Mutaah sagu hati suami pada isteri

Soalan:
Saya dan suami telah berkahwin selama lebih 25 tahun apabila dia melafazkan talak satu ke atas saya baru-baru ini. Saya kini sedang menjalani proses pengesahan perceraian di luar mahkamah. Saya telah dimaklumkan bahawa saya boleh menuntut harta mutaah akibat daripada perceraian ini. Apakah yang dimaksudkan dengan harta mutaah tersebut? Bagaimanakah kiraan dilakukan atau anggaran dibuat untuk menentukan nilai tuntutan harta mutaah saya?

- Jameelah,

Pulau Pinang.

——————————-

Jawapan:

Perkahwinan sesungguhnya adalah suatu institusi yang penting dalam sebuah masyarakat. Ia merupakan ikatan yang dijalin berasaskan perasaan kasih sayang dan saling hormat-menghormati antara dua insan. Perkahwinan yang bahagia membawa kepada pembentukan sebuah keluarga yang harmoni. Ini kemudiannya bertindak sebagai tunjang masyarakat yang aman sentosa.

Sayang sekali, tidak semua perkahwinan itu kekal ke akhir hayat biarpun ia sudah berlangsung selama lebih dua dekad. Situasi yang puan alami memang menyedihkan, setelah sudah sekian lama membina keluarga yang bahagia dan berkorban demi kegembiraan suami dan anak-anak, kini puan dilepaskan dengan talak satu. Demi membela nasib wanita seperti puan yang diceraikan suami, undang-undang membenarkan wanita itu menuntut apa yang dipanggil harta mutaah. Memandangkan puan menetap di Pulau Pinang, undang-undang yang terpakai bagi permasalahan yang puan hadapi adalah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 1985.

Menurut Seksyen 56 akta tersebut, harta mutaah merupakan pemberian saguhati oleh suami kepada isterinya yang diceraikan tanpa sebab yang wajar. Apabila mahkamah syariah berpuas hati bahawa puan telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah, suami puan boleh diperintahkan membayar mutaah pada nilai yang berpatutan dan berlandaskan hukum syarak kepada puan.

Sebaliknya, jika perpisahan itu disebabkan oleh pihak perempuan, sebagai contohnya dia memohon fasakh, maka tidak berhak baginya menuntut harta mutaah daripada suaminya.

Walaupun kebiasaannya harta mutaah diberi dalam bentuk wang ringgit, puan juga boleh memohon harta dalam bentuk lain. Sebagai contohnya, rumah atau tanah. Nilai harta mutaah yang puan hendak tuntut boleh ditetapkan mengikut apa yang dirasakan munasabah. Begitu juga halnya dengan cara pembayaran harta mutaah tersebut oleh suami puan, ia boleh dibayar baik secara ansuran mahupun dibayar secara sekali gus.

Penaksiran nilai harta mutaah yang boleh dituntut oleh seorang isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah berbeza-beza mengikut tempat. Di Malaysia, tidak terdapat formula yang tertentu bagi kiraan untuk menentukan berapakah jumlah harta mutaah yang puan boleh tuntut. Dengan kata lain, puan boleh menetapkan nilai harta mutaah yang puan ingin tuntut berdasarkan apa yang puan rasakan puan patut dapat daripada suami puan.

Sekiranya suami puan bersetuju untuk membayar mutaah pada nilai tersebut, alhamdulillah. Sebaliknya, jika suami puan mempertikaikan nilai mutaah yang puan tuntut tersebut, jumlah ini akan ditetapkan oleh hakim mahkamah syariah yang mendengar kes perceraian antara puan dan suami puan dengan mengambil kira beberapa faktor. Antara lain, bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama ini. Seperti apa yang puan kini lalui, persoalan utama yang sering menghantui para wanita yang telah diceraikan oleh suami sebaik mendapat tahu bahawa mereka boleh menuntut harta mutaah adalah; berapakah nilai mutaah yang boleh dituntut dan bagaimana jumlah ini dikira? Seperti yang telah diperjelaskan di atas, tiada sebarang cara tetap yang boleh digunakan bagi menjawab kedua-dua persoalan ini.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh para wanita yang diceraikan suami mereka adalah apabila Hakim Mahkamah Syariah menetapkan bahawa suami tersebut perlu membayar mutaah pada nilai yang lebih rendah daripada apa yang dipohon oleh isteri. Akibat tiada kaedah khas dalam mengira nilai mutaah yang boleh diperoleh oleh seorang isteri daripada suaminya, Hakim Mahkamah Syariah boleh berbuat demikian yakni menentukan nilai mutaah berdasarkan pendirian peribadinya (dengan mengambil kira tiga faktor yang telah disenaraikan di atas). Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah, sukar bagi isteri yang memohon mutaah tersebut untuk mempersoalkan keputusan Hakim Mahkamah Syariah berkenaan nilai mutaah yang boleh dituntut olehnya kerana pada asalnya tiada kaedah pengiraan yang khas dan tetap dalam menentukan jumlah mutaah yang boleh dia boleh peroleh daripada suaminya.

Sebagai kesimpulannya, puan sememangnya layak menuntut harta mutaah daripada suami puan kerana dia sanggup menceraikan puan setelah lebih 25 tahun mendirikan mahligai bersama. Dalam menentukan nilai mutaah yang ingin puan tuntut, pertimbangkanlah bahawa puan tidak menyebabkan perceraian ini berlaku, berapa tahun perkahwinan puan telah wujud dan juga status serta taraf hidup puan selama tempoh perkahwinan ini.

- Nur Fadhlin Mohd Yusof

Pegawai Undang-Undang

Sumber: Utusan Malaysia 16 Mac 2007

2 Responses to Mutaah sagu hati suami pada isteri

  1. Suraya berkata:

    Assalamualaikum wbt..
    Saya seorang ibu kepada anak perempuan berusia 10 bulan dan mengandung 5 bulan semasa diceraikan talak 1. Soalan saya, apakah hak-hak yang saya boleh dapat dari hasil penceraian ini?

  2. Suraya berkata:

    Assalamualaikum wbt..
    Saya seorang ibu kepada anak perempuan berusia 10 bulan dan mengandung 5 bulan semasa diceraikan talak 1. Soalan saya, apakah hak-hak yang saya boleh dapat dari hasil penceraian ini?

    Kedah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 351 other followers

%d bloggers like this: