Tiara lebih diminati berbanding cucuk sanggul

Oleh Zuraini Mat Yusoff

Aksesori kepala untuk perkahwinan turut melalui proses evolusi bersesuaian dengan zaman moden

PERHIASAN diri ketika bersanding sangat penting khususnya pengantin perempuan untuk menyerlahkan kecantikan dan menaikkan seri. Umumnya, pengantin inginkan penampilan berbeza dan menonjolkan diri berbanding hari biasa kerana pada hari itu mereka sepatutnya menjadi raja sehari.

Dalam masa sehari itulah mereka ingin kelihatan cantik, pesona dan menawan pada mata tetamu yang hadir. Jadi, tidak hairanlah ada pengantin yang menghiaskan diri mereka dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Bagi pengantin perempuan khususnya, barang hiasan diri khususnya kepala amat penting kerana dengan adanya hiasan sebegitu mempelai tampak lebih berseri bersesuaian dengan hari penuh bersejarah.

Jika dulu, lazimnya hiasan rambut bagi pengantin perempuan ialah cucuk sanggul, kini penggunaan bahan berkenaan jarang diguna pakai dan diganti dengan tiara atau mahkota yang kelihatan lebih moden.

Bagi perunding perkahwinan, Che Berhah Harun, 65, berkata pemakaian tiara pada masa kini adalah bagi mengikut peredaran masa yang mana kebanyakan pengantin ingin kelihatan lebih moden berbanding cucuk sanggul yang tampak ketinggalan zaman.

“Ini zaman moden, jadi pengantin lebih suka kepada pemakaian aksesori yang menampakkan gaya kontemporari. Jadi, tidak hairanlah jika pengantin zaman sekarang lebih suka dan meminati tiara berbanding cucuk sanggul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di kediamannya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Beliau berkata, jika dulu cucuk sanggul dipakai oleh pengantin yang tidak memakai tudung kerana ia perlu dicucuk di belakang sanggul. Namun, hari ini dandanan rambut tidak lagi terhad kepada sanggup, sebaliknya pelbagai gaya dandanan diperkenalkan sebagai pilihan.

Malah, katanya, pemakaian tiara juga lebih sesuai dipakai bagi menghiasi kepala terutama pengantin bertudung..

“Perubahan waktu juga mengubah cara pemakaian barangan hiasan diri pengantin ini. Kebanyakan pengantin pada zaman sekarang sudah tidak berminat untuk menyanggul rambut lantaran itu mereka lebih suka memakai kain layah.

“Oleh itu, bila layah dikenakan cucuk sanggul tidak sesuai dikenakan lagi kerana kelihatan terlalu sarat. Namun begitu, pemakaian layah dan tiara dapat disesuaikan kerana ia akan dapat menambahkan lagi keanggunan hiasan kepala itu,” katanya.

Bagaimanapun, Berhah berkata, pemakaian tiara yang sesuai dengan tubuh badan pengantin juga amat penting untuk dititikberatkan. Bagi pasangan pengantin yang berbadan besar, tiara atau mahkota yang sesuai bagi mereka adalah tiara yang sederhana besar.

Jika mereka memakai tiara yang besar atau terlampau kecil, aksesori bagi hiasan kepala akan tampak ‘tenggelam’ dengan keadaan tubuh badan mereka.

“Rupa bentuk dan saiz tiara harus dititikberatkan oleh pengantin. Mereka tidak hanya boleh memilih tiara yang mereka inginkan, tetapi harus juga menitikberatkan saiz tiara dengan keadaan badan. Ini kerana pemakaian tiara yang tidak sesuai akan mencacatkan seluruh keayuan dan kecantikan pengantin itu,” katanya.

Selain itu, pemakaian tiara juga harus dipadankan dengan pakaian yang sesuai dengan konsep keseluruhan. Jika pengantin memilih untuk mengenakan tiara, sebaiknya mereka turut mengenakan pakaian moden busana pengantin tradisional yang diberi nafas baru. .

“Jika tiara dipakai dengan pakaian tradisional, ia kelihatan tidak seimbang kerana tiara adalah hiasan kepala moden. Pakaian tradisional sesuai dipadankan dengan hiasan kepala zaman dulu seperti cucuk sanggul.

“Keadaan rambut sama ada dilepaskan atau disanggul kelihatan lebih cantik jika diletakkan tiara ke atas rambut. Ini untuk memperlihatkan hiasan kepala itu lebih menonjol,” katanya.

Begitupun, bagi memastikan kelangsungan cucuk sanggul, ada pengeluar yang kini tampil dengan rekaan moden. Tidak lagi dicucuk di belakang sanggul rambut, sebaliknya diletakkan di atas kepala.

FAKTA TIARA

Pelbagai jenis batu permata yang digunakan seperti delima, nilam, zamrud dan berlian untuk menambahkan lagi serinya.

Tiara disesuaikan dengan tudung dan selendang panjang, persiapannya ringkas namun gaya keseluruhan membuatkan si pengantin begitu sopan dan anggun.

Sesuai untuk busana pengantin moden.

Pemakaian tiara juga sesuai bagi pengantin yang melepaskan rambut dan rambut yang disanggul.

Cucuk sanggul

Elemen aksesori klasik Melayu.

Peranan utama ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai.

Menjadi antara perhiasan diri bagi orang Melayu, Portugis, India dan Nyonya peranakan untuk mendandan rambut mereka.

Satu ketika dulu, di kalangan masyarakat yang miskin, cucuk sanggul mereka diperbuat daripada kayu atau buluh saja.

Direkabentuk daripada berbagai-bagai jenis logam seperti tembaga, perak, suasa dan emas.

Ada cucuk sanggul yang dibuat dari berlian, nilam, zamrud, delima dan mutiara, lazimnya digunakan golongan bangsawan dulu kala.

Ada tiga hingga enam batang pin berbeza ukuran, ukiran halus dan bertatah intan, manakala bertatah mutiara khas untuk upacara perkabungan.

Tinggalkan jawapan