Epidural kurangkan sakit bersalin

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

SAKIT bersalin memang sukar digambarkan. Hanya yang pernah merasa sahaja tahu bagaimana peritnya bersalin. Kalau sakit gigi itu sakit, maka sakit wanita bersalin lebih dari itu.

Sesetengah yang lain pula mengandaikan sakit senggugut cuma 1:10 sakit bersalin. Tuhan sahaja yang tahu. Patutlah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Kalaulah orang lelaki tahu macam mana sakit bersalin, alamatnya, semua pasangan suami isteri di dunia ini hanya punya anak seorang sahajalah…

Kenyataan ini turut diakui oleh Pakar Bius, Pusat Perubatan Kampung Bharu (KBMC), Dr. Farahah Osman yang menyifatkan kesakitan ketika melahirkan sebagai satu proses yang amat menyakitkan terutama bagi yang menimang cahaya mata pertama.

‘‘Malah, ia boleh menyebabkan tekanan emosi kepada ibu-ibu ditambah pula dengan pengalaman yang sering dikongsi oleh mereka yang pernah melalui proses melahirkan anak, sering kali dibayangi dengan cerita-cerita cemas yang mendebarkan serta mengerikan.

‘‘Bagi sesetengah wanita, pengalaman itu memungkinkan mereka berasa serik atau fobia untuk mengandung lagi,’’ ujar beliau.

Bagaimanapun, zaman di mana wanita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjerit kesakitan tanpa sebarang bantuan ubat-ubatan penahan sakit bersalin, telah lama berlalu.

Kini, teknik-teknik pengurusan kesakitan seperti yang paling popular, epidural, mampu menukar pengalaman menyakitkan menjadi lebih tenang dan terkawal, malah selesa.

Menurut Dr. Farahah, kaedah epidural adalah salah satu teknik pembiusan sama ada untuk mengurangkan kesakitan (analgesia) atau untuk kegunaan semasa pembedahan (anestesia).

‘‘Kaedah epidural ini merupakan pembiusan separuh badan. Dalam kaedah ini, pesakit akan sedar dan teknik untuk membius ialah dengan memasukkan ubat bius setempat ke kawasan epidural pada bahagian tulang belakang.

‘‘Ubat bius ini akan merebak dan akan menyekat saraf kesakitan daripada berfungsi. Kesannya rangsangan kesakitan tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan. Prosedur ini hanya dilakukan oleh pakar bius,’’ jelasnya.

Kawasan epidural merupakan lapisan sebelum ruang spinal. Akar saraf yang keluar dari saraf tunjang berada di lapisan ini.

Mengulas lanjut, apabila ubat bius setempat dimasukkan ke kawasan ini melalui kateter yang halus, ia akan membasahi akar saraf ini menyebabkan pembiusan yang efektif.

‘‘Kelebihannya adalah ia boleh diberikan secara berterusan selagi kateter itu tidak dikeluarkan atau tidak beralih.

‘‘Epidural menjadi cara pembiusan yang sangat sesuai untuk digunakan dalam kes pembedahan yang mengambil masa lama dan juga untuk menahan kesakitan ketika bersalin,’’ kata Dr. Farahah.

Selepas pembedahan, kateter ini masih boleh ditinggalkan selama mana yang perlu sebagai kaedah mengurangkan kesakitan selepas pembedahan.

Kegunaan epidural

1. Mengurangkan kesakitan semasa bersalin.

2. Teknik pembiusan untuk pembedahan seperti cesarean, pembedahan ortopedik (misalnya gantian sendi lutut/pinggul), pembedahan urologi (misalnya prostat, pundi kencing, batu karang di saluran kencing dan lain-lain), pembedahan ginekologi (sakit puan) seperti histerektomi dan pembedahan vaskular.

3. Teknik gabungan dengan pembiusan penuh sebagai penahan kesakitan semasa pembedahan dan selepas pembedahan seperti pembedahan usus.

4. Mengurangkan kesakitan akut seperti patah rusuk dan kesakitan kronik seperti kanser/paliatif.

Secara praktikalnya, untuk tujuan pembedahan, ada dua lagi teknik pembiusan separuh yang lebih kerap digunakan iaitu kaedah spinal dan gabungan epidural bersama spinal (CSE).

‘‘Biasanya kaedah spinal digunakan untuk pembedahan yang agak singkat (1 ke 2 jam) dan kelebihannya adalah dari segi kesan yang lebih cepat dan efektif.

‘‘Sementara itu, teknik CSE digunakan apabila pembedahan mengambil masa yang lebih lama dan pesakit mendapat analgesia selepas pembedahan,’’ kata Dr. Farahah.

Dari segi teknik pembiusan adalah lebih kurang sama. Perbezaan adalah dari segi saiz dan jenis jarum dan kaedah spinal adalah tanpa dimasukkan kateter.

Kesan kesakitan bersalin terhadap ibu dan anak

Dr. Farahah memberitahu, kesakitan semasa bersalin jika tidak dikawal boleh juga mengakibatkan tekanan darah dan nadi pesakit meningkat.

‘‘Ini berlaku ekoran rembesan hormon- hormon seperti adrenalin secara berlebihan ke dalam darah pesakit. Apabila tekanan darah ibu meningkat, ia mengakibatkan bekalan darah ke uri dan ke badan anak dalam kandungan berkurangan.

‘‘Ibu-ibu juga akan bernafas dengan pantas disebabkan oleh kesakitan tadi seterusnya mengakibatkan dehidrasi (kekurangan air dalam badan) dan alkalosis kepada bayi yang boleh membahayakan ibu dan bayi di dalam kandungan,’’ kata beliau.

Masalah ini, tambahnya, lebih membahayakan kepada ibu-ibu yang menghadapi masalah tekanan darah tinggi ketika hamil atau mengalami masalah jantung.

Bagi menangani masalah ini, kaedah pembiusan epidural diperkenalkan di mana ia adalah teknik yang paling berkesan dan selamat berbanding kaedah konvensional lain seperti suntikan ubat penahan sakit, gas entonox dan sebagainya.

‘‘Dengan kaedah epidural ini, rangsangan kesakitan daripada rahim yang mengecut tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan.

‘‘Proses pembiusan ini mengambil masa yang singkat dan kesannya dapat dirasai dalam tempoh beberapa minit sahaja (10 hingga 20 minit), bergantung kepada jenis ubat bius yang digunakan dan dos ubat tersebut,’’ jelas Dr. Farahah.

Ubat bius ini akan dialirkan secara berterusan melalui kateter yang dimasukkan tadi dan kesannya dapat bertahan selama yang diperlukan iaitu sehingga proses kelahiran selesai.

Katanya lagi: ‘‘Satu lagi kelebihan pembiusan epidural adalah, ia juga dapat digunakan untuk pembiusan setempat semasa melakukan pembedahan cesarean bagi ibu-ibu yang tidak dapat melahirkan anak secara normal di mana, ubat yang lebih tinggi dosnya diberikan melalui kateter yang sama. Jadi ibu-ibu tidak perlu diberikan suntikan bius untuk kali kedua.

‘‘Selain itu, dengan kaedah epidural, pesakit akan dapat melihat, menyentuh dan mendengar tangisan bayi sebaik sahaja zuriat itu dilahirkan dan ibu-ibu juga dapat terus menyusukan mereka sebaik sahaja dilahirkan. Ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang di antara ibu dan anak.’’

Kaedah ini juga, kata Dr. Farahah, amat digalakkan untuk ibu-ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi atau praeklamsia dan juga penyakit jantung.

Sebelum kaedah epidural diberikan, pakar bius akan memastikan tiada halangan atau kontraindikasi untuk kaedah ini contohnya masalah pembekuan darah, infeksi di tempat bius atau dalam darah, tekanan darah rendah dan sebagainya.

Kesan pembiusan epidural kepada ibu

Biasanya kesan-kesan sampingan ini mudah diatasi dan tidak berbahaya seperti terketar-ketar, mengantuk, sakit belakang, sakit kepala, loya (dapat dikurangkan dengan ubat penahan muntah) dan tekanan darah menurun (boleh dielakkan dengan pemberian cecair melalui infusi sebelum prosedur dimulakan dan diteruskan ketika penggunaan epidural).

Salah tanggapan epidural dengan sakit pinggang atau belakang

Jika epidural dilakukan dengan mudah dan tiada komplikasi, kesan sampingan jangka masa panjang adalah sangat minimum.

‘‘Apa yang sering diperkatakan adalah sakit belakang yang terjadi selepas epidural sehingga dapat dirasai beberapa tahun selepasnya.

‘‘Kajian terbaru yang dijalankan oleh hospital-hospital luar negara menunjukkan risiko mendapat sakit belakang selepas epidural sama seperti risiko bagi wanita yang bersalin tanpa epidural.

‘‘Oleh itu, masalah sakit belakang ini berpunca ketika mengandung lagi, dan tidak berkait dengan kesan berpanjangan dari teknik epidural,’’ terang Dr. Farahah sambil menambah, walaupun sakit belakang dirasai selepas epidural, ia adalah sementara saja dan akan pulih seperti biasa.

Pening?

Dr. Farahah menjelaskan, pening boleh berlaku sekiranya cecair spinal terkeluar semasa melakukan epidural iaitu apabila lapisan dura tercucuk oleh jarum epidural.

‘‘Ini boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk, lebih-lebih lagi bila ada pertukaran posisi disebabkan oleh tekanan cecair dalam otak yang berkurangan.

‘‘Ia biasanya pulih dengan sendirinya dan dengan mengambil minuman berkafein, tetapi dalam kes lebih serius, cara yang dilakukan adalah dengan memasukkan sedikit darah ke kawasan ini seolah-olah untuk menampal tempat yang luka itu,’’ ujar beliau.

Komplikasi ini dapat dikurangkan sekiranya pesakit dapat memberikan kerjasama yang baik semasa prosedur dijalankan, juga bergantung kepada kepakaran atau pengalaman doktor yang melakukannya.

Kesimpulannya

* Sakit adalah sebahagian proses bersalin

* Reaksi kepada kesakitan adalah berbeza-beza bergantung kepada pengalaman, pelajaran dan ketahanan mental ibu-ibu

* Epidural adalah cara yang konsisten berkesan dengan kesan sampingan yang minimum kepada ibu dan bayi

* Setiap ibu berhak menggunakan kaedah epidural

* Berbincanglah dengan pakar sakit puan dan pakar bius untuk mendapatkan apa yang terbaik untuk anda dan bayi anda.

4 Responses to Epidural kurangkan sakit bersalin

  1. Maskiyah Hj Abdullah berkata:

    apa kesan pada baby sekiranya kita mengambil suntikan epidural ini??
    adakah kita merasa kesakitan semasa proses suntikan epidural ini??

  2. idah berkata:

    nak tanya jer..kalu di beri peluang mana yang paling sakit dan senang.sakit bersalin semasa pembedahan atau normal.masalahnya saya mengalami masalah uri di bawah.ada sape2 leh syer pendapat

  3. NORSURIATI MOHD YUSSOF berkata:

    Masalah saya,

    saya baru melahirkan anak kedua kaedah pembedahan dan masalahnya saya sering mengalami sakit pingang dan saya tidak tahu apa puncanya. Adakah ia berpunca dari kesan sampingan pembedahan yang lalu?

  4. Nurain syafina berkata:

    Sy nk tanya.betul masa sy bsalin ank 1 mgambl epidural,da 1thn sy aSyk sakit belakang.sehnga bjalan jauh skit,mesti sakit blakang.knp ek?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 351 other followers

%d bloggers like this: