepatlah tepi perasaan itu krn ia adalah bisikan dr syaitan. Sibukkan diri dgn beriadah, tumpukan perhatian pd anak2, buatlah apa2 yg patut, karoake ke, jogging ke, berenang ke.. biarlah apa suami nak buat di sana. Nanti akan tiba juga giliran kitakan.

  6. AISYAH berkata:

    Nak kongsi pengalaman hantar ini a.aishahbintirahmat@hotmail.com

  7. noorashikin ahmad sukri berkata:

    saya nk kongsi pengalaman saya terlebih dahulu saya respect dgn hasrin dan nuraini yg dpt hdp sebumbung. skrg sy pun br setahun khwin suami saya khwin senyap2 dgn xgrfren dia di luar negara tanpa pengetahuan saya mmg sedih sgt2 utk saya nk terima sbb sy br melahirkan anak pertama..ketika mereka khwin. mmg sukar sbg isteri pertama utk menerima semua ini tp saya skrg blh terima perlahan2 diatas qada dan qadar Allah pd saya pada mulanya mmg saya nk minta berpisah tp apabila melihat muka anak terus air mata mengalir dan xjd utk berpisah kerana anak perlukan kasih syg seorang abah kalo sy putus mgkin kasih sayang jauh…. dgn abahnya. masalahnya skrg kedua ibu bapa saya marah krn perbuatannya terlalu kasar kerana berkhwin pd saat nk lahirkan anak nsd baik sy tak meriyan. dan kedua ibu bapa madu sy pun marah jg skrg semua masing2 hdp bersendirian… apa patut sy lakukan utk kebaikan semua

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: