Allah makbul doa isteri dianiaya

Kisah hidup Norahasni yang dipaparkan dua minggu lalu tentang poligami mendapat perhatian banyak pembaca antaranya daripada Encik H, katanya, poligami dibolehkan dalam Islam, kalau wanita membencinya seumpama membenci sunah Rasul. Jadi sebagai orang Islam kena ingat ini.

‘‘Namun saya tak salahkan Norahasni, suami puan patut dipersalahkan dalam kes ini. Kerana kalau kita kaji sahlah bahawa poligami sebenarnya membela nasib wanita terutama zaman ini lelaki kurang, takkan nak biarkan gadis jadi andartu.

‘‘Saya selaku pelajar agama tak setuju sebarang pandangan menyalahkan poligami sebab poligami dibolehkan oleh Allah. Adakah wanita nak menentang hukum Allah? Adakah wanita sanggup lihat zina berlaku di merata tempat?’’ katanya.

Encik M pula berkata, ada dua perkara perlu diselami dalam isu poligami. ‘‘Pertama saya nak tanya adakah satu kesilapan Allah membenarkan poligami? Allah tak pernah silap. Atau orang yang berpoligami itu berlaku zalim pada diri sendiri? Sesungguhnya setiap apa Allah tentukan ada kebaikannya. Bagi orang yang melaksanakan perintah pula kalau sudah salah guna dari awal, sampai bila pun tak betul, sebab sudah salah dari awal mula lagi.

‘‘Seumpama dalam soal makan. Tujuan makan untuk menyegarkan badan bukan untuk kenyang. Jadi untuk itu, dua tiga suap makanan sudah cukup, kalau hendak lebih pun pastikan 1/3 makanan, 1/3 minuman dan 1/3 udara untuk bernafas. Selalu makan lebih, tak pernah merungut, cuma bila sakit selalu bising, begitulah halnya dalam pelaksanaan syariat kita selalu tersalah,’’ jelasnya.

Encik Natherland juga mengiakan bahawa poligami tidak salah. Cuma lelaki selalu menyalahgunakan konsep poligami. Sebagai Muslim kita patut tau poligami itu telah disyariatkan oleh Allah ia halal jika diamalkan cara yang betul dan mengikut kaedah yang tertulis dalam al-Quran.

‘‘Saya bimbang wanita Muslim boleh terkeluar Islam andainya menentang poligami kerana ia hukum Allah,’’ tegasnya. Demikian antara pandangan kaum lelaki tentang poligami dan mengapa mereka menyokong poligami. Bagaimanapun minggu ini kita ikuti satu lagi pengalaman pahit seorang isteri yang dipoligamikan. Katanya, bukan sahaja air matanya dah kering kontang macam padang pasir Sahara. Tetapi hatinya sudah lama kering hingga merekah.

Jiwanya sudah lama terkubur bersama perasaan kasih sayang terhadap suami. Malah kalau suaminya tak balik rumah langsung pun bukan dia sahaja yang suka, malah anak-anak lebih gembira. Mereka tidak pernah dapat kasih sayang ayah mereka. Demikian cerita Rahayu dalam e-melnya kepada penulis.

‘‘Saya amat terpanggil untuk menyertai isu ini dan berkongsi pengalaman yang saya lalui. Saya tertarik cerita Norahasni juga wanita sebelumnya yang mendakwa hati mereka dah kering bila suami kahwin lagi. Saya rasa tidak ada wanita yang boleh menggambarkan perasaan hati bila suami nak kahwin lagi, cuma mereka yang berpengalaman sahaja yang tahu.

‘‘Saya pula bukan sekat suami kahwin lagi, malah saya galakkan bila hati dan jiwa saya dah kosong terhadapnya. Saya anggap dia cuma sebagai ayah yang wajib beri anak- anaknya makan. Tak lebih dari itu. Sebab perbuatannya yang liar saya rasa lebih teruk daripada dia berpoligami.

‘‘Namun rahsiakan nama dan e-mel saya kerana jika dia tahu mati saya kena sembelih, sebab suami saya ini sedang sakit jiwa sekarang, kerana sikap sendiri. Kami berusia lingkungan 40-an tahun dah 20 tahun kahwin, ada empat orang anak dah besar, seorang di universiti, seorang di kolej yang kecil pun dah tingkatan dua.

‘‘Kalau sebut fasal hati kering, saya memang dah lama amalkan. Sejak kahwin, sebut saja apa yang suami saya tak buat. Mendera mental dan fizikal saya setiap hari.

Kaki perempuan jangan ceritalah. Bukan seorang sampai tak terlarat nak kira dek ramainya. Akhirnya kerana banyak buat aniaya kepada orang dia terjerat dengan ibu tunggal yang lebih tua daripada saya. Peristiwa ini berlaku kira-kira 10 tahun lalu.

‘‘Bila dah kahwin bagai nak gila dia cuba sembunyikan daripada pengetahuan saya, tapi kuasa Allah macam mana nak sorok. Masa tu tengah muda memang saya intip gerak-gerinya. Tapi wanita itu pecah tembelang. Setiap hari saya pergi kerja dia telefon rumah kacau anak-anak saya, katanya, dia nak rampas ayah mereka. Lepas tu dia beritahu dia akan ilmukan ayah mereka supaya tak tahu jalan pulang. Masa tu walaupun saya tak kisah tapi saya menangis juga sebab sayangkan anak-anak.

‘‘Orang lelaki biasalah, masa nak pikat perempuan, macam-macam benda dia burukkan saya. Sampai mak ayah saya yang baiknya pijak semut tak mati tu pun dibabitkannya dihina dengan perkataan yang amat keji. Sedih hati saya.

‘‘Waktu itu wanita itu mengaku dah kahwin, tapi saya tahu belum lagi, namun saya tak sanggup tengok mereka bersekedudukan, saya suruh suami saya nikah segera. Akhirnya mereka kawin. Nak jadikan cerita keluarga si perempuan tu tak sukakan suami saya, dia hina suami saya macam sampah. Saya tak tahu dia cerita.

‘‘Maklumlah suami saya hanya kakitangan kerajaan pangkat rendah aja. Saya tanya dia kenapa nak kawin juga dengan perempuan tu walaupun dihina. Sedangkan dah ada isteri dan anak-anak. Dia kata, perempuan itu ada banyak duit.

‘‘Memang masa tu saya hidup susah, tak ada apa, maklum baru kerja. Umur awal 30-an anak dah ada tiga. Kita harap suami dapat membahagiakan hidup kita tetapi lain jadinya. Dia asyik gila perempuan, duit yang sikit pun terus habis.

‘‘Suami saya harap dapat hidup mewah dengan perempuan tu. Saya tak peduli apa dia nak buat yang saya mahu dia mesti bagi nafkah anak-anak. Dan saya ingatkan sekarang dah kahwin lagi jangan nak dera fizikal dan mental saya lagi. Kalau buat juga saya minta cerai dan adukan pada ketua jabatannya.

‘‘Bila dah kahwin saya tak pernah fikir dia nak balik rumah atau tidak, ikut suka dia saja, apa yang saya mahu dia bagi nafkah anak-anak. Lagipun saya malu dah tua kena pukul depan anak-anak dan mereka semakin membesar.

‘‘Di pejabat saya lupakan masalah keluarga dengan bekerja sesungguh hati, ada saja kursus saya pergi, saya tambah ilmu pengetahuan, usaha saya berbaloi, setiap tahun naik gaji dan naik pangkat, akhirnya gaji saya meningkat banyak angka, melebihi gajinya. Saya cuba gembirakan hati anak-

anak dan beri perhatian kepada emak ayah saya. Saya mahu mereka hidup senang selagi ada hayat mereka.

‘‘Kini 10 tahun dah berlalu, saya bahagia dengan hidup saya kini. Saya nak jalan ke mana pun dia tak boleh nak sekat. Saya tak pernah kacau rumah tangganya apa lagi bergaduh dengan isterinya. Malah ketika dia susah saya tolong.

‘‘Sejak kawin dengan suami saya macam-macam masalah isterinya alami. Kena buang kerja sebab banyak sangat masalah peribadi, gangguan kesihatan. Habis harta benda dia sebab nak tarik suami saya sayang dengan dia dan lupakan saya.

‘‘Kini jiwanya lebih tertekan beranak setiap tahun sehingga sekarang dah ada lapan orang (termasuk yang meninggal). Semua masih kecil macam susun paku. Suami buat tak tau saja. Masuk hospital, sakit pening sendiri tanggung. Nasib baik dia masih ada emak bapa boleh tolong.

‘‘Saya rasa kini giliran anak dia pula kena belasah macam anak-anak saya dulu. Saya bukan nak pulangkan paku buah keras, tapi ini tauladan kepada wanita di luar sana yang teringin sangat nak berlaki suami orang. Manisnya sekejap saja. Peritnya tak tertanggung. Lelaki memang pandai menggelak. Masa nak, janjinya bulan bintang. Dah dapat, habuk pun tak ada. Bila gaduh dia kata, kalau tak suka boleh belah. Ha! Baru dia tahu nasib.

‘‘Kini saya tumpukan perhatian kepada anak-anak dan emak ayah saya. Pada saya suami boleh bertukar bila dia ceraikan kita, tapi emak ayah, itulah dunia akhirat. Tiba masanya saya balas jasa mereka. Mereka banyak bersabar dengan kerenah suami saya. Masih saya ingat dia sumpah seranah mak ayah saya tak fasal-fasal.

‘‘Saya tak kisah dia tak balik rumah, makan atau tidak, ada duit atau tidak. Dah dekat pencen pun, masih kakitangan kerajaan pangkat rendah. Tapi perangai masih ligat.

Kalau main handphone macam anak muda, tersengih-sengih. Sayanglah, rindulah entah dengan siapa. Saya tak kisah biarlah dia berangan melayan perasaan.

‘‘Saya pun boleh buat macam dia. Di pejabat, teruna, duda, suami orang, berlambak. Nak dengan tak nak saja. Saya pun bukan hodoh sangat. Apa yang saya tak ada sebagai wanita? Tapi buat apa, saya tak mau jadi macam dia. Saya ada maruah.

‘‘Ayah saya berpesan hidup ini kena takutkan Allah. Itulah pegangan saya. Biarlah orang menggoda saya maintain. Sekarang tiba masanya saya lihat balasan Allah pada suami saya. Dulu dia hina saya macam kucing kurap, sekarang semua dah dapat dekat dia. Orang pencen nak hidup senang makan duit pencen, dia masih beranak kecil.

‘‘Esok di akhirat, dia bukan lagi jalan senget sebelah, tapi merangkak. Dosanya banyak macam pasir di pantai, bukan saja pada saya tetapi wanita lain yang pernah jadi mangsanya. Di sini saya nasihatkan isteri-isteri yang dimadukan, terus tabah jalani hidup, tapi kalau boleh lepaskan diri, larilah sejauh mungkin. Tapi pastikan anak- anak dapat nafkah. Kepada isteri-isteri kedua, ingatlah balasan Allah. Jangan ingat anda muda boleh dapat segalanya, kalau Allah nak ambil, semua boleh hilang sekelip mata.

‘‘Kepada anak-anak gadis, jangan sia-siakan hidup menyintai suami orang. Sebab manisnya sementara. Kalau dia boleh kahwin dua tak mustahil dia tambah tiga.

‘‘Kepada pihak berwajib khususnya Mahkamah Syariah tolonglah prihatin nasib isteri-isteri yang ingin minta cerai, jangan dera hidup mereka. Suami kalau nak berpoligami semua mampu, dah nikah kedekut macam roda kereta lembu.

‘‘Suami lebih takut kena saman lalu lintas dari dapat surat saman Mahkamah Syariah, sebab dia tahu hakim tak ada kuasa. Itulah taraf Mahkamah Syariah kita.

Kita sibuk cakap fasal keruntuhan akhlak anak-anak remaja. Tapi keruntuhan akhlak orang dewasa, siapa pun tak ambil peduli.

‘‘Kita sibuk awasi pusat snuker dan kafe siber tapi siapa peduli kelab dangdut dan karaoke. Di sana ramai ayah tua mengayak GRO. Anak tak makan tak peduli tapi dia sanggup suap GRO. Balik rumah belasah anak isteri bila minta duit. Bila isteri minta cerai, disuruh pergi Mahkamah Syariah. Sebab dia tahu bukan mudah nak cerai, kerana Mahkamah Syariah akan bela lelaki. Agama Islam segalanya mudah. Yang menyulitkan adalah manusia yang bijak memutarbelitkan keadaan.’’

Demikian cerita Rahayu panjang lebar tentang masalahnya dulu hingga kini dimadukan. Sepatah katanya, tak ada manisnya bermadu, sebaliknya menjeruk rasa semuanya kerana lelaki cuma pandai cakap fasal poligami, tetapi tak tahu makna poligami sebenarnya. Nak kahwin lain kerana nafsu.

Seorang ustaz ketika berceramah dalam isu Islam Hadhari yang saya dengar baru-baru ini menasihatkan kaum wanita memujuk suami mereka yang nak kahwin lagi supaya ikut apa yang Nabi lakukan. Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. berkahwin lagi setelah isteri pertama baginda Siti Khatijah meninggal dunia. Bagaimana sanggup kaum lelaki tunggu isteri pertama meninggal dunia baru kahwin lagi? Selepas itu kahwinlah sehingga ketiga dan keempat.

- MAIMUNAH (www.dcckmona.comdcckmonaum@hotmail.com)

One Response to Allah makbul doa isteri dianiaya

  1. Yati berkata:

    Mcm mana pulak, jika ceritanya terbalik..isteri pertama yg maki hamun n menghina ibu bapa org lain.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 345 other followers

%d bloggers like this: