Mengapa Wanita Gagal Menjadi Suri Rumah

Februari 28, 2007

Agak pelik dan hairan jika sekali-sekala kita mengunjungi rumah seseorang yang si isterinya tidak bekerja tetapi keadaan rumahnya tidak terurus. Persoalannya, apakah yang dibuat oleh si isteri ini sepanjang hari sehingga rumah tidak sempat hendak dikemaskan. Namun, itulah realitinya. Terdapat banyak faktor mengapa suri rumah gagal mengurus rumah dengan sempurna dan kemas. Antara sebabnya termasuk:

1. Sikap sambil lewa dan suka bertangguh. Mungkin kerana mereka sepanjang hari berada di rumah dan tidak perlu buat kerja dengan segera. Sepatutnya suri rumah sepenuh masa dapat mengurus rumah dengan lebih baik dan kemas. Tidak melakukan kerja secara tergesa-gesa hanya apabila ada orang nak datang.

2. Tidak menjadikan kerja mengemas rumah sebagai satu budaya hidup. Sesungguhnya apabila mengemas menjadi budaya harian, mereka tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengemas rumah.

3. Tidak mendidik anak-anak supaya sentiasa bersih dan kemas. Sepatutnya anak-anak sejak kecil lagi dididik agar menghargai kebersihan. Jika sejak kecil sentiasa hidup dalam suasana bersih, sudah tentu ia akan menjadi budaya anak-anak kita pula.

4. Tidak berminat mengemas rumah. Hal ini berkemungkinan kerana mereka sudah biasa hidup dalam suasana yang tidak kemas dan tak terurus. Akibatnya bila sudah berkahwin, budaya itu turut terbawa-bawa.

5. Merasakan bahawa mengemas rumah bukan perkara penting malah merugikan masa kerana mesti dilakukan berterusan.

6. Suka mengunjungi rumah jiran tanpa mengira waktu sehingga tidak sempat hendak mengemas rumah. Malah ada yang berpendapat ‘tak apa tak kemas rumah asalkan ada makanan sudah cukup’. Seolah-olah telah hilang nilai kemanusiaan. Manusia yang sempurna tentu inginkan suasana yang kemas, bukan sekadar dapat makan. Kalau berfikiran begitu, maka samalah taraf manusia dengan haiwan.

7. Lupa bahawa itulah imej yang mempamerkan peribadi sebenar seseorang wanita. Tentu tidak wajar wanita Islam mengabaikan kebersihan dan kekemasan rumahtangga, sedangkan Islam amat menyuruh umatnya sentiasa bersih.

Faktor-faktor di atas telah dikenal pasti sebagai punca kegagalan mereka menguruskan rumah dengan sempurna. Tetapi mengapa hal ini terjadi? Di sini, para suami perlu meluangkan sedikit masa dengan membawa keluar anak dan isteri bersiar-siar atau berehat untuk menghilangkan kebosanannya. Di kesempatan itu, didiklah mereka akan budaya dan disiplin yang baik itu.

Sebenarnya, sebahagian suri rumah yang bermasalah ini tidak tahu hala tuju hidupnya. Kerana itu, para suri rumah perlu dibiar bergerak aktif untuk melihat keadaan sekeliling. Mungkin di sana mereka boleh belajar untuk mengurus masa dan mengemas rumah.


Dua cara isteri didera tuntut cerai

Februari 28, 2007

Wanita perlu segera buat pemeriksaan doktor, ambil gambar kesan deraan

LIZA (bukan nama sebenar), seorang kerani sering kali dipukul suaminya apabila berlaku perselisihan faham. Suaminya akan bertindak di luar kawalan, menumbuk muka, menendang dan pernah meletakkan seterika panas ke tangannya ketika dia menggosok baju.

Kadang-kadang apabila suaminya naik angin, anak akan menangis ketakutan melihat Liza dipukul.

Selepas lima tahun diperlakukan demikian, barulah Liza bertindak membawa kesnya ke mahkamah syariah. Akhirnya Liza berjaya keluar daripada hubungan yang penuh darar itu selepas mahkamah meluluskan tuntutan fasakhnya.

Ada ramai wanita bernasib malang seperti dialami Liza. Kajian yang penulis jalankan ke atas 100 kes fasakh yang dibicarakan di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mulai 1996-2001 mendapati ada 23 kes (23 peratus) yang memohon fasakh atas alasan penderaan. Peratusan ini agak besar dan wajar diambil perhatian.

Ada dua cara seorang isteri boleh membawa kesnya ke mahkamah untuk mendapatkan perceraian kerana didera iaitu secara fasakh atau taklik.

Untuk memahami kedudukan permohonan fasakh kerana didera, kita boleh merujuk satu kes yang diputuskan mahkamah rayuan syariah pada 1996 iaitu Abd Hanif lawan Rabiah.

Dalam kes itu, isteri menuntut fasakh menggunakan dua alasan iaitu suami mengabaikan nafkah dan melakukan penderaan yang lazimnya menyakiti. Dalam keterangan, isteri berjaya membuktikan berlaku penderaan ke atas dirinya.

Isteri membawa dua saksi perempuan yang menyaksikan suami memukulnya. Hakim dalam keputusannya mengatakan seorang suami tidak harus memukul dan tidak memberi nafkah kepada isterinya, tetapi tidak meluluskan fasakh atas alasan kesaksian.

Menurut hakim, untuk menguatkan dakwaannya, isteri dikehendaki membawa dua saksi lelaki atau seorang saksi lelaki dengan dua saksi perempuan.

Pihak isteri kemudian membuat rayuan ke mahkamah tinggi syariah dan dalam keputusannya, hakim memutuskan sebaliknya iaitu permohonan fasakh sudah disabitkan.

Selepas keputusan diperoleh, suami tidak berpuas hati dan membuat rayuan ke mahkamah rayuan syariah untuk menafikan keputusan hakim mahkamah tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Rayuan kes itu ialah Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman yang kini Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Jawatankuasa Rayuan mengekalkan keputusan mahkamah tinggi iaitu fasakh dituntut isteri diluluskan.

Ketika membacakan penghakiman itu, beliau menyebut: “Yang Arif Hakim di mahkamah rendahsudah menekankan bahawa untuk mensabitkan berlakunya penganiayaan, berdasarkan ayat 282 surah al-Baqarah, ia hendaklah disokong dengan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki dan dua perempuan. Menurut jawatankuasa rayuan, ayat itu berkisar kepada urusan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke satu masa tertentu di mana biasanya boleh didapati saksi dan ayat itu menerangkan mengenai perkara syahadah (kesaksian). Akan tetapi tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa dia dipukul suaminya mengadakan saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suami apabila dia memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan berkenaan. Dalam perkara seperti itu tidak perlu keterangan diberi sebagai syahadah dan memadai ia diberi sebagai bayyinah dan qarinah.”

Menerusi penghakiman di atas, jawatankuasa rayuan syariah membawa satu pembaharuan berkenaan urusan pembuktian kes, sekali gus membuka ruang lebih besar dalam menyelesaikan masalah pembuktian membabitkan penderaan terhadap isteri.

Walaupun tanpa adanya sokongan saksi yang memberi kesaksian (syahadah), mahkamah tetap mempertimbangkan tuntutan isteri sekiranya berjaya membawa bukti seperti laporan polis dan laporan doktor yang mengesahkan dakwaannya sebagai keterangan yang kuat (bayyinah dan qarinah).

Berbalik kepada kes Liza, perkara yang perlu diambil perhatian:

Seorang isteri yang didera tidak wajar berdiam diri. Apatah lagi menutup fakta seperti mengatakan terjatuh di bilik air dan sebagainya. Perkasakan diri daripada trauma dan berusaha mendapatkan bantuan sesiapa saja yang boleh dipercayai.

Usaha menyelamatkan rumah tangga mesti dibuat. Jika penderaan berlaku apabila ada pergaduhan, maka cari punca masalah dan berusaha memperbaiki hubungan komunikasi pasangan.

Mendapat nasihat undang-undang daripada pihak yang mengetahui. Terdapat beberapa organisasi yang dapat membantu seperti Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menerusi Biro Khidmat Guaman Syarie, Jemaah Islah Malaysia (JIM) di bawah Pusat Sokongan Wanita dan Keluarga Islah (Paksi-JIM), AWAM, WOA dan sebagainya.

Bersegera membuat pemeriksaan dan mendapatkan laporan doktor, mengambil gambar lebam atau apa-apa tanda penderaan. Pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Semua ini adalah bahan bukti yang boleh membantu keterangan (sebagai bayyinah) di mahkamah syariah.

Laporan polis bahawa beliau didera akan diambil tindakan sewajarnya berdasarkan Akta Keganasan Rumah tangga dan Kanun Keseksaan. Pihak polis akan mengambil tindakan hanya selepas laporan dibuat.

Jika keadaan berbahaya, seorang isteri boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Interim daripada mahkamah majistret untuk keluar dari rumah kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Jika ingin membuat tuntutan fasakh atau taklik atas alasan penderaan, perlu disokong oleh saksi. Jika ada dua saksi lelaki maka ia adalah satu hujah yang sangat kuat.

Berdasarkan penghakiman kes di atas, mahkamah akan menilai kesukaran mendapatkan saksi kerana penderaan selalunya berlaku di tempat tertutup, kamar tidur atau dalam rumah.

Arahan Amalan Bil 1 Tahun 2002 mengesahkan untuk menerima pakai keputusan berhubung isu, fakta dan undang-undang yang sama atau ada persamaan yang diputuskan mahkamah yang lebih tinggi hendaklah dihormati oleh mahkamah lebih rendah.

Oleh itu, jika tidak ada saksi yang melihat penderaan itu, isteri mangsa deraan jangan berputus asa untuk mendapatkan keadilan di mahkamah syariah.

Kesimpulannya, isteri yang didera wajar mencari jalan menyelamatkan diri daripada terus didera. Jika penderaan sering berlaku selepas adanya pergaduhan, maka berusahalah meningkatkan seni komunikasi berkesan demi kesejahteraan rumah tangga.

Isteri yang mendapat suami baik, jangan menyalahguna nikmat itu seperti bertindak liar atau tidak menghormati suami. Bersyukurlah pada Allah atas anugerah suami yang baik serta berusaha menjaga kebahagiaan rumah tangga.

Pada masa sama, suami perlu memperkasakan ilmu dan diri dengan ajaran Islam kerana melayan isteri dengan kasar, apatah lagi melakukan penderaan bukan ajaran Islam.

Rasulullah adalah sebaik-baik suami yang melayan semua isterinya dengan lembut. Itulah ajaran Islam dan mesti dicontohi oleh semua suami.

Penulis adalah Exco Penyelidikan dan Penerbitan, Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekiranya anda mempunyai sebarang pendapat dan komentar, sila kemukakan ke alamat admin@pgsm.org.my


Tip menguruskan sendiri tekanan anda

Februari 27, 2007

* Tarik nafas panjang/dalam beberapa kali. Ia akan membuatkan pernafasan anda menjadi perlahan sekali gus mengecut dan merehatkan gentian otot- otot dalaman

* Bersenam secara tekal – 20 minit setiap sesi, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan emosi. Ia juga membantu mendapatkan fizikal yang lebih menarik sekali gus membuatkan diri anda berasa lebih yakin dengan penampilan diri

* Terimalah diri anda seadanya dan cuba menyukai diri sendiri. Bersikap realistik terhadap keupayaan anda dan tetapkan matlamat yang boleh dicapai. Cuba lakukan sesuatu yang dapat menimbulkan rasa kepuasan

* Bersikap positif dan belajar menerima kelemahan diri. Jangan berasa gusar mengenai perkara-perkara yang di luar kawalan anda. Berfikir secara positif dan renungkan kembali pencapaian dan kejayaan yang dimiliki apabila berasa tertekan

* Dapatkan sokongan dan bantuan sebelum anda berasa tenggelam punca. Kongsi masalah dan perasaan dengan seseorang yang anda boleh percayai seperti pasangan hidup, ahli keluarga, rakan-rakan dan pemimpin agama. Berkomunikasilah dengan mereka supaya mereka dapat membantu anda

* Bina silaturahim yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan. Biarkan diri anda berasa disayangi, dihargai, dihormati dan mempunyai tempat mengadu. Bersikap jujur dan bertimbang rasa dalam sesuatu perhubungan. – Amalkan pemakanan sihat dan tidur yang secukupnya

* Seimbangkan masa kerja dan bermain. Peruntukan masa untuk hobi dan rekreasi

* Kira dari satu hingga 10. Aktiviti ini boleh menjadikan anda berhenti dan rehat sebentar sebelum memberikan respons terhadap situasi yang memberikan tekanan

* Luahkan perasaan anda dengan menangis atau ketawa semahunya. Anda juga boleh menulis, jika mahu. Mendengar muzik juga boleh menenangkan

* Rehat dan tenangkan diri anda dengan mandi wap, berurut, meditasi, membuat renungan seperti membayangkan pemandangan yang menenangkan, misalnya.

Selain urut, anda juga boleh melakukan regangan bagi merehatkan otot-otot dan membantu mengurangkan ketegangan. Selalunya, otot-otot di belakang leher dan bahagian atas belakang menjadi tegang apabila anda mengalami stres.

* Dapatkan bantuan sekiranya diperlukan. Jika anda tidak dapat tidur, sakit kepala dan sakit belakang atau leher, pergilah berjumpa doktor

* Bantulah mereka yang memerlukan. Menolong seseorang akan dapat mengubah tumpuan dan perhatian kita dari masalah dan kerisauan yang dihadapi

* Ubah suai persekitaran anda untuk menyingkirkan unsur-unsur yang menyebabkan tekanan. Pilih persekitaran yang selesa dan bersesuaian dengan diri anda

* Tingkatkan kemahiran anda. Bersedialah untuk membuat sesuatu keputusan dan menangani masalah dengan berkesan. Lengkapkan diri anda bagi menjawat pekerjaan atau kerjaya yang memuaskan

* Uruskan masa dengan baik. Senaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan mengikut kepentingannya. Elakkan dari menerima kerja yang terlalu banyak

* Bijaksana dalam membuat keputusan. Pertimbangkan buruk baiknya sebelum memutuskan sesuatu.

AMARAN: Membantu diri sendiri adalah sangat berfaedah, tetapi ia bukanlah pengganti kepada bantuan profesional. Masalah tingkah laku dan emosi boleh memudarat dan membahayakan. Dapatkan bantuan profesional jika perlu!


Soal jawab kesihatan seksual lelaki

Februari 26, 2007

Apakah yang dimaksudkan dengan disfungsi erektil?

Disfungsi erektil (ED) adalah ketidakupayaan zakar mengekalkan atau mengukuhkan tegangan sewaktu melakukan hubungan seks. Mati pucuk juga ialah sejenis gangguan kesihatan seksual yang boleh dikaitkan dengan permasalahan lain seperti lemah tenaga batin dan masalah pengeluaran air mani.

Apakah punca berlakunya mati pucuk?

Masalah kesihatan yang menjejaskan aliran darah adalah punca lazim masalah ED. Ada yang berpendapat kemerosotan fungsi ereksi adalah biasa apabila usia seseorang itu meningkat. Sebenarnya, ada faktor lain yang boleh menyumbang kepada permasalahan ini khususnya jika beliau berpenyakit.

Apakah penyakit yang boleh menyumbang kepada terjadinya ED?

Ada beberapa jenis penyakit yang sudah dikenal pasti iaitu diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, paras kolesterol yang tinggi dan prostatektomi (pembedahan pada zakar).

Diabetes menyebabkan seseorang lelaki mengalami ED pada usia yang lebih muda berbanding lelaki lain. Mereka yang menjalani rawatan diabetes berisiko lebih tinggi, iaitu tiga kali ganda bagi mengalami masalah ereksi yang serius. Lebih kurang 35 hingga 50 peratus lelaki diabetes mengalami masalah ED.

Tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan mengeras. Ini akan menjejaskan pengaliran darah ke zakar, sekali gus kualiti ereksi. Penyakit jantung dan paras kolesterol yang tinggi juga menjejaskan pengaliran darah ke zakar. Lelaki yang dirawat untuk penyakit kardiovaskular berisiko empat kali ganda lebih tinggi mendapat masalah mati pucuk berbanding lelaki lain. Prostatektomi mencederakan saraf dan salur darah pada zakar lalu menjejaskan kualiti ereksi.

Apakah yang dimaksudkan dengan gaya hidup tidak sihat dan bagaimana ia menyumbang kepada terjadinya permasalahan mati pucuk?

Gaya hidup dikatakan tidak sihat apabila seseorang itu merokok, mengambil alkohol secara berlebihan, kurang bersenam dan mengamalkan diet tidak seimbang. Kesemua perkara di atas meningkatkan risiko seseorang itu mengalami ED terutama apabila usia semakin meningkat.

Faktor psikologikal juga boleh menyebabkan ED. Bagaimana?

Penumpuan kedua-dua minda dan tubuh adalah diperlukan sewaktu melakukan aktiviti seksual. Gangguan psikologi seperti tekanan, kemurungan, rasa bersalah, rendah diri, bimbang dan risau mengenai prestasi seksual, boleh mengganggu penumpuan minda. Akibatnya, rangsangan seksual yang diterima tidak dapat merangsang tubuh lalu menjejaskan prestasi seksual, khususnya penegangan zakar.

Bagaimanakah seseorang boleh menangani masalah mati pucuk secara semula jadi?

Pengubahsuaian gaya hidup dan tabiat pemakanan serta pengambilan makanan tambahan yang sesuai boleh membantu mengatasi dan memperbaiki masalah mati pucuk ini. Amalkan pengambilan makanan seimbang. Bersenam secara kerap kerana senaman melancarkan aliran darah. Pengambilan makanan tambahan yang khusus turut membantu menangani masalah seksual. Herba seperti Horny Goat Weed (Epimedium sagittatum), Gingko (Ginkgo biloba), Ginseng (Panax ginseng), Puncture Vine (Tribulus terrestris), Muira Puama (Liriosma ovata), Withania (Withania somnifera) dan Damiana (Turnera diffusa) sangat digalakkan. Gabungan herba itu bertindak sebagai tonik seksual yang mujarab bagi memperbaiki masalah seksual lelaki.

Luangkan waktu untuk berdua-duaan tanpa gangguan anak bagi merapatkan kembali hubungan anda dan pasangan. Jika perlu, berbincanglah dengan mereka yang dipercayai atau dapatkan khidmat kaunselor.

Untuk maklumat lanjut mengenai kesihatan, sila hubungi Penasihat Kesihatan Pelanggan di talian 03-7728 7407 (Isnin hingga Jumaat; 9.00 pagi hingga 6.00 petang) atau e-mel kami di health@biolife.com.my.


Betulkan Tanggapan Poligami

Februari 25, 2007

Sebarang perbincangan mengenai isu poligami sebenarnya boleh menarik perhatian ramai golongan Hawa. Ia adalah isu yang paling sensitif dibandingkan dengan isu-isu lain yang berkaitan dengan wanita.

Dan yang terbaharu bantahan yang disuarakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terhadap kerajaan negeri Terengganu yang bercadang untuk memberi anugerah khas kepada lelaki yang berpoligami. Manakala di Indonesia pula tindakan Aa Gym (tokoh pendakwah terkenal) mengahwini Alfarini Eridani bekas model dan janda beranak tiga telah mencetuskan kemarahan golongan wanita di sana.

Sesungguhnya kebanyakan orang yang fanatik menentang Islam dan orang-orang yang tidak memahami jiwa syariat lslam menganggap bahawa lslam ialah suatu agama yang pertama mengharuskan poligami. Ini adalah merupakan suatu anggapan yang salah yang menunjukkan kejahilan mereka terhadap sejarah dan terhadap agama-agama lain.

Tegas

Islam bukanlah agama pertama yang membawa atau memperkenalkan poligami tetapi Islam adalah agama pertama yang menyusun undang-undang perkahwinan (secara sistematik) dan menggariskan batas-batas poligami dengan jalinan-jalinan yang ketat dan syarat-syarat yang tegas.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Maka kahwinlah wanita-wanita yang halal bagimu dua, tiga atau empat (surah an-Nisa ayat 3). Dengan menitikberatkan kepentingan manusia baik secara individu mahupun masyarakat, lslam membolehkan lelaki berkahwin lebih dari seorang.

Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah s.w.t. terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Di antara manusia ada yang mandul atau sakit sehingga tidak mempunyai anak. Dan, ada juga di kalangan para isteri yang tidak dapat menjalankan kewajipan sebagai isteri. Bukankah ia suatu kehormatan bagi si isteri dan keutamaan bagi si suami kalau dia berkahwin lagi dengan seorang wanita tanpa menceraikan isteri pertama dengan memenuhi hak-haknya?

Di kalangan feminis lslam mereka melihat umumnya poligami yang terjadi adalah semata-mata untuk pemuasan nafsu semata-mata bukan atas faktor-faktor yang disebut di atas.

Malah semua alasan yang membolehkan suami berpoligami hanya dilihat dari perspektif kepentingan suami dan sama sekali tidak pertimbangkan perspektif kepentingan perempuan apa lagi kepentingan sosial (kemasyarakatan) yang lain. Mereka menyimpulkan bahawa prinsip perkahwinan dalam lslam adalah monogami, bukan poligami. Malah menurut mereka kemampuan untuk berlaku adil ke atas isteri dari segi fakta sejarah membuktikan hanya nabi s.a.w. yang mampu berlaku adil terhadap isteri-isterinya.

Sementara itu ada juga lelaki yang mempunyai nafsu seks yang luar biasa, tapi isterinya hanya bersikap dingin atau sakit, atau masa haidnya itu terlalu panjang dan sebagainya, sedangkan si suami tidak dapat menahan nafsunya. Apakah dalam situasi begini mereka tidak boleh kahwin dengan perempuan lain secara yang halal sebagai tempat mencari kawan tidur dan teman hidupnya?

Syarat

Jika poligami itu boleh memberikan jalan ke arah keghairahan nafsu kaum lelaki tanpa menyebabkan wabak zina, maknanya ia telah membentuk perlakuan seks yang sihat. Apakah kita harus menyempitkan pandangan mengenainya sehingga gejala perzinaan menjadi berleluasa.

Bagi sesetengah kaum wanita mereka mungkin menentang poligami kerana mereka tidak memahami istilah akad nikah sebagai (perjanjian kontrak) yang bukan maksud lelaki dan perempuan itu milik mereka. Apabila ia berupa kontrak (ikatan perjanjian) ini bermakna lelaki tersebut boleh membuat kontrak atau akad nikah dengan perempuan lain apabila memenuhi ciri-ciri dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Islam.

Pada hakikatnya agama kita membenarkan cara halal tadi sekalipun dengan isteri yang lain iaitu kaum sejenisnya sendiri. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela: Kemudian, sesiapa yang mengingin selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampau batas (al-Mu’Minun ayat 5-7).

Di sini jelas dinyatakan bahawa hubungan suami isteri itu dihalalkan dan diberi kebebasan sepenuhnya dan yang dicela ialah dengan orang lain secara yang di luar batas agama. Malangnya ada juga sebahagian para isteri itu masih ragu-ragu untuk sentiasa menjalin kasih sayang dan membina kehidupan yang intim dan romantis, sekalipun dengan pasangan mereka sendiri. Ini memungkinkan perhubungan itu menjadi tidak harmonis sehingga boleh menyebabkan keretakan rumah tangga atau boleh menimbulkan kerenggangan dalam rumah tangga.

Pada masa ini, bancian penduduk seluruh dunia menunjukkan bilangan wanita lebih ramai daripada lelaki. Keadaan ini menimbukan kebimbangan berlakunya ke’aifan dan kerosakan (akhlak antara kedua-dua jenis ini) menyebabkan diharuskan lelaki berpoligami dengan syarat dapat melakukan keadilan dan kecukupan nafkah zahir dan batin. Di negara barat hari ini mereka merungut tentang kemerosotan keturunan mereka serta merebaknya penyakit AIDS kerana perbuatan zina dan liwat yang kalau tidak dikawal akan menghancurkan seluruh masyarakat itu sendiri.

Bagaimana untuk melahirkan generasi minda kelas pertama yang menjadi idaman negara kalau ia lahir dari genetik dan benih yang kotor dan jahat. Sebaliknya benih yang baik itulah yang dapat melahirkan generasi yang baik dan berapa ramai kaum wanita yang mempunyai genetik atau benih yang baik dan subur terbiar begitu sahaja kalau tanpa ada kemudahan atau laluan untuk berpoligami sebagaimana yang dibenarkan oleh agama.

Kita tidak mahu manusia yang akan lahir nanti ialah manusia yang liar dan sukar dididik. Islam itu bersih. Apa pun alasannya, poligami merupakan alternatif yang dapat menghindari daripada berlakunya kejahatan. Sehubungan ini Allah mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: (Biasanya) wanita yang jahat adalah untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat itu untuk wanita yang jahat (begitu juga sebaliknya) wanita yang baik itu untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk wanita yang baik-baik (surah an-Nur ayat 26).

Generasi

Justeru itu kita dapati orang tua kita dahulu tidak memilih sangat pasangan untuk anak mereka asalkan bakal suami itu orang baik dan soleh. Mereka terima sahaja apa lagi kalau bakal menantu mereka itu daripada kalangan para ulama terkenal pula dan terbukti selalunya generasi keturunan mereka terdiri dari manusia berminda kelas satu yang amat diperlukan oleh negara hari ini.

Kepentingan pendidikan kepada masyarakat perlu dilakukan bagi menyedarkan bahawa poligami itu adalah suatu yang baik dan menjadi sunah nabi. Segala-galanya telah nabi tunjukkan kerana poligami dibolehkankan dalam lslam.

Apa pun pandangan dan alasan, penentangan terhadap poligami akan membawa kepada kepincangan akidah. Pandangan serong terhadap poligami hendaklah diperbetulkan semula dengan harapan masyarakat benar-benar peka dan faham mengenainya. Ia sangat penting kerana poligami bukan ciptaan manusia, sebaliknya bersumberkan perintah Allah.

Oleh Mohd. Shauki bin Abdul Majid