Suami malas kerana dimanja isteri

Januari 29, 2007

KAUM lelaki yang sering diuar-uarkan sebagai pewaris kepimpinan negara, kini kelihatan semakin lesu dan tersasar daripada landasan apabila mereka lebih menjuarai segala bentuk gejala negatif.

Sedang anak-anak gadis bersaing mencari tempat di pusat-pusat pengajian tinggi, golongan pemuda pula menunggu untuk menghuni di pusat-pusat pemulihan akhlak dan pusat serenti atau bergelandangan di jalan raya sebagai mat rempit.

Masyarakat hari ini mungkin sudah boleh menerima hakikat bahawa wanita dan lelaki berkongsi kerjaya – wanita sebagai doktor, arkitek dan jurutera manakala lelaki sebagai jurusolek, pak andam dan tukang masak – namun apakah perlu kita bertukar peranan sebagai suami dan isteri.

Begitupun itulah senario yang berlaku dalam sesetengah masyarakat kita hari ini. Sindrom suami malas berkerja dan lebih suka duduk rumah sementara itu bertungkus-lumus berkerja bagi menyara keluarga sudah lama wujud dan tidak harus dibiarkan berlarutan.

Wartawan NORMALA HAMZAH, SITI ZALEHA JORIMAI dan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mendapatkan pandangan beberapa tokoh berhubung isu ini.

PARA isteri tidak digalakkan terlalu “memanjakan’ suami dengan mengikut semua kehendak mereka termasuk mengambil alih tanggungjawab dalam rumah tangga.

Sebaliknya mereka perlu saling lengkap melengkapi untuk sama-sama memikul beban rumah tangga agar masing-masing ada peranan.

Demikian dinyatakan Datuk Kamilia Ibrahim, seorang peguam yang juga Setiausaha Pemadam mengenai senario suami malas bekerja.

“Kita perlu faham, kebanyakan lelaki telah dimanjakan sejak kecil oleh ibu, kakak dan ibu saudara mereka. Malah mereka jarang diberi sebarang tugas untuk dilakukan semasa kecil.

“Sikap ini terbawa-bawa sehingga mereka berumah tangga. Apabila berkahwin mereka mendapat isteri yang berjawatan tinggi, berdikari dan memberi layanan mesra, termasuk mengambil alih tanggungjawab suami,’’ katanya.

Menurut Kamilia, wanita apabila mempunyai kerjaya profesional dan berpendapatan lumayan, mengamalkan sikap tidak mengharapkan lelaki untuk hidup senang.

“Sikap seperti itu akhirnya memakan diri jika tidak dipelihara dengan baik. Seharusnya dalam rumah tangga suami isteri mengamalkan sikap lengkap melengkapi dan saling memotivasi antara satu sama lain tanpa mengira status dan kerjaya.’’ jelasnya.

Tambah Kamilia, ada kala sikap wanita yang terlalu berdikari menjadikan lelaki ‘lepas tangan’ kerana berpendapat isteri mampu mengambil alih tanggungjawab mereka. Memang digalakkan suami isteri saling sayang menyayang, membina keharmonian dalam rumah tangga tetapi biarlah bertempat, bukan merosakkan mereka sehingga lupa tanggungjawab,’’ tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya para isteri mengubah sikap dengan mengajak suami dan memberi galakan kepada mereka untuk sama-sama mengambil peranan dalam rumah tangga secara lebih serius.

Beliau mengambil contoh peranan suami sebagai ketua keluarga, melaksana tanggungjawab terhadap rumah tangga dan mengimamkan sembahyang jemaah keluarga.

“Kita perlu mengambil contoh peranan suami pada masa lalu menggunakan kaedah tegas untuk mendisiplinkan anak lelaki tanpa menganaktirikan anak perempuan.

“Tapi hari ini berapa ramai ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk menjenguk ke bilik tidur anak mereka dan memastikan anak-anak remaja berada di rumah atau ke mana mereka pergi dan dengan siapa.

“Kalau ada masalah anak lelaki, isteri juga yang jadi penyelesaiannya, bukan suami. Alasan suami sibuk, pada hal suami mereka tahu, isteri boleh menangani masalah tersebut tanpa mereka.

“Sudah sampai masanya para suami digerakkan untuk berperanan lebih serius dalam rumah tangga. Isteri pula perlu mengendurkan komitmen mereka terutama dalam soal wang ringgit dan tindakan berkaitan rumah tangga, sebaliknya memberi perangsang kepada suami untuk saling tolong menolong.

“Isteri juga perlu menyokong sekiranya suami tidak setaraf dengannya dengan berkongsi ilmu yang ada untuk sama-sama membina kedudukan yang seiring, bukan bersaing,’’ ujarnya.

Kamilia juga tidak menolak antara punca perceraian ialah suami tidak bertanggungjawab akibat berada dalam keadaan selesa disebabkan isteri berpendapatan lebih daripadanya.

Menyentuh mengenai bidang profesional yang kini mula dimonopoli kaum wanita, Kamilia memberitahu, peratusan peningkatan wanita dalam bidang seperti akauntan, akitek profesional, jurutera, doktor gigi, doktor vaterinar, doktor perubatan, juruukur tanah dan Juruukur bahan dan peguam semakin ketara,’’ katanya.

Beliau merujuk kepada bilangan ahli profesional yang berdaftar mengikut jantina 2004-2005 yang menyaksikan peratus penglibatan wanita dalam bidang doktor gigi telah meningkat daripada 54.4 peratus pada 2004 kepada 56.2 pada 2005.

Begitu juga bagi peguam meningkat daripada 44.1 peratus pada 2004 kepada 44.9 peratus pada 2005 sementara akauntan meningkat daripada 41.6 peratus pada 2004 kepada 43.0 peratus pada 2006.

Begitu juga dengan bidang lain seperti akitek profesional, jurutera profesional, doktor vaterinar, doktor perubatan, dan juruukur bahan turut menunjukkan peningkatan.


Seiringkan peranan dalam rumah tangga

Januari 29, 2007

SENARIO lelaki berkeluarga malas bekerja yang dibangkitkan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, sedikit sebanyak mungkin ada kaitan dengan pencapaian golongan wanita hari ini.

Taraf pendidikan yang lebih tinggi telah menyaksikan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan pelbagai aktiviti perniagaan.

Ini bertambah rancak apabila, golongan Hawa dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai bagi menjadikan mereka lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran ekonomi.

Perkembangan ini membuatkan kebergantungan wanita kepada lelaki atau lebih tepat suami semakin berkurangan memandangkan mereka mampu menjana pendapatan sendiri yang kadangkala lebih tinggi berbanding lelaki.

Fakta ini disokong oleh perangkaan dikeluarkan oleh Unit Perancangan Ekonomi, di mana golongan Hawa meliputi 48 peratus daripada penduduk dalam kumpulan umur berkerja iaitu 15-64 tahun.

Perangkaan ini menunjukkan penyertaan tenaga buruh wanita bertambah daripada 44.7 peratus pada tahun 2000 kepada 45.7 peratus pada 2005.

Bilangan wanita yang bekerja bertambah daripada 3.3 juta pada tahun 2000 kepada 3.9 juta pada 2005, di mana peratusan guna tenaga wanita daripada jumlah keseluruhan guna tenaga meningkat daripada 35.6 peratus kepada 36.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Penglibatan wanita dilihat tertumpu pada sektor pembuatan, perdagangan borong dan runcit serta pertanian.

Dari segi struktur pekerjaan pula, peratusan wanita yang berkerja dalam kumpulan pekerjaan bergaji tinggi adalah lebih tinggi.

Perkembangan ini didorong oleh pencapaian yang lebih baik golongan Hawa dalam bidang pendidikan.

Peratusan wanita dalam kategori pegawai kanan dan pengurus meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun 2000 kepada 5.4 peratus pada tahun 2005.

Kategori ini masih didahului kaum lelaki yang turut mencatatkan peningkatan daripada 8.0 peratus kepada 9.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Bagaimanapun, pekerja wanita nyata mendominasi dalam kategori profesional; juruteknik dan profesional bersekutu; pekerjaan perkeranian dan; pekerjaan perkhidmatan dan jualan.

Bagi kategori profesional, wanita terutamanya berkerja sebagai doktor, doktor pergigian, peguam dan arkitek. Ia menunjukkan pertambahan daripada 7.2 peratus pada tahun 2000 kepada 7.5 peratus pada 2005, berbanding lelaki daripada 5.1 peratus kepada 5.5 peratus dalam tempoh yang sama.

Manakala bagi kategori juruteknik dan profesional wanita mencatatkan penurunan kecil iaitu 14.1 peratus pada tahun 2000 kepada 14 peratus pada 2005. Begitupun angka tersebut masih lebih tinggi berbanding lelaki yang mencatatkan peningkatan 10.9 peratus kepada 12.6 peratus.

Secara keseluruhan peningkatan wanita dalam pekerjaan adalah hasil daripada akses pendidikan yang semakin baik.

Begitupun, bukan niat untuk menafikan kehebatan kaum lelaki, tetapi perkembangan ini seharusnya diterima oleh mereka sebagai satu cabaran untuk mereka turut berdaya saing dengan wanita.

Kaum lelaki tidak harus melihat keupayaan wanita untuk menjana pendapatan sendiri sebagai satu kesempatan untuk mereka ber senang-lenang, sebaliknya mengambilnya secara positif untuk seiring memainkan peranan dalam meningkatkan kesejahteraan rumah tangga.

Apa pendapat kaunselor

KAUNSELOR Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata, isu lelaki berkeluarga dilanda sindrom malas bekerja bukan sesuatu yang baru.

Katanya, isu ini bukan sahaja berlaku di kampung, malah di bandar turut mengalami fenomena sama.

“Banyak terjadi kes, suami menjaga anak-anak di rumah dan isteri bekerja. Golongan ini boleh dikatakan sebagai suami sepenuh masa.

“Sindrom ini berlaku apabila si isteri bersetuju untuk memikul tanggungjawab mencari nafkah dan suami menguruskan kerja di rumah.

“Namun demikian, keadaan menjadi tidak sihat apabila suami hanya makan dan tidur di rumah tanpa menghiraukan hal anak-anak,’’ katanya.

Hushim menambah, keadaan psikologi anak-anak yang sudah bersekolah dan mempunyai kawan-kawan akan terganggu kerana mereka akan tertanya-tanya mengapa bapa mereka di rumah sahaja sedangkan pada masa yang sama bapa orang lain bekerja.

“Sesuatu perlu dibuat untuk memperbaiki keadaan ini. Golongan lelaki perlu lebih yakin menghadapi situasi ini. Jika berterusan, fungsi institusi keluarga akan terganggu.

“Kembali kepada ajaran Islam, lelaki yang wajib mencari nafkah dan bukan sebaliknya. Isteri hanya membantu dan memberi sokongan kepada suami,’’ ujarnya

Ditanya tentang bilangan pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki di institusi pengajian tinggi terutama bidang profesional mempengaruhi senario ini berlaku, Hushim berkata, keadaan ini sebenarnya boleh diubah pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Tidak dinafikan, statistik sekarang menunjukkan pelajar perempuan lebih ramai dan menjadi penyumbang tenaga kerja utama negara.

“Manakala lelaki pula sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti dadah, rempit dan buli sejak di sekolah lagi,’’ katanya

Hushim menambah, bilangan pelajar perempuan tidak boleh disekat kerana mereka memang layak dari segi akademik.

Jelasnya, apa yang perlu dilakukan ialah menyedarkan golongan lelaki bermula pada peringkat sekolah rendah dengan memberi motivasi dan kursus kepimpinan.

“Kementerian pelajaran, badan bukan kerajaan (NGO) dan ibu bapa perlu menerapkan pentingnya mencari rezeki, memimpin keluarga dan bekerja sejak lelaki itu kanak-kanak lagi,’’ katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia, Prof. Dr. Suradi Salim berkata, senario ini sering berlaku di kalangan suami isteri yang menjalankan aktiviti pertanian.

Tambah Suradi, amat kerap berlaku juga kes isteri menjual kuih dan suami duduk di rumah.

“Antara yang menjadi faktor utama ialah isteri yang berkahwin dengan suami yang berpendidikan lebih rendah darinya atau berjawatan rendah.

“Malah ada kes lelaki yang bekerja sebagai kakitangan awam dan pencen awal pada usia awal tidak mahu mencari pekerjaan lain.

“Mereka ini hanya mengharapkan sumber kewangan daripada isteri,’’ katanya.

Kata Suradi lagi, fenomena ini jarang membawa kepada penceraian kerana hak tersebut terletak pada tangan lelaki dan mereka lebih selesa dengan situasi seperti ini.


Akal Setipis Rambutnya

Januari 28, 2007

Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada di syurga, namum Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak lojik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh mereka. Didiklah mereka dengan panduan dariNya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, di situlah suisnya.

Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati separuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi

Tuhan. Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan. kerana Rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki waja – negarawan, karyawan, jutawan dan ‘ wan-wan’ lain. Tidak akan lahir superman tanpa superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki.

Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, Apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadanya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan kita.

JANGAN MENGHARAP ISTERI SEPERTI SITI FATIMAH, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEPERTI SAYIDINA ALI…


Peluk isteri 10 saat, panjang umur lima tahun

Januari 28, 2007

Seorang suami yang memeluk isterinya untuk sekurang-kurangnya 10 saat setiap pagi akan panjang umurnya lima tahun.

Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah berkata, fakta berdasarkan kajian oleh seorang pakar di Jerman mengenai hubungan antara sentuhan dan tahap kesihatan. “Seseorang itu boleh panjang umur jika memeluk isterinya setiap hari kerana pelukan dan sentuhan boleh menyebabkan tubuh manusia mengeluarkan pelbagai hormon termasuk endorfin yang baik untuk kesihatan tubuh. `

`Bagaimanapun, sebagai seorang Islam kita tidak harus lupa ajal dan maut terletak di tangan Allah,” katanya ketika memberi syarahan bertajuk `Perkahwinan dan Seks: Penawar dan Rawatan Bagi Banyak Penyakit’ di Persidangan Ketiga Perubatan Daripada Perspektif Islam anjuran Pusat Perubatan Universiti Malaya di Hotel Sheraton Subang di sini hari ini.

Hormon endorfin adalah sejenis bahan kimia semula jadi yang bertindak sebagai penahan sakit dan mengurangkan keresahan. Jelasnya, selain mempunyai kesan positif dari segi saintifik dan kesihatan sentuhan, pelukan dan gurau senda antara suami dan isteri juga merupakan sunah Rasulullah s.a.w.

Tambah beliau, ada kajian di Amerika Syarikat (AS) juga mendapati pelukan suami dapat mengurangkan tahap kolesterol dan meningkatkan kesihatan isteri.

“Oleh itu suami yang inginkan isterinya menurunkan berat badan digalakkan memeluk isterinya lebih kerap,” katanya disambut dengan gelak ketawa oleh peserta persidangan itu.

Jelas beliau, hubungan seks dalam penuh rasa kasih sayang juga dapat membantu pasangan untuk awet muda dan berketerampilan menarik. “Wanita yang mempunyai kehidupan seks yang baik dan bahagia akan lebih cenderung untuk menghiasi diri,” kata Fadzilah.


Suami poligami kena bijak jaga perasaan madu

Januari 25, 2007

BAGAIMANA mengubat hati apabila suami menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka. Saya berasa berkecil hati tapi saya pendamkan saja. Bolehkah berikan sedikit nasihat dan tips memujuk hati sendiri dan melancarkan kembali keintiman hubungan dengan suami?

Isteri terkilan
Lumut, Perak

————-

SOALAN yang ditanya bukan untuk suami mengamalkan poligami tetapi bagaimana berhadapan dengan kerenah suami berpoligami yang menceritakan kebaikan madu dan hubungan intim mereka.

Saya jangkakan hati puan memang sudah terluka kali pertamanya apabila suami berkahwin lain. Hati yang luka tadi tambah dilukai apabila suami tergamak menceritakan mengenai madu puan.

Ada yang perlu puan lakukan dan ada pula yang suami perlu lakukan.

Pada pihak puan, bersabar dan meredai suami berkahwin lain adalah jalan yang terbaik.

Anggaplah ia telah ditakdirkan dan pasti ada hikmah yang besar jika tidak sekarang, dan di kemudian hari.

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Amat menghairankan seorang Muslim itu, apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan berkenaan memberi kebaikan kepadanya.”

Di pihak suami puan pula, beliau harus mempelajari hukum, adab dan akhlak orang yang berpoligami.

Mengikut hukum, beliau wajib bersikap adil dari segi agihan masa, sara hidup dan keperluan (bergantung kepada saiz keluarga).

Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

Namun dari segi tindakan dia tidak wajar melebihkan seorang daripada yang lain, apatah lagi memberi perhatian yang berlebihan. Inilah yang dikatakan adil terhadap isteri-isteri bagi suami yang berpoligami.

Berkaitan adab pula, suami tidak harus menceritakan kelebihan isterinya di hadapan isteri yang lain kerana ini akan menyebabkan timbulnya perasaan kecil hati.

Ini terutama sekali jika kelebihan itu adalah anugerah Allah SWT seperti kecantikan paras rupa dan kelebihan fizikal yang tertentu.

Namun jika si suami menceritakan sesuatu yang positif seperti isterinya kuat beribadat, rajin menuntut ilmu dan ringan tulang membantu jiran, maka anggaplah ini sebagai dorongan untuk berlumba-lumba ke arah kebajikan.

Sabda Nabi Muhammad SAW, “Tidak diharuskan iri hati sesama Muslim kecuali dalam dua perkara, seorang Muslim yang diberi harta lalu dia berbelanja pada jalan Allah dan kedua seorang Muslim yang diberi ilmu lalu dia memanfaatkan untuk ummah.”

Jika suami puan menceritakan perkara positif seperti ini, katakanlah puan amat setuju dan berdoa serta berusaha untuk mencontohi beliau.

Tetapi jika pujiannya adalah terhadap aspek fizikal seperti paras rupa, puan wajar menasihatinya supaya menghentikannya.

Sebagaimana puan menghormati dan menjaga perasaan isterinya yang satu lagi, puan juga harus menuntut suami supaya menjaga dan menghormati perasaan puan.

Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

Terdapat amaran tegas dari Rasulullah SAW dalam hal ini melalui firman Baginda yang bermaksud: “Seburuk-buruk lelaki ialah dia menggauli isterinya kemudian menceritakan kepada orang lain.”

Ini bermakna urusan dalaman rumah tangga adalah rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada orang lain termasuklah isteri jika dia beristeri lebih dari seorang.

Hukum adat telah sama-sama kita maklumi. Pepatah Melayu mengatakan ’sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi’.

Suami puan telah mendapat isteri yang baru. Maklumlah orang baru, lebih cantik dan lebih segar pada pandangan mata. Namun kecantikan bukanlah ukuran sebenar yang membahagiakan seorang suami.

Nasihat saya kepada diri dan kepada semua marilah kita memberi tumpuan kepada usaha mendandan hati kita supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

Tanyakan pada orang yang berpengalaman, di manakah letaknya kecantikan, percayalah mereka akan mengatakan kecantikan itu datangnya dari hati yang sejahtera.

Dalam pada itu, puan juga harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami puan itu?

Mungkinkah dia ingin puan lebih ‘intim’ dengannya? Mungkin selama ini saranan secara tidak langsung diutarakan kepada puan mengenai perlunya meningkatkan hubungan intim tidak diterima atau disedari puan.

Saya tidaklah menyalahkan puan, tetapi apa salahnya puan membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.

Jawapan disediakan Dr Hafidzi Mohd Noor, pensyarah Universiti PutraMalaysia dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my

INTI PATI:

Mengubat hati yang dikecewakan dengan memperbanyakkan sabar dan mengerjakan solat adalah formula terbaik untuk mencari ketenangan hidup dan kesejahteraan hati.

Seorang Muslim apabila diberi nikmat dia syukur, apabila ditimpa musibah dia sabar. Maka kedua-dua keadaan itu memberi kebaikan kepadanya.

Dari segi kasih sayang dan kecenderungan, tidak ada hukum syarak yang mewajibkan seorang suami cenderung sama rata terhadap isteri dari segi perasaan.

Suami perlu ingat tidak wajar menceritakan hubungan intim dengan isteri meskipun terhadap isterinya yang lain.

Usaha mendandan hati perlu dilakukan supaya sentiasa cantik dan berseri. Hati yang bersih akan menyerlah pada wajah.

Harus melihat apa sebenarnya yang tersirat di sebalik kata-kata suami.

Perlu membaca buku yang memberi panduan bagaimana menyemarakkan hubungan suami isteri.