Bersama Tabung Haji: Rekod perubatan bantu urusan haji

Ogos 31, 2007

PERJALANAN ke Makkah untuk mengerjakan haji adalah salah satu perkara ditunggu bagi semua umat Islam. Ia adalah kemuncak kepada perancangan dan persediaan yang dibuat selama beberapa tahun bagi kebanyakan bakal jemaah.

Mengerjakan Haji adalah rukun Islam kelima dan wajib dikerjakan bagi orang Islam yang mampu dari segi kewangan dan berupaya secara fizikal dan mental.

Ketika musim Haji, jumlah pengunjung ke Makkah mencecah lebih dua juta orang dari segala pelusuk dunia. Dengan bilangan jemaah yang ramai ini, banyak masalah kesihatan yang mungkin timbul, tambahan pula cuaca yang berlainan di Tanah Suci berbanding dengan cuaca kita di sini.

Justeru, amat penting bagi bakal jemaah menyiapkan diri untuk menjamin kesihatan diri dan seterusnya memudahkan kelancaran perjalanan haji.

Di dalam artikel ini akan kita perkatakan mengenai persediaan yang perlu dilakukan sebelum berangkat ke Tanah Suci, apakah cabaran bakal dihadapi di sana dan apa yang perlu dilakukan bagi menjaga kesihatan kita ketika di Tanah Suci.

Bakal haji perlu memahami keadaan di tanah suci kerana ia sangat berbeza dengan keadaan di negara kita. Perbezaan paling ketara adalah dari segi perubahan cuaca. Walaupun musim haji dijangka pada musim sejuk, purata suhu pada waktu siang adalah 30 darjah Celsius dan waktu malam 18 darjah Celsius.

Jemaah Haji akan menempuh cuaca berbeza dari tanah air kerana cuaca di Tanah Suci pada tahun kebelakangan ini sudah berubah khususnya cuaca di Madinah adalah sejuk terutama bagi tempoh sebelum wukuf, manakala di Makkah cuaca sejuk selepas wukuf. Hawanya pula berdebu dan kering.

Suhu di Madinah ketika musim 1427 H adalah antara 3 hingga 14 darjah Celsius. Bakal Haji dinasihatkan supaya menyemak keadaan suhu di media massa sebelum berangkat ke Tanah Suci. Kadangkala terdapat hujan yang mungkin menyebabkan kelicinan pada lantai di masjid. Oleh yang demikian, Jemaah Haji diminta berhati-hati ketika hendak pergi atau balik masjid.

Ibadat haji memerlukan kekuatan fizikal seperti sai, tawaf dan melontar. Jemaah Haji bermalam di Arafah, Muzdalifah dan Mina dengan kelengkapan tempat tidur dan tandas yang paling asas. Oleh kerana bilangan jemaah yang ramai, maka untuk melaksanakan sesuatu ibadat itu akan mengambil masa panjang.

Jemaah juga terpaksa berulang-alik ke masjid kerana jarak tempat penginapan dengan masjid adalah di antara 50 hingga 700 meter. Ringkasnya jemaah haji terpaksa berjalan kaki sama ada untuk menunaikan ibadat atau urusan peribadi ketika di Tanah Suci.

Keadaan bangunan penginapan yang tinggi lebih kurang 10 tingkat boleh memuatkan jemaah haji antara 1,000 hingga 3,000 orang dan bakal jemaah harus membiasakan diri dengan keadaan tempat penginapan sebegini. Mereka perlu bersabar berkongsi tandas dan menggunakan lif.

Peraturan Haji Arab Saudi mewajibkan semua bakal haji menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan akuan doktor, sebelum diluluskan visa haji untuk pergi ke Arab Saudi bagi menunaikan fardu haji.

Bakal jemaah dinasihatkan agar jangan menyembunyikan penyakit yang mereka hidap semata-mata untuk mendapat kelulusan pemeriksaan kesihatan. Dengan pemeriksaan kesihatan yang sempurna maka penyakit boleh dikesan daripada awal dan kita boleh memastikan bahawa penyakit itu mendapat rawatan yang sepatutnya.

Apa yang kita harapkan adalah segala penyakit mendapat rawatan yang optimum di sini supaya bakal jemaah sihat ketika di Tanah Suci dan dapat melakukan ibadat Haji dengan sempurna.

Bakal haji yang menghidap penyakit berisiko tinggi seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan lelah hendaklah memberitahu doktor supaya dicatatkan semua penyakit dan rawatannya ke dalam Buku Rekod Rawatan untuk rujukan di Tanah Suci nanti.

Dalam hal ini, eloklah bakal jemaah sendiri meminta atau memperingatkan doktor supaya merekodkan segala butir mengenai penyakit kerana perkara ini mustahak, khususnya pada waktu kecemasan di Tanah Suci.

Golongan yang dinasihatkan agar menangguhkan pemergian ke Tanah Suci adalah seperti berikut:

  • Gila, tidak siuman, nyanyuk dan tidak tahu menjaga diri;
  • Kencing manis dengan tanda atau gejala yang tidak terkawal seperti kencing kerap, sentiasa dahaga, kerap mengalami serangan hypoglisemia (kurang gula dalam darah) dan paras gula yang sentiasa tidak stabil;
  • Kencing manis dengan komplikasi yang mengancam nyawa seperti kegagalan buah pinggang dan gangrene kaki;
  • Darah tinggi tidak terkawal dengan komplikasi yang mengancam nyawa seperti kegagalan jantung, kegagalan buah pinggang dan angin ahmar;
  • Sakit jantung dalam keadaan berbahaya contohnya ‘unstable angina’, selepas serangan jantung;
  • Sedang menghidap penyakit berjangkit;
  • Wanita hamil;
  • Penyakit kanser dalam peringkat teruk dan berbahaya.

    Pastikan buku rekod rawatan anda lengkap diisi oleh doktor dan segala tambahan atau perubahan dos ubat-ubatan mestilah dicatat di dalam buku.

    Jemaah dinasihatkan membawa bekalan ubat yang mencukupi bagi sepanjang musim haji dan buku rekod rawatan hendaklah sentiasa berada di dalam beg galas dan dibawa bersama-sama.

    Ini adalah untuk memudahkan urusan sekiranya berlaku kecemasan. Perlu dinasihatkan bagi bakal haji yang menghidap penyakit jantung atau penyakit lain dan memerlukan ubat khas; ubat ini hendaklah dibawa ke Tanah Suci, kerana dikhuatiri ubat `khas’ itu tidak dapat diperoleh dari Klinik Malaysia atau farmasi di Tanah Suci.

    INFO
    Halangan kesihatan ke Makkah

  • Gila, tidak siuman, nyanyuk dan tidak tahu menjaga diri
  • Kencing manis dengan gejala tidak terkawal dan paras gula sentiasa tidak stabil
  • Kencing manis dengan komplikasi yang mengancam nyawa
  • Darah tinggi tidak terkawal
  • Sakit jantung dalam keadaan berbahaya contohnya ‘unstable angina’, selepas serangan jantung
  • Penyakit berjangkit
  • Wanita hamil
  • Penyakit kanser

    (Disediakan oleh Dr Azah Abdul Samad, Pakar Perubatan Keluarga, Poliklinik Komuniti Tanglin, Kuala Lumpur)


  • Ekzema : Kulit bagai ‘mendidih’

    Ogos 31, 2007

    KERADANGAN kulit akibat alahan atau ekzema biasanya dikaitkan dengan makanan, walaupun hakikatnya banyak punca lain boleh menjadi penyebabnya seperti faktor alam sekitar, termasuk cahaya matahari.

    Ekzema diambil daripada perkataan Yunani bermakna mendidih dan ia dianggap tepat bagi menerangkan keadaan sebenar apabila ekzema ‘menyerang’ dan menjadi aktif.

    Walaupun jarang dilaporkan, tetapi dianggarkan satu peratus penduduk Malaysia (lebih 230,000 orang) mengalami masalah ini.

    Ekzema juga dianggap masalah biasa di kalangan kanak-kanak dan berlaku pada 14 peratus kanak-kanak di negara ini. Namun sejak kebelakangan ini, permintaan terhadap rawatan kulit semakin meningkat dan jumlah kes yang dirawat di negara ini juga bertambah 20 peratus.

    Kajian dijalankan Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati, kes ekzema di kalangan kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun jauh lebih tinggi berbanding kanak-kanak lebih dewasa (12 hingga 14 tahun).

    Masalah keradangan kulit ini dikatakan ada kaitan dengan genetik dan membabitkan sel T, iaitu sel yang bertanggungjawab dalam sistem imun kita. Dalam keadaan biasa, sel T bertindak balas dan cuba menghapuskan bahan penyebab alahan (dipanggil alergen). Bagaimanapun, pada individu alah, sel T bertindak secara berlebihan sehingga menyebabkan kulit mengalami keradangan, gatal dan pedih.

    Di United Kingdom, ekzema boleh menyebabkan gangguan emosi pada kanak-kanak. Dalam satu soal selidik mendapati, kanak-kanak ekzema di sana kerap mengalami masalah sosial kerana mereka dipulaukan, diejek, malah dibuli rakan sebaya hanya kerana kulit mereka nampak berbeza daripada orang lain. Keadaan ini menyebabkan ramai pesakit ekzema berasa rendah diri, malu dan tidak yakin dengan diri sendiri apabila meningkat dewasa.

    Masalah ini berlaku kerana ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, berasa panas dan gatal (bagi kes sederhana) dan kulit boleh merekah dan berdarah, kata Presiden Kesatuan Pengamal Kesihatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow.

    Katanya, gejala fizikal ini boleh memberi kesan besar daripada segi emosi dan psikologi kepada pesakit, terutama kanak-kanak. Pandangan negatif dan ejekan kawan memberi pengaruh negatif serta boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit kanak-kanak.

    Ekzema juga menghalang pesakit kanak-kanak daripada terbabit dalam kegiatan sosial dan sukan apabila mereka dipulaukan rakan sebaya. Malah, gangguan pada kulit, terutama rasa gatal, menyebabkan pesakit kurang selesa dan malu apabila ada di kelompok ramai.

    “Masalah ekzema lebih kerap berlaku pada kanak-kanak. Lebih membimbangkan, jumlah pesakit kecil yang mengalami ekzema semakin ramai. Antara faktor menyebabkan perkara ini ialah perubahan persekitaran (cuaca) seperti peningkatan suhu dan kelembapan.

    “Selain itu, pencemaran alam sekitar, termasuk penggunaan bahan kimia, bahan pencuci, logam dan kosmetik, boleh mendatangkan tindak balas alahan kulit pada pesakit ekzema,” katanya.

    Walaupun sehingga kini tiada ubat khusus boleh menyembuhkan ekzema, ia boleh dirawat dan dikawal. Rawatan ekzema kini memberi penekanan terhadap pengurusan jangka panjang. Namun, paling penting ialah memastikan kulit sentiasa lembap dan lembut sepanjang masa kerana kulit kering mudah mengalami keradangan dan gatal.

    Pakar Dermatologi Fakulti Perubatan Universiti Harvard, Dr Lynn Drake, berkata untuk mengekalkan kelembapan kulit pesakit dinasihat menggunakan pencuci yang bebas sabun dan mengamalkan rutin penjagaan kulit dengan serius.

    “Penggunaan bahan pencuci yang tidak sesuai boleh ‘mengikis’ lapisan pelindung semula jadi pada kulit, terutama bagi individu yang sensitif. Jika ini berlaku, pesakit berisiko mengalami pengulangan keradangan.

    “Kebanyakan kes ekzema yang berlaku di Amerika Syarikat disebabkan penggunaan bahan pencuci yang terlalu kuat atau sabun dan kosmetik mengandungi agen menghakis lapisan lemak pada sel kulit. Ibu bapa yang ada sejarah ekzema perlu lebih berhati-hati apabila menggunakan bahan ini kepada anak. Ini kerana bayi mempunyai kulit lima kali lebih nipis berbanding orang dewasa dan kesannya lebih teruk jika mengalami ekzema,” katanya.

    Ini sebabnya pakar menyarankan penggunaan bahan pelembut kulit kerana ia bukan saja penting untuk mengelak keradangan berulang, tetapi ia mampu memperbaiki lapisan perlindungan di atas kulit. Kaedah mudah dan murah ini juga berkesan dalam membantu pesakit mengawal serangan ekzema dan mengelak kesan sampingan penggunaan ubat mengandungi steroid jika diambil dalam jangka masa lama.

    Katanya, sebarang jenis pelembut kulit boleh digunakan, sama ada krim, losyen, gel atau minyak bayi berdasarkan kesesuaian dan keselesaan pesakit.

    Bagaimanapun, individu yang ada kulit sensitif disaran mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu, terutama sebelum menggunakan pelembut mengandungi pewangi dan pengawet.

    “Bahan pelembap kulit ini perlu disapu sekerap mungkin mengikut keperluan dan keadaan kulit setiap pesakit. Perlu diingat, kulit masih perlu dilindungi dan dibelai walaupun tidak lagi mengalami keradangan. Jika pesakit menggunakan bahan pelembut mengandungi steroid, tunggu antara 10 hingga 30 minit sebelum menyapu pelembap untuk mengelakkan steroid dicairkan oleh pelembap,” katanya.

    Amalan

    Ada beberapa cara yang boleh diamalkan untuk mengelak keradangan kulit iaitu:

  • Hadkan sentuhan dengan bahan yang boleh menyebabkan kulit radang. Ini termasuk bahan pencuci, sabun, sesetengah losyen dan bahan peluntur.
  • Pakai sarung tangan untuk melindungi kulit ketika mencuci kain atau pinggan.
  • Jika anda bercuti pada musim dingin, pastikan anda memakai sarung tangan sepanjang masa. Cuaca dingin boleh mempercepatkan kulit menjadi kering.
  • Pakai pakaian yang dibuat daripada kapas.
  • Gunakan bahan pencuci atau cecair mandian yang lembut.
  • Elak mandi dengan air panas.
  • Sapu ubat selepas mandi. Ubat untuk ekzema biasanya mengandungi steroid dan dapatkan nasihat doktor jika ia tidak menunjukkan kesan selepas tiga minggu.
  • Gunakan pelembap kulit setiap hari.
  • Jangan garu bahagian kulit yang gatal. Ia menyebabkan keradangan kulit menjadi lebih teruk.
  • Belajar menangani tekanan. Tekanan boleh merangsang ekzema dan menyebabkannya bertambah buruk.
  • Teruskan penjagaan kulit walaupun tiada tanda keradangan.

  • 5 Cara Eratkan Perkahwinan

    Ogos 31, 2007

    Suami isteri perlulah menumpukan perkara yang baik-baik sahaja ketika berbincang. Elakkan dari tuduh-menuduh. Situasi begini seolah-olah mereka bermusuh antara satu sama lain dan bagaimana keharmonian rumahtangga boleh diwujudkan kalau saling tuduh-menuduh dan bertengkar. Sebenarnya pasangan begini memang mempunyai minat yang sama kepada sesetengan barang tetapi disebabkan mereka hanya menceritakan perkara yang tidak baik semata-mata maka yang baik dan romantis hilang begitu sahaja.

    Jangan ungkit perkara lama.

    Jangan bangkitkan perkara yang lepas-lepas. Biarkan yang lepas itu menjadi bahan untuk renungan bersama. Memang kadang-kadang suami atau isteri melemparkan kata-kata kesat yang melukakan dalam pertengkaran.Ianya tidak harus diulang-ulang tentang perkara itu apabila setiap kali bertengkar dan menjadikannya sebagai isu untuk memanjangkan pertengkaran. Perkara seumpama itu anggaplah sebagai suatu yang tidak disengajakan.

    Segera memaafkan.

    Suami isteri mesti sentiasa bermaaf-maafan antara satu sama lain supaya rasa kasih sayang itu sentiasa segar. Jangan amalkan perangai yang suka membangkitkan sesuatu perkara itu berpuluh malah beratus kali untuk menguatkan hujah. Perkara yang berlalu biarlah berlalu.

    Remeh temeh

    Soal yang remeh temeh janganlah dijadikan punca pergaduhan. Sikap bertolak ansur haruslah menjadi asas yang utama dalam keluarga. Ada sesetengah pasangan bergaduh kerana soal kecil seperti menyediakan sarapan pagi, rumah bersepah, anak menangis dan sebagainya. Jika di hari-hari lain isteri menyediakan sarapan, tidak salah sekiranya sesekali suami pula yang menyediakan sarapan sendiri. Soalnya bukan kerana tanggungjawab menguruskan makan minum suami itu tugas isteri yang melaksanakan tetapi sikap timbang rasa suami.

    Jangan ambil kesempatan

    Isteri janganlah pula mengambil kesempatan atas suami. Sebaliknya kedua belah pihak perlu bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain.Kalaulah isteri yang bekerja dan anak nakal, apa salahnya suami yang menyediakan sarapan sendiri. Manakala isteri janganlah pula mengambil kesempatan menggunakan peluang ini sengaja malas menyediakan sarapan untuk suaminya. Bagi si suami pula tidak dinafikan kerja-kerja begini adalah merumitkan. Tambahan pula sikap ego suami memang ada. Kadang-kadang dia lebih rela makan di kedai dari menyediakan sarapan untuk dirinya sendiri. Isteri haruslah memahami dan cuba sedaya upaya menjalankan tugasnya dengan baik supaya suami senang hati dan tidak bergaduh kerana perkara remeh temeh.


    Perbezaan beribadat antara mazhab

    Ogos 30, 2007

    Bersama: MOHD. FARID RAVI ABDULLAH

    SOALAN:
    Saya berada di luar negara untuk jangka masa tertentu. Apa yang ingin saya nyatakan adalah perbezaan mazhab antara orang Malaysia dan orang Asia Barat. Untuk pengetahuan, ia membabitkan kes sembahyang Jumaat diimamkan oleh orang Pakistan. Pada mereka sentuhan suami isteri tidak membatalkan wuduk kerana telah mahram.

    Setiap kali melakukan sembahyang tidak perlu wuduk cukup hanya sekali saja iaitu semasa sembahyang subuh. Begitu juga dengan sembahyang Jumaat. Agak berbeza dengan sembahyang di Malaysia dan saya terbaca di buku perpecahan umat Islam di akhir zaman (berlainan mazhab) melebihi perpecahan bangsa Yahudi, semuanya masuk neraka kecuali yang mengikut sunah Nabi dan al-Quran. Di manakah kedudukan saya dalam hal ini?

    JAWAPAN:

    Terlebih dahulu ingin saya betulkan di sini bahawa permasalahan dalam ibadat adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Ini kerana cara pengistinbatan (cara menghasilkan hukum) daripada sesuatu nas adalah berbeza. Ia bukan pertembungan dua fahaman, malahan kehebatan dan kemahiran para ulama dalam menghasilkan hukum-hakam berkaitan dengan fikah ibadat.

    Harus solat berimamkan imam mazhab lain. Maksudnya sah solat orang bermazhab Syafie di belakang imam yang bermazhab Hanafi. Ini kerana perbezaan pendapat dan pandangan yang saudara lihat adalah dalam persoalan yang furu’ (pecahan). Contohnya dalam masalah wuduk, bagi mereka yang bermazhab Hanafi tidak menggangap batal wuduk seseorang itu jika dia tersentuh wanita bukan mahram asalkan dengan tidak ada perasaan syahwat.

    Dalam mazhab Hanafi juga bersentuh kulit antara suami dan isteri tidak membatalkan wuduk. Ini kerana di antara perkara yang membatalkan wuduk dalam ayat Allah yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi bersuci dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (an-Nisaa’: 34).

    Pandangan mazhab Hanafiah dalam persoalan ini ada asasnya. Mazhab Hanafiah mengambil pandangan Ibn Abbas yang mentafsirkan ayat “kamu bersentuh dengan perempuan” berpendapat yang dimaksudkan dengan bersentuhan itu ialah jimak. Adapun pandangan dalam mazhab Syafie: terbatal wuduk seseorang lelaki apabila dia tersentuh dengan wanita ajnabi (yang bukan mahram), batallah wuduk yang menyentuh dan yang disentuh.

    Maksudnya dalam mazhab Syafie apabila suami tersentuh isteri atau isteri tersentuh suami adalah batal wuduk kedua-duanya. Saya kemukakan pandangan kedua-dua mazhab ini supaya kita faham perselisihan pendapat di kalangan ulama ada asasnya. Maka solat saudara di belakang imam yang bermazhab Hanafi adalah sah.

    Di sebabkan persoalan sebeginilah timbul pandangan adalah lebih afdal sekiranya solat yang ditunaikan itu imam dan makmumnya dari mazhab yang sama. (Dr. Wahbah al-Zuhailiy,al- Fiqh al-Islamiy, jld:1,hlm:276).

    Adapun pandangan saudara mereka berwuduk sekali sahaja di waktu subuh dan menggunakan wuduk tersebut untuk solat-solat yang lain tidak betul. Mungkin saudara tersalah faham. Banyak perkara yang lain boleh membatalkan wuduk.


    Haram mendatangi isteri melalui dubur

    Ogos 30, 2007

    Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

    Sayid Qutub berkata: Ini satu lagi tarikan perhatian kepada hubungan yang ditingkatkannya kepada Allah. Ia meningkatkan matlamat-matlamat perhubungan ini lebih tinggi dari kelazatan jasmani hingga pada bahagian matlamat yang mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan jisim iaitu hubungan kelamin.

    Hubungan kelamin dalam perhubungan itu merupakan wasilah sahaja bukannya matlamat, iaitu wasilah untuk mencapai satu matlamat yang lebih mendalam dalam tabiat hidup, iaitu matlamat melahirkan zuriat keturunan dan melanjutkan hayat dan menghubungkan segala-galanya dengan Allah.

    Allah berfirman: Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu; dan bertakwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya kamu akan menemui-Nya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman. (al-Baqarah: 223)

    Ibn al-Arabi berkata: Sebab turunnya ayat ini, terdapat beberapa riwayat berkaitan dengannya:

    Jabir berkata: Orang Yahudi mengatakan: Barang siapa yang mendatangi isterinya di farajnya melalui belakang maka anak yang lahir akan bermata juling. Maka turunlah ayat ini. Hadis ini adalah sahih dikeluarkan oleh para imam.

    Ummu Salamah menceritakan daripada Nabi s.a.w tentang firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Sabda Nabi s.a.w: Suami boleh mendatanginya dari arah depan dan belakang jika saluran itu adalah saluran yang sama. Dikeluarkan oleh Muslim dan selainnya.

    Al-Tirmidzi meriwayatkan bahawa Umar r.a datang kepada Nabi s.a.w seraya berkata: Binasalah aku. Nabi bertanya: Apa yang membinasakan kamu? Jawab Umar: Aku mengalihkan tungganganku semalam. Lalu Nabi s.a.w tidak menjawab sedikit pun sehinggalah turun firman Allah: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu. Lalu Nabi pun bersabda: Datangilah dari depan atau belakang, tetapi jauhilah dubur.

    Ibn Jauzi berkata: Satu perkampungan Quraisy yang berkahwin dengan wanita Mekah berlazat-lazatan dengan isteri mereka. Apabila mereka sampai di Madinah, mereka berkahwin dengan wanita Madinah dan mereka lakukan sebagaimana wanita Mekah. Tetapi wanita Madinah mengingkari perbuatan tersebut sehingga sampai hal ini kepada Nabi s.a.w, lantas turunnya ayat ini. Inilah pendapat Mujahid daripada Ibn Abbas.

    Para ulama berselisih pendapat tentang keharusan menyetubuhi wanita melalui (dari arah) duburnya. Ada satu kumpulan ramai yang mengharuskannya. Ia dikumpulkan oleh Ibn Syaaban dalam kitab Jima’ al-Niswan Wa Ahkam al-Quran di mana dia menghubungkan sanad riwayat yang mengharuskannya kepada beberapa orang sahabat dan tabien yang terhormat serta dikatakan kepada Malik melalui banyak jalan periwayatan.

    Al-Bukhari menyebutkan riwayat daripada Ibn ‘Aun daripada Nafi’, katanya: Ibn Umar r.a apabila membaca al-Quran, dia tidak bercakap melainkan setelah habis membacanya.

    Suatu hari aku bertemunya tatkala dia sedang membaca surah al-Baqarah sehingga tamat ke satu ayat, beliau berkata: Tahukah kamu sebab turunnya ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Diturunkan ayat ini kerana sekian, sekian. Kemudian dia meneruskan bacaannya.

    Kemudian al-Bukhari menyebutkan hadis Ayyub daripada Nafi’ daripada Ibn Umar yang membacakan ayat: Datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai. Katanya: “Hendaklah didatanginya di…setelah itu dia tidak menyebutkan apa-apa.”

    Diriwayatkan daripada al-Zuhri katanya: Orang itu terlupa apa yang diriwayatkan daripada Ibn Umar tentang hal tersebut.

    Al-Nasa’ie meriwayatkan daripada Abu al-Nadr bahawa dia berkata kepada Nafi’ maula Ibn Umar: “Banyaknya orang menyebut bahawa engkau mengatakan Ibn Umar memfatwakan bahawa dia boleh menyetubuhi wanita melalui dubur mereka.”

    Nafi’ menjawab: “Mereka berbohong terhadapku. Biar aku ceritakan tentang kedudukan sebenar.”

    Pada suatu hari Ibn Umar membuka mushaf, tatkala itu aku ada di sisinya, sehingga apabila dia membaca sampai ayat isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.

    Beliau berkata: Wahai Nafi’. Tahukah kamu kisah di sebalik ayat ini? Aku menjawab: Tidak. Katanya: Dahulunya kami orang Quraisy mendatangi wanita (seperti biasa kami lakukan). Apabila kami masuk ke Madinah dan mengahwini wanita-wanita Ansar, kami pun mahu melakukan kepada mereka seperti yang kami mahukan daripada isteri kami dahulu.

    Tetapi mereka tidak suka perbuatan itu dan menganggapnya sebagai satu perkara yang besar, kerana wanita-wanita Ansar hanya didatangi (disetubuh) dari arah tepi mereka.

    Lalu Allah menurunkan ayat: Isteri-isteri kamu sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu suka.

    Al-Qadhi mengatakan: Aku bertanya kepada Imam al-Qadhi al-Tusi tentang persoalan ini.

    Lalu dia menjawab: Tidak boleh sama sekali menyetubuhi perempuan pada duburnya. Allah mengharamkan faraj ketika haid disebabkan najis yang datang sekali sekala, maka lebih utama diharamkan dubur dengan sebab najis yang biasa datang.

    Firman Allah: …Dan berilah khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman.

    Dan di sini kita dapat melihat samahah/toleransi Islam yang menerima insan mengikut apa yang ada padanya, iaitu ia menerima insan dengan segala keinginan, kecenderungan dan keperluannya, dan Islam tidak pernah mencuba menghancurkan fitrah insan atas nama peningkatan dan pembersihan diri dan tidak pernah memandang kotor kepada keperluan seks yang tidak dapat dielak olehnya.

    Malah pada hakikatnya ia ditaklifkan dengan keperluan-keperluan seks itu untuk kepentingan hayat, untuk kesinambungan dan kesuburannya, malah apa yang diusahakan oleh Islam ialah menegakkan insaniahnya dan meningkatkannya dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasaniahnya dan meningkatkan dan menghubungkannya dengan Allah ketika ia menyahuti dorongan jasmaniahnya.

    Islam berusaha mencampurkan di antara dorongan jasmani dengan perasaan-perasaan insaniah pada mulanya dan dengan kesedaran keagamaan yang halus pada akhirnya.

    Ia mencampurkan di antara keduanya dalam satu ketika, dam satu harakat dan dalam satu tujuan, iaitu percampuran yang sebati pada diri manusia itu sendiri, yang menjadi khalifah Allah di buminya.

    Dan manusia memang layak menjadi khalifah Allah kerana di dalam tabiat dan di dalam dirinya telah dipasang dengan kekuatan-kekuatan dan daya-daya tenaga yang cukup. Yang demikian itu hanya Allah sahaja yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.

    Al-Sonhaji berkata: Sesungguhnya akan menjadikan berita gembira bilamana orang-orang beriman mengetahui bahawa Allah akan memuliakan mereka.

    Iktibar Ayat

    * Keperluan perkahwinan antara lain melahirkan zuriat yang soleh dan juga mengawal nafsu dengan mengikut acuan syarak.

    * Bertakwa kepada Allah merupakan kemuncak untuk mendapat kebahagiaan.

    * DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).