Isteri kurang minat hubungan intim

April 30, 2007

SOALAN:

Saya dan isteri berusia dalam lingkungan 50-an. Isteri saya sudah pun melewati fasa menopaus.

Perubahan yang boleh saya rasai adalah isteri saya kurang berminat terhadap hubungan intim. Apakah faktor penyebab dan adakah formula tertentu yang boleh membantu?

Jawapan:

Menopaus merupakan satu lagi fasa yang dilalui oleh wanita, yang bukan sahaja membawa perubahan kepada fizikal tetapi juga mental dan emosi.

Selain daripada perubahan dari segi keanjalan dan kelembapan kulit yang semakin merosot, kedinginan dalam hubungan intim juga antara masalah yang kerap diperbincangkan.

Menopaus bermakna ovari berhenti daripada mengeluarkan hormon seperti estrogen, testosteron dan hormon-hormon lain. Paras hormon-hormon yang rendah turut memberikan kesan terhadap keinginan seks di kalangan wanita.

Keadaan ini juga akan menyebabkan keadaan vagina/faraj menjadi semakin kering akibat kekurangan lembapan yang turut menjadikan hubungan intim tidak selancar dahulu.

Ada kalanya kekeringan ini akan menyebabkan hubungan seks boleh menyakitkan.

Wanita menopaus juga berhadapan dengan keadaan emosi yang mudah terganggu yang mendorong kepada tekanan, rasa rendah diri, keletihan dan sebagainya.

Keadaan ini tentunya turut memberikan kesan kepada keinginan seks dan hubungan mesra di antara pasangan.

Wanita pada fasa ini juga lebih terdedah kepada masalah jangkitan urogenital seperti jangkitan pada saluran kencing, jangkitan kulat dan bakteria yang boleh mendatangkan ketidakselesaan semasa hubungan intim.

Pengambilan sesetengah herba seperti Damiana atau nama saintifiknya Turnera Diffusa boleh menambahkan kepekaan terhadap rangsangan pada bahagian alat kelamin wanita.

Withania membantu dari segi fungsi saraf yang sihat dan membantu tekanan emosi.

Bagi yang mengalami ketidakselesaan sewaktu menopaus, pengambilan Horny goat weed atau epinedium sagittatum mungkin boleh membantu wanita mengurangkan kelesuan dan masalah yang berkaitan.

Begitu juga dengan ginseng yang menggalakkan aliran darah ke tisu-tisu vagina dan pengikatan pada sel penerima hormon.

- Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan BiO-LiFE di talian 03-77287407 (Isnin hingga Jumaat: 9 pagi hingga 6 petang) atau e-mel kami di health@biolife.com.my.

Sumber: Mingguan Malaysia 18 Mac 2007


13 Perkara Yang Tidak Di Sukai Oleh Suami

April 29, 2007

Dalam kehidupan sehari-hari, sbnrnya byk perkara-perka yg isteri lakukan tidak begitu digemari oleh suami, kadang-kadang boleh menyebabkan suami bosan atau mendatangkan kemarahan padanya. Jadi, cuba pastikan yang anda tidak melakukan atau mengelak perkara-perkara di bawah untuk membina perkahwinan yang kukuh dan harmoni.

1. Memperkecilkan suami di hadapan org lain antara sedar dan tidak.
Cth : “Hubby I tu kan, siang ikan pun dia tak tau, dahla kadang-kadang cuci pinggan pun kekadang aje rajin, bla bla bla..”

2. Mengganggu suami dgn menelefon dia terlampau kerap sangat & kena pula pd setiap kali anda call, dia sdg bermesyuarat @ jumpa client penting.
Cth: “Hello, abg ada meeting ke tu? Sorry la, cuma nak cakap..mlm ni kita masak ikan sardine je, okey tak?”

3. Terlalu suka mengemas rumah @ mengalihkan brg sampai suami tak jumpa barang2 yang disimpannya.
Cth: isteri menjawab pertanyaan suami di mana screw driver yg selalu diletak atas almari dapur; “Yah dah simpan kat dlm setor tp lupa pula kat rak mana satu, abg carilah sendiri.”

4. Mengambil muka surat akhbar @ bahagian tertentu dan menyusun semula dgn cara yg amat salah. Bila suami hendak membacanya, tidak berjumpa mana-mana mukasurat yang hendak dibaca.
Cth : “ooo, sport section tu ayang dah buat bungkus sayurlah bang!”

5. Memotong mana-mana bahagian majalah @ akhbar sampai berlubang sana-sini dan suami belum sempat baca.
Cth : “Eh…kita dah potong simpan berita pasal carnival jualan tu, takut tak ingat nanti.”

6. Menyuruh suami agar membeli itu & ini dlm perjalanan balik kerja sdgkan anda berdua baru aje pergi supermarket semalam.
Cth : “Eh bang, semalam kita terlupa nak beli gram, gula, susu budak…boleh singgah mana-mana tak?”

7. Tidak memberi pesanan yg jelas bila menyuruh dia ke kedai.
Cth : “Saya kata beli susu pekat bukannya susu cair. Kan dah tak jadi kuih saya ni.”

8. Membuat temujanji dan aktiviti social tanpa persetujuan suami terlebih dahulu.
Cth : “I dah confirm mlm Jumaat ni nak dinner kat rumah Cik Ruby, you takde program tahlil kat mana-mana kan?” (p/s : silap la beb..mlm Jumaat tu..)

9. Mengubah barang, tpt buku atau barang-barang computer peribadi tanpa memberitahu suami
Cth : “Screensaver abg tentang pambar 1500cc Harley tu I dah tertukar jadi gambar bunga rose, sorrylah bang!.”

10. Mengganggu suami yang sedang asyik menonton tv.
Cth : “Alah bang! Pasukan Manchester tu sampai mati tak akan dapat kalahkan Liverpool. Mari tolong saya potong ayam ni.” (p/s : ko hina pasukan bola kegemaran aku?)

11. Menceritakan hal rumahtangga pasa org lain termasuklah cerita-cerita dalam kelambu walaupun dalam bentuk gurauan.
Cth: “Eeeii, korang tau tak suami aku tu kalau sblm tidur mesti bla bla bla..”

12. Meminjamkan harta benda suami pd org lain tanpa kebenaran atau meminta izin terlebih dahulu.

13. Sengaja melengahkan untuk masuk tidur lewat tanpa sebab-sebab yang munasabah.
Cth : “Abang tidurlah dulu, Yah nak habiskan tengok drama ni dulu.”


7 Tanggungjawab Selepas Penceraian

April 28, 2007

HUBUNGAN kekeluargaan dalam sistem rumah tangga Islam tidak terhenti setakat lafaz cerai dilafazkan. Sistem kekeluargaan dalam Islam sangat sempurna dan adil kepada semua pihak di kalangan ahli keluarga.

Sungguhpun ikatan pernikahan putus akibat jatuh talak, Islam memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung antara satu sama lain dengan batas pergaulan yang diharuskan oleh hukum syarak. Matlamat ini murni bagi memastikan hak bekas suami isteri dan anakdilindungi.

Hak yang boleh dituntut di mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:

Nafkah edah

Nafkah edah adalah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri dalam tempoh edah raji’e disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak.

Mutaah

Mutaah adalah satu bayaran yang wajib ke atas suami diberi kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut hukum syarak.

Kadar mutaah boleh ditentukan menerusi persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekiranya ada pertikaian mengenai kadar ini, mahkamah akan menentukan kadar bayaran mutaah itu.

Harta sepencarian

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri ketika perkahwinan bekuat kuasa mengikut syarat ditentukan oleh hukum syarak.

Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Hak jagaan anak (Hadanah)

Hadanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuat kuasa, ibu adalah orang yang paling berhak bagi menjaga anaknya yang masih kecil (di bawah umur tujuh tahun bagi lelaki dan sembilan tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak itu sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Tuntutan hak jagaan anak (hadanah) hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Nafkah anak

Nafkah anak adalah suatu nafkah yang wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Tunggakan nafkah

Tunggakan nafkah adalah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suami dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut di mana-mana Mahkamah Syariah.

Hak tempat tinggal

Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal ketika dia dalam perkahwinan selama edah.


Hukum Perkahwinan

April 27, 2007

1. Wajib – Bagi memana lelaki yang mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin dan mereka ditakuti akan terjerumus ke lembah maksiat dan perbuatan zina sekiranya tidak berkahwin.

2. Sunat – Bagi mereka yang mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin serta mereka mempunyai nafsu dan keinginan untuk berkahwin.. Walaupun mereka tidak dikhuatiri terdorong dirinya ke lembah maksiat dan zina.

3. Harus – Bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa sebab yang mendorongnya berkahwin dan tidak ada sebab yang mengharamkan mereka daripada berkahwin.

4. Makruh – Bagi memana lelaki yang tidak mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir untuk bakal isterinya, namun mempunyai nafsu dan keinginan untuk berkahwin.


7 Tips Penting Untuk Isteri Bermasalah

April 26, 2007

Suatu pagi, dalam rancangan kaunseling keluarga, di salah sebuah rangkaian radio: Ustaz…. Sudah bermacam cara yang saya buat. Tapi, hati dia masih tak tergerak lagi nak sembahyang. Kadang-kadang tu saya beli kaset dan buku, semata-mata nak ajak dia sembahyang bersama. Saya ni teringin sangat nak berjemaah dengan suami, macam kawan-kawan saya yang lain…” Kes seperti yang disingkap tadi hanyalah salah satu daripada ribuan cebisan dan rempah ratus kehidupan manusia hari ini. Kisah yang benar-benar terjadi, yang perlu kita singkap segala hikmahnya.

Sudah menjadi fitrah manusia mahukan kebaikan dan kasih sayang. Namun begitu terdapat juga segelintir wanita yang bergelar isteri tidak dapat mengecap nikmat bahagia di samping suaminya. Ramai wanita yang merintih dan mengadu sikap suami yang ingkar dengan perintah Allah dan sering melakukan perkara di luar batasan agama. Bukan itu sahaja, malah ramai isteri yang buntu lantaran menjadi mangsa keadaan. Ada antara isteri yang dimaki hamun dan dipukul hanya kerana memujuk suaminya agar taat kepada Allah. Adakah kita boleh menyalahkan takdir yang menjadikan wanita itu insan yang lemah sehingga mereka menerima nasib sedemikian rupa? Sama sekali tidak. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengupas permasalahan ini berpandukan syariat dan menghakiminya dengan adil. Islam ada menyediakan garis panduan untuk umatnya yang menghadapi masalah sebegini. Masalah suami yang sudah hilang pedoman dan tersasar pegangan hidupnya. Bagaimanakah kita sebagai isteri mampu menyelesaikan masalah yang sebegini rumit? Berikut adalah beberapa tips dan panduan yang boleh kita ikuti dalam menangani masalah tersebut:

PERTAMA: INSAFI DIRI

Dalam hendak menegur suami, jangan sekali-kali merasa diri sudah baik atau lebih baik daripada suami. Walaupun kita sudah boleh bersembahyang dan mengerjakan perintah Allah, tapi cubalah renungi diri kita kembali. Adakah selama ini kita begitu ikhlas dalam beribadah kepada Allah? Apakah ibadah kita sudah sempurna dan diterima Allah? Mungkin juga selama ini, kita banyak melakukan perkara yang boleh merosakkan ibadah contohnya mengumpat dan mencela. Kalau kita sentiasa mengenang kelemahan dan kekurangan diri, tentu kita tidak akan memandang hina kepada suami sehingga apabila kita menegurnya, teguran itu penuh dengan kelembutan dan hikmah. Suami tidak merasa `sakit’ atau terhina dengan teguran itu.

KEDUA: BANYAKKAN BERSABAR

Kita juga seharusnya menerimanya sebagai satu dugaan daripada Allah. Allah mahu melatih dan mendidik hati kita agar sabar dalam kehidupan serta matang mengendalikan masalah. Jangan kita terlalu gopoh serta hendakkan hasil yang cepat sehingga cara kita menegur pun seolah-olah mendesak serta mengajar suami.

KETIGA: BAIKI DIRI SENDIRI

Sentiasalah membaiki diri serta menghias diri dengan akhlak yang mulia seperti sabar, redha, berpada-pada dengan apa yang ada dan lain-lain. Akhlak yang baik akan menambat hati suami lantas dia akan mudah mendengar nasihat yang kita berikan.

KEEMPAT: MELAYANINYA DENGAN BAIK

Walaupun derita yang dirasa, namun tugas sebagai isteri tidak boleh diabaikan. Kita wajib menghormati, melayani serta memuliakan suami. Dosa yang dilakukan oleh suami adalah urusannya dengan Allah. Ia tidak menggugurkan kewajipan kita terhadapnya. Justeru kalau kita pun tidak mahu melayaninya, konon sebagai protes terhadap keingkarannya itu, maka kita juga bersalah dan berdosa. Tentu suami akan berang, sudahlah kita tidak menunaikan tugas sebagai isteri, pandai-pandai pula hendak menegurnya. Sampai bila pun dia tidak akan mendengar nasihat kita.

KELIMA: MENEGUR DAN MEMUJUK DENGAN BERHIKMAH

Air yang menitik perlahan, mampu melekukkan batu yang pejal. Begitulah, perumpamaan yang begitu sesuai untuk kita. Walaupun kita begitu sukar untuk menyedarkan suami kita, tetapi usaha itu perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan berterusan. Dengan usaha yang sebegini, insya-Allah ia akan membuahkan hasil yang lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, apabila suami kita jarang bersembahyang, maka biarlah kita yang menggantikan peranannya. Kita sendiri boleh menjadi imam kepada anak anak kita ataupun membaca al-Quran bersama-sama mereka selepas menunaikan solat berjemaah. Secara tidak langsung, apabila seorang ayah melihat isteri dan anak-anaknya ikhlas beribadah kepada Allah, setidak-tidaknya dia akan berubah sedikit demi sedikit. Selain itu, kita boleh membeli beberapa kaset, video panduan dan buku-buku agama yang berkisar tentang cara perlaksanaan solat dan ibadah-ibadah lain. Hadiahkanlah kepadanya pada hari istimewa seperti hari kelahirannya atau hari ulang tahun perkahwinan. Kita juga boleh menulis surat sebagai bicara hati dengan menggunakan bahasa yang baik dan berhikmah. Semoga hatinya akan dapat menerima hidayah Allah di akhir nanti.

KEENAM: MEMINTA BANTUAN PIHAK KETIGA

Kebiasaannya, seseorang suami itu mempunyai rasa ego apabila kesalahannya ditegur oleh si isteri. Perkara ini mungkin membawa kepada perselisihan faham dan membawa perpecahan dalam keluarga. Justeru itu, adalah lebih baik sekiranya kita meminta bantuan daripada pihak ketiga untuk menasihati suami. Mereka yang kita pilih mestilah dihormati juga oleh suami. Melalui mereka bolehlah kita mencurah rasa hati dan mengajak suami agar taat kepada Allah serta meninggalkan perkara yang dimurkai-Nya. Mungkin mereka terdiri daripada ahli keluarganya, jiran, teman, ayah bondanya ataupun orang yang baik pengamalan agamanya. Semoga dengan nasihat daripada orang yang lebih dihormatinya itu akan memberi kesan yang mendalam di hatinya. Umpama tanah di lembah, ia akan subur apabila air hujan menyiraminya.

KETUJUH: BERDOA DAN TAWAKAL KEPADA ALLAH

Sebagai seorang mukmin, setiap perkara yang kita usahakan perlulah disertai dengan tawakal. Kita sewajarnya berdoa kepada Allah, agar dia melimpahkan hidayah kepada keluarga kita lebih-lebih lagi kepada suami. Doakanlah juga semoga kita terus kekal hidup di landasan Islam yang sebenar. Semoga dengan doa yang berterusan, ia akan diperkenankan oleh Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mempersia-siakan segala usaha dan doa hamba-Nya yang beriman. Allah ada berfirman: “Berdoalah kepada Aku, akan Kuperkenankan permintaan itu.” Masalah yang kusut akan terlerai jika kena gaya dan caranya. Apabila kita merasakan suami kita jauh daripada hidayah, maka kitalah yang berperanan besar untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar. Walaupun mereka telah tersasar jauh dari landasan syariat, usahlah kita berburuk sangka serta memandang rendah kepada mereka. Apatah lagi untuk putus harapan dengan Allah!

Sumber : www.keluarga.net.my


Isteri Dingin? Rahsia Mengghairahkan Isteri. Keterangan lanjut, sila klik sini.