Haram isteri minta cerai

Jun 30, 2007

SOALAN:
1. Apakah hukumnya isteri selalu meminta diceraikan. Adakah seseorang suami itu dayus jika tidak mengikut permintaannya?

JAWAPAN:

Hukumnya haram. Tidak wajar seorang isteri meminta dia diceraikan oleh suaminya. Seorang isteri yang meminta dirinya diceraikan tanpa sebarang alasan yang dibenarkan syarak adalah berdosa. Sedangkan si suami masih memberi nafkah, tempat tinggal, makan minum dan menjaga keselamatan. Jika dia seorang yang berpoligami dan berlaku adil dengan isterinya.

Isteri berhak meminta cerai jika kehidupan tidak ada kesefahaman, suami tidak melaksanakan tanggungjawab sebagi ketua keluarga. Sekiranya suami gagal bertanggungjawab dan segala bebanan rumahtangga ditanggung oleh si isteri maka tidak salah seorang isteri meminta agar dia diceraikan.

Namun yang lebih baik ialah suami isteri mesti mencari jalan penyelesaian terlebih dahulu. Sama ada berbincang dengan keluarga mertua sebelah lelaki atau berjumpa dengan kaunselor untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Islam meminta agar setiap pasangan suami isteri mencari jalan penyelesaian yang holistik yang membawa kepada pemulihan dan kemurnian rumahtangga dan bukan pula mencari jalan meruntuhkannya.

Seorang suami yang tidak mengikut permintaan isterinya untuk diceraikan tidaklah dianggap dayus. Sikap si suami bertahan dari menunaikan permintaan isterinya itu adalah demi menjaga keharmonian rumahtangga.

Jelasnya di sini hikmah Allah meletakkan kuasa talak ini di tangan suami dan bukan pula di tangan isteri. Bayangkan sahaja jika kuasa talak di tangan isteri mungkin bilangan lelaki yang menduda lebih ramai dari yang menjanda. Sebab itulah sembilan nafsu (emosi) yang ada pada orang perempuan tidak dapat mengawal perasaan, bila tertekan bertindak di luar kawalan sehingga meminta cerai.

Kesimpulannya, si isteri jangan terlalu mudah meminta dirinya diceraikan dan janganlah hendaknya si suami yang mempunyai kuasa talak bermain dengannya dengan mengugut isteri.


Dugaan seorang janda

Jun 30, 2007

SOALAN: SEJAK berpisah dengan suami dan menjadi janda, saya susah hendak bergerak dan tidak boleh keluar bebas seperti dulu kerana akan menjadi perhatian orang. Saya menjadi bahan cemuhan dan bisikan orang yang menuduh saya dengan perkara yang bukan-bukan. Bagaimana hendak menghindarkan perkara tersebut?

– Aini, Kuala Lumpur.

Jawapan: Anda memang akan menjadi buah mulut manusia lain. Ini memang tidak dapat dielakkan kerana demikianlah nasib seorang ibu yang menjadi janda, lebih-lebih lagi kalau mempunyai rupa yang cantik, sudah tentu ramai yang akan iri hati terhadap anda. Apatah lagi mereka yang mempunyai suami kerana takut suami terlepas kepada orang lain atau terpaut kepada anda. Sebab itu anda tidak perlu bimbang dan anda dinasihatkan supaya berlapang dada dan berurusan seperti biasa dengan menjaga diri dengan segala adab sopan agama dan tatasusila ketimuran yang baik dan mulia. Anda boleh bekerja seperti biasa untuk mencari sara hidup di samping memanjatkan doa kepada Allah s.w.t. dengan hati yang ikhlas. Bacalah seperti doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada bakal isterinya Maimunah (Ummu Salamah) yang menjanda disebabkan kematian suaminya, iaitu dengan kata, Allahumma ajirni pi musibati wakhlufni khairan minha bermaksud, “Tuhanku! Berikan ganjaran-Mu dalam musibah yang menimpaku dan gantikan daku apa yang terlebih baik daripadanya.” Dan akhirnya Maimunah dijodohkan dengan Rasulullah sendiri yang memang lebih baik dari suaminya yang dahulu, kerana baginda adalah manusia agung dan terpuji tidak ada sesiapa yang dapat menandinginya.

Dalam hal ini firman Allah bermaksud: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat mulia (al-Qalam ayat 4). Dan dialah manusia yang paling mulia dari segala makhluk atas itlaq tanpa pengecualian lagi termasuk Malaikat dan sesiapa sahaja. Oleh itu anda banyakkan bersabar dengan menerima ketentuan-Nya kerana itulah tugas kita sebagai hamba-Nya. Wallahualam.

Dijawab oleh YADIM.
 


Menguruskan khunsa

Jun 29, 2007

SOALAN: Mengenai khunsa, bagaimana hukum berurusan dengannya dan apabila mereka meninggal dunia, bagaimanakah hendak menguruskan jenazah mereka?

- Ismail Bajuri, Kota Kinabalu, Sabah.

——————-

Jawapan: Imam kita Nawawi telah mengatakan bahawa khunsa ada dua jenis iaitu pertama, yang ada dua alat kelamin, wanita dan lelaki, kedua, yang tidak mempunyai sebarang alat tersebut selain jalan keluar najis sahaja. Adapun khunsa jenis pertama ini dapat dikenali dengan cara kencingnya, kalau kencingnya melalui alat kelamin lelaki sahaja maka dia dikira lelaki atau sebaliknya maka dia dikira wanita. Tetapi kalau kedua-duanya berhenti serentak maka perlulah dilihat mana yang dulu keluar. Sekiranya ia bermula serentak maka dikira dengan yang paling terkemudian selesainya. Tetapi kalau yang satu alat itu terlebih dulu berfungsi maka yang dahulu itulah yang dikira dan diambil hukumnya dan kalau bersama pada kedua-duanya (keluar dan berhenti ) maka dikira termasuk dalam hukum khunsa musykil yang mempunyai hukumnya yang khusus. Begitu juga haidnya. Tetapi disyaratkan keadaan itu berulangkali berlakunya sebagaimana apa yang ditetapkan oleh Syaikhan (Nawawi dan Shafie). Adapun hukum khunsa musykil itu panduannya kenalah diambil dengan cermat dan selamat serta ditinggalkan apa yang diragui pada hak mereka, iaitu seperti hukum wanita dalam masalah masuk bilik mandi air panas, cukur kepala, bulu ari-ari, azan dan iqamat, aurat, kafan, pengurusan jenazah dan lain-lain. Manakala dalam beberapa masalah lain dia dikira seperti lelaki, iaitu dalam hukum memakai pakaian sutera, perhiasan emas dan berdiri semasa menjadi imam bagi kaum wanita di depan mereka, bukan di tengah mereka seperti imam wanita biasa kerana dikhuatiri mereka dari kalangan lelaki dan haram mengkhatankan mereka atas satu pendapat. Kita tidak harus melakukan sesuatu yang boleh menyakiti sesiapa atau mendatangkan mudarat terhadap sesiapa, kerana semata-mata berdasarkan syak sahaja, tidak harus baginya untuk beristinjak dengan batu, kerana keraguan tersebut dan tidak dapat meyakini dengan alat yang asal dari yang sampingan. Demikianlah hukum yang lain-lain lagi. Wallahualam.

~ YADIM


Sikap cerewet suami masih boleh ditangani

Jun 28, 2007

Kepincangan rumah tangga mampu diselesai menerusi perbincangan bukan ikut perasaan marah

KETIKA bercinta semuanya indah belaka. Tetapi apabila sudah berkahwin, barulah semua perangai yang buruk diketahui. Kisah suami yang cerewet khususnya mengenai hidangan dimasak isteri bukan perkara baru.

Seorang teman bercerita mengenai kakaknya yang sentiasa hidup dalam air mata, gara-gara sikap suami yang begitu cerewet apabila menjamah makanan. Pernah sekali, suami kakaknya itu membaling pinggan berisi nasi ke lantai semata-mata hidangan disediakan tidak memenuhi seleranya.

Kaunselor Perkahwinan dan Keluarga, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Saedah Abdul Ghani, berkata dalam hal ini, isteri harus memainkan peranan sebaiknya bagi menangani sikap suami yang cerewet itu.

“Perkahwinan yang membawa maksud percantuman dua insan berlainan latar belakang memerlukan pemahaman yang cukup jelas mengenai tanggungjawab suami mahupun isteri.

“Perasaan ketika bergelar pasangan kekasih tidak sama apabila sudah bergelar suami isteri, namun perasaan yang sama tidak susah untuk ditimbulkan kembali dalam alam rumah tangga jika pasangan itu mengetahui dan memahami tanggungjawab masing-masing,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berkata, sikap cerewet suami boleh diatasi jika isteri tahu kehendak dan cita rasa suami selain cuba memenuhi kehendak suami selagi tidak melanggar hukum syarak.

Bagaimanapun, katanya, ada suami yang seolah-olah tidak boleh bertolak ansur dengan kekurangan isteri dan lebih suka menyelesaikan sesuatu masalah dengan memukul, menendang dan membaling apa saja objek yang ada di tangan untuk memuaskan hati akibat daripada silap isteri yang tidak seberapa.

“Cara terbaik bagi mengatasi masalah ini ialah isteri cuba mengetahui kegemaran dan kesukaan suami agar apa yang disediakan oleh isteri dapat diterima suami. Ini boleh dilakukan sebelum mereka menempuh alam perkahwinan termasuk mendapatkan pandangan mentuanya.

“Setiap pasangan harus mendalami kegemaran dan tabiat suami sebelum mereka memulakan hidup baru bersama supaya dapat bertoleransi dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata, sikap cerewet yang timbul mungkin kerana ada pasangan yang menginginkan sesuatu dalam keadaan sempurna sedangkan manusia dijadikan Allah penuh dengan kekurangan.

Justeru, katanya, apabila kesempurnaan yang dicari tidak ditemui, maka perasaan itu akan timbul dalam diri. Jadi tidak hairanlah ada segelintir suami yang memilih dan tidak boleh menerima kekurangan yang terjadi dalam rumah tangga mereka.

“Faktor yang mendorong timbulnya sikap cerewet ini mungkin disebabkan oleh keturunan dan persekitaran serta pergaulan. Mungkin ada di kalangan ahli keluarga si suami yang bersikap cerewet, jadi sikap ini menular kepada ahli keluarganya yang lain.

“Mungkin juga kerana didikan ibu bapanya yang terlalu menginginkan kesempurnaan bagi keluarganya. Ekoran itu, sifat yang terlalu menginginkan kesempurnaan ini akan terus dibawa oleh anak mereka sehingga mereka mendirikan rumah tangga. Malah, pergaulan juga membawa kepada sikap cerewet ini,” katanya.

Kekurangan yang timbul dalam rumah tangga inilah yang mendatangkan kepada perbalahan serius serta boleh merebak menjadi berpanjangan dan memakan masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Justeru, bagi mewujudkan keluarga yang bahagia sikap memahami antara satu sama lain amat penting. Bagi mengelakkan masalah seumpama itu, perbincangan harus ada antara mereka.

Beliau berkata, setiap masalah boleh diselesaikan jika pasangan itu berbincang dan tidak menyalahkan satu sama lain yang mungkin boleh mengeruhkan keadaan.

“Setiap masalah ada penyelesaiannya cuma ia bergantung kepada pasangan itu sama ada ingin menyelesaikan dengan cara baik atau sebaliknya. Namun, bagi menyelamatkan hubungan rumah tangga yang dibina, setiap pasangan harus mencari jalan penyelesaian yang tidak membawa kepada kehancuran dan keretakan rumah tangga.

“Sebaliknya lebih kepada perbincangan dan tolak ansur antara satu sama lain. Sifat berani kerana benar harus ada dalam diri isteri khususnya agar mereka dapat membela diri sendiri,” katanya.

 


Dilema lelaki hadapi kerenah pasangan suka mengongkong

Jun 28, 2007

HAMPIR setiap setengah jam telefon bimbit berbunyi. Tidak cukup menelefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) turut disertakan semata-mata inginkan kepastian serta maklumat terperinci mengenai lokasi dan sebarang aktiviti yang sedang dilakukan pasangan. Sampai begitu sekali untuk membuktikan perhatian dan kasih sayang?

Senario di atas nampak seakan remeh, tetapi itu antara sebahagian daripada adegan biasa yang berlaku di kalangan lelaki bila memiliki pasangan yang suka mengongkong. Mungkin bagi yang sudah berumah tangga itu dianggap sebagai ‘adat resam’ hubungan suami isteri, tetapi sebaliknya sekiranya sikap sebegitu dialami sebelum bergelar pasangan suami isteri.

Alamatnya, faham-faham sajalah dilema mereka kelak bila sudah berumah tangga dengan wanita yang suka mengongkong. Bukan sekadar terlalu ingin mengambil tahu perihal peribadi lelaki, sikap mengongkong wanita kadangkala membuatkan mereka juga ingin menguasai dan mengetahui setiap yang dilakukan pasangan.

Lebih parah lagi bila semua tindak tanduk lelaki ingin ditentukan termasuk menentukan warna pakaian, jenis kenderaan yang sesuai untuk mereka bersama kelak, kediaman yang selesa untuk dirinya sehinggalah kepada faktor sekeliling seperti teman yang boleh dibuat kawan atau tidak.

Mungkin sikap sebegitu dirasakan wanita sebagai pelengkap kepada perhatian dan bukti perhatian terhadap pasangannya, tetapi sekiranya segala aktiviti harus dilaporkan, selain harus mengikut setiap telunjuk mereka, apakah itu dikira langkah terbaik untuk kedua-dua pihak?

Perunding motivasi dan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Prof Madya Md Izuddin Ali, berkata pada dasarnya lelaki tidak akan berasa tertekan dan bosan berhadapan dengan pasangan yang mengongkong pada awal perhubungan.

Tetapi, katanya, jika keadaan itu berterusan lelaki akan mulai jemu dan tidak menghairankan bila mereka memilih untuk mencari pasangan lain.

Beliau berkata, wanita tidak harus bersikap terlalu mengongkong, apatah lagi pada awal sesuatu perhubungan bagi mengelak sebarang krisis yang boleh mengakibatkan perhubungan yang baru menjadi hambar dan mencetuskan perbalahan akibat terlalu mengongkong.

Katanya, walaupun lelaki jarang menunjukkan sikap kurang senang dengan tindakan wanita yang suka mengongkong, pada dasarnya mereka berasa rimas dan kurang senang dengan perawakan wanita sebegitu.

Apatah lagi, bila sudah mendirikan rumah tangga yang i mana setiap pergerakan suami ingin diketahui isteri sehingga pada tahap yang tidak sepatutnya.

“Akibatnya, suami lebih mudah berasa tertekan apabila sering diajukan pelbagai pertanyaan yang menjurus kepada perbalahan. Lebih-lebih lagi bila suami pulang lewat ke rumah, mulalah pertanyaan demi pertanyaan disasarkan kepada suami yang sebenarnya boleh mengundang parah daripada segi perhubungan suami isteri.

“Tidak salah sekiranya wanita ingin mengambil berat perihal pasangannya, tetapi biarlah kena dengan caranya. Lelaki lebih selesa sekiranya didekati dengan cara berhemat serta melalui pendapat bukannya soal jawab,” katanya yang begitu dikenali sebagai perunding motivasi di stesen radio popular, Hot FM.

Md Izuddin tidak menolak faktor takut kehilangan pasangan menyebabkan seseorang wanita itu bersikap mengongkong, walaupun sedar perbuatannya itu tidak digemari.

Katanya, faktor lain yang memungkinkan wanita berkelakuan sebegitu ialah kerana ingin menunjukkan kehebatan mereka dalam menguasai lelaki. Lebih-lebih lagi, jika segala telunjuk dan permintaan mereka dituruti.

“Boleh jadi juga wanita yang mengongkong ini tidak yakin pada dirinya, apatah lagi sekiranya pasangan mereka mempunyai kelebihan umpamanya kacak dan mempunyai personaliti menarik yang mungkin ditakuti.

“Justeru, dengan tindakan mengongkong, wanita itu akan berasa lebih selamat bagi memastikan lelaki itu kekal menjadi miliknya,” katanya.

Bagaimanapun, Md Izuddin tidak menolak ada juga lelaki yang gemar mengongkong wanita. Tetapi kebiasaannya faktor itu hanya berlaku dalam perhubungan percintaan semata-mata.

Mengulas lanjut senario itu, beliau berkata, sesuatu yang umum bagi lelaki bersikap mengambil tahu setiap perkara yang dilakukan pasangan apatah lagi sekiranya masing-masing belum berkahwin, sebaliknya faktor mengongkong itu hampir pasti semakin pudar bila sudah mendirikan rumah tangga.

Katanya, faktor sudah memiliki dan ‘menguasai’ pasangan sebagai isteri menyebabkan lelaki kurang bersikap mengongkong, sebaliknya berbeza pula dengan wanita yang sudah bergelar isteri.

“Mungkin ketika zaman bujang lelaki risau pasangan mereka disunting lelaki lain, tetapi bila sudah mendirikan rumah tangga, tentu perasaan sebegitu tidak lagi membelenggu jiwa lelaki. Tetapi wanita pula semakin merasa gelisah kerana lelaki pada dasarnya masih boleh memasang dua, tiga dan empat isteri.

“Kelakuan suami memang harus dipantau, tetapi usahlah isteri terlalu mengongkong secara keterlaluan hingga menyekat kebebasan pasangan mereka sehinggakan ada yang campur urusan kerja dan hubungan sekeliling suami. Tidak harus menyekat kebebasan sehingga diri sendiri menentukan siapa yang harus suami berkawan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya sikap mengongkong tidak dibendung lebih awal, lambat laun ia boleh memakan diri terutama bagi mereka yang gemar bersikap berdiam diri. Faktor berdiam diri memungkinkan seseorang itu akan bertindak lebih teruk sekiranya kemarahan sudah tidak dapat dibendung.

“Lelaki lebih banyak memendam perasaan bila berhadapan dengan wanita yang suka mengongkong. Mungkin sesekali boleh diterima, tetapi buruk akibatnya bila hati sudah tidak tahan diperlakukan sedemikian yang boleh menyebabkan perkelahian dan merenggangkan hubungan,” katanya yang tidak mahu menyalah atau menuding jari sepenuhnya ke atas wanita yang mengongkong kerana sikap lelaki sendiri kadangkala membuatkan wanita ragu dan keliru.

Bagaimana pula bila kedua pasangan mengongkong sesama sendiri?

Kata Md Izuddin, adalah sesuatu yang tidak elok dalam perhubungan sekiranya kedua pasangan menuding jari dan mengongkong sesama sendiri. Mengumpamakan perhubungan itu seperti tenaga negatif yang menyatu, masing-masing cuma mencari kelemahan pasangan selain bertanyakan pelbagai persoalan yang boleh mengakibatkan hubungan menjadi retak.

“Sebagai contoh, bila isteri tidak membenarkan suami bersama teman mengikuti aktiviti golf, suami pula tentunya inginkan keadilan termasuk mengenakan syarat sama dengan menyekat isteri bergaul dengan rakan wanita yang sibuk berpersatuan umpamanya.

“Bila keadaan sebegini berlarutan, lambat laun ia hanya akan mencetuskan perbalahan dan tidak mustahil mengakibatkan perpisahan sebagai jalan terakhir mengakhiri konflik perbalahan,” katanya.

Justeru, Md Izuddin menasihatkan mereka yang mengongkong supaya melihat sikap diri sendiri sebelum bertindak mengongkong pasangan.

Hakikatnya, terlalu sukar untuk menilai bentuk perhubungan seseorang daripada segi luarannya. Mungkin ada di antara mereka suka dengan cabaran dalam sesuatu perhubungan. Maka, api cemburu, saling mengongkong dan panas baran dirasakan menguatkan lagi ikatan kasih sayang.

Lain padang lain belalang, lain orang lain ragam!

5 Faktor wanita mengongkong:

  • Kurang keyakinan diri
  • Takut kehilangan orang yang disayangi
  • Takut pada bayang-bayang sendiri
  • Pengalaman kekasih curang sebelum ini
  • Ingin menguasai perhubungan

    5 Cara memenangi hati lelaki:

  • Jangan sering memaksa
  • Memahami dirinya
  • Menerima baik buruk sikapnya
  • Memuji dan menyokong kejayaannya
  • Hindari perasaan cemburu, mengumpat dan kebudak-budakan