Konsep pelamin moden pilihan bakal mempelai

Majlis persandingan dianggap acara kemuncak dalam sesebuah perkahwinan. Bagi menyerikan acara sebelum majlis persandingan dijalankan, pelamin yang berbentuk seperti suatu singgahsana akan disiapkan terlebih dulu dan ia dianggap antara persiapan paling utama.

Ini penting kerana ketika pasangan mempelai disandingkan di atas singgahsana itulah beberapa acara adat dilakukan. Pelamin yang dibina akan dilengkapi dengan bangku (kaus) atau dua kerusi dipanggil, peterakna dan di situlah tempat duduk kedua-dua pengantin semasa bersanding.

Pelamin dulu lazimnya, diperbuat daripada kayu dan kertas tebal yang dibalut serta dihiasi dengan kertas bunga dan kain sutera yang berwarna-warni. Untuk lebih menarik, terdapat pelbagai pelita kecil yang bermacam warna diletakkan di sekeliling bagi menambah keindahannya.

Besar mahupun kecil, mahal atau murah, dan elok atau buruknya pelamin itu semua bergantung kepada kemampuan tuan rumah serta kepandaian tukang pelamin. Bagaimanapun, ketinggian pelamin biasanya adalah dua atau tiga tingkat dan setiap satu tingkat hanyalah lebih kurang satu kaki saja tingginya.

Bagi menambahkan keindahan pelamin, peterakna atau kaus tempat duduk pengantin ketika bersanding akan dibalut dengan kain sutera atau baldu berwarna-warni dan bertekat sulam yang indah.

Peterakna itu diletakkan di tingkat atas sekali dan di hadapannya diletakkan satu pahar berisi nasi kunyit serta dihiasi dengan bunga telur. Kemuncak gubahan nasi kunyit itu dicacakkan sejambak karangan bunga yang diperbuat daripada kertas perada dan manik jemeki berwarna-warni serta berkilauan.

Uniknya, ketika bersanding di atas pelamin, acara adat bersuap-suapan antara kedua-dua pengantin di lakukan di samping, tepung tawar serta merenjis air mawar yang dilakukan oleh keluarga terdekat. Begitulah pentingnya dan kegunaan pelamin bagi sesebuah majlis perkahwinan.

Pemilik D’YusZa Galeri Pengantin, Saliza Shamsudin berkata, perubahan arus semasa hari ini masih tetap memperlihatkan, kepentingan menyediakan pelamin dalam sesebuah majlis perkahwinan.

Beliau yang sudah beberapa tahun membuka butik perkahwinan dan turut memberikan perkhidmatan menyediakan pelamin berkata, dulu kepakaran tukang amat diperlukan untuk menyediakan pelamin memandangkan kerja menyiapkannya agak rumit dan memerlukan kemahiran tinggi.

Kini, peranan tukang pelamin tidaklah menjadi keutamaan kerana tugas untuk menyiapkan pelamin sudah jauh lebih mudah berbanding dulu. Bagaimanapun, kemahiran dan kreativiti tetap diperlukan bagi individu yang membuat pelamin supaya ia bukan saja sempurna tetapi tampak cantik, berseri serta mendapat perhatian atau tumpuan tetamu.

“Peralatan membuat pelamin dulu berat dan memerlukan ramai tenaga kerja manakala kebanyakan kerja yang dibuat memerlukan kemahiran untuk bertukang. Berbanding hari ini, kebanyakan peralatan untuk membuat pelamin didatangkan daripada besi yang boleh dipasang siap dan mudah dicantum-cantumkan sekali gus, kerja menjadi lebih mudah serta cepat,” katanya ketika ditemui di butiknya di pusat beli Shah Alam City Center (SACC) di Shah Alam, baru-baru ini.

Saliza berkata, begitu juga dengan kelengkapan barang lain bagi menghiasi pelamin seperti bantal kecil dan kipas. Zaman dulu, pastinya begitu mementingkan hasil kerja seni yang tinggi dengan memaparkan keindahan tekat sulaman emas pada bantal kecil dan kipas. Untuk menyiapkan semua itu, sudah tentu mengambil masa dan memerlukan kemahiran tinggi. Berbeza hari ini, kelengkapan seumpama itu banyak yang sudah diubahsuai dan tidak rumit lagi disediakan.

Beliau berkata, secara umumnya reka bentuk pelamin yang disenangi bagi kebanyakan bakal mempelai hari ini ialah gaya hiasan ringkas dan kontemporari, tanpa perlu menggunakan terlalu banyak hiasan. Penggunaan lampu hiasan pula lebih ketara kerana ia mampu memberikan impak lebih menarik.

“Dari segi menghias pelamin juga sudah berbeza dan perubahan itu berlaku secara berperingkat-peringkat mengikut kesesuaian arus zaman serta cita rasa terkini. Misalnya, suatu ketika dulu penggunaan bunga plastik yang berwarna warni begitu popular bagi menambahkan seri hiasan pelamin tetapi kini penggunaan riben dan renda semakin digemari. Untuk gaya lebih anggun, pelbagai jenis fabrik polos digunakan untuk menghiasi latar belakang pelamin.

“Malah, pilihan warna pada pelamin juga ada perubahan ketara. Dulu, rona kuning menjadi pilihan utama bagi kebanyakan mempelai bagi memperlihatkan konsep ‘Raja Sehari’ tetapi hari ini pilihan warna dan gaya pelamin lebih banyak dipengaruhi tema sesebuah majlis perkahwinan itu,” katanya.

Saliza berkata, apa pun pilihan warna untuk pelamin memang penting dan pasangan perlu membuat keputusan tepat dan bijak. Selain memilih warna berdasarkan tema majlis perkahwinan, pasangan pengantin juga perlu mengambil kira padanannya dengan warna pakaian dipakai mereka.

Rona sama pada pelamin dan pakaian, katanya boleh menyebabkan pasangan tampak ‘tenggelam’ ketika bersanding di atas singgahsana itu. Untuk pilihan tepat, rona antara pelamin dan pakaian seelok-eloknya biarlah kontra tetapi harmoni. Jika hendak pilih senada, pastikan pilihan warna pelamin lebih lembut daripada pakaian atau sebaliknya.

“Fungsi pelamin juga ada perubahan kerana selain menumpukan acara adat bersanding, pelamin juga seolah-olah menjadi ‘studio’ bagi pasangan pengantin merakamkan gambar detik bersejarah mereka ataupun sesi bergambar kenangan bersama ahli keluarga serta rakan,” katanya.

Saliza berkata, untuk memberi pilihan kepada pelanggan, perkhidmatan pelamin disediakan menawarkan beberapa gaya hiasan pelamin. Selain pelbagai gaya rekaan pelamin, mempelai juga boleh memilih gaya reka bentuk kerusi yang digemari ketika duduk bersanding. Ini termasuk gaya kerusi Cleopatra, besi kerawang dan kerusi berasingan. Pakej perkhidmatan set pelamin yang ditawarkan berharga dari RM700 hingga RM900.

Selain itu, D’Yusza Galeri Pengantin turut menawarkan perkhidmatan lain seperti menyewa dan menjahit pakaian pengantin, membuat gubahan hantaran, solekan pengantin, menyewa dulang dan alas dulang, hiasan meja makan serta sebagainya.

INFO: D’Yusza Galeri Pengantin
Lokasi: Tingkat 2 SACC Mall, Shah Alam, Selangor
Pakej: Menyediakan pelamin, solekan dan pakaian terbahagi kepada empat iaitu:
i. Pakej Suasa
ii. Pakej Perak
iii. Pakej Emas
iv. Pakej Platinum
No telefon: 019 3367716/019 3681710

Oleh Nor Affizar Ibrahim

One Response to Konsep pelamin moden pilihan bakal mempelai

  1. elly berkata:

    nak tahu pakej yg disediakan utk butik ini…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: