Waspada kata-kata manis orang munafik

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKR

Al-Sonhadji berkata: “Orang munafik itu apabila diseru supaya takutkan Allah sama ada dalam amalan zahir mahupun batin disebabkan adanya sifat takbur dan sombong yang dipengaruhi oleh sentimen Asabiah Jahiliah menyebabkan ia tidak teragak-agak berbuat dosa dan aniaya. Mereka juga tidak menghiraukan nasihat dan tunjuk ajar. Maka orang yang sedemikian tidak lain balasannya yang setimpal ialah neraka jahanam, tempat sejahat-jahatnya.”

Firman Allah: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. (Al-Baqarah: 207)

Firman Allah s.w.t: Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata. Yakni ia sanggup menjualkan seluruh jiwa raganya kerana Allah. Ia sanggup menyerah seluruh jiwa raganya kepada Allah tanpa meninggalkan sebarang baki.

Ia tidak mengharapkan sesuatu apa di sebaliknya selain dari keredaan Allah. Ia tidak memperoleh sesuatu apa pun dan mendapat sesuatu apa di sebaliknya. Ia menjualkan dirinya kepada Allah secara mutlak dan tanpa menyimpan sebarang bakinya untuk yang lain dari Allah.

Ungkapan Yushra Nafsahu mungkin diertikan dengan makna yang lain (yakni dengan makna membeli) tetapi membawa kepada tujuan yang sama, iaitu ayat ini mungkin bermakna ia sanggup membeli dirinya dengan segala harta dan kesenangan hidup dunia untuk membebaskan dan memberikan dirinya semata-mata untuk Allah, agar tiada lagi suatu hak yang lain yang bergantung dengan dirinya selain dari hak Allah. Yakini dia sanggup mengorbankan segala harta dan kesenangan hidup dunia dan menyerahkan dirinya semata-mata untuk Allah.

Di sana terdapat beberapa riwayat mengenai sebab nuzul ayat ini yang sesuai dengan pentafsiran ayat yang akhir ini:

Ibn Kathir di dalam tafsirnya berkata: Ibn Abbas, Anas, Sa’id bin al-Musayyab, Abu Uthman al-Nahdi, Ikrimah dan beberapa orang yang lain berkata: Ayat ini turun mengenai Suhayb Ibn Sinan al-Rumi.

Ceritanya begini: Setelah dia memeluk Islam di Mekah dan mahu berhijrah ke Madinah, maka orang-orang Quraisy telah menahannya dari berhijrah ke Madinah dengan membawa harta kekayaannya. Andainya dia sanggup mengorbankan harta kekayaannya, barulah dapat dia berhijrah. Lalu dia membebaskan dirinya dari mereka dan memberikan semua harta kekayaannya kepada mereka. Kerana peristiwa inilah turunnya ayat ini.

Kedatangannya disambut oleh Umar bin al-Khattab dengan satu rombongannya hingga ke perbatasan al-Harrat dan di sana mereka berkata kepadanya: Beruntunglah perniagaan awak. Lalu dia pun berkata: Kamu juga beruntung dan semoga Allah tidak merugikan perniagaan kamu, tetapi apa ceritanya? Lalu mereka pun memberitahu bahawa Allah telah menurunkan mengenai peristiwa ayat ini.

Menurut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Suhayb: Beruntunglah perniagaan Suhayb. Ujar Ibn Mardawayh telah diceritakan oleh Muhammad bin Ibrahim, kami telah diceritakan oleh Muhammad bin Abdullah bin Mardwayh, kami telah diceritakan oleh Sulaiman bin Daud, kami telah diceritakan oleh Jaafar bin Sulaiman al-Dhabbi, kami telah diceritakan oleh Auf dari Abu Uthman al-Nahdi daripada Suhaib katanya: Sewaktu aku hendak berpindah dari Mekah ke Madinah untuk bersama Nabi s.a.w, kaum Quraisy telah berkata kepadaku: Wahai Suhayb, dahulu kamu datang kepada kami tanpa sebarang harta dan kini bagaimana kamu hendak keluar (dari sini) dengan membawa harta? Ini tidak mungkin sama sekali berlaku.

Lalu aku berkata kepada mereka: Bagaimana jika aku serahkan semua harta kekayaanku, adakah kamu akan melepaskan aku (keluar dari sini)? Jawab mereka: Ya. Lalu aku menyerahkan semua harta kekayaanku kepada mereka dan mereka pun membebaskanku, kemudian aku keluar dari Mekah dan akhirnya sampai ke Madinah.

Apabila cerita ini sampai kepada Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: Untunglah Suhayb! Untunglah Suhayb!

Kemudian ada pula yang mengatakan ditujukan kepada Zubair bin al-Awam dan al-Miqdad bin al-Aswad yang berani mengorbankan diri, memasuki kawasan musuh dalam keadaan berdua sahaja untuk mengambil mayat Khubaib bin ‘Adiy al-Ansari yang disalib hidup-hidup oleh orang kafir Mekah di Tana’im.

Kedua-duanya berjaya mengambil mayat Khubaib yang disalib selama 40 hari di sebatang kayu. Meskipun telah begitu lama, didapatinya masih segar tidak busuk, bekas lukanya berlumuran darah berwarna merah tetapi baunya harum bagaikan kasturi.

Ada juga yang mengatakan ditujukan kepada perwira-perwira Islam, yang telah menjual dirinya dengan mengorbankan nyawa melawan musuh, untuk memperoleh keredaan Allah s.w.t. Allah dengan sifat-Nya yang Pengasih akan mengurniakan nikmat-Nya yang kekal di akhirat. Ia sebagai balasan amanah hamba-hamba-Nya. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Zaid.

Diturunkan berkenaan dengan amar makruf dan nahi mungkar. Inilah makna ucapan Umar dan Ali bin Abi Talib.

Diturunkan kepada Muhajirin dan Ansar yang berperang bagi menegakkan agama Allah. Inilah pendapat Qatadah.

Sayid Qutub berkata: Sama ada ayat ini turun kerana peristiwa ini atau sesuai dengan peristiwa ini. Namun skopnya lebih jauh dari satu peristiwa tertentu dan seseorang yang tertentu sahaja. Ia melukiskan satu gambaran jiwa dan menggariskan sifat-sifat contoh insan yang tertentu yang dapat dilihat contoh-contoh yang sama dengannya di kalangan umat manusia di sana sini.

Lukisan pertama dengan tepat menggambarkan sifat munafik yang berpura-pura, pintar berbicara. Tetapi berhati kejam, bertabiat jahat, bermusuh ketat dan mempunyai fitrah yang rosak.

Lukisan yang kedua dengan tepat menggambarkan sifat-sifat setiap mukmin yang mempunyai keimanan yang tulus kepada Allah semata-mata dan memandang rendah kepada segala harta dan kesenangan hidup di dunia. Kedua-duanya dilukiskan oleh pena Ilahi yang Maha Kreatif dengan gambaran yang penuh sejarah.

Ia meletakkan dua contoh ini di hadapan mata manusia supaya mereka dapat meneliti mukjizat al-Quran dan mukjizat penciptaan manusia dengan sifat-sifat perbezaan yang amat jauh di antara insan munafik dengan insan beriman supaya mereka dapat mempelajari watak-watak kedua insan itu.

Ia supaya mereka tidak tertipu dengan kata-kata bersalut madu dan bersifat berpura-pura yang menarik dan seterusnya supaya mereka berusaha mencari hikmat yang sebenar di sebalik kata-kata yang berbunga dan nada-nada palsu, di sebalik sikap talam dua muka, pura-pura dan hiasan alat-alat solek. Selain itu, mempelajari bagaimana mengenal nilai-nilai di dalam kaca keimanan.

Firman Allah s.w.t: Dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya. Syeikh Sya’rawi berkata: Apakah hubungan antara yang terdahulu dan bersifat penyayang dengan ham-hambanya? Jawabnya: Selama mana Allah bersifat dengan rahmat dan pemurah terhadap hamba-hambanya, maka tidaklah penting untuk menjadikan perkara tersebut semuanya pada setiap orang Islam.

Sesungguhnya dia menjadikannya untuk menthabitkan kebenaran hal keimanan, kerana dia tidak mahu untuk mengorbankan setiap orang Islam dengan diri mereka, tetapi dia hendak untuk mengekalkan di kalangan kita pendakwah-pendakwah.

Iktibar dan pengajaran ayat:

*Sifat pengorbanan sahabat seperti yang dirakamkan dalam al-Quran jelas menunjukkan kemuliaan mereka di sisi Allah s.w.t.

*Kelebihan mereka yang mencari mardhatillah sudah pasti mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah s.w.t terutamanya syurga.

*Sifat Allah yang amat rahmat terhadap hambanya.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: