Menyambut Kelahiran Bayi

Oleh DR. AMRAN KASIMIN

SOALAN:

Membacakan azan dan qamat di telinga bayi yang baru dilahirkan itu jelas hukumnya. Tetapi yang menjadi kekeliruan ialah memasukkan sesuatu yang manis seperti kurma ataupun madu dalam mulut ataupun lelangit bayi yang dianggap sebagai khurafat dan bidaah, tidak ada dalam ajaran Islam, malah ia dikatakan sebagai salah satu daripada pengaruh ajaran Hindu – Buddha.

- Hasnah, Cheras

————————–

JAWAPAN:

Seperti yang dijelaskan oleh Coedes, G dalam satu artikel bertajuk Soma Problem in the Ancient History of the Hindunized States of South-East, vol. v, 1964, muka surat 3 menyatakan bahawa Semenanjung Tanah Melayu pada abad yang keempat telah menyerapkan sebahagian besar tamadun yang didatangkan dari benua India.

Kesan kegiatan para pedagang dan pengembang agama yang didatangkan dari India itu menyebabkan orang Melayu menganut sama ada agama Hindu atau Buddha. Penyebaran pengaruh ini kemudiannya disebarkan oleh penduduk tempatan yang terlibat dalam pergerakan agama dari India tadi, dan mengikut adat resam benua India.

Banyak teori telah dikemukakan berkaitan dengan penyebaran pengaruh India di Semenanjung Tanah Melayu. Teori yang paling menonjol ialah bahawa Semenanjung Tanah Melayu telah diindiakan oleh agama Buddha dan para pengembang agama yang turut bersama mengikut pedagang India, manakala penyebaran budaya India pula dipercayai akibat kepesatan kegiatan perdagangan India dalam lima abad pertama era Kristian.

Perkahwinan antara orang India dengan penduduk tempatan juga boleh dianggap sebagai faktor penyebaran pengaruh India di Semenanjung Tanah Melayu. Apabila orang India berkahwin dengan perempuan tempatan, keluarga mereka boleh jadi merupakan kumpulan pertama yang menerima agama Hindu dan memainkan peranan penting dalam penyebaran adat resam dan budaya tersebut di kawasan tempat tinggal mereka.

Proses ini yang dibantu oleh martabat pedagang India, unsur luar biasa yang berjaya mereka perlihatkan, kepentingan ritual, kuasa luar biasa dan tamadun India mempunyai pengaruh yang mendalam di kalangan raja dan kelas pemerintah.

Menurut Winstedt, tamadun India adalah lebih efisien dan lebih dinamis dari tamadun penduduk tempatan. Oleh itu Hinduisme dan Buddhisme lebih diminati daripada animisme bila kepercayaan keagamaan terawal yang mereka anuti.

Mengenai tamadun yang didatangkan dari India ini, Ryan N.J dalam bukunya bertajuk The Cultural Heritage of Malaya, 1971 muka surat 10 menyatakan, “Malaya was indebted from about 300 A.D. onwards to what was derived more directly from the Coromandel coast of India – a civilization that was basically Hindu but included both Bahmanistic and Buddhistic elements.”

Kesan ataupun pengaruh tamadun India, seperti yang dinyatakan oleh Burling dalam bukunya bertajuk Hill Farms and Padi Field in Mainland South-East Asia, 1965, muka surat 67 menyatakan bahawa adalah benar tamadun India telah dimanifestasikan keseluruhannya di istana dan amat sedikit diketahui oleh rakyat jelata. Walau bagaimanapun tidak dapat diragukan lagi bahawa ‘many inhabitants – Malay by race – became Hindus of Buddhist.’

Konsep raja dari sudut pandangan Hindu membuat golongan pemerintah bersedia meniru cara hidup golongan India yang dianggap istimewa. Untuk memperluas kedudukannya, golongan Brahmin telah dibawa dari India dan diupah untuk menyediakan pelbagai ritual yang istimewa bagi mereka dan mempelbagaikan lagi upacara istana. Oleh itu pemikiran India menjadi teguh di istana masa lalu kerana ia membuatkan kedudukan raja menjadi lebih penting, lebih tinggi, lebih berkuasa dan berdaulat.

Setelah Islam datang dan berjaya menakluki sebahagian besar daripada pegangan agama penduduk tempatan, kepercayaan dan pengaruh animisme, yang telah tertanam sebati dalam kehidupan orang Melayu, yang kemudiannya diperkuat juga ditambah oleh pelbagai kepercayaan dan pengaruh Hindu-Buddha itu tetap diamalkan oleh sebahagian besar orang Melayu.

Upacara

Di kalangan orang Hindu, upacara membelah mulut seperti yang saudara timbulkan adalah salah satu upacara penyucian diri (sankaras) yang dinamakan jata-karman, di mana madu dan mentega digunakan. Sebahagian kecil campuran ini dimasukkan ke dalam mulut bayi yang baru lahir dan satu rangkap ayat daripada Rig-Veda dibaca berulang kali. Menurut Ja’afar Shaif, dalam bukunya bertajuk Islam in India, 1921 muka surat 24-25, upacara ini masih dijalankan oleh orang India Islam di India, tetapi sudah tentunya tidak menggunakan rangkap ayat daripada Rig-Veda.

Upacara penyucian (sankaras) lain yang dilakukan oleh orang Hindu ialah upacara mencukur jambul bayi yang dinamakan tonsure, cula-karma, kesanta, ksyaura (mencukur dan menggunting rambut), di mana ia dilakukan pada tahun yang ketiga daripada kelahiran. Kadang-kadang ia diadakan pada tahun yang ketujuh atau kelapan selepas bersalin. Menurut Ja’afar Sharif, upacara ini masih dijalankan oleh orang Islam di India.

Menurut sejarah, jelas terbukti bahawa pengaruh Hindu-Buddha itu begitu menebal dalam budaya hidup orang Melayu, biarpun sebahagian daripada amalan pelbagai upacara, dan adat istiadat itu tidak difahami keperluannya mengapa ia dilakukan. Tidak dinafikan juga bahawa upacara membelah mulut bayi yang dilakukan dalam masyarakat Melayu itu adalah hasil daripada pengaruh Hindu berdasarkan kepada fakta sejarah, juga berdasarkan kepada latar belakang pemahaman orang Melayu terhadap Islam yang berlaku tidak menyeluruh.

Walaupun demikian, perlu difahami bahawa amalan seperti memasukkan sesuatu yang manis seperti kurma yang diistilahkan sebagai tahnik memang wujud dalam syariat- Islam.

Dalam sebuah hadis, Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Musa, katanya: “Telah dilahirkan untukku seorang bayi lelaki, lalu aku membawanya kepada Rasulullah lalu baginda menamakannya Ibrahim. Baginda telah mentahnik bayi berkenaan dengan sebiji tamar. Baginda mendoakan keberkatan untuknya kemudian menyerahkan kembali akan dia kepadaku. Bayi ini adalah anak sulung Abu Musa.”

Tahnik yang dimaksudkan ialah dengan mengunyah buah kurma dan menyuapkannya ke mulut bayi.

Al-Bukhari dan Muslim telah meriwayatkan daripada Asma’, katanya, dia telah mengandungkan Abdullah bin Az-Zubair di Mekah. “Aku telah keluar dari Mekah dalam keadaan sarat, lalu datang ke Madinah dan bersalin di Quba”. Kemudian aku membawanya kepada Rasulullah, lalu baginda meletakkan bayi tadi di pangkuannya. Kemudian baginda meminta sebiji kurma, lalu memamahnya dan meludahkannya ke dalam mulut bayi tadi. Maka yang mula-mula sekali masuk ke dalam rongga Abdullah ialah ludah Rasulullah kemudian baginda menyuapkan ke mulut Abdullah buah tamar yang telah dimamah tadi. Setelah itu baginda mendoakan keberkatan ke atasnya.’ Abdullah adalah bayi yang pertama sekali dilahirkan dalam Islam. Orang-orang Islam sangat gembira dengan kelahirannya, kerana telah dikatakan bahawa orang-orang Yahudi telah menyihir kamu, kerana itu kamu tidak akan mendapat anak.

Dalam sebuah hadis lain pula Imam Muslim meriwayatkan daripada Aishah katanya: Bahawasanya telah dibawa kepada Rasulullah beberapa bayi lalu baginda mendoakan keberkatan untuk mereka, dan melakukan tahnik untuk mereka.

Islam meletakkan budaya hidup yang berkaitan kelahiran bayi dengan jelas, yang dapat dibuktikan menurut perlakuan Rasulullah, juga para sahabat yang perlu diikuti setiap individu yang mengaku dirinya Islam dengan penuh penghayatan.

Ketika Fatimah binti Muhammad hampir bersalin, baginda telah menyuruh Ummu Salamah dan Zainab binti Jahsy datang menemui Fatimah. Mereka berdua membaca ayat al-Kursi dan ayat inna rabbakumu’llah hingga akhir ayat, juga membaca surah Qul a’udhubi rabbi ‘l-Falaq dan Qul a’udhubi rabbi ‘ n-nas.

Rasulullah mengajar agar setiap bayi yang baru dilahirkan diazan di telinga kanannya dan qamat di telinga kiri. Begitu juga dengan syariat yang telah ditetapkan agar rambut bayi itu dicukur, kemudian rambut tadi ditimbang dan dinilai dengan nilai emas atau perak berdasarkan berat rambut tadi untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Begitu juga dengan akikah yang disunatkan untuk dilakukan.

Islam adalah agama unggul, agama samawi yang diturunkan bersamanya kitab, al-Quran. Apabila seseorang itu mengaku yang Islam itu sebagai anutannya, individu berkenaan mesti berpegang kepada dua sandaran hukum utama iaitu al-Quran dan hadis dengan penuh keyakinan.

Perlu dijelaskan bahawa keyakinan seperti ini sukar diperoleh sekiranya seseorang itu hidup semata-mata berpegang kepada adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat, menyebabkan timbulnya kecelaruan, tidak berupaya membezakan antara adat dan agama, yang akhirnya berpegang teguh kepada ungkapan, ‘Hidup dikandung adat, mati dikandung tanah’.

Satu perumpamaan yang menggambarkan seolah-olah mati bererti kehancuran jasad akibat ditelan tanah, tanpa menyedari wujudnya satu kehidupan yang hakiki di akhirat kelak, seperti yang tersurat dalam Rukun Iman.

Islam memberi panduan, seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis, bahawa apabila seseorang itu mendapat cahaya mata dia hendaklah diazankan pada telinga kanannya dan diqamatkan pada telinga kiri. Dengan berbuat demikian, insya-Allah, kumpulan syaitan yang dinamakan “ummu as-sibyan” tidak akan memberi mudarat bayi berkenaan, iaitu tidak mengganggunya.

Disunatkan juga supaya melakukan amalan ‘at-tahniq’ seperti saudara kemukakan dalam permasalahan ini.

Perkara lain ialah mencukur rambut bayi, di mana rambut cukuran itu hendaklah ditimbang, dan dinilai dengan nilai emas bagi mereka yang kaya, dan nilai perak bagi yang kurang kaya. Nilai tersebut hendaklah disedekahkan kepada fakir miskin. Apa yang berlaku sekarang, amalan seperti ini terlalu jarang dilakukan, diganti dengan amalan mencukur jambul yang disertai dengan bacaan berzanji dan berselawat. Amalan lain ialah melakukan akikah di mana ia masih banyak dilakukan sehingga sekarang ini.

2 Responses to Menyambut Kelahiran Bayi

  1. yani berkata:

    apakah perbezaan dari aspek perkahwinan dan kematian masyarakat india muslim di india dan masyarakat india muslim di malaysia?

  2. yani berkata:

    maaf jika soalan ini melencong dari tajuk yang dikemukan..:)

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 343 other followers

%d bloggers like this: