Komunikasi eratkan hubungan keluarga

Oleh Hafizan Hamzah

IBU bapa mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam pembentukan integriti keluarga serta masyarakat. Didikan di rumah, selain pendedahan pada peringkat sekolah dan amalan sifat murni menjadi nadi kepada peribadi seorang individu mempunyai sahsiah diri yang tinggi.

Dalam hubungan ini, ibu bapa disaran mengenali aspek personaliti anak sejak kecil, sekali gus membantu mencari peluang dan potensi mereka untuk berjaya. Perubahan persekitaran yang begitu pantas dalam era globalisasi, mendidik anak kini menjadi cabaran bagi ibu bapa.

Oleh itu, hubungan antara ibu bapa dan anak harus diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencapai matlamat pengukuhan integriti dalam keluarga. Antaranya, meluangkan lebih banyak masa yang berkualiti bersama anak dan ahli keluarga bagi menjamin kerukunan rumah tangga.

Kaunselor Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan, Sabaram Naidu, berkata peranan dan tanggungjawab mendidik anak seharusnya dipikul bersama antara suami isteri dan bukan satu pihak.

“Ibu bapa perlu selalu meluangkan masa untuk anak dan bertukar peranan mengikut situasi seperti menjadi rakan baik terhadap pasangan dan anak dengan mendengar luahan serta berkongsi cerita.

“Kasih sayang juga perlu diberi tanpa rasa berbelah bagi ataupun dengan syarat tertentu. Pada masa sama, kasih sayang perlu ditunjukkan dengan cara menyatakan rasa cinta, rindu dan sayang terhadap keluarga,” katanya pada kursus bersiri Pembangunan Keluarga ‘Pengukuhan Integriti Keluarga’ anjuran LPPKN, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sabaram berkata, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak. Peluang mendekati dan memahami anak akan membuatkan si kecil merasa dekat dan mendapat sokongan emosi daripada ibu bapa.

“Ibu bapa perlu mengawal emosi apabila berdepan dengan kerenah anak. Jika ibu bapa ada membuat kesalahan, tidak perlu malu untuk mengaku kesilapan dan memohon maaf.

“Sikap begitu memberi peluang kepada anak untuk mencontohi sifat terpuji dan mereka akan berasa bangga mempunyai ibu bapa sedemikian,” katanya.

Proses tumbesaran anak dari segi emosi dan fizikal juga menyebabkan ibu bapa perlu bersedia dan peka terhadap perubahan tingkah laku mereka.

“Apabila anak membesar, beri peluang kepada mereka untuk buktikan dirinya sudah dewasa. Selain itu, nyatakan isi hati dan harapan kita pada mereka secara jelas dan minta pandangan supaya berlaku komunikasi yang berkesan,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Lihana Borhan, berkata integriti dalam komunikasi keluarga sangat mementingkan kejujuran dan keterbukaan.

“Ada dua jenis komunikasi iaitu komunikasi instrumen dan berkesan yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat pengukuhan integriti keluarga.

“Komunikasi berkesan bermaksud proses penyampaian maklumat daripada seorang ke seorang yang lain supaya diterima dan difahami,” katanya.

Dr Lihana berkata, komunikasi yang berkesan juga mempunyai gangguan yang menghalang penyampaian mesej dalam wahana komunikasi dan perbezaan tafsiran individu itu sendiri.

“Dalam hubungan keluarga, komunikasi antara ibu bapa dan anak perlu diucapkan dengan jelas dan mengkhusus supaya tidak berlaku salah faham dan kekeliruan pada mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Dr Lihana berkata, dalam komunikasi perlu ada cara mendengar yang aktif iaitu bukan saja mendengar pada lisan tapi melihat pada komunikasi bukan lisan dan tanda yang diguna oleh pengucap.

“Ada kalanya anak kecil suka bercerita sesuatu perkara dengan panjang lebar. Sebagai ibu bapa kita perlu mendengar dan jangan potong percakapan mereka sebaliknya beri galakan seperti dengan menganggukkan kepala,” katanya.

Integriti dalam komunikasi juga mementingkan aspek lain iaitu kebolehpercayaan, berprinsip dan integriti dalam mesej yang bermaksud mesej itu sampai kepada penerima secara tersurat dan tersirat.

Beliau berkata, faedah komunikasi terbuka dalam hubungan kekeluargaan juga perlu ada seperti perkongsian suka duka, impian dan harapan serta dapat melahirkan kebimbangan pada ahli keluarga.

“Melalui cara ini, penyelesaian masalah dapat diselesaikan bersama dengan pasangan atau ahli keluarga dengan lebih berkesan.

“Kesan lain, perasaan selamat dan sokongan emosi daripada ahli keluarga membantu memberi suasana yang lebih selesa dan hidup harmoni,” katanya.

Begitu pun, kata Dr Lihana, wujud perbezaan cara berkomunikasi bagi jantina berlawanan yang mana kata-kata suami atau isteri boleh mewujudkan salah faham kerana perbezaan tafsiran.

Sebagai contoh, isteri meminta suami menghubunginya apabila sampai ke pejabat. Pada tafsiran suami, isterinya seolah-olah tidak mempercayainya sedangkan isteri hanya mahu mewujudkan perhubungan yang berterusan bersama suami walaupun berada di tempat lain.

Aspek kejujuran yang menjadi ‘rencah’ integriti dalam komunikasi mewujudkan keupayaan terhadap individu membincangkan pelbagai perkara. Seterusnya, individu perlu berlaku jujur pada diri sendiri dan terhadap pasangan serta ahli keluarganya.

“Kejujuran adalah perkara paling penting untuk dipraktikkan dalam pembinaan dan pengukuhan keluarga. Jika tidak, ia akan mewujudkan masalah seperti perceraian dan keluarga yang berpecah-belah.

“Tunjukkan kasih sayang pada pasangan dan ahli keluarga dengan tindakan, ucapan, masa yang berkualiti dan pemberian hadiah supaya masing-masing rasa dihargai dan dihormati,” katanya.

> Pemantapan sahsiah bendung isu sosial

BERTITIK tolak bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020, kerajaan membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai persediaan menjadi negara maju yang bukan saja membangun dari segi fizikal dan ekonominya, tetapi juga akhlak dan sahsiah individu dalam masyarakat hari ini serta masa depan.

Cabaran bermula dalam memantapkan institusi keluarga hari ini bagi berdepan situasi itu kira-kira 13 tahun lagi. Pengukuhan itu penting berikutan pemerhatian yang berlaku di negara Barat, mereka mundur dari segi akhlak dan moral individu dan mewujudkan pelbagai masalah sosial meskipun maju dalam ekonomi.

Sehubungan itu, Pengarah Sektor Sosiobudaya Institut Integriti Malaysia (IIM), Mazilan Musa, berkata kerajaan ingin menjadi negara maju dengan mengikut acuan sendiri.

“Banyak gejala berlaku dalam masyarakat hari ini yang menyerupai negara Barat seperti masalah sosial dan keruntuhan moral, jadi perkara inilah yang perlu dibendung untuk meningkatkan kualiti individu dalam masyarakat negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, maksud integriti yang baginya menjadi kunci pemantapan keluarga dan masyarakat, perlu dimulakan pada peringkat individu.

“Integriti meliputi semua nilai positif yang perlu diterapkan pada seorang individu dan sebuah organisasi. Ia berkait rapat dengan etika dan tindakan seseorang.

“Perkara asas dalam integriti adalah sifat jujur dan amanah. Bertanggungjawab, telus, cekap dan adil melengkapkan lagi nilai integriti dalam diri individu untuk membentuk dan memantapkan organisasi serta masyarakat,” katanya.

Mazilan berkata, lima sasaran yang disenaraikan dalam Tekad 2008 mengambil kira pelbagai ruang lingkup bagi memastikan negara benar-benar bersedia menghadapi Wawasan 2020 dan satu daripadanya turut memberi perhatian kepada meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai pihak khususnya masyarakat sendiri perlu memastikan sasaran berkenaan berjaya dicapai jika ingin menjadi negara maju tanpa meminggirkan kesejahteraan rakyat.

“Fokus kini ditumpukan pada pemantapan institusi keluarga dengan pendekatan jiwa integriti. Semua individu di negara ini, sejumlah 26 juta memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menjayakan serta merealisasikan hasrat kerajaan menjadi negara maju yang tinggi kualiti moral dan sahsiah menjelang 2020.

“Pembentukan sahsiah bermula dari didikan. Didikan pula tidak hanya di sekolah, sebaliknya peranan semua individu untuk memberi ajaran dan teguran dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, ada tiga peringkat pembelajaran iaitu mengambil tahu, menghayati dan mengamalkan. Pada peringkat pertama, individu akan mendapat kesedaran seterusnya menghayati perkara yang dipelajari dan pada peringkat akhir mengamalkan perkara yang baik.

“Dengan mengamalkan nilai yang baik akan membentuk individu terbaik yang mana boleh mengelakkan perkara buruk terjadi dalam masyarakat,” katanya.

FAKTA: Lima sasaran dalam Tekad 2008

  • Mengurangkan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.
  • Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian khidmat awam, mengatasi kerenah birokrasi dan penyelewengan.
  • Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
  • Memantapkan institusi keluarga.
  • Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
  • One Response to Komunikasi eratkan hubungan keluarga

    1. suri berkata:

      hye..
      camner nak kekelkan hubungan antara saya dengan si dia..saya jenis yang kurang mahir dalam komunikasi dan mempunyai sikap humor yang kurang..
      bolehkah anda beri tips2 yang membina ke arah kebahagiaan saya dan si dia..
      harap sgt…
      sekian

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    Ikut

    Get every new post delivered to your Inbox.

    Join 351 other followers

    %d bloggers like this: