Sistem beragama elak gejala sosial masyarakat

Julai 31, 2007

PERKATAAN Islam itu sendiri membawa maksud selamat dan sejahtera. Ia bukan agama yang membebankan. Sesetengah orang merasakan agama adalah belenggu.

Ia tidak memberi kebebasan manusia melakukan sesuatu. Banyak kekangan syarak yang dikatakan menghalang kemajuan pada hari ini.

Oleh itu, sesetengah orang berpendapat agama ini biarlah berada pada tahap kepercayaan bukan pada tahap cara hidup.

Kepercayaan dan cara hidup dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat. Tidak ada sistem kepercayaan kalau tidak ada cara hidup dan begitulah juga sebaliknya.

Sistem kepercayaan terhadap Allah memberikan pedoman dan petunjuk kepada manusia bahawa cara hidup Islam bermula dengan sistem kepercayaan.

Kalau kita yakin Allah itu ada, ia Pencipta dan juga Pengurus alam ini maka dengan sendirinya terkait dengan manusia. Ia disebabkan hikmah kejadian alam dan sumber dalam kehidupan sebahagiannya adalah untuk manusia.

Tidak mungkin manusia hidup tanpa air. Lalu air hujan diturunkan bagi menumbuhkan pokok untuk kepentingan manusia. Tidak mungkin manusia boleh mengatur sistem kalau tidak ada sumber.

Minyak, gas, uranium dan seumpamanya adalah sumber tenaga ciptaan Allah. Daripadanya manusia berekonomi dan memajukan teknologi. Dari situ datang kehidupan.

Kita berjalan di jalan raya memerlukan pedoman. Kita berada di dalam pejabat memerlukan peraturan.

Kita mengurus negara memerlukan kaedah dan pendekatan. Manusia menentukan keadilan di mahkamah memerlukan undang-undang.

Mesin dan alat teknologi hanya boleh berfungsi sekiranya pengguna tahu boleh dan tidak bolehnya. Pokoknya, kehidupan itu sendiri memerlukan cara dan jalan.

Kehidupan beragama tidak saja memberikan kita pedoman dan aturan tetapi memberikan manusia nilai.

Nilai seperti amanah, adil, bijaksana, tulus, telus dan jujur amat penting bagi kehidupan dan pengurusan.

Sekiranya perbuatan tidak amanah berlaku, sumber Allah dan negara akan di salahguna dan ia akan merosakkan sistem. Sekiranya keadilan tidak diletakkan pada tempatnya, kucar-kacir akan berlaku.

Jika kebijaksanaan tidak ada, manusia akan mengalami kesukaran menentukan yang hak dengan yang batil.

Sekiranya sifat telus, tulus dan jujur tidak ada pada manusia, perasaan syak wasangka, rasa tidak percaya akan subur. Ia bakal merosakkan perjalanan sesuatu sistem. Nilai adalah penting untuk melihat kebaikan amalan dan perbuatan.

Kehidupan akan jadi membebankan sekiranya nilai murni agama tidak dipatuhi. Dalam keluarga umpamanya nilai pelindung (qawwamun) perlu ada bagi suami. Jika seorang suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, amanah itu tidak saja datangnya daripada Allah tetapi daripada waris-walaknya.

Isteri akan berada pada tahap kebahagiaan yang amat tinggi. Ibu yang jiwanya sejahtera kerana suaminya adalah orang yang patuh dengan ajaran agama bakal menjadi ibu yang baik kepada zuriat suami. Anak akan dewasa dengan kasih sayang, belaian, ilmu dan tunjuk ajar yang baik.

Anak-anak bakal jadi anak cerdik dan cemerlang kerana suasana rumah merangsang ke arah itu. Lalu bakal lahir generasi anak-anak yang ceria dan bahagia. Ia adalah aset untuk keluarga dan negara.

Hari ini kita dapati banyak kepincangan berlaku terhadap anak. Semakin ramai anak terbabit dengan amalan merokok dan salah guna dadah.

Semakin meningkat statistik anak terbabit dalam jenayah juvana (remaja) yang merungsingkan ramai pihak.

Jumlah yang terbabit dengan salah laku sosial, pertambahannya amat besar. Yang berada di pusat serenti semakin ramai. Yang terbabit dengan bencana Aids/HIV tidak pula mengurang. Yang membabitkan diri dengan mat rempit berlaku di bandar dan luar bandar.

Gambaran itu tidak baik untuk keluarga dan negara. Ia bukan aset tetapi beban yang sedang menunggu.

Banyak wang akan dihabiskan untuk menguruskan masalah berkaitan. Yang penting diketahui di mana punca masalah itu berlaku.

Sekiranya ajaran agama dianggap sebagai beban, manusia akan hilang pedoman. Inilah yang akan berlaku.

Bayangkan di rumah, nilai agama dijadikan pedoman. Anak mengikut disiplin solat untuk mendisiplinkan dirinya.

Anak dilatih bersopan dan santun, tahu makna malu, boleh dan tidak boleh ia bakal mentertibkan anak dengan amalan yang baik.

Apabila bergaul dengan orang lain, kesantunan tetap ada. Apabila berada di jalan raya ia menjadi anak yang patuh pada peraturan lalu lintas. Apabila tidak cemerlang di sekolah, dia rasa malu pada ibu dan ayah.

Apabila bertemu guru dan ibu bapa, anak menjadi taat. Inilah nilai baik dalam agama sekiranya dihayati, anak akan mempunyai sahsiah dan akhlak sempurna.

Masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama diabaikan.

Yang dijadikan ikutan dan tiruan ialah nilai buruk yang datang daripada seni lagu, hiburan, filem, sumber internet, pergaulan sesama rakan sebaya, hilang malu, suka melanggar peraturan, sifat ego yang melampau hingga menyebabkan gelagat mereka menjadi kasar, biadap dan cenderung merosakkan harta awam dan babit dalam jenayah serta juvana.

Membangunkan akhlak ialah mengamalkan nilai agama. Bercakap benar tidaklah membebankan sekiranya anak-anak diajarkan sedemikian.

Bekerja kuat tidaklah menjadi beban sekiranya dorongan itu yang diberikan kepada anak.

Mempunyai sifat malu terhadap Allah dan orang lain adalah penting untuk menjaga kerukunan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Nilai ini apabila dipupuk dengan baik, akan memberi asas kekebalan kepada anak-anak.

Kekebalan ini penting kerana anak bakal menghadapi cabaran sebenar dalam hidup. Bayangkan kalau tidak ada pedoman agama, kesesatan dalam kepercayaan dan amalan boleh berlaku.

INTI PATI

  • Masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama diabaikan.
  • Sekiranya sifat telus, tulus dan jujur tidak ada pada manusia, perasaan syak wasangka, rasa tidak percaya akan subur merosakkan perjalanan sesuatu sistem.
  • Anak dilatih bersopan dan santun, tahu makna malu, boleh dan tidak boleh ia bakal mentertibkan anak dengan amalan yang baik.
  • Hikmah kejadian alam dan sumber dalam kehidupan sebahagiannya adalah untuk manusia.
  • Sekiranya perbuatan tidak amanah berlaku, sumber Allah dan negara akan di salahguna dan ia akan merosakkan sistem.

  • Nabi Ibrahim dengan penyembah berhala

    Julai 30, 2007

    Kisah Al-Quran (SIRI 50) ~ Utusan Malaysia

    DAN berkata Ibrahim, “Yang kamu sembah selain Allah itu hanyalah berhala-berhala yang mengikat tali kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia.

    Tetapi di hari kiamat, antara kamu dan yang lain akan saling mengingkari dan bahkan kamu akan saling mencela. Tempat kembalimu adalah neraka dan kamu tidak akan memperoleh penolong.” (al-Ankabut: 25)

    PENDUDUK Babylon merupakan pengamal anutan penyembahan berhala. Mereka menyembah berhala kerana mengikut ajaran nenek moyang yang terdahulu. Walaupun mereka menyedari berhala-berhala itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah, tetapi kerana kesombongan dan keangkuhan diri, mereka telah menolak segala-galanya yang baru.

    Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa mengajak mereka supaya berhenti menyembah berhala. Namun kata-kata cacian dan hinaan dibalas kepada baginda.

    Jika mereka diajak berdialog mengenai kejadian alam iaitu pertukaran malam dan siang, kehidupan di akhirat dan kematian, mereka akan kehilangan hujah untuk menangkis dakwaan tersebut. Namun, kerana sifat degil dan angkuh, mereka menolak semua kebenaran yang berada di depan mata. Mereka butakan mata, pekakkan telinga untuk menerima perubahan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.

    Penyembah berhala ini sebenarnya tidak mempunyai pegangan yang kukuh untuk mempertahankan tuhan-tuhan mereka. Mereka hanya menurut apa sahaja yang dilakukan oleh nenek moyang yang terdahulu.

    Adakalanya terlintas juga di fikiran mereka untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim, namun mereka takut untuk mengakuinya secara jelas.

    Lagipun mereka takut akan dihukum oleh pemerintah sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dahulu.

    Nabi Ibrahim memandang rendah terhadap berhala-berhala sembahan mereka dan menganggapnya tidak bernilai. Nabi Ibrahim juga menyatakan kebebasannya daripada melakukan penyembahan yang sama dengan mereka. Nabi Ibrahim amat membenci tuhan-tuhan sembahan penduduk Babylon.

    Walaupun mereka mendewakan tuhan-tuhan ini, namun sebenarnya ia tidak memberikan sebarang manfaat pun. Malah mereka sendiri yang membuatnya daripada sekecil-kecil binaan sehinggalah kepada binaan yang paling besar. Patung-patung ini tidak mampu bergerak ke mana-mana, inikan pula untuk memberikan pelbagai nikmat kepada penyembahnya.

    Oleh sebab itulah Nabi Ibrahim menyatakan Tuhannya adalah satu iaitu Allah Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta seluruh isi kandungannya.


    SMART: Pengurusan baru asma

    Julai 30, 2007

    Oleh Prof. Liam Chong-Kin (Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia)

    BATUK. Berdehit. Dada berasa ketat. Kesukaran bernafas. Ini merupakan beberapa gejala yang sering dijelaskan oleh Puan Aminah (bukan nama sebenar) dan ramai lagi penghidap asma – kadangkala setiap hari – akibat kawalan asma yang tidak baik.

    Bagi Puan Aminah dan dua juta rakyat Malaysia yang menghidap asma, gejala-gejala ini telah menjadi kebiasaan serta cenderung meningkat sekiranya tidak dikawal dengan betul.

    Asma adalah keadaan di mana terdapat keradangan kronik pada saluran pernafasan. Apabila terdedah pada sesetengah penyebab alahan, saluran pernafasan membengkak dan sempit, menyebabkan gejala asma.

    Mereka yang menghidapi asma mengalami penderitaan pada kadar purata tiga hingga lima hari bagi setiap serangan akut di mana asma mereka tidak terkawal. Kenyataannya, lebih kurang 20 episod serangan asma dialami oleh setiap orang dewasa setiap tahun.

    Ini mungkin kelihatan sedikit, namun serangan ini amat melesukan bagi seorang pesakit asma yang terpaksa ditahan di hospital dan menyebabkan aktiviti harian mereka terganggu.

    Kenapa serangan ini berlaku?

    Keradangan serta kesempitan saluran pernafasan menyebabkan batuk, berdehit, dada berasa ketat serta pernafasan yang tersekat-sekat.

    Keradangan salur pernafasan adalah punca masalah ini. Malangnya, kebanyakan penghidap asma mengabaikan rawatan radang walaupun diarahkan oleh doktor.

    Kebanyakan penghidap asma mengalami gejala-gejala tertentu sebelum serangan berlaku. Namun masalahnya, mereka terlampau bergantung kepada alat penyembur pelega berwarna biru, sehingga mengabaikan alat sedut pencegah.

    Penghidap asma perlu memahami bahawa kedua-dua ubat pencegah dan pelega diperlukan untuk kawalan asma yang betul.

    Kedua-duanya mempunyai fungsi tersendiri dan tidak boleh ditukar ganti, dan inilah sebabnya kenapa ramai yang bergantung sepenuhnya kepada alat sedut pelega biru tidak melihat sebarang perubahan pada keadaan mereka.

    Ubat pencegah merawat punca keradangan, dan patut digunakan setiap hari bagi tujuan pencegahan. Alat penyembur pelega berwarna biru hanya digunakan apabila perlu – selalunya apabila saluran pernafasan menjadi sempit untuk kelegaan cepat.

    Adalah penting untuk mengingati bahawa alat penyembur biru tidak merawat keradangan, dan pergantungan melampau tidak akan membantu pengawalan asma.

    Pengurusan asma yang betul memerlukan para penghidapnya menggunakan kedua-dua ubat kerana merawat keradangan adalah langkah perlu dalam mengawal asma agar serangan dapat dicegah.

    Ramai pesakit gagal memahami kepentingan menggunakan kedua-dua ubat sebagai sebahagian pengurusan asma mereka. Ramai pesakit tidak dapat membezakan fungsi ubat yang berlainan warna, dan penggunaan pelbagai ubat mengelirukan sesetengah mereka.

    Terapi pencegah dan pelega dengan satu alat sedut

    Sekiranya punca masalah ada pada keradangan saluran pernafasan, maka penyelesaiannya adalah mencegah atau mengawal keradangan ini.

    Kunci kepada pengurusan asma yang betul dan pencegahan serangan adalah memberikan rawatan awal serta secukupnya bagi punca keradangan salur pernafasan.

    Para pesakit asma perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan untuk mengetahui cara terbaik merawat asma mereka.

    Tinjauan International Asthma Patient Insight Research (INSPIRE) mendapati para pesakit mahukan kelegaan segera dari terapi asma mereka; dan majoritinya memilih untuk bergantung kepada satu alat penyembur dan mengurangkan ubat-ubatan lain.

    Pakar perubatan hari ini, menuruti panduan Global Initiative for Asthma (GINA) dan akan merawat pesakit asma berdasarkan kawalan dan bukan tahap asma.

    Pendekatan terbaru kepada pengurusan asma dikenali sebagai Single inhaler Maintenance And Reliever Therapy – atau mudahnya SMART. SMART ialah terapi pencegah dan pelega dengan satu alat sedut.

    Dengan SMART, pesakit asma hanya memerlukan satu alat sedut kerana ia memberi kedua-dua dos pencegah harian serta pelega sekiranya diperlukan.

    Alat sedut baru ini mudah dikenali oleh warnanya – alat sedut merah turbuhaler – yang membezakannya dari ubat yang kini digunakan. Keperluan bergantung kepada satu alat sedut sahaja bermakna para pesakit asma tidak lagi keliru seperti dahulu.

    Penyelidikan klinikal yang terperinci telah dilakukan untuk pendekatan baru ini. Lebih dari 14,000 pesakit seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam program pembangunan klinikal SMART.

    Hasilnya menunjukkan bahawa SMART memberi kawalan asma menyeluruh yang lebih baik serta mengurangkan risiko serangan asma yang serius.

    Bukan tentang perubatan sahaja

    Dengan pendekatan SMART, pesakit asma boleh mengharapkan kelegaan segera, kawalan asma yang lebih baik serta peningkatan kualiti hidup bagi jangka masa panjang.

    Akan tetapi, beberapa perubahan kecil mampu merubah pelbagai keadaan. Para pesakit asma boleh mempraktikkan beberapa langkah mudah untuk membantu dalam kawalan asma mereka.

    1. Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu – setelah mendapat diagnosis yang betul, barulah terapi pengurusan asma yang terbaik bagi seseorang pesakit dapat disyorkan.

    2. Awasi gejala asma anda – kenali gejala asma anda dengan baik serta perhatikan reaksi tubuh anda. Bertindak segera untuk mengawal asma anda.

    3. Kenali ubat-ubatan anda – patuhi nasihat doktor mengenai perubatan asma, dan bila anda perlu mengambilnya. Anda boleh memudahkan pengurusan asma anda dengan menguna turbuhaler merah cara SMART dan bukan pelbagai alat sedut.

    4. Jauhi faktor-faktor cetusan asma – asma adalah penyakit yang berubah-ubah; banyak faktor boleh mencetuskan serangan, oleh itu awasi punca serangan anda. Adakah ia asap rokok, habuk, pencemaran atau sesetengah jenis makanan?

    Mesejnya, jangan biarkan asma mengawal anda. Sebaliknya, anda boleh mengawal asma anda!


    Cepat klimaks

    Julai 30, 2007

    RAMAI beranggapan cepat klimaks adalah satu masalah. Namun daripada sudut pandangan perubatan, ia mungkin ada hikmahnya kerana kemasukan air mani ke dalam faraj dalam kadar cepat membolehkan kehamilan berlaku.

    Lelaki yang biasa dengan amalan onani mendapati mereka mudah cepat klimaks. Ada yang mencapai klimaks sebelum sempat menyalurkan ereksi ke dalam faraj pasangan.

    Yang cepat klimaks tetapi masih dapat mengekalkan ereksi mereka akan dapat meneruskan aksi, tapi dalam keadaan ‘basah’ yang mungkin tidak dapat diterima pasangan.

    Pendek kata, cepat klimaks memang merumitkan kedua-dua pihak. Lelaki dapat menikmati keseronokan persetubuhan tetapi masih belum puas, dan wanita pula lebih berasa tertekan.

    Kebiasaannya, sebahagian besar daripada mereka dapat juga menangani masalah cepat klimaks secara sendiri dengan bantuan pasangan.

    Ini dapat direalisasikan apabila si lelaki menggerakkan zakar dalam faraj yang dilakukan secara terkawal. Apabila terasa seperti hendak klimaks, dia menghentikan hayunan seketika dan si wanita melegakan kemutan.

    Selepas ‘gelora’ dapat diredakan, baru si lelaki memulakan ‘gerakan baru’.

    Perlu diingatkan yang masalah cepat klimaks bukan remeh, kerana jika tidak diatasi ia menyebabkan pasangan berasa tertekan sehingga ke tahap ada yang mengalami mati pucuk.

    Sehingga kini tiada ubat dapat meningkatkan daya kawalan daripada ejakulasi cepat. Ubat mengawal keresahan minda seperti Prosac dan Zoloft dapat mengurangkan keresahan, dan lelaki yang mempunyai kawalan minda yang lemah akan mendapati ubat ini memudahkan mereka memberi tumpuan kepada ketahanan dan mengekalkan ereksi.

    Kadangkala ubat ini mengurangkan rangsangan mental dan mengakibatkan ereksi tidak berlaku atau terbantut.

    Teknik bersetubuh sedikit sebanyak dapat membantu mengekalkan ereksi. Ketika hayunan zakar dilakukan, tuju utama ialah ke langit faraj. Cara ini dapat membantu wanita mencapai rangsangan.

    Cincin penambat zakar yang pelbagai jenama dapat membantu mengekalkan ereksi lebih lama walaupun sudah klimaks.

    Cincin ini diperbuat daripada getah asli, buatan Malaysia disarung seperti cincin ke pangkal zakar ketika zakar ereksi padat.

    Perlu diingatkan supaya tidak memakai cincin keras daripada besi, tanduk atau batu jed kerana ia berbahaya dan boleh merosakkan zakar.

    Dengan menumpukan minda kepada cincin ketika hayunan ereksi dilakukan ke dalam faraj, minda tidak mudah terangsang, sekali gus dapat menutup perasaan seronok, oleh itu si lelaki dapat bertahan lama.

    Cepat klimaks tiada kaitan dengan saiz zakar yang normal antara 10 hingga 14 sentimeter untuk lelaki Asia. Bagaimanapun, tahap ereksi mempengaruhi daya kawalan ketegangan kerana jika ereksi kurang padat, cepat klimaks akan berlaku, tetapi apabila ereksi kembali padat, kawalan menjadi kukuh.

    Kebanyakan wanita memerlukan masa lama untuk mendapat rangsangan sebelum klimaks, kira-kira lapan minit jika dibandingkan dengan lelaki antara dua hingga lima minit.

    Jangan putus asa dan kecewa. Hubungan kelamin bukan pertarungan. Ia satu nikmat bersama antara suami dan isteri, seterusnya bersama-samalah berusaha untuk menjayakannya.

    Oleh  Dr.Ismail Thamby


    Guaman: Suami dera emosi dan fizikal

    Julai 30, 2007

    Masalah:

    Saya berkahwin atas dasar suka sama suka. Bagaimanapun selepas berkahwin, barulah saya tahu sifat sebenar beliau. Beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mengharapkan gaji saya untuk menanggung dia. Bukan itu saja, beliau gemar berjudi dan apabila kekurangan wang, gaji saya menjadi mangsa.

    Sebaik berkahwin, beliau menggadai semua barang kemas saya yang dibeli keluarga. Malah, selepas kami mempunyai tiga anak beliau masih tidak berubah. Keluarganya pula enggan masuk campur dan turut berpihak kepada suami walaupun mereka tahu anak mereka yang bersalah.

    Sepanjang perkahwinan kami, hidup saya sengsara kerana suami terlalu mengongkong, tidak mempercayai saya dan sering mendera saya sama ada fizikal mahupun emosi. Beliau juga seorang yang cemburu. Saya tidak dibenarkan bergaya mahupun bersolek, walaupun bidang tugas saya memerlukan penampilan yang kemas.

    Jika tidak mengikut kehendak suami, beliau akan memaki hamun saya dan sering membandingkan saya dengan deretan teman wanitanya. Saya ingin keluar daripada perkahwinan ini, tetapi suami enggan menceraikan saya dan mengugut akan membunuh saya. Apa yang boleh saya lakukan?

    Isteri teraniaya.

    —————————-

    Jawapan:

    Saya amat bersimpati dengan permasalahan yang puan hadapi. Anggap ia satu cabaran puan sebagai hamba Allah dan berbaik sangka bahawa Allah ingin menguji untuk menaikkan darjat kecintaan dan keimanan puan padaNya.

    Nyata puan adalah seorang yang sabar dan tabah. Buktinya puan bertahan dalam perkahwinan puan dalam tempoh yang lama meskipun terpaksa menelan pelbagai onak duri perkahwinan dan saya amat yakin bahawa puan sudah cukup teraniaya dan tertekan dengan perkahwinan puan.

    Bagaimanapun, Islam mempunyai jalan keluar dalam setiap masalah yang berlaku. Perceraian walaupun adalah perkara yang dibenci Allah, adalah jalan terbaik bagi perkahwinan yang bermasalah seperti yang puan alami.

    Berkaitan dengan hasrat puan untuk keluar daripada perkahwinan dan juga keengganan suami puan untuk menceraikan puan; secara khususnya saya merujuk kepada peruntukan di dalam undang-undang keluarga Islam iaitu puan boleh memohon satu perintah dalam kes untuk fasakh perkahwinan atas sebab yang munasabah yang diiktiraf hukum syarak seperti yang puan nyatakan itu walaupun suami puan tidak bersetuju dengan hasrat puan bercerai dengannya.

    Berdasarkan alasan yang dinyatakan di dalam peruntukan fasakh itu, Hakim selepas berpuashati dengan alasan yang diberikan boleh memfasakhkan perkahwinan puan selepas melalui proses dan prosiding tertentu.

    Selain perceraian secara fasakh, sebagai pilihan Islam juga memperuntukkan perceraian secara taaliq yang mana perceraian ini berdasarkan kepada lafaz taaliq yang kebiasaannya dibaca oleh suami ketika upacara pernikahan.

    Si isteri boleh menuntut perceraian secara taaliq apabila berlaku perlanggaran terhadap lafaz yang diikrarkan semasa akad nikah tersebut dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

    Seterusnya antara lain puan boleh menuntut khul’ iaitu perceraian yang mana perlu kepada persetujuan daripada suami dan isteri dikehendaki membayar kepada suaminya suatu bayaran bagi tuntutan itu.

    Ugutan bunuh yang puan terima adalah satu perkara yang amat serius dan puan hendaklah mengambil langkah segera demi keselamatan puan dan juga anak. Dalam undang-undang syariah di Malaysia ada diperuntukkan berkaitan dengan perintah tegahan kacau ganggu yang mana Mahkamah Syariah akan mengeluarkan satu perintah bagi menghalang suami puan daripada melakukan perkara yang membahayakan pihak puan di dalam prosiding perceraian puan. Pihak berkuasa juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjaga keselamatan diri puan dan anak puan.

    Akhir sekali, bagi menjaga hak puan sebagai seorang isteri, tindakan untuk keluar daripada perkahwinan ini adalah jalan terbaik demi menjaga kemaslahatan dan kelangsungan kehidupan puan serta anak puan.

    Jawapan disediakan oleh peguam syarie, Shanizah Ngatiman. Hubungi 012-269 9581 atau e-mel: shanizah@faizadnan.com.